UCAPAN MP BACHOK 
MEMBAHAS RANG UNDANG-UNDANG 
AKTA TANDATANGAN DIGITAL 1997 
PADA 23 JULAI 2001


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:  Bachok.

11.55 pagi.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya berkongsi dengan pandangan Yang Berhormat bagi Batang Lupar dalam merumuskan perbahasan berhubung dengan Rang Undang-undang Akta Tandatangan Digital 1997 ataupun Akta 562 ini.

Pindaan yang dibuat ekoran perwujudan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 yang telah pun berkuat kuasa pada 1 November 1998.  Ia juga bertujuan untuk membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengawal selia penggunaan tandatangan digital dan perkara-perkara yang berkait dengannya yang sebelum ini dikawal oleh pihak lain.

Nampaknya yang utama ialah isu regulation ataupun pengawalseliaan yang cuba dimasukkan dan dikemaskinikan dalam akta ini.  Maka, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia diberi satu tanggungjawab khusus dari sudut pelaksanaan, pemakaian dan penilaian ataupun penguatkuasaan kepada Akta Tandatangan Digital ini.

Ini juga terbukti sebagaimana yang ditegaskan dalam Fasal 5, apabila seksyen 3, Akta Tandatangan Digital dipinda dengan menggantikan subseksyen (1) dengan butiran iaitu suruhanjaya adalah bertanggungjawab bagi pentadbiran, penguatkuasaan, perjalanan dan pelaksanaan peruntukan akta ini dan hendaklah menjalankan, menunaikan dan melaksanakan kuasa, kewajipan dan fungsi di bawah akta ini  bagi maksud mengawasi dan menyelia aktiviti pihak berkuasa perakuan dan ini telah diakui sendiri oleh pihak Setiausaha Parlimen yang membentangkan maksud pindaan yang dibawa. 

Persoalannya ialah, Tuan Yang di-Pertua, apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan Akta Tandatangan Digital 1997 ini?  Sebenarnya suatu akta yang memerlukan satu kebenaran penggunaan “sistem kripto tak simetri” yang berasaskan suatu algoritma ataupun siri algoritma yang memberikan satu pasangan kunci yang selamat bagi menjelmakan mesej yang menggunakan kunci persendirian yang bersepadanan dengan kunci awam penandatangan itu.  Ini satu perkara yang dimaksudkan kepada Akta Tandatangan Digital. 

Sepertimana juga Akta Perkhidmatan Pos yang telah pun dipinda bagi  menserasikan kehendak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, maka Akta Tandatangan Digital ini juga tertakluk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang sekaligus amat luas kuasanya ke atas akta-akta lain ataupun akta yang berkaitan, khususnya Akta Tandatangan Digital ini kerana ia secara langsung melaksana dasar dalam perundangan dan arahan pihak Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia.

Oleh yang demikian, saya hendak mendapat sedikit penjelasan daripada pihak kementerian, apakah bidang-bidang industri yang terangkum dan terikat secara faktanya di bawah kehendak-kehendak Akta Tandatangan Digital ini.  Misalnya, dalam sektor telekomunikasi ataupun industri telekomunikasi yang begitu berkembang pesat dalam negara kita, perkhidmatan talian telefon tetap dan juga talian selular. Sejauh manakah tahap pematuhan perjalanan industri telekomunikasi dalam negara kita ini memenuhi kehendak Akta Tandatangan Digital yang telah pun dirasmikan pada tahun 1997 lagi.

Perkara ini saya bangkitkan kerana banyak kes yang melibatkan pengguna-pengguna yang menerima bil-bil yang tidak munasabah.  Bermakna ada satu pencerobohan terhadap sistem kunci peribadi ataupun kunci persendirian pengguna itu sendiri sehingga pencerobohan boleh berlaku dan pengguna lain boleh akses menerusi nombor telefon yang dimiliki oleh seseorang ataupun talian telefon milik ataupun yang disewa khas oleh pengguna.

Hal ini juga bermakna kod keselamatan pengguna tidak ada ataupun kod yang ada rapuh, boleh diceroboh dengan sistem kod yang lain ataupun dengan satu rekacipta baru berdasarkan kepada apa yang telah berlaku. 

Dan juga ada laporan yang mengatakan ada ramai pendatang asing, khususnya dari Bangladesh dan India yang mereka ini datang dengan kemahiran dalam bidang IT yang telahpun melakukan beberapa pencerobohan terhadap sistem telekomunikasi khususnya telefon selular.

Saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kementerian, adakah perkara ini benar, berdasarkan hearsay ataupun berdasar kepada bukti-bukti yang telahpun disiasat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana apa yang berlaku daripada kes ada pendatang asing dari Bangladesh boleh menghubungi kaum keluarganya dengan percakapan berjam-jam, menerusi pencerobohan talian telefon awam ataupun menerusi telefon selular ataupun telefon bimbit.

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Misalnya sekarang ini Celcom (Malaysia) Sendirian Berhad adalah di antara syarikat telekomunikasi yang tertinggi yang menggunakan pemasangan radio basis station ataupun digital dan analogue RBS  dengan coverage yang tertinggi berbanding dengan syarikat-syarikat lain.  Daripada laporan-laporan tersiar telah terbukti sistem digital RBS ini dahulu diceroboh oleh pengguna lain kerana tidak sedikit pengguna yang melaporkan bahawa nombor telefon bimbitnya telah diklonkan oleh pihak-pihak tertentu dan pihak pembekal telefon ataupun syarikat berkenaan, maksudnya ialah pihak Celcom telah menasihatkan pengguna-pengguna berkenaan untuk menukar nombor telefon ataupun menggunakan satu set telefon baru.

Misalnya, Celcom dahulunya mempopularkan kod 010 ataupun Art 900, kemudian dinasihatkan supaya terelak daripada klon, menggunakan pula kod 019 atau sistem GSM.  Jadi, sejauh mana perkara ini dapat atau pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mempunyai satu maklumat yang tepat bagi melindungi kepentingan pengguna supaya pengguna tidak dirugikan oleh tindak laku pihak-pihak penceroboh ataupun pihak-pihak yang telah pun melaksanakan kerja-kerja mengklonkan talian yang mereka sewa.

Isu yang berikutnya yang berkait dengan sektor perkhidmatan on-line sebagaimana yang telah pun dibangkitkan oleh Yang Berhormat bagi Batang Lupar, begitu detail mengenai mudahnya penggunaan komputer yang ada dalam negara kita khususnya, talian internet yang disewa khas diceroboh ataupun dibuat sembarangan oleh pihak-pihak tertentu melalui penggunaan komputer yang sekarang ini jumlahnya melebihi dua juta pengguna dan daripada jumlah ini juga kira-kira 800 ribu adalah mereka yang meminati bidang internet. Daripada perkhidmatan internet juga, kita nampak sekarang ini, negara telah pun menawarkan perkhidmatan Jaring menerusi MIMOS Berhad, TMNet dimiliki oleh Telekom Malaysia Berhad dan Maxis Net dimiliki Bina Sat-Com Sendirian Berhad.

Soalannya apakah sistem yang ada tidak mampu untuk menangani aktiviti-aktiviti yang bersifat penggodam ataupun orang-orang yang menceroboh laman web-laman web, satu aktiviti yang jelas melanggar hak-hak persendirian.  Kalau ikutkan kepada bidang kuasa yang ada dalam Akta Tandatangan Digital ini, jelas Menteri boleh mengarah penyiasatan dan juga mengetahui siapakah sebenarnya penggodam talian internet ataupun laman web-laman web. Sebagaimana juga yang telah dimaksudkan di bawah seksyen 75 akta ini, jelas menyebut perkara ini di bawah bidang Menteri yang ditambah pula dengan memasukkan satu seksyen baru 75A yang memberi kuasa kepada pihak polis dan ini memberi satu penegasan bahawa satu tambahan kepada tugas polis dibebankan lagi dengan kuatkuasanya pindaan ini.  Di bawah seksyen baru 75A yang sudah pasti pihak polis mesti juga mempunyai satu kepakaran yang tersendiri untuk melaksanakan suatu penyiasatan yang begitu tangkas, cepat dan cergas bagi memastikan pihak-pihak yang menggodam laman-laman web ini boleh didedahkan identiti ataupun diambil tindakan menurut akta ini.

Misalnya laman web Parlimen, sebelum ini telah pun digodam ataupun telah diceroboh dan tidak ada satu pendedahan secara rasmi oleh pihak Parlimen, Tuan Yang di-Pertua, identiti ataupun penyiasatan yang dibuat untuk mengetahui siapa sebenarnya yang merosakkan laman web Parlimen. 

