UCAPAN MEMBAHAS RANG UNDANG-UNDANG
AKTA PERKHIDMATAN POS 1991 PADA 19 JULAI 2001

Tuan Yang di-Pertua:  Bachok, lepas itu Batu Gajah, lepas itu Menteri menjawab. 

3.01 ptg.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.  Firman Allah S.W.T  [Membaca sepotong ayat al-Quran “Wa ta ‘aawanu ‘alalbirri wattaqwa wala ta ‘aawanu alalismi wal’udwa”]  Dalam menyahut cabaran kehendak Allah inilah saya cuba untuk berkongsi pemikiran bersama dengan  Ahli Yang Berhormat sekalian bagi memastikan usaha untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 1991 atau Akta 465 ini memberi suatu manfaat bersama. 

Di sebalik perkhidmatan pos ini sebenarnya menyentuh secara langsung kepentingan rakyat secara amnya.  Asas kepada  pindaan ini tidak lain adalah untuk menyelaraskan kehendak Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 terutamanya dalam perkara-perkara yang telah pun disebutkan oleh pihak Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi yang menyentuh pindaan-pindaan yang melibatkan 26 fasal.  Walaupun pihak Yang Berhormat Timbalan Menteri menyebut 23 fasal sebenarnya tadi, jadi saya meneliti sebenarnya ialah 26 fasal terutama Fasal 2,3,4 dan 6 ini yang antara lain memberi suatu maksud yang jelas penyesuaian ataupun usaha menserasikan kehendak Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

            Dalam perkara yang lebih penting untuk difahami misalnya di dalam Seksyen 2 Akta 465 ini telah dipinda dengan  menserasikan maksud suruhanjaya itu sendiri kemudian disebutkan lagi dalam bahagian 2 iaitu menggantikan tajuk baru kepada  tajuk fungsi dan tugas suruhanjaya.  Kemudian di bawah fasal berikutnya ialah penggantian kepada  Seksyen 4 dengan  suatu fokus khusus mengenai fungsi-fungsi dan tugas-tugas suruhanjaya yang tidak ada dalam akta sebelum ini.  Dari Fasal 6 misalnya dipinda Seksyen 6 dengan  menggantikan Subseksyen 6(2) yang memperjelaskan fungsi Pengerusi Suruhanjaya itu sendiri, ia membenarkan mana-mana pegawai yang diberi kuasa untuk menjalankan tugas bagi memastikan perlaksanaan dan penguatkuasaan serta pemantauan berasas kepada  maksud dan kehendak Akta Perkhidmatan Pos 1991 yang dipinda pada hari ini.  Pada keseluruhannya pindaan ke atas Akta 465 yakni Perkhidmatan Pos 1991 ini adalah membawa maksud yang jelas iaitu untuk mempercekap ataupun untuk meningkatkan lagi keupayaan perkhidmatan pos secara lebih efisien ataupun secara lebih memenuhi kehendak sebenar pengguna ataupun sesiapa sahaja yang menerima ataupun yang mendapat perkhidmatan daripada perkhidmatan pos yang dilesenkan mengikut akta ini. 

            Tegas sekali pindaan-pindaan yang dimaksudkan sebenarnya telah pun melampaui satu tempoh yang agak lewat daripada kewujudan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia itu sendiri kerana akta itu telahpun diwujudkan pada tahun 1998 dan sekarang ini telah pun memasuki tahun ketiga, baru dipinda kepada  akta ini, kelewatan hampir tiga tahun.  Ini bermakna penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan berkuat kuasa selepas daripada ini ke atas Akta Perkhidmatan Pos 1991 yang sekaligus merasmikan pemakaian pewujudan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang bermula pada 1 November 1998. 

            Semangat utama daripada pindaan, saya boleh melihat dan meneliti dan saya dapati ialah untuk memastikan Akta Suruhanjaya Komunikasi itu merasmikan menerusi Akta Perkhidmatan Pos ini bagi memperlajukan asas perniagaan perkhidmatan pos itu sendiri.  Ianya tidak lagi memberi suatu pemahaman bahawa perkhidmatan pos itu lebih bersifat perkhidmatan sosial tetapi lebih memberi satu maksud memperniagakan perkhidmatan pos.  Begitu juga dengan  memperjelaskan lagi kuasa Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia atau Menteri TKM ini ke atas akta ini sebagaimana maksud dalam pindaan kepada  Seksyen 41 yang telah menggantikan dengan  maksud baru iaitu sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 41 berbunyi:  “Menteri boleh secara bertulis memberi kuasa mana-mana pegawai awam ataupun Pegawai Suruhanjaya untuk menjalankan kuasa penguatkuasaan di bawah Akta ini…”. 

