SIDANG PARLIMEN-DEWAN RAKYAT 
PERBAHASAN BELANJAWAN 2001




Ucapan Perbahasan Belanjawan 2001

Soalan Tambahan (Kampus UM Bachok)

Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-Pertanyaan

Perbahasan Akta Kanak-Kanak 2000 

Jawapan Perbahasan Oleh Setiausaha Parlimen 



SOALAN LISAN TERULUNG
DIJAWAB SENDIRI OLEH YAB PERDANA MENTERI
Persidangan Dewan Rakyat pada 18 Julai 2000



Latar belakang soalan

Soalan Ahli Parlimen bagi Bachok, Tuan Wan Nik bin Wan Yussof adalah ahli parlimen yang mencatat sejarah pertama bagi tempoh penggal ke-10 ini, yang soalannya dijawab sendiri oleh YAB Perdana Menteri pada 18 Julai 2000.

Latar belakang soalan adalah berkisar kepada isu pertumbuhan ekonomi pada era globalisasi dalam konteks relevannya faktor kemanusiaan yang mempengaruhi strategik perdagangan antarabangsa.

Jawapan Perdana Menteri kepada soalan induk adalah positif dalam menerangkan maksud kepada ucapannya di Sidang Kemuncak Perniagaan Eropah-Asia 2000. Namun bagi soalan tambahan yang berorientasikan nilai kemanusiaan yang berlaku dalam negara ekoran beberapa kejadian pelik, nampaknya Perdana Menteri menjawab dengan membawa maksud negatif dan berbau politik. Hal itu terjadi mungkin kerana jawapan spontan yang diberi kerana terpengaruh dengan hiruk pikuk Dewan (yang dicetuskan oleh ahli-ahli parlimen BN semasa soalan tambahan dikemuka oleh Tuan Wan Nik bin Wan Yussof). Catitan hansard parlimen menukilkan suasana selepas soalan itu dikemukakan adalah dipenuhi dengan suara-suara [Boo] [Dewan riuh, Menyampuk] .

Walau bagaimana pun, jawapan Perdana Menteri kepada soalan tambahan kedua yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Haji Fadzil bin Md. Noor adalah kembali rasional.

(Berikut adalah petikan soalan dan jawapan seperti mana diedit daripada Hansard
Parlimen)

3. Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan maksud kenyataan Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Perniagaan Eropah-Asia 2000 iaitu:

"Nampaknya kini lokasi strategik tidak lagi bermakna khasnya dalam menjalankan perdagangan antarabangsa ataupun di peringkat negara. Tetapi sebenarnya ia masih relevan, kita masih merupakan orang, manusia, kita mempunyai budaya sendiri, kesetiaan kita dan perasaan manusia kita. Apabila menjalankan perniagaan kita tidak boleh mengabaikan faktor-faktor ini".

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]: Assalamualaikum w.b.t. Dan Salam
Sejahtera. Specially for PM kita. Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor tiga.

Perdana Menteri: Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kerana dia
tujukan specially untuk saya. [Ketawa].

Saya tak tahu kenapa Tuan Yang di-Pertua, petikan daripada ucapan yang saya sampaikan semasa Sidang Kemuncak Perdagangan Asia-Eropah 2000 itu adalah berkaitan dengan globalisasi dan liberalisasi ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Dengan kemajuan dalam teknologi maklumat, multimedia, komunikasi dan internet telah mewujudkan satu cara baru dalam mengendalikan perdagangan. Melalui globalisasi, seseorang dapat menjalankan urusan perniagaan di mana-mana sahaja tanpa dihadkan dari segi sempadan dan negara.

Mengikut tafsiran negara-negara maju, perdagangan akan dapat dijalankan dengan sebebas-bebasnya tanpa sebarang sekatan. Kedudukan strategik sesebuah negara ataupun tempat perniagaan tidak lagi menjadi sesuatu yang penting. Begitu juga dengan manusia dan nilai-nilai kemanusiaan juga tidak lagi penting. Apa yang mereka utamakan ialah keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kesan ke atas manusia dan negara yang berkenaan. Misalnya, semasa penyangak mata wang menyerang pasaran Asia Timur, apa yang mereka pentingkan ialah keuntungan dari segi kewangan. Mereka tidak melihat dari segi kesengsaraan yang berlaku kepada penduduk negara-negara yang berkenaan. Mereka kehilangan pekerjaan, ditimpa kebuluran, pergaduhan dan pembunuhan. Malahan kerajaan negara-negara berkenaan dipersalahkan kerana tidak membuka pasaran negara mereka kepada perdagangan tanpa sekatan.