Demikian juga, laman web daripada kementerian-kementerian lain, telah beberapa kali dicerobohi ataupun dirosakkan sehingga pengguna-pengguna tergendala untuk mendapat maklumat-maklumat terkini daripada kementerian-kementerian menerusi laman web yang telah pun digodam oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.  Dalam hal inilah, satu kebimbangan mungkin akan berlaku kepada penggemar-penggemar internet ataupun laman-laman web untuk develop laman web persendirian kerana dibimbangi akan dicerobohi dan dibocori rahsia-rahsia daripada akses internet oleh pihak-pihak tertentu. Dari sudut pengawalseliaan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia seharusnya mempunyai satu tanggungjawab khusus bagi memastikan syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti Jaring, TMNet ataupun Maxis Net tadi memberi satu jaminan yang memuaskan hati pengguna-pengguna internet ataupun mereka yang meminati laman web ini untuk membina laman web persendirian.

Yang lebih membahayakan lagi  ialah organisasi tertentu yang mempunyai suatu kepentingan-kepentingan kepada ahli-ahlinya, misalnya organisasi politik sebagaimana yang berlaku setiap parti politik mempunyai laman web tersendiri dan  sudah pasti di sebalik laman webnya mengandungi  beberapa rahsia tertentu  yang boleh diakses  kepada ahli-ahli yang tersendiri sahaja. Oleh  kerana itulah  suatu harapan  yang lebih besar di sebalik  penguatkuasaan  Akta  Tandatangan Digital ini yang akan memberi satu jaminan  supaya asas-asas persendirian  ataupun yang bersifat personal security ini  perlu dikemaskinikan dari sudut penguatkuasaan dan pengawalseliaan.

Kemudian di bawah Suruhanjaya  Komunikasi dan Multimedia  bertanggungjawab untuk memastikan  industri penyiaran berlaku dengan baik  tanpa suatu pencerobohan dan  tanpa suatu sekatan memandangkan bidang penyiaran dalam negara kita  begitu pesat  khususnya siaran TV dan radio. Dalam negara kita sekarang ini telahpun  memiliki TV yang dikuasai oleh pihak kerajaan  dan juga pihak  swasta. Demikian juga  radio dikuasai oleh pihak kerajaan dan juga swasta. Isunya ialah  di sebalik pindaan akta ini adalah  suatu perkara yang  harus kita sedari, apabila kerajaan telah memberi suatu  asas bidang penyiaran  terfokus kepada  peranan media kerajaan semata-mata dan diswastakan kepada pihak-pihak yang serasi dengan  dasar kerajaan sahaja, maka kita akan  nampak  berlaku sedikit diskriminasi dari sudut maklumat.

Oleh kerana itulah akan ada suatu golongan  yang tertentu akan mengambil kesempatan  untuk  mengata sesuatu menerusi siaran-siaran  yang bersifat  secara langsung. Siaran-siaran  yang bersifat on call  khususnya menerusi radio. Pengalaman kami di Kelantan  menerusi siaran Manis FM satu radio swasta  yang telahpun diberikan kepada suatu syarikat   Husa Network. Dalam siaran pagi siaran on call daripada pihak  pendengar  telah digunakan  secara sewenang-wenangnya  untuk menggodam pihak tertentu ataupun  membantai pihak tertentu dan ini telah  memberi satu kesan yang tidak baik kepada  pihak kerajaan negeri yang tidak  diberi kuasa untuk mendapat  lesen penyiaran TV ataupun radio.

Dalam hal ini  apakah pihak Suruhanjaya Komunikasi mampu untuk membuat satu langkah  supaya siaran-siaran yang bersifat on-call  ini boleh dipantau sebelum disiarkan oleh  juruhebah ataupun perlu ditapis terlebih dahulu bagi  mengelakkan pendengar  mengambil kesempatan  untuk sabotaj ataupun memfitnah sebagaimana yang dibangkitkan oleh  pihak Yang Berhormat bagi Parit Sulong tadi.  Dalam hal ini, satu kerjasama  seharusnya diberi  kepada pihak kerajaan negeri  yang bertaraf  pembangkang  kepada Kerajaan Pusat seperti Kelantan dan Terengganu  supaya siaran-siaran  TV dan radio boleh   diberi  kepada pihak kerajaan atas nama kerajaan negeri walaupun kerajaan itu diperintah oleh PAS  di Kelantan atau Terengganu.  Ia wajar supaya tidak wujud  suatu golongan pendengar  yang mengambil kesempatan  tanpa mendedahkan  satu identiti  tepat  sehingga menimbulkan fitnah kepada kedua-dua pihak kerajaan tadi.