            Pada saya asas perlaksanaan kuasa menteri menerusi akta ini dialu-alukan dalam apa-apa tindakan sekalipun khususnya dalam perkara yang melibatkan penguatkuasaan.  Hatta suatu kemodenan kepada  satu usaha yang lebih dalam perkhidmatan pos itu.  Demikian juga kepada  tindakan-tindakan yang boleh memastikan perkhidmatan pos dan mempertingkatkan usaha bagi memuaskan semua pelanggan-pelanggannya dan dalam perkara ini saya melihat suatu nilai keadilan perlu diwujudkan dari sudut pengamalan penguatkuasaan menerusi kuasa menteri bagi memastikan perkhidmatan pos ini menjadi lebih teknikal lagi supaya memenuhi maksud sebenar kewujudan perkhidmatan pos yang telah dilesenkan kepada  mana-mana pihak. 

            Walau bagaimanapun, di sebalik isu penguatkuasaan yang berlaku, kemungkinan-kemungkinan boleh kita duga dan kita boleh andaikan boleh berlaku.  Daripada peruntukan yang disebutkan menerusi pindaan-pindaan yang dibuat juga, saya tidak nampak satu kuasa untuk membela kepada  asas pelanggan pos itu sendiri, kerana asas pengawalan ataupun kawal selia yang diwujudkan menerusi Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan dimasukkan di dalam Akta Perkhidmatan Pos ini jelas dalam satu persoalan di sebalik pelanggan ialah macam mana sekiranya kesilapan tertentu yang menyebabkan pelanggan menerima surat lewat, keciciran surat ataupun kerosakan barang hantaran menerusi perkhidmatan yang ditawarkan oleh perkhidmatan pos yang ada hari ini khususnya Pos Malaysia Berhad (PMB).  Ini suatu isu hak pengguna dalam erti kata untuk menuntut suatu tanggungjawab pihak yang dilesenkan oleh akta ini. 

            Pada saya, saya tidak nampak juga suatu pembelaan rasmi kerana apabila saya merujuk kepada  Akta ibu di bawah Seksyen 12 disebutkan bahawa pemegang lesen tidaklah bertanggungan bagi apa-apa kehilangan ataupun salah serahan ataupun kelewatan dan umpamanya.  Subseksyen ini atau seksyen 12 tidak dipinda dalam pindaan yang dibawa membuktikan pembelaan sebelah pihak daripada kuasa menteri iaitu kepada  perkhidmatan yang dilesenkan iaitu perkhidmatan pos khususnya Pos Malaysia Berhad (PMB). 

Isu-isu lain yang saya nampak di sebalik hak pengguna ialah suatu perjalanan sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Gelang Patah tadi,  banyak perkara-perkara yang bersifat teknikal tidak mampu diselesaikan oleh pembantu pos yang sedia ada, tidak tahulah selepas daripada pembelian PMB oleh Phileo Allied Berhad (PAB), perkara itu boleh ditangani dan diatasi. Tetapi pengalaman yang lalu dan sehingga hari ini perkara itu masih berbangkit, ketidakcekapan kakitangan pos PMB itu sendiri dan menyelesaikan tugas-tugasnya dalam urusan-urusan yang melibatkan pelanggan-pelanggan. 

            Dalam hal ini saya melihat suatu penjurusan seharusnya dikawal selia dengan  rapi oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ke atas mana-mana pemegang lesen perkhidmatan pos ini ialah memastikan suatu proses dan suatu kursus serta pembinaan sumber manusia di peringkat pekerja itu dibuat dengan  lebih teliti dan rapi. Kerana di sebalik fungsi dan tugas-tugas suruhanjaya ini sendiri memberi suatu maksud untuk memastikan perjalanan itu berjalan dengan  lancar dan cekap sebagaimana kehendak yang disebutkan dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi itu sendiri.  Oleh kerana itulah kita tidak mahu negara kita disebut sebagai negara yang bermasalah dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan-kepentingan secara spesifik kepada  rakyat jelata, rakyat umumnya. 

Apa yang kita dapati daripada rekod yang dicapai berdasar kepada  prestasi pembangunan sumber manusia dalam negara kita pada hari ini,  suatu maklumat yang dapat saya sebutkan ialah menurut suatu laporan Human Development Reports daripada United Nation Development Programs Project 2000 disebutkan bahawa Malaysia dari sudut pembangunan sumber manusianya duduk pada ranking nombor enam puluh satu (61). 

            Ini membuktikan kepada  kita bahawa usaha-usaha menangani masalah kecekapan dari sudut tenaga kerja dalam sektor awam ataupun agensi swasta ataupun mana-mana perbadanan kerajaan, tidak dijadikan agenda mutlak dan utama dalam perkara ini.  Oleh kerana itulah apabila berbangkitnya isu di sebalik pindaan kepada akta pos ini ialah penjualan Pos Malaysia Berhad (PMB) ini kepada  Phileo Allied Berhad (PAB) yang transaksinya menimbulkan banyak kontroversi dan tanda tanya.  Sebagai mana yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat Bukit Bintang tadi jelas daripada penjualan itu menimbulkan suatu tanda tanya jelas, mengikut rekod perjalanan PMB yang telahpun mencatat keuntungan lima tahun berturut-turut sehingga mana ia dijual ataupun diambil alih. Ini satu perkara yang menampakkan satu usaha yang sengaja bagi memastikan perkhidmatan yang berkonsepkan kerajaan kepada  rakyat dijual kepada  pihak yang mengambil untung dan cuba untuk mendapatkan keuntungan yang mudah dalam perkara perkhidmatan untuk rakyat. 

            Dalam hal inilah saya juga ingin menyebutkan bahawa perkhidmatan PMB sesungguhnya mempunyai satu tanggungjawab yang begitu besar kepada  keuntungan masyarakat secara keseluruhannya tanpa mengira masyarakat bandar, luar bandar ataupun terpinggir.  Yang jelas ialah segala bentuk urusan correspondence  di antara satu pihak ke satu pihak, Pos Malaysialah yang menjadi rujukan kerana sehingga kini lesen diberikan kepada  pihak Pos Malaysia Berhad (PMB).  Oleh kerana itu fungsi setem, pengeluaran setem, mencetak setem atau menerbit setem adalah suatu perkara yang penting kerana  di sebalik setem itu mengandungi satu caj perkhidmatan penghantaran ataupun perkhidmatan-perkhidmatan lain.  Di samping perkhidmatan yang bersifat untuk urusan perjanjian ataupun kontrak.  Yang penting untuk diberi perhatian lagi oleh pihak kerajaan khususnya kementerian memantau perjalanan pos ini ialah apabila ianya telah pun diambil alih oleh pihak PAB, jaminan dari sudut kadar bayaran itu mestilah dibuat supaya ia tidak menekan kepada  pihak pelanggan. 

            Dengan  kadar yang ada sekarang misalnya sampul yang bertutup dengan  nilai 30 sen adalah suatu nilai yang agak munasabah dan tidak mungkin ianya dinaikkan dalam suasana yang ada hari ini.  Begitu juga suatu fungsi setem yang telahpun diwujudkan selama ini oleh pihak perkhidmatan pos PMB ialah untuk memastikan setem-setem yang dicetak itu mengandungi nilai peristiwa, mengandungi satu nilai history dalam sesuatu perkara, misalnya ulangtahun kemerdekaan bagi 2001 ini dibuat satu setem khusus.  Mungkin sempena dengan  20 tahun pemerintahan Perdana Menteri kita yang ada, ataupun untuk mengingatkan suatu sejarah Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara misalnya, pihak Pos Malaysia boleh mencetak suatu setem yang gambarnya Perdana Menteri dengan  wajah yang berseri-seri. 

            Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  [Bangun]

                Tuan Yang di-Pertua:  Ya.

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat rakan saya.  Tadi, Yang Berhormat mencadangkan bahawa setem-setem mahu dicetak berasaskan kepada peristiwa-peristiwa umpamanya kemerdekaan selama 20 tahun.  Adakah Yang Berhormat tidak terfikir bahawa kalau mencetak setem yang berwajahkan gambar Perdana Menteri sempena 20 tahun ini, adakah tidak ini akan mendatangkan kerugian kepada Pos Malaysia kalau orang sendiri tidak hendak beli. 

Sudah tentu ini akan merugikan Pos Malaysia dan juga merugikan kepentingan rakyat sebab ada ciri-ciri yang menunjukkan bahawa orang tidak berminat hendak membelikan setem atau apa-apa bahan yang boleh dikaitkan dengan wajah Perdana Menteri. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Terima kasih Yang Berhormat bagi Pokok Sena.  Persoalan itu tidak disenangi oleh pihak penyokong-penyokong kerajaan. 

Puan Hajah Khamsiyah binti  Yeop:  Saya hendak bangun. 

Tuan Yang di-Pertua:  Ada yang bangun, Yang Berhormat. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Tetapi, harus kita ingat bahawa nilai setem yang bersifat sejarah itu..........[Disampuk]

Puan Hajah Khamsiyah binti  Yeop:  Yang Berhormat......

