Subject: 
Kedudukan Kampus Cawangan UM di Kelantan

Soalan Tambahan YB Bachok Kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan 
Persidangan Parlimen Pada 8 November 2000.
 

Mencadangkan Pembinaan Kampus Cawangan Akedemi Islam Universiti Malaya yang baru di Bachok. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Berhubung dengan kampus cawangan Universiti Malaya di Kelantan, dalam jawapan pihak Setiausaha Parlimen tadi, jadi saya mewakili Kelantan – terima kasihlah. Tetapi saya mengungkitkan sedikit sejarah bermula tahun 1978 satu janji telah pun dibuat untuk membuka satu kampus cawangan di Tangok, Bachok dan sekarang ini tapak yang dicadangkan telah bertukar wajah, telah dibina sekolah-sekolah dan kampus yang ada sekarang di Nilam Puri telah tidak sesuai. 

Saya ingat pihak Setiausaha Parlimen boleh membuat lawatan dan confirm kenyataan saya ini. Oleh kerana itu, saya ingin mendapat penjelasan bilakah dari sudut pelan tindakannya untuk memastikan kampus yang sesuai dan bermakna sebagaimana dijanjikan itu dapat di bawa ke Parlimen saya di Bachok. Terima kasih. 

Dato’ Mahadzir bin Mohd. Khir: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat mengenai dengan soalan tambahan. Macam itulah cara kita bertanya, lebih sesuai. [Ketawa] Tidak kita seperti ahli-ahli yang lain, bangun memekik-mekik tanpa meminta kebenaran, begitu juga sebelah pihak tuan, apabila semalam kita hendak minta laluan pun tidak beri. Jadi, inilah, hari ini sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya hendak memberi penjelasan yang begitu baik sekali, supaya pihak pembangkang terutama sekali PAS mereka mempunyai tertib dan ikut tertib. Kerana kita dalam Islam, kita tekankan kepada akhlak dan tertib. 

Dan bagi jawapan Yang Berhormat daripada Bachok, saya ingat daripada Tok Baling tadi, ya daripada Bachok, saya akan memberi perhatian dalam hal ini dan saya sendiri akan turun ke Kelantan untuk mendapat segala macam maklumat seperti mana apa yang telah disarankan oleh Yang Berhormat. Sekali lagi saya ucap ribuan terima kasih darikepada Yang Berhormat daripada Bachok. 

-------------:end 

Selingan Mencelah dan Jenaka di Parlimen 
Ketika YB Rantau Panjang Berucap Membahas Belanjawan Tahun 2000 
Pada 8 November 2000


Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]: [Bangun] 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Yang Berhormat, ada dua orang berdiri. 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Semua orang saya tidak bagi lagi. Saya bagi satu minit terakhir.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ha, dia tidak bagi., Yang Berhormat. 

Datuk Haji Mohd. Ali bin Haji Hassan [Tebrau]: [Menyampuk] 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Dia tidak bagi, Yang Berhormat. 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Kita tahu di akhir-akhir ini, terdapat orang-orang kita … 

Datuk Haji Mohd. Ali bin Haji Hassan: [Menyampuk] 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad [Parit Sulong]: [Menyampuk] 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Tidak apa, tidak apa, duduk, dia tidak bagi. 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Akhir-akhir ini, terdapat dalam masyarakat kita ini orang yang tidak belajar agama, cuba bercakap tentang agama. Orang yang belajar agama, tidak bercakap langsung tentang agama. Macam syaitan bisu. Barangkali mereka ini takut bercanggah pendapat dengan pemimpin-pemimpin mereka… 

Datuk Haji Mohd. Ali bin Haji Hassan: [Bangun] 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Tebrau berdiri, Yang Berhormat. 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya sudah beritahu dah, saya tidak bagi semua. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ha, dia tidak bagi. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Member ini. 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ha? Member bagi, member bagi. [Ketawa] 

Datuk Haji Mohd. Ali bin Haji Hassan: [Menyampuk] 

Beberapa Ahli: [Sorak] 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Tidak apalