ARTIKEL ISU PPRT

Penyelewengan PPRT – Kerajaan BN Mengesahkan

Penyelewengan projek PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin) terbongkar apabila berlakunya pendedahan Menteri KPLB yang baru dan Laporan Ketua Audit Negara tahun 2000. Kedua-dua laporan itu semacam mengesahkan secara jelas kira-kira RM40 juta peruntukan projek telah diselewengkan pada era bekas Menteri KPLB, Dato’ Annuar Musa.

Isu ini dihangatkan lagi dengan tangkapan-ditahan reman tiga orang pegawai tinggi kerajaan Pusat yang bertugas di agensi KPLB (RISDA, KETENGAH dan IBU PEJABAT). Menurut laporan media, tiga pegawai tinggi itu mempunyai maklumat berhubung penyelewengan projek PPRT itu.

Walau apapun, kes yang berlaku telah mengukirkan secara sah betapa wujudnya pemimpin kerajaan BN/UMNO yang mengemudi amanah rakyat, yang telah memperalatkan wang rakyat miskin untuk keuntungan pihak-pihak yang tidak miskin.

Berikut adalah bukti-bukti yang dikatakan penyelewengan PPRT sebagaimana didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2000:
(1) Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), semakan audit mendapati panduan-panduan yang dikemukakan oleh KPLB berhubung perancangan tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pihak-pihak terlibat. Jawatankuasa PPRT di peringkat Negeri dan Daerah tidak begitu terlibat dalam perancangan projek. Pada umumnya, peracangan projek dibuat oleh agensi-agensi pelaksana dan dikemukakan terus kepada KPLB untuk kelulusan. Bermaknanya agensi seperti RISDA, KESEDAR, KEMAS, FELCRA lebih diambilkira dan mengkebelakangkan peranan jawatankuasa PPRT Negeri dan Jajahan/Daerah, sedangkan panduan KPLB menetapkan peranan jawatankuasa PPRT di dalam perancangan.
(2) Apa yang belaku di negeri Kelantan didapati penyelarasan projek di peringkat negeri dibuat oleh KPLB sendiri, sedangkan sepatutnya ia dibuat oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPLB. Panduan ini diketepikan kerana diperbesarkan peranan agensi yang telah ditugaskan khas untuk mengurus projek PPRT mengikut jajahan: KESEDAR – Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli; RISDA – Pasir Puteh, Machang dan Tumpat, FELCRA Bhd – Tanah Merah dan Pasir Mas; KEMAS – Bachok dan Kota Bharu.
(3) Berlaku amalan ketidak patuhan kepada penentuan peserta/pemilihan penerima projek - tidak berpandu kepada Sistem Maklumat Rakyat Termiskin (SMART) yang ada di Pejabat Jajahan. Sebaliknya dipakai ialah senarai lain yang ada pada agensi pelaksana (misalnya di Pasir Mas, senarai penerima projek tidak dipakai senarai orang termiskin yang ada pada ADO Pembangunan Jajahan, tetapi dipakai senarai yang disediakan KEMAS). Ini menyebabkan daripada 116 penerima (yang dikaji oleh audit) didapati 94 orang (81%) mereka yang tiada dalam SMART; 34% pula didapati penerima yang berpendapatan melebihi garis kimiskinan  (melebihi RM230 sebulan), mampu memiliki peralatan rumah, kereta, rumah besar/binaan batu. Audit mengesahkan ada keluarga lebih dhaif tetapi tidak menerima bantuan PPRT.
(4) Berlakunya agihan tidak saksama peruntukan PPRT di antara jajahan di Kelantan. Sepatutnya keutamaan peruntukan diberi ke jajahan tinggi jumlah rakyat termiskin. Namun yang berlaku di Kelantan, jajahan Bachok ialah yang kedua ramai rakyat termiskin berjumlah 2,234 keluarga, tetapi tidak disalurkan peruntukan PPRT dalam tempoh 1998, 1999 dan 2000 (mungkin kerana perbalahan di antara Menteri dengan Ketua Bahagian UMNO). Sebaliknya jajahan Machang yang hanya mempunyai 825 keluarga termiskin telah disalurkan empat projek PPRT yang bernilai RM6.04 juta hanya untuk manfaat kepada 276 keluarga.
(5) Mengenai perlaksanaan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) – pemeriksaan audit kepada 13 daripada 50 projek di Pahang, Kedah dan Sabah dengan nilai peruntukan berjumlah RM1.16 juta, mendapati hanya dua TASKA yang beroperasi. Sementara 11 lagi tidak dapat dimanfaatkan kerana;
(1) lokasinya tidak strategik, jauh daripada kediaman,
(2) bangunan tidak mengikut spesifikasi – tidak selamat untuk digunakan, dan
(3) tiada perabot/ peralatan mengajar.