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Saya habiskan ayat saya dahulu.  Sekejap ya.  Nilai sejarah pada setem itu sebenarnya mempunyai suatu perkara yang bersifat muzium dan bersifat album.  Oleh kerana itu, saya yakin dan percaya jika dicetak wajah Perdana Menteri sempena dengan 20 tahun usia pemerintahannya ataupun pentadbirannya, ianya akan diminati oleh parti lawan dan juga oleh penyokong lawan sendiri kerana ia memberi suatu nilai sejarah dan komitmen betapa Malaysia telah mencatat satu sejarah khususnya yang akan berlumba-lumba hendak membelinya ialah daripada penyokong-penyokong Barisan Nasional.  Sila. 

Puan Hajah Khamsiyah binti  Yeop:  Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya nampak wakil daripada.......

Beberapa Ahli:  Bachok.

            Tuan Yang di-Pertua:  Bachok. 

            Puan Hajah Khamsiyah binti  Yeop: .........Bachok bercakap begitu ikhlas, jujur dan menampakkan sesuatu positif ke arah menjual setem dengan gambar peristiwa dan gambar Perdana Menteri. 

            Chow Kon Yeow:  Peraturan. 

            Tuan Yang di-Pertua:  Yang Berhormat, nantilah, bagi dia tanya dahulu. 

            Chow Kon Yeow:  Peraturan, peraturan mesyuarat. 

            Puan Hajah Khamsiyah binti  Yeop:  [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua:  Peraturan mesyuarat apa itu, sekejap. 

Chow Kon Yeow:   Yang Berhormat itu tidak duduk di tempat beliau sendiri.  [Ketawa].  Itu bukan duduk.  [Dewan gamat seketika]

Puan Hajah Khamsiyah binti  Yeop:  Tuan Yang di-Pertua, biasalah, pembangkang ini, dia memang sudah menjadi tradisi dia dah.  Dia tidak pernah nampak orang itu betul.  [Ketawa].  Jadi, saya ingin menyambung kembali.  Tadi, saya nampak wakil daripada.........

Tuan Yang di-Pertua:  Bachok. 

Puan Hajah Khamsiyah binti  Yeop:  .........Bachok begitu ikhlas, jujur menyatakan sesuatu kebaikan untuk menaikkan imej negara dengan setem yang berperistiwa yang baik-baik dan gambar Perdana Menteri yang tidak ada Perdana Menteri yang sebaik Perdana Menteri kita, tetapi, bagaimana pandangan Yang Berhormat dengan pandangan kawan daripada Pokok Sena yang sentiasa mempunyai pandangan negatif begitu rupa seolah-olah kalaulah agaknyalah, kalaulah setem itu memaparkan gambar Pokok Sena, lebih laku daripada Perdana Menteri kitakah, atau dari Pokok Sena?  Terima kasih. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Terima kasih Yang Berhormat bagi Gerik.  Sebenarnya tidak sepatutnya perkara ini dijadikan isu kerana apa yang saya sebutkan itu memang ikhlas, tidak berbangkit.  Tetapi, pihak Yang Berhormat Pokok Sena membangkitkan perkara tadi atas asas untuk mengukuhkan lagi ingatan rakyat Malaysia ini, kepada Perdana Menteri dalam konteks dan status pembangkang.  Takkanlah pihak pembangkang hendak menyebut title Perdana Menteri kita dalam satu imej yang bersifat pro sebagaimana pihak back benches.  Walau bagaimanapun, kalau dicadangkan Pokok Sena itu dijadikan satu simbol kepada setem, saya yakin ianya laku.  Sebabnya, ceramah-ceramah yang diundang khas Pokok Sena ini berceramah, tidak kurang daripada ribuan juga orang yang mendengarnya.  Jadi, kalau setem dikeluarkan, saya yakin ramai peminat lebih-lebih lagi janda-jandalah.  [Ketawa] [Dewan gamat seketika]. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  Boleh cadang kepada Pos Malaysia. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Begitu juga, saya ingin membangkitkan iaitu di sebalik nilai setem ini, kalau boleh pihak PAB yang mengambil urus perkhidmatan pos selepas ini, boleh mengemukakan suatu peluang, ruang ataupun suatu keadaan pihak-pihak tertentu daripada NGO, agensi-agensi tertentu ataupun parti-parti politik mungkin untuk mencetak setem-setem kenangan bagi dijual untuk ditampal pada sampul-sampul surat.  Perkara ini saya yakin boleh menyemarakkan lagi usaha pihak PAB dalam memastikan perkhidmatan posnya lebih ceria dari sudut penerimaan pelanggan.  Mungkin ianya boleh dikenakan sedikit royalti ataupun sedikit charge di sebalik permohonan tersebut.  Sebabnya, tahun ini PAS akan sambut 50 tahun.  Jadi, kalaulah pihak pos boleh cetak sedikit simbol bulan pada setem sebagai tanda 50 tahun PAS, itu lebih ceria lagi kepada penyokong-penyokong PAS khususnya Barisan Alternatif. 