Globalisasi tanpa had akan membuka negara kita kepada penjajahan dalam bentuk baru, iaitu penjajahan melalui ekonomi yang akhirnya akan menguasai politik dan negara kita. Globalisasi membuka banyak peluang perdagangan tetapi ianya harus dilaksanakan dengan mengambil kira nilai-nilai kemanusiaan, kemampuan negara-negara yang sedang membangun dan tanggungjawab sosial negara-negara maju ke atas negara-negara yang kurang maju.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya cuba
berkongsi pandangan dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada pagi ini.
Sebenarnya lokasi strategi bagi perdagangan antarabangsa juga perlu diambil kira ialah persekitaran sosial. Oleh kerana itu, isu manusia, budaya, pemikiran dan juga kealiman ataupun knowledgable rakyat merupakan unsur-unsur penting yang menentukan kemajuan ekonomi dan negara. Sehubungan dengan itu, dengan berlakunya beberapa kejadian yang mencatatkan history pelik dalam negara....

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: ....sabar, manusia mesti bersabar. Persoalannya,
adakah ia juga termasuk dalam ungkapan yang dicatatkan oleh Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri kita iaitu kita masih merupakan orang, manusia, kita mempunyai budaya sendiri, kesetiaan kita dan perasaan manusia kita.

Apabila berlakunya dalam negara kita ini perkara-perkara seperti bayi tong sampah, peluru untuk guru, pembunuhan pelajar, bapa bunuh anak.....

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ada kaitankah, Yang
Berhormat ini?

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Persoalan saya sudah kemuka tadi. Persoalannya…
[Menyampuk] Adakah ia juga termasuk dalam maksud ungkapan yang disebut oleh Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri "kita masih merupakan orang, manusia, kita mempunyai budaya sendiri, kesetiaan kita dan perasaan kita". Apabila berlakunya bayi tong sampah, peluru untuk guru,pembunuhan pelajar, bapa bunuh anak, Al-Ma'unah, Sauk dan pengambilan senjata secara mudah dan terpelik sekali, pemecatan TPM dan dipenjarakan. Sekian, terima kasih. [Boo] [Dewan riuh, Menyampuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Cukup, cukup ya.

Perdana Menteri: Tuan Yang di-Pertua, semua ini berlaku kerana kegiatan politik parti lawan. [Tepuk] Mereka mengajar supaya membenci, memarah orang tak tentu hala. Ada guru-guru yang dihasut oleh mereka supaya mengajar anak di sekolah supaya menegur ibu bapa. Balik tanya ibu bapa 'sembahyang atau tidak!' Kita tidak salahkan kerana dia ingin tahu. Tetapi sikap anak kepada ibu bapa mestilah sikap yang diajar oleh agama kita, oleh budaya kita. Apabila diajar kepada anak supaya tidak menghormati orang tua, tidak menghormati guru, maka berlakulah peluru dihantar oleh anak kepada guru. Maka berlakulah perbuatan membuang bayi dalam tong sampah dan sebagainya. Semua ini berpunca daripada ajaran yang bertentangan dengan agama Islam, dan ajaran yang bertentangan dengan budaya kita. Sepatutnya kita mengajar supaya anak-anak kita menghormati adat resam kita, tetapi ini tidak begitu. Sebaliknya, daripada tadika lagi diajar untuk membenci, dan apabila perasaan benci itu meluap-luap dipupuk bertahun-tahun, maka berlakulah peristiwa seperti yang berlaku di Sauk [Disampuk] yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, ‘saudara’, ahli parti itulah juga, kita tak sebutlah parti apa. Sudah basi dia mengaku, kita ada senarai.

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Cukup, cukup.

Tuan Mohamad bin Sabu: Tiga Abdul komunis dahulu!

Perdana Menteri: Ada juga....

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Cukuplah, jangan main cakap macam itu, Yang Berhormat.

Perdana Menteri: Takut hendak dengarkah. [Ketawa] Kalau takut kata tak mahu dengar, senang tak usah soal. Nampak berasa takut sangat Mohd. Sabu. [Ketawa][Disampuk] Awak yang panggil orang itu 'Aljub' dalam ucapan yang kena
tangkap itu.