Berdasarkan kes-kes pemeriksaan pasukan Audit Negara itu, ulasan pihak audit ialah:
(1) Projek PPRT telah menyediakan kemudahan asas kepada peserta. Walau bagaimanapun sebahagian besar projek-projek ekonomi kurang memberi manfaat kepada pesera kerana kelemahan-kelemahan tertentu semasa perlaksanaan.
(2) Perlaksanaan projek didapati kurang pemantauan dan telah menjejaskan pencapaian
matlamat.
(3) Senarai rakyat termiskin  (SMART) tidak dikemaskini dari semasa ke semasa.

Berdasarkan kes-kes senarai rakyat termiskin, ada banyak pihak berpendapat bahawa keboleh-percayaan kepada senarai yang dibuat oleh pegawai berbanding dengan senarai yang disediakan oleh ahli politik (BN?) Ini kerana senarai ahli politik lebih mirip/bias sentimen politik. Ada kes rakyat termiskin sebenar yang tiada dalam senarai oleh ahli politik kerana keluarga tersebut penyokong PAS.

Demikian pula, penetapan had pendapatan ketua keluarga sebanyak RM230 sebulan sebagai asas dimasuk dalam senarai rakyat termiskin sebenarnya tidak tepat dengan suasana sekarang. Ini kerana kos perbelanjaan sebenar telah meningkat berikutan kenaikan harga barangan pengguna. Oleh itu, ada pendapat mengatakan bahawa ukuran sesebuah keluarga termiskin atau tidak, perlu dibuat berdasarkan tanggungan sebenar/ wajib bagi ketua keluarga berkenaan.

PPRT: Annuar Musa ambil kesempatan ketika Menteri KPLB

Berita media perdana kerajaan BN pada 24 Oktober 2001 menyebutkan Menteri KPLB telah melaporkan kepada polis dan BPR bahawa terdapat penyelewengan dana PPRT berjumlah RM47 juta. Lalu ditegaskan, dana yang begitu banyak itu telah terseleweng, tersalahlaku dan terasuah. bekas Menteri KPLB sebelum ini harus bertanggungjawab dan accountable bagi ‘kes samun dalam cerah’ wang rakyat termiskin ini.

Ekoran kes tersebut, ada pihak berpendapat dana PPRT telah diautakan sebagai bermaksud Program Pembangunan Rakyat Terkaya (PPRTkaya). Mungkin bekas Menteri KPLB dulu boleh mengesahkannya. Ini kerana berdasarkan bukti-bukti penyiasatan pihak tertentu, berjaya mendedahkan bahawa bekas Menteri itu benar-benar boleh dipercayai terlibat dalam syarikat-syarikat yang mendapat peruntukan daripada dana PPRT.
Di antara syarikat tersebut ialah:
(1) TRINAS Sdn Bhd
(2) Pusat PUTRA Kg Chengal, Kadok
(3) Yayasan Kemisklinan Kelantan (YKK)
(4) NISHIKIGOI (M) Sdn Bhd
(5) AL-HAMRA Construction Sdn Bhd
(6) GLOWING HILL Sdn Bhd.

TRINAS  ditubuhkan 22 November 1986 telah diketuai oleh seorang orang kuat bekas Menteri KPLB yang asal sekampung dengannya. Banyak mendapat projek-projek  kecil di bawah KPLB, termasuklah juga projek jalan kampung dan menaik taraf jalan.

Pusat PUTRA Kg Chengal, Kadok disiapkan daripada dana RISDA, sebuah agensi pelaksanaan projek PPRT. Ia terletak di atas tanah milik bekas Menteri KPLB yang ketika itu adalah ahli parlimen Peringat. Butiran hakmilik  tanahnya adalah di Lot 1431, Kg Chengal, Mukim But, daerah Kadok, jajahan Kota Bharu dengan keluasan 0.9308 hekter/ 2 ekar 300 depa, dalam kawasan rezab Melayu, kena bayar cukai tanah RM10 setahun, jenis kegunaan tanah pertanian (getah sahaja) yang nama tuan punya Annuar Bin Haji Musa, no kad pengenalan 4978615, seorang warganegara Malaysia. Pusat Putra ini pembinaannya dikatakan telah diberi kepada TRINAS.