Seorang Ahli:  [Menyampuk]

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Pos Malaysia pun dapat untung sebab seluruh rakyat Kelantan, saya sedia kempen untuk beli setem banyak-banyak simpan, walaupun tidak berurusan surat.  Kemudian, satu lagi saya hendak bangkitkan di sebalik isu setem ini ialah usaha-usaha secara khusus dan dalaman pihak Pos Malaysia untuk menggalakkan minat para pelajar dan juga pihak peminat-peminat setem untuk mengalbumkan ataupun menyimpan setem sebagai suatu tanda kenang-kenangan dan perkara ini sepatutnya boleh diurus dengan lebih baik oleh pihak perkhidmatan pos di kaunter-kaunter perkhidmatan pos sendiri dengan menyediakan kemudahan-kemudahan penjualan album yang bercetak secara spesifik, sebab album yang bercetak secara spesifik untuk peminat-peminat setem ini lebih menarik sebenarnya daripada kita membeli album-album gambar atau album-album yang begitu terbuka, tidak ada suatu nilai estetik dari sudut peminat itu sendiri. 

Demikian juga, saya mencadangkan supaya pihak perkhidmatan pos boleh menyediakan sedikit charge ataupun pengurangan harga, diskaun ataupun subsidi kepada peminat-peminat setem yang boleh membeli pada kadar harga yang tertentu untuk tujuan-tujuan sama ada correspondence ataupun tujuan mengalbumkan setem tadi, lebih-lebih lagi.....

Dato' Napsiah binti Omar:  [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua:  Ada penjelasan. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Sekejap, sekejap Yang Berhormat.  Lebih-lebih lagi dalam usaha kita untuk memastikan urusan surat menyurat ini secara bersetem digalakkan menerusi suatu keahlian iaitu, keahlian pejabat pos secara rasmi.  Mana-mana peminat-peminat setem dibuka keahliannya secara terbuka dengan suatu bayaran tahunankah, misalnya RM5.00 setahun, tetapi di sebalik keuntungan keahlian ialah diberi sedikit diskaun ke atas perkhidmatan pos yang diterima oleh peminat-peminat setem yang berdaftar keahliannya di pejabat pos.

Dato' Napsiah binti Omar:  Tuan Yang di-Pertua, saya minta penjelasanlah sedikit berkenaan dengan usul asal.  Tadi, lambang parti PAS, tadi Yang Berhormat sebut supaya 50 tahun parti PAS ini hendak minta Pos Malaysia mengadakan satu setem dengan gambar bulan, katanya.  Saya ingin mendapat penjelasan.  Adakah betul ini bulan ataupun mengikut apa yang saya dengar sejarahlah, di waktu hendak mencari simbol itu, diambilnya tutup botol brylcream, minyak rambut itu, diletak atas kertas, ambil pensil draw sajalah lepas itu..hah…. ini dia simbol parti PAS.  Jadi, adakah betul ataupun tidak?  Tuan Yang di-Pertua, saya hendak minta penjelasan.  Terima kasih. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Penjelasan diterima daripada Yang Berhormat daripada PAS, sah saya menafikan.  Tidak betul, sebab asas penubuhan PAS tahun 1951 simbol pilihan raya pada masa itu, pilihan raya pertama tahun 1959 ialah menggunakan tapak tangan dengan lima jari.  Kemudian disebabkan oleh penterjemahan kepada lima jarinya ialah mengandungi Rukun Islam yang lima, pihak-pihak tertentu yang jealous ini, minta supaya ditarik balik simbol ini, maka diganti dengan bulan, bintang.  Pilihan raya yang berikutnya menggunakan bulan, bintang dan di sebalik simbol bulan, bintang juga memberi kekuatan kepada perjuangan PAS kerana bintang dan bulan bukan hak PAS, maka dengan sendirinya setelah diarah tukar oleh pihak ROS, Pendaftar Pertubuhan.  Bila diarah tukar, maka idea secara spontan ialah bukan tudung penutup minyak rambut brylcream, tetapi ialah ilham pada malam bulan mengambang 15 haribulan mengikut tahun Hijrah dan itu sebenarnya.  Itulah di antara serba sedikit penjelasan, jadi munasabahlah 50 tahun ini dinukilkan pada setem.  Minta pihak PMB ambil perhatian. 

