Make your own free website on Tripod.com

DARI DEWAN RAKYAT, SIDANG PARLIMEN

 

DEWAN RAKYAT 
Isnin, 16 Oktober 2000 
JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN


4. Tuan Wan Nik bin Wan Yusof [Bachok] minta Menteri Pengangkutan menyatakan, sejauh manakah kebaikan kepada pihak kerajaan dan orang ramai berhubung pendedahan kewujudan ‘lesen terbang’ dan ‘lesen gerenti lulus’. Adakah benar pengeluaran lesen-lesen ini ada kaitan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kenapakah individu yang bersubahat dengan pengeluarannya didakwa di bawah Seksyen 11(c) Akta Badan Pencegah Rasuah. 

Menteri Pengangkutan [Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik]: Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat dari bagi Bachok ini bersama-sama dengan soalan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain, iaitu Yang Berhormat dari bagi Bagan pada 17 Oktober; Yang Berhormat bagi Tampin, Sungai Benut, Batang Sadong, pada 23 Oktober; Yang Berhormat bagi Rasah pada 6 November; Tanah Merah pada 9 November; Kuala Kerai pada 27 November; Hulu Terengganu pada 29 November; Batu pada 30 November; Kepong pada 4 Disember dan Hulu Langat pada 13 Disember. 

Tuan Yang di-Pertua, ini memandangkan soalan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat itu adalah mengenai tajuk yang sama. Saya ingin mohon izin juga daripada Tuan Yang di-Pertua, untuk memberi sedikit lebih masa bagi menjawab soalan-soalan ini. 

Tuan Yang di-Pertua: Baiklah. 

Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik: Tuan Yang di-Pertua, isu berhubung dengan lesen terbang atau lesen gerenti lulus yang didedahkan oleh BPR baru-baru ini adalah hasil siasatan yang dijalankan oleh jabatan tersebut ke atas mereka yang terlibat atau bersubahat menerima rasuah di dalam pengendalian latihan dan proses memberikan kelulusan lesen memandu yang tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan. 

BPR telah mengumumkan pihaknya telah berjaya mengesan sekitar 70,000 hingga 100,000 lesen memandu yang telah dikeluarkan dengan cara yang tidak sah dan melibatkan rasuah. Ini adalah angka yang diumumkan oleh BPR. Oleh kerana Kementerian Pengangkutan dan JPJ setakat ini belum menerima laporan daripada BPR mengenai butir-butir terperinci hasil siasatannya, kementerian tidak mempunyai maklumat yang diminta bagi mengesahkan bilangan sebenar lesen terbang tersebut. 

Tuan Yang di-Pertua, namun demikian, jumlah lesen terbang yang telah diserahkan oleh pemegangnya kepada BPR dan JPJ sehingga tarikh 11 Oktober 2000 adalah 2,323. 

Tuan Yang di-Pertua, jumlah ini amat kecil jika dibandingkan dengan angka yang diumumkan oleh BPR. Oleh itu, untuk membantu BPR meneruskan siasatan hingga ke akar umbi skandal rasuah ini dan sehingga berjaya mengenal pasti kesemua sejauh mana yang boleh, mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada di JPJ ataupun di institut dan sekolah memandu adalah penting pemegang lesen terbang ini tampil ke hadapan untuk memberi keterangan dan maklumat. 

Tuan Yang di-Pertua, dalam hubungan ini, saya telah menerima banyak persoalan dan ditanya, kenapakah pemegang-pemegang lesen ini masih enggan menyerah lesen atau tampil ke hadapan untuk membantu BPR dalam siasatan. 

Dari maklumat yang saya terima, sebahagian besar daripada pemegang-pemegang lesen ini bimbang bahawa jika mereka berbuat demikian, mereka bukan sahaja berhadapan dengan risiko ditahan atau ditangkap untuk disoal siasat, tetapi juga akan kehilangan lesen dan dengan serta merta punca penyaraan hidup keluarga mereka akan terjejas, terutama bagi mereka yang pekerjaannya bergantung secara langsung kepada adanya lesen memandu. 

Oleh itu, Tuan Yang di-Pertua, untuk meyakinkan pemegang-pemegang lesen terbang supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan, Kementerian Pengangkutan bersedia berbincang dan bekerjasama dengan BPR dan pihak-pihak berkuasa lain yang berkenaan untuk mengadakan satu pendekatan yang tidak akan menimbulkan masalah atau kesusahan kepada pemegang lesen
terbang semasa siasatan dijalankan. 

Tuan Yang di-Pertua, jika perlu, Kementerian Pengangkutan dan JPJ bersedia dan akan berusaha mengatasi apa jua constraint peraturan yang mungkin wujud demi memastikan mereka yang bekerjasama memberi maklumat:- 

Tidak menghadapi masalah, mereka sendiri pula ditahan; atau 

Masalah mereka tidak dapat meneruskan pekerjaan bagi menyara hidup keluarga dalam tempoh siasatan dijalankan. 