Sehubungan dengan itu juga  di sebalik rang undang-undang yang dipinda hari ini Akta Tandatangan Digital  1997 ataupun Akta  562 ini, langkah pengawalseliaan  oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi  dan  Multimedia dicadangkan  dibuat peningkatan dari sudut standard pemantauan supaya industri  seperti telekomunikasi  ataupun sistem on line dan juga  penyiaran tidak mudah diceroboh atau digodam serta diambil kesempatan  oleh mana-mana pengguna  yang cuba mengambil kesempatan ataupun  untuk mengklon  ataupun apa-apa cara sekali pun  supaya  aspek keselamatan pengguna, aspek keselamatan maklumat ataupun aspek yang  melibatkan dasar-dasar kerajaan sendiri  harus dipantau dengan standard  yang lebih jelas ataupun yang lebih berkesan. 

Soalnya setakat ini  suatu persoalan yang  diajukan ialah  berapakah standard yang dipakai oleh pihak  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  bagi  menangani  secara  langsung kehendak Akta Tandatangan Digital  1997 ini.  Kerana apa yang diumumkan setakat ini  daripada laporan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telahpun ada  standard rangkaian  penyiaran digital. Kemudian ada juga  standard rangkaian  radio digital  trunking, kemudian juga sudah ada  satu standard broadband multimedia interconnect dan access networking. Daripada  standard-standard pengawalseliaan ini  saya hendak tahu juga standard  pengawalseliaan ataupun standard of regulation bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  untuk memantau ataupun untuk  menyekat penyiaran TV dan radio  daripada negara jiran. Yang jelas beberapa kes yang menyebabkan gangguan gelombang siaran tempatan. Ini suatu  pencerobohan dan ini juga suatu  perkara yang melibatkan kerugian di pihak pengguna. Misalnya TV2 sampai hari ini belum lagi selesai  dari sudut gangguan gelombang di kawasan Pantai Timur  khususnya di Kelantan yang bersempadan dengan  Thailand.

Begitu juga  dari sudut kemasukan unsur-unsur lucah, ganas ataupun  yang heboh sehari dua ini ialah unsur black metal, yang telahpun masuk ke rumah-rumah  menerusi  talian Internet. Kalau dahulu Kerajaan Taliban, Afghanistan telah mengumumkan  satu langkah  untuk  menyekat langsung unsur-unsur  lucah dan ganas ini masuk ke Afghanistan. Kenapa Kerajaan  Taliban Afghanistan  mampu untuk  melaksanakan  tugas itu daripada mempengaruhi dan merosakkan pemikiran rakyatnya dan kenapa kita  pula di negara Malaysia yang telahpun  memiliki teknologi yang begitu canggih tidak bersedia untuk melaksanakan  tanggungjawab ini. Ini satu isu yang saya yakin  pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  sesuai dengan  Akta Tandatangan Digital ini  dipinda boleh mengambil suatu langkah-langkah yang lebih berkesan  kerana undang-undang  ataupun unsur-unsur yang ada ini tidak mampu  daripada segi undang-undang  untuk menanganinya  dan perkara ini tersebar dengan begitu mudah dan boleh di access bila-bila masa oleh sesiapa yang  berkemahuan.

Demikian juga  menerusi pencerobohan e-mail peribadi  ataupun  e-mail organisasi tertentu, sedangkan alamat asal  e-mail telah tidak diberi kepada pihak  yang menghantar maklumat tetapi pihak yang  menghantar  maklumat tadi mampu  untuk menyampaikan e-mail yang tidak   senonoh  kepada individu tertentu  menerusi satu alamat  yang dari mana mereka  dapat.  Ini suatu persoalan yang harus dijawab  dan harus diselesaikan.

Akhir sekali saya ingin mencadangkan  supaya suatu langkah yang lebih bersifat berperaturan  diambil oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi  menguatkuasakan lagi  asas-asas  keselamatan supaya keberkesanan sebenar-benarnya  di sebalik Akta Tandatangan  Digital  ini boleh  dirasai oleh pengguna-pengguna  dan oleh pihak kerajaan  sendiri. Persoalannya ialah  adakah peraturan-peraturan yang telah dikuatkuasakan  sebelum ini telahpun terbukti  ianya menjamin  satu asas  dari sudut hak-hak kepenggunaan  dan boleh menangani segala kesalahan-kesalahan  yang dilakukan ataupun disabitkan di bawah  akta ini. Oleh kerana itu saya  mengharapkan suatu usaha yang jelas daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan  pindaan ataupun apa-apa kemas kini  terhadap  keperluan  tandatangan digital ini  dipantau dan dikemas kini dari masa ke semasa bagi memastikan  suatu standard of regulation yang lebih  menjamin keselamatan  maklumat  dan juga penggunaan  sistem on-line,  penyiaran-penyiaran dan juga  yang berkait dengan telekomunikasi  di dalam negara kita. Sekian, terima kasih.