Seterusnya, sukacita saya menyebutkan juga ialah fungsi kepada perkhidmatan pos yang ada dan dilesenkan sekarang ini ialah perkhidmatan pos laju dan ekspres.  Saya merakamkan sedikit dukacita dan sedikit kekecewaan di sebalik perkhidmatan pos ini.  Sebagaimana yang berbangkit oleh pihak Yang Berhormat Gelang Patah tadi pun disebutkan ianya tidak memberi suatu makna yang tepat kepada perkhidmatan pos laju dan ekspres ini kerana PMB yang menguruskan perkhidmatan ini acapkali dan yang terbaru ialah notis serta soalan-soalan yang dihantar oleh pihak Setiausaha Parlimen kepada Ahli Yang Berhormat khususnya kepada saya sendiri apabila dilihat kepada sampulnya, berlabelkan suatu borang pos laju, menunjukkan sampul itu dihantar menggunakan perkhidmatan pos laju.  Saya menerima daripada tarikhnya dihantar ialah lima hari selepas daripada dicop pada borang. 

Saya datang ke Kuala Lumpur bila bertanya beberapa orang kawan, tidak kurang daripada lima, enam orang yang saya jumpa, juga terima pada hari hendak bertolak datang.  Ini suatu nilai yang perlu diperbaiki dan nilai ini perlu dipantau dengan lebih baik oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang melesenkan perkhidmatan kepada pos ataupun PMB. Berbangkit juga ialah perkhidmatan pos laju dan ekspres ini sebenarnya telah dilesenkan juga kepada pihak-pihak lain.  Misalnya, Courier Service ataupun perkhidmatan-perkhidmatan yang lain, dua, tiga, empat nama syarikat lagi.  Jadi, saya ingin mendapat sedikit penjelasan daripada pihak kementerian, berapa sebenarnya lesen yang dikeluarkan untuk urusan pos laju dan ekspres ini, selain daripada PMB? 

Ini kerana kita nampak keyakinan pengguna sekarang ini, tidak kepada PMB dalam urusan untuk menghantar barang secara segera.  Kalau tempat saya di Kota Bharu, di Kelantan, apabila urusan perniagaan yang hendak dibuat penghantaran barang-barang misalnya spare part, tempahan dibuat melalui telefon, itu paling pantas.  Tetapi, apabila barang untuk dihantar, pilihannya bukan kepada syarikat yang dilesenkan untuk urusan pos ekspres ini, tetapi kepada 'bas ekspres' kerana ia boleh sampai dalam tempoh lapan jam sahaja.  Tetapi, apabila diuruskan barang ini, sekotak barang dengan PMB, ia akan sampai paling cepat ialah dalam tempoh 28 ataupun 30 jam.  Ini suatu jarak yang saya yakin perkara ini boleh diselesaikan menerusi perkhidmatan seperti penerbangan dan seumpamanya. 

Tuan Haji Che Ghani bin Che Ambak:  [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua:  Ada yang bangun, di belakang. 

Tuan Haji Che Ghani bin Che Ambak:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada sahabat saya, Yang Berhormat Bachok.  Saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat berhubung dengan ada ataupun tidak kemungkinan bahawa dalam pelaksanaan pos laju ini dikuasai oleh pihak korporat, nantinya ia akan membentuk chattel yang melibatkan semua syarikat yang terlibat dengan pos laju dan kenaikan ataupun penentuan harga yang tertentu akan dibuat nanti dan akan membebankan kepada rakyat.  Apakah jaminan pihak kerajaan bahawa tidak boleh berlaku monopoli seumpama itu dan kalau ini berlaku, ertinya rakyat akan terbeban dengan tindakan pihak kerajaan yang tidak memberi ruang pilihan kepada pihak pengguna dalam mencari alternatif yang terbaik sebab nantinya apabila seluruh syarikat pos yang mempunyai rangkaian seluruh negara dan membina chattel dengan syarikat-syarikat ekspres laju yang sedia ada, ini akan memberi beban besar kepada rakyat nanti.  Jadi, jaminan bahawa tidak berlaku monopoli seumpama itu.  Terima kasih. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Terima kasih Yang Berhormat bagi Setiu.  Suatu pertanyaan sepatutnya pihak kerajaanlah menjawab persoalan itu tetapi pada pandangan dan cadangan saya bagi menyelesaikan soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat bagi Setiu, Tuan Yang di-Pertua, suatu standard harga penghantaran pos laju ekspres ini boleh dibuat pada asasnya yang diguna pakai ialah mengikut timbangan berat ataupun jenis barang yang hendak dihantar ataupun perkara yang hendak dihantar itu sendiri. 