Tuan Yang di-Pertua, pada masa yang sama, Kementerian Pengangkutan akan menimbangkan satu peraturan khas supaya mana-mana kesilapan atau ommissionomission yang telah dilakukan oleh pemegang lesen terbang pada asalnya dapat diperbetulkan agar lesen baru dapat dikeluarkan dengan secepat mungkin kepada mereka setelah syarat dan peraturan dipenuhi. 

Tuan Yang di-Pertua, saya berpendapat langkah ini akan dapat membantu BPR dengan lebih berkesan dalam siasatannya. Langkah ini dipertimbangkan berdasarkan kepada prinsip utama siasatan BPR dijalankan iaitu untuk menghapuskan gejala rasuah yang melibatkan pegawai atau kakitangan sama ada JPJ atau di institut dan sekolah memandu. 

Saya ingin menegaskan bahawa langkah ini bukan bertujuan untuk menyusahkan orang ramai yang bersedia membantu dan bekerjasama membanteras rasuah. 

Tuan Yang di-Pertua, adalah jelas dengan terdedahnya isu ini, ianya telah memberi kesedaran yang bergunan kepada orang ramai tentang betapa pentingnya untuk memiliki lesen memandu yang sah dari segi undang-undang memandangkan lambat laun perbuatan mendapatkan lesen secara tidak sah itu akan diketahui umum dan menimbulkan kesulitan kepada pemegangnya. Sementara bagi anggota perkhidmatan dalam kerajaan yang memberi perkhidmatan menyedarkan sekali lagi tentang betapa pentingnya kakitangan kerajaan melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, telus dan profesional. 

Oleh kerana kegagalan segelintir daripada mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik, ia telah mengakibatkan bukan sahaja imej jabatan tetapi juga imej kerajaan pada amnya turut terjejas di mata umum. Pegawai atau kakitangan yang terlibat, akan menerima balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya. 

Berhubung dengan tindakan yang diambil oleh BPR terhadap mereka yang terlibat dengan pengeluaran lesen tersebut, mereka akan dituduh di bawah Akta Pencegah Rasuah kerana terlibat dengan kegiatan menerima rasuah. 

Tuan Yang di-Pertua, berhubung dengan soalan penglibatan kakitangan JPJ dalam isu ini mengikut siasatan dan pengumuman yang dibuat oleh BPR, setakat ini seramai 56 orang awam dan kakitangan JPJ telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam skandal ini. Dari jumlah tersebut adalah didapati 18 daripadanya merupakan kakitangan JPJ, di mana empat orang telah didakwa di
mahkamah, manakala seorang pegawai telah disabit kesalahan dengan dikenakan denda dan dipenjarakan. Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik….dengan dikenakan denda dan dipenjarakan. 

Bagi mereka yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah, tindakan lanjut akan diambil oleh jabatan dengan tujuan pegawai dan kakitangan berkenaan dikenakan hukuman buang kerja. Tindakan tatatertib membuang kerja juga bermakna, pegawai ini akan kehilangan bayaran pencen, ganjaran dan segala kemudahan lain yang biasa dinikmati oleh kakitangan kerajaan. 

Tuan Yang di-Pertua, bagi kakitangan atau pegawai JPJ yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah, ingin saya menegaskan di Dewan yang mulia ini bahawa Kementerian Pengangkutan tidak akan melindungi mereka sekiranya siasatan dibuat ke atas mereka. 

Tuan Yang di-Pertua, begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh BPR, Kementerian Pengangkutan juga memberi jaminan tidak akan campur tangan dan memberi kebebasan dan kerjasama sepenuhnya kepada BPR untuk melaksanakan tugas-tugasnya. 

Bagi institut dan sekolah memandu pula, sekiranya mereka didapati bersalah terlibat atau bersubahat dalam kegiatan rasuah, Kementerian Pengangkutan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan membatalkan lesen operasi institut atau sekolah memandu tersebut serta permit mengajar anggota-anggota yang terlibat. 