Tuan Mohamad bin Sabu: Sekarang saya bercakap hal Al-Ma'unah. [Ketawa]

Perdana Menteri: Dia bercakap tentang itu. Kononnya tindakan undang-undang boleh
diambil terhadap orang lain kalau melakukan sesuatu jenayah, tetapi untuk orang kesayangan anda tidak boleh diambil walaupun dahulu tak begitu sayang sangat. Tetapi bila sudah kena tindakan dan ini nampak boleh jadi isu oleh parti lawan, maka tiba-tiba timbul kesayangan yang tak diduga sama sekali. [Ketawa] Kenapakah selama 18 tahun orang itu ada dalam UMNO kita tak dengar PAS puji dan sayang kepadanya. Tetapi selepas itu baru teringat begitu sayang sekali sehingga sanggup berdemonstrasi.

Beberapa Ahli Pembangkang: Zalim.

Perdana Menteri: Zalim? Yalah daripada parti PAS kerana orang lain, kalau buat kerja itu dihadapkan di mahkamah, maka akan dikenakan apa hukum tetapi kalau kena pada kawan sendiri tidak boleh. Inilah kezaliman parti PAS, [Tepuk] yang bias, yang ada pilih kasih, ada kronisme. Kalau kroni mereka dituduh itu zalim tetapi kalau kawan mereka dilepas, wah itu cukup baik sekali. Tunggulah!

Dato’ Haji Fadzil bin Md. Noor: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri apakah reaksi daripada negara-negara yang terlibat dengan perjanjian AFTA dan WTO atas kenyataan Yang Amat Berhormat supaya pelaksanaan perjanjian AFTA dan WTO ditangguhkan untuk beberapa tahun dari tahun yang ditentukan untuk pelaksanaan. Apakah reaksi daripada negara-negara yang terlibat terhadap kenyataan itu dan jika tidak terdapat sebarang reaksi, apakah ada usaha-usaha daripada kerajaan untuk meneruskan pandangan itu ataupun memperluaskan pandangan itu supaya mendapat respons yang baik.

Begitu juga, adakah kerajaan menjangka dengan pelaksanaan perjanjian AFTA dan WTO itu akan menggugat kedudukan operasi syarikat-syarikat nasional seperti automobil Proton dan jika keadaan itu dijangka oleh kerajaan apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan supaya dapat memastikan Syarikat Automobil Nasional tidak tergugat dengan perjanjian AFTA dan WTO. Sekian, terima kasih.

Perdana Menteri: Tuan Yang di-Pertua, semasa kita menerima dan menandatangani perjanjian AFTA, semua negara ASEAN tidak faham tentang bahaya-bahaya yang dihadapi dengan pembukaan penghapusan sempadan antara negara-negara. Selepas daripada itu seperti mana kita tahu, berlakulah perbuatan penyangak mata wang ini untuk menjatuhkan nilai mata wang semua negara ASEAN. Dengan itu maka, barulah mereka sedar bahawa globalisasi ini mungkin mempunyai akibat yang buruk kepada semua negara ASEAN. Sebab itu apabila Malaysia mencadang supaya ditangguhkan pelaksanaan perjanjian AFTA itu, maka semuanya terima, tidak ada bantahan daripada sesiapa.

Memang pun menjadi hasrat negara-negara yang kaya, yang begitu tamak, yang ingin
menguasai ekonomi seluruh dunia khususnya dalam bidang automotif mereka telah menyatakan bahawa dalam dunia ini hanya lima sahaja syarikat pembuatan kereta boleh diadakan. Yang lainnya terpaksa ditutup kerana tidak dapat bersaing dengan yang lima yang besar ini ataupun menyerah kepada mereka untuk diambil alih.

Cadangan telah pun dibuat supaya Proton dijual kepada mereka seratus peratus.
Kata mereka, mereka lebih cekap dan lebih efisen dan dengan itu rakyat Malaysia akan dapat membeli Proton dengan lebih murah. Kita khuatir kalau mereka mengambil alih Proton, maka mereka akan menjadikan kilang kita itu sebagai kilang pemasangan kereta mereka dan bukan kereta Proton ataupun kereta nasional. Kita sudah lihat bagaimana mereka telah memusnahkan syarikat-syarikat yang bersaing dengan mereka supaya mereka dapat menguasai pasaran sepenuhnya. Sebab itu kita berhati-hati dan kita adalah bebas daripada tekanan, daripada IMF untuk membuka pasaran kita dan kita tidak akan membenar Proton diambil alih olehsesiapa [Tepuk] untuk ditutup supaya kita terpaksa beli kereta import yang dipasang oleh kita. Sekian.

Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: Soalan tiga ya, bukan senang Perdana Menteri hendak datang ini.

Tuan Mohamad bin Sabu: Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat 93(1). Kenapa
hari ini ada kamera, hari-hari yang lain tidak ada?

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin Abdullah]: Hari ini kita benarkan.

Tuan Mohamad bin Sabu: Ha?

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin Abdullah]: Ini urusan pentadbiran. Kalau dia minta kebenaran, dibenar, dia boleh masuklah.

Tuan Mohamad bin Sabu: Jadi, khas untuk ini sahajalah?

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin Abdullah]: Itu saya tidak
bermaksud demikian.

Tuan Mohamad bin Sabu: Biarlah ada sehari. Nanti Perdana Menteri dapat publisiti, kami tidak dapat publisiti langsung, [Ketawa] walaupun datang sehari hari ini, kami datang hari-hari tidak ada publisiti.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Harakah ada.

Tuan Mohamad bin Sabu: Tolonglah Speaker, berilah…

Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: Sekali seminggu, dua kali sebulan. Kalau boleh dua kali seminggu, dua kali sebulan. Tiga soalanlah, bukan senang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hendak datang.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin Abdullah]: Cukup, cukup. Ha,
Rompin, sila. Itu pun ada yang minta tiap-tiap hari, kalau datang hari ini nasib baiklah.

Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: Beri tiga soalan.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin Abdullah]: Sila Rompin, sila.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Terima kasih, soalan tambahan.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, pemimpin yang kita kasihi.
Tentang isu untuk membela ataupun memupuk supaya terus wujud, kekal dan subur
industri strategik negara, sebab itu kita lihat baru-baru ini kerajaan membantu menggalakkan melalui peraturan-peraturan tertentu atau memberikan bantuan kepada industri strategik ini kerana kita perlu memupuk industri tempatan terutama sekali yang strategik seperti Proton, industri telekomunikasi tetapi kadang-kadang niat baik kerajaan itu dituduh seperti bail-outlah, apa, minta sedikit pandangan Yang Amat Berhormat tentang perkara ini.

Perdana Menteri: Tuan Yang di-Pertua, memang pun ada pihak tertentu di luar
negara kita ini yang tidak ingin melihat kejayaan kita berterusan. Dengan itu mereka membuat bermacam-macam tuduhan termasuk tuduhan kronisme umpamanya, malannya ada orang dalam negara kita yang menyambut tuduhan-tuduhan ini kerana kepentingan politik tertentu. Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh kita ialah untuk mengimbangkan kedudukan antara bumiputera dengan bukan bumiputera. Justeru itu, akan ada bumiputera yang diberi peluang ataupun mendapat peluang untuk menjayakan diri mereka dalam bidang perniagaan. Apabila sahaja terdapat kepada mana-mana bumiputera termasuk yang daripada parti lawan pun, maka mereka akan dianggap sebagai kroni kerajaan.

Ini adalah usaha untuk menggagalkan Dasar Ekonomi Baru, untuk menyamakan ataupun
mengimbangkan kedudukan ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera. Ini amat malang
sekali kerana kalau kita tidak langsung ingin melihat bumiputera yang berjaya, melainkan menuduh bahawa dianya adalah kroni kerajaan, maka kerajaan tidak boleh memberi kejayaan kepada sesiapa kerana sesiapa juga yang mencapai kejayaan akan dianggap sebagai kroni kepada kerajaan. Dengan itu akan gagallah Dasar Ekonomi Baru dan ini akan menyeronokkan orang asing yang tidak senang hati dengan Dasar Ekonomi Baru yang menyekat peluang-peluang mereka dan ini malangnya disokong oleh orang yang tidak tahu niat buruk daripada orang-orang asing ini. Mereka hanya melihat ini sebagai satu yang boleh dijadikan isu untuk kepentingan politik mereka.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin Abdullah]: Tuan Kerk Kim Hock.

Tuan Kerk Kim Hock: Selamat Datang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan
Selamat Hari Jadi. Kita pembangkang tidak benci. Soalan saya yang ke-4. [Ketawa]



|Hansard Oktober| |Hansard November| |Bahas Belanjawan 2001|