Apa yang berlaku sekarang ini kita dapati tiada suatu standard harga atau pengenaan caj kerana bila kita hendak murah kita pergi kepada PMB.  Apabila kita hendak mahal atau hendak cepat kita pergi kepada Courier Service ataupun apa-apa perkhidmatan.  Ini suatu nilai yang tidak standard dan bagi mengelak perkara ini dibimbangi oleh pihak Yang Berhormat  bagi Setiu tadi, suatu perkiraan standard mestilah dibuat terutama apabila Phileo Allied menguruskan perkhidmatan pos ini saya yakin ianya mempunyai tenaga bijak pandai daripada pengurusan kewangan yang sebelum ini begitu cekap lebih-lebih lagi dibayangi pula oleh mesej politik tertentu daripada pihak kerajaan sendiri, saya yakin ianya tidak akan meletak suatu asas yang membimbangkan pelanggan.  Itu nilai positif yang saya letak kepada asas perimbangan tadi. 

Kemudiannya di sebalik isu pos laju dan ekspresnya lagi ialah fungsi PMB yang sedia ada.  Saya nampak fungsinya terlalu ‘cacamarba’, terlalu banyak.  Urusan pembayaran bil, semua urusan bil-bil diuruskan di kaunter pejabat pos.  Begitu juga urusan pembelian komputer di bawah skim KWSP, lebih-lebih lagi dalam urusan-urusan untuk membayar road tax kenderaan dan juga insurans ataupun insurans perlindungan.  Semua ini menampakkan perkhidmatan yang cacarmarba yang menyebabkan berlakunya suatu queue ataupun sesak dengan pelanggan-pelanggan daripada waktu-waktu perdana di bahagian perkhidmatan kaunter pejabat pos.

Dalam hal ini saya cuba menampilkan satu cadangan supaya pengurusan yang berikutnya pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia mengambil suatu sikap yang tegas. Kalaulah urusan bil-bil dan segala bentuk bayaran-bayaran selain daripada urusan-urusan perkhidmatan pos yang konvensional ini, saya mencadangkan supaya Suruhanjaya ini boleh melesenkan kepada suatu agensi atau satu pihak yang khusus untuk menyelesaikan urusan-urusan bulanan ataupun harian ataupun berkala pihak pelanggan itu sendiri.  Dengan cara ini kita akan menampakkan suatu industri pos yang lebih sihat dan lebih bertenaga. 

Kemudian suatu persoalan yang ingin saya bangkitkan ialah dari sudut keistimewaan-keistimewaan yang disebutkan dalam pindaan ini sebagaimana yang telah pun disentuh sedikit oleh pihak Yang Berhormat bagi Bukit Bintang tadi iaitu di bawah Fasal 12 pindaan kepada seksyen 5 penjelasan sepatutnya dibuat kepada rakyat pihak yang dimaksudkan “mana-mana golongan orang” yang diberi kemudahan tadi dari sudut perkhidmatan pos kerana selama ini pihak kerajaan khususnya kami daripada ahli Parlimen pembangkang pernah saya sendiri untuk mendapat perkhidmatan penghantaran pos percuma menerusi sampul yang diedarkan ditolak oleh pejabat pos. 

Jadi, mungkin ianya tidak diberi penjelasan oleh pihak kakitangan pos ataupun mungkin perkara ini disengajakan kerana kami daripada pihak pembangkang.  Dan perkara yang sama juga pernah dialami oleh pihak kerajaan negeri Kelantan kepimpinan PAS iaitu pembayaran bil air telah ditolak oleh pihak perkhidmatan pos sedangkan statusnya adalah bil di bawah Jabatan Bekalan Air pada masa itu yang diuruskan oleh pihak kerajaan sendiri sebelum diswastakan.  Ini suatu nilai yang sepatutnya diperjelaskan supaya rakyat tidak mendapat suatu penjelasan yang tidak tepat dan sebenar. 

Kemudian di sebalik isu-isu penjualan PMB kepada Phileo Allied Bhd.  Banyak perkara yang menimbulkan satu tanda tanya dan tidak mampu diselesaikan oleh jawapan Timbalan Menteri Kewangan pada hari semalam.  Di antaranya  saya melihat tidak wujud suatu asas nilaian harga yang munasabah kepada aset yang dibayar kepada RM800 juta.  Di antaranya ialah ada seorang pekerja pos menyebutkan kepada saya bahawa dia sendiri yang bekerja sebagai posmen menghantar surat setiap hari dinilai pada harga RM80 sahaja.  Betulkah tidak?  Ini suatu komitmen yang bersifat kemanusiaan, daripada penilaian untuk pergi kepada RM800 juta pembayaran oleh Phileo kepada Pos Malaysia seorang pekerja pos itu dinilai dengan harga RM80 sahaja.