Tuan Yang di-Pertua, bagi mengatasi masalah yang berbangkit daripada isu lesen terbang ini, JPJ telah pun mengatur beberapa strategi dan diharap dapat memberi kesan dalam membendung masalah ini daripada berterusan dan berulang lagi di masa hadapan. Langkah-langkah yang diambil adalah seperti berikut: 

menubuhkan pasukan penguji rayuan yang bertanggungjawab untuk menjalankan ujian semula jika terdapat calon yang mengadu digagalkan kerana enggan bekerjasama bagi mendapatkan lesen secara mudah; 

menubuhkan pasukan tindakan khas yang bertanggungjawab melakukan lawatan dan siasatan mengejut dari masa ke semasa ke institut memandu atau sekolah memandu bagi memastikan mereka sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh JPJ; 

mengadakan peperiksaan berkomputer yang akan mengelakkan daripada penipuan oleh kerana melalui sistem ini calon-calon dapat dicabut soalan secara rambang daripada kumpulan yang besar dan ini bermakna setiap calon akan mengadakan satu set soalan yang berbeza; mengemaskinikan sistem pusingan tugasan penguji JPJ yang telah dilaksanakan. 

Tuan-tuan dan Puan-puan, akhir kata…..[Ketawa], Tuan Yang di-Pertua, sentiasa beri ucapan……, Tuan Yang di-Pertua, perjuangan menentang gejala rasuah adalah satu perjuangan yang berpanjangan dan berterusan. Kita hendaklah sentiasa berwaspada dan berhati-hati lebih-lebih lagi apabila penjenayah menjadi lebih pandai dan pintar. 

Tuan Yang di-Pertua, kita akan terus mengenal pasti segala kelemahan yang wujud dan mencari jalan untuk memperketatkan prosedur serta sistem-sistem yang sedia ada untuk mencegah kejadian gejala rasuah setiap waktu. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Speaker dan terima kasih pihak Yang Berhormat Menteri yang telah pun menyampaikan jawapan secara jelas. Walau bagaimanapun, beberapa persoalan saya yakin dan percaya masih berbangkit di sebalik soalan dan jawapan tadi. Cuma sebelum itu, soalan yang diedar pada hari ini adalah dalam bentuk ‘translation Order Paper’ – ini mungkin satu perkara baru. 

Terima kasih dan tahniah kepada pihak BPR. Saya tidak hendak buat tahniah kepada JPJ secara langsung kerana isu yang berbangkit ini adalah hasil daripada kajian BPR sendiri melebihi tiga tahun saya rasa. Kesungguhan BPR untuk menggambarkan gerak kerja yang berkesan jelas terbukti dengan pendedahan ini. Jika Menteri mempunyai jawapan yang panjang, mungkin soalan tambahan pun panjang jugalah. 

Kenyataan pihak Menteri tadi jelas bahawa kerjasama secara langsung pihak JPJ kepada BPR terbukti tetapi apa yang dimusykilkan oleh pihak rakyat sendiri ialah betapa lamanya pendedahan ini dapat dibuat oleh BPR, kenapa JPJ sendiri tidak mampu untuk menanganinya secara dalaman, kakitangannya, pegawainya daripada pelbagai peringkat perjawatan yang terlibat di dalam kerja-kerja pemberian lesen secara terbang ini ataupun secara ‘gerenti lulus’. Oleh kerana itu kita melihat ini suatu pendedahan dari sudut orientasi pentadbiran JPJ……. 

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat membuat ucapan itu, Yang Berhormat. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Hendak menuju kepada soalan, Tuan Speaker. 

Tuan Yang di-Pertua: Ya, ya. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Pendedahan ini membuktikan JPJ didapati dari sudut persepsinya ada kelemahan. 

Tuan Yang di-Pertua: Ya, soalannya? 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Soalannya ialah…. 

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Terus bertanya, tanya, tanya. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Hendak bertanya sekarang. Jangan risau dan jangan gundah gulana. 

Tuan Yang di-Pertua: Hmm. 

Beberapa Ahli: [Menyampuk] 

Tuan Yang di-Pertua: Soalannya Yang Berhormat, ya. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: [Ketawa] Soalannya ialah dengan kelemahan-kelemahan yang telah pun terbukti daripada pendedahan JPJ ini, pemantauan secara langsung telah mendedah JPJ ini sepatutnya diperbaiki daripada dalam. Apakah ini memungkinkan JPJ akan terus diswastakan untuk tempoh yang akan datang supaya gerak kerja JPJ dapat diperolehi secara berkesan bagi mengatasi semua masalah?. Sekian, terima kasih. 

Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik: Tuan Yang di-Pertua, adalah benar tindakan BPR adalah berterusan dan berpanjangan dan saya ingin memberitahu iaitu JPJ pada bila-bila masa akan memberi kerjasama yang sepenuhnya jikalau BPR hendak menjalankan apa-apa siasatan pun. 

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menjelaskan perbezaan kuasa-kuasa yang diberikan kepada JPJ, dan kepada BPR dan polis dan dengan penjelasan ini adalah jelas peranan yang perlu dimainkan oleh kedua-dua atau ketiga-tiga pihak ini. 

Tuan Yang di-Pertua, di bawah Akta Pengangkutan Jalan, kebanyakannya menumpu perhatian atas keselamatan lalu lintas – pemandu-pemandu (drivers) dan kenderaan-kenderaan yang menggunakan lalu lintas. Oleh kerana itu kemahiran JPJ adalah untuk meneliti atau siasat masalah seperti kelajuan, seperti membawa muatan berat yang melebihi berat dan lain-lain seperti itu dan semua kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan adalah kesalahan tidak boleh ditangkap (non- seizeable offences) di mana kuasa-kuasa yang diberi kepada mereka adalah terhad, tidak ada powers untuk arrest, reman, sita, seal and seize atau memasuki premis-premis tanpa waran. 

Tuan Yang di-Pertua, selain daripada itu, Akta Pencegahan Rasuah adalah sesuatu yang berkait dengan rasuah (suapan) dan kesalahan-kesalahan di sini adalah kesalahan boleh ditangkap (seizeable offences) dan di bawah akta ini pegawai-pegawai BPR diberi kuasa yang luas untuk memasuki premis-premis tanpa waran untuk sita, seal dan seize, untuk reman, untuk arrest dan
lain-lain. 

Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana itu, apabila sesiapa disyaki terlibat dalam rasuah, JPJ perlu dapat pertolongan dan bantuan daripada BPR atau pihak polis oleh kerana kuasa mereka adalah luas dan membolehkan mereka menjalankan siasatan yang berkesan. 

Tuan Yang di-Pertua, ini adalah penjelasan mengenai perbezaan kuasa-kuasa dan sama ada JPJ dapat mengelakkan daripada salah guna kuasa di masa hadapan, saya ingin menegaskan sekali lagi, Tuan Yang di-Pertua, perjuangan menentang rasuah adalah sesuatu yang tidak akan berhenti dan kita akan menjalankan tugas sini sedaya upaya tetapi dari masa ke semasa kita perlu
bantuan dan pertolongan daripada JPJ dan pihak polis. 

Tuan Hoo Seong Chang: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Tadi Yang Berhormat Menteri telah pun memberi jawapan yang panjang lebar dan mengikut jawapan tadi memang selepas tindakan dan siasatan BPR ada 56 orang telah pun ditahan, disiasat dan didakwa. Jadi, saya ingin tahu sebab memang ada tuduhan lagi seperti Yang Berhormat bagi Bachok tadi pun mengatakan sebelum siasatan dan tindakan BPR, adakah Kementerian Pengangkutan dan juga JPJ mengambil tindakan ataupun melakukan segala tindakan dari segi tatatertib ataupun sekadar dakwaan terhadap pegawai-pegawai ataupun sekolah-sekolah memandu yang terlibat. Saya rasa kalau ada sekurang-kurangnya adil, kalau tidak cuma siasatan BPR sahaja baru mendedahkan keadaan ini. Saya minta Yang Berhormat Menteri memberi jawapan. Terima kasih. 

Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik: Tuan Yang di-Pertua, tugas untuk mencegah daripada rasuah atau salah guna kuasa berlaku adalah sesuatu yang berterusan dan sejak lama dahulu lesen terbang ini dipanggil "Lesen Kopi O" di mana dapat diselesai dengan satu cawan kopi O sahaja tetapi sekarang ini dipanggil "Lesen Terbang", mungkin di masa hadapan jikalau dibenarkan berlaku dipanggil "Lesen Gagak" oleh kerana burung itu adalah sesuatu yang hitam dan ini adalah perbuatan hitam tetapi Tuan Yang di-Pertua, bagi menjawab Ahli Yang Berhormat bagi Kluang, tindakan sentiasa diambil dan kadang-kadang dengan kerjasama BPR dan pihak polis. Tuan Yang di-Pertua, misalnya dari tahun 1995 hingga 1998 sejumlah 39 kes telah ditangkap dan disiasat dan tindakan disiplin dan lain-lain telah diambil. 

Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana itu bagi menjawab Ahli Yang Berhormat bagi Kluang, ini adalah sesuatu yang dijalankan berterusan. 

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Tuan Liow Tiong Lai. 

Tuan Kerk Kim Hock: Banyak soalan, kita hadkan…… 

Tuan Yang di-Pertua: Cukuplah Yang Berhormat, cukuplah. 

Tuan Kerk Kim Hock: Jarang Menteri datang dengan sendiri, Tuan Yang di-Pertua. [Disampuk oleh beberapa Ahli Yang Berhormat] Soalan banyak, banyak soalan kita hendak tanya. Ini lesen terbang mustahak, 100,000 cawan kopi O telah diminum [Ketawa]. Ini perkara besar ini 100,000, Tuan Yang di-Pertua beri peluanglah. 

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Tuan Liow Tiong Lai. 

Tuan Kerk Kim Hock: Tak pernah datang, baru datang, beri peluanglah. 

(Tamat)