Yayasan Kemisklinan Kelantan (YKK) bekas Menteri KPLB adalah penaung dan dikatakan menerima banyak penyaluran dana PPRT. Memiliki bangunan pejabat di atas tanah Lot 1134 Mukim Pangkal Pisang, daerah Peringat, jajahan Kota Bharu dengan keluasan tapak 0.8417 hekter/ 2 ekar 80 depa. Jenis kegunaan tanah bangunan dalam kawasan simpanan Melayu, kena bayar cukai tanah RM22.50 setahun yang dimiliki oleh Hj Md. Alwi bin Hj Che Ahmad, no kad pengenalan 4978807. Siapa tuan tanah ini? Ada mengatakan ia pada masa itu adalah  Setiausaha Politik kepada bekas Menteri KPLB. Soalnya, apakah bermoral pembinaan bangunan YKK di atas tanah tersebut, bangunan awam di atas tanah persendirian. Sementara YKK ini telah dikatakan terlibat dalam usahasama dengan pihak-pihak lain di dalam menjalankan projek di bawah PPRT.

NISHIKIGOI (M) Sdn Bhd, bunyinya macam Jepun punya. Hakikatnya milik tempatan yang berdaftar asalnya pada 15 Januari 1998, kemudian ditukar  nama  pada 14 Ogos 1998. Salah seorang Pengarah syarikat ini, Mohd Ariff Abu Bakar (no kad pengenalan 501026-08-5707) adalah kawan karib bekas Menteri KPLB. Syarikat ini telah joint-venture dengan YKK bagi mendapat pojek PPRT melalui RISDA untuk menternak ikan koi dan tanam orkid di Bukit Sireh, Kuala Krai. Makin cerap, tujuan  buat syarikat – untuk dilulus projek. Betapa bekas Menteri KPLB adalah penaung YKK, Nishikigoi dimiliki rakan bekas Menteri, projek disalur melalui Ketua Pengarah RISDA pada masa itu. RISDA sebuah agensi pelaksana PPRT di bawah KPLB. Main tarik-surung sama kita.

AL-HAMRA Construction Sdn Bhd, asal syarikat ini ialah TRINAS Sdn Bhd. Ia ditukar nama kepada AL-HAMRA pada 17 Ogos 2000, berikutan penglibatan langsung bekas Menteri KPLB. Setelah kalah pilihan raya 1999 kepada calon parti ADIL di Peringat, bekas Menteri itu telah secara rasmi menyertai TRINAS sebagai Pengarah mengganti nama Abdullah Mohamad (iaitu proksinya). Bagi mengelak bacaan orang awam bahawa TRINAS sebelum ini mendapat banyak projek KPLB ada kaitan rapat dengan bekas Menteri itu, maka dengan kemasukan bekas Menteri itu dalam TRINAS, lantas ditukar nama kepada AL-HAMRA. Bukti penglibatan bekas Menteri itu dalam penganugerahan projek kepada TRINAS ialah ketika menjelang pilihan raya 1999; TRINAS telah diberi projek secara segera untuk menaik taraf jalan dari Rantau Panjang ke Lalang Puyu, Jeli tanpa mengikut prosedur tender Perbendaharaan, meskipun dibantah oleh bekas Menteri Usahawan dari Jeli yang ketika itu juga sebagai Timbalan Menteri Kewangan. Oleh itu, dengan penyertaannya ke dalam TRINAS mengesahkan kepentingannya ketika berjawatan Menteri.

GLOWING HILL Sdn Bhd, ditubuhkan secara rasmi pada 21 Mac 2000 selepas pilihan raya umum. Apa yang menariknya bagi syarikat ini ialah pengerusi eksekutifnya adalah Annuar Musa, bekas Menteri KPLB. Lebih menarik lagi, syarikat ini telah mendapat kepercayaan Menteri KPLB sekarang untuk meneruskan projek ayam telor (yang telah kiuk) di Gading Galoh, Bukit Cina, dalam kawasan parlimen Peringat. Namun apabila disiasat, projek ayam telor mendapat peruntukan jutaan ringgit dari KPLB menerusi RISDA kononnya untuk membantu menambah pendapatan peserta PPRT dan asalnya dibuat ketika Annuar Musa sebagai Menteri. Kemudian projek itu telah kiuk dan diisytiharkan tidak berdaya maju, lalu menjadi alasan untuk diserahkan kepada GLOWING HILL, alasannya syarikat ini berkeupayaan. Persoalannya, tujuan asal projek ayam telor itu telah berubah; bukan lagi untuk peserta PPRT tetapi telah menjadi milik syarikat bekas Menteri KPLB.

RENUNGAN

Penyelewengan wang PPRT kira-kira RM47 juta sebenarnya tidak boleh dipandang kecil. Ada pihak yang terlibat dan berniat untuk mencari untung di atas kemiskinan rakyat. Kemiskinan rakyat telah dijadikan modal untuk mencari untung. Inikah sikap sebenar pemimpin BN yang kononnya ingin membela rakyat. Apakah boleh dipercayai lagi?

Maksud firman Allah SWT.
“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim. Dan ia tidak meninggalkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang bersembahyang”
-Surah al-Maa’uun, ayat 1-4.

Sekian.
Insan Perihatin.