Kita dapati juga banyak harta-harta ataupun aset-aset Pos Malaysia Bhd. merata tempat di seluruh negara kerana tidak kurang daripada satu pejabat pos di setiap daerah, ada pula pos mini di setiap pekan dan bandar ataupun jalan-jalan utama. Semua ini sepatutnya dibuat suatu pendedahan yang telus oleh pihak kerajaan supaya rakyat mengetahui hakikat sebenar ketelusan di sebalik usaha-usaha yang telah pun berlaku peralihan pengurusan daripada PMB kepada PAB.  Demikian juga dari sudut masa depan, suatu tanda tanya juga oleh pihak kakitangan pos dan juga mereka yang telah pun menerima kontrak membuka mini-mini pos di pekan-pekan dan di kampung-kampung.  Apabila PAB mengambil alih perkhidmatan pos ini, adakah mereka masih diperlukan. 

Pada pandangan saya sebenarnya mini-mini pos wajar diwujudkan di merata tempat ceruk rantau dalam negara kita hatta ke pedalaman Sabah dan Sarawak yang boleh dihubungi hanya melalui bot ataupun penerbangan sahaja.  Ini asas-asas untuk memberi suatu kemudahan kepada pelanggan-pelanggan yang duduknya di perkampungan dan pedalaman di atas fungsi mini pos ini untuk memastikan sebarang urusan correspondence dapat dijalankan di antara  satu pihak ke satu pihak. 

Kemudian apa yang berbangkit di sebalik urusan perkhidmatan pos ini lagi ialah setakat mana keupayaan dari sudut penguatkuasaan kepada pihak-pihak yang melakukan kesalahan khususnya di atas kehilangan surat-surat.  Apakah penyiasatan boleh dilakukan secara terbuka oleh pihak polis dan apabila kesalahan itu didapati berlaku di pejabat pos maka pihak pejabat pos berkenaan boleh didakwa oleh pihak pelanggan. 

Kes yang saya alami sendiri acapkali posmen dalam kawasan saya di Bachok menghantar surat lewat dan berlonggok.  Pengalaman saya sendiri banyak urusan mesyuarat yang saya terima tiga hari atau dua hari selepas daripada tarikh.  Sedangkan saya tengok pada cop di setemnya masa sepatut sampainya ialah tiga hari tetapi ianya mengambil masa paling-paling tidaknya lima hari sedangkan rumah saya dengan pejabat pos jaraknya tidak sampai dua kilometer.  Ini suatu kesilapan teknikal mungkin atau kecuaian. 

Jadi, kalau saya menggunakan hak saya untuk memastikan pada masa hadapan supaya surat tadi sampai pada waktunya atau pada tarikh yang dimaksudkan, bagaimana caranya dari sudut akta yang dipinda pada hari ini khususnya menerusi kuasa di bawah penyeliaan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia kerana ianya terlalu kabur untuk difahami dari sudut tindakan.  Mungkin perkara ini boleh diaju kepada pihak Kementerian Hal Ehwal Pengguna tetapi dari sudut kementerian ini saya yakin Menteri TKM ini mempunyai suatu penyelesaian kerana perkhidmatan pos di bawah kementeriannya. 

Akhir sekali saya mengambil satu sikap dan komitmen yang positif supaya setiap usaha dalam melihat perkhidmatan pos kepada rakyat di negara kita ini berjalan dengan lancar dan baik lebih-lebih lagi dalam memastikan cabaran yang ada kepada perkhidmatan pos hari ini ialah wujudnya teknologi maklumat menerusi ICT.  Kerana daripada asas cabaran ini kita melihat telah ramai pengguna-pengguna Internet bercorrespondence menerusi e-mail.  Begitu juga cabaran yang ada kepada kita ialah nilai komersial yang wujud di sebalik pengambilalihan PMB kepada PAB sudah pasti akan menimbulkan satu konsep dalam pemikiran rakyat ialah perkhidmatan yang akan lebih mahal daripada biasa meskipun suatu pengharapan kecekapan akan berlaku di sebalik peralihan.  Oleh kerana itulah di atas usaha-usaha dan komitmen bersama saya yakin dan percaya ianya mampu untuk meletakkan taraf perkhidmatan pos yang terbaik menerusi pindaan akta yang telah pun dibuat khususnya memberi suatu jaminan pengawalseliaan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia.  Sekian terima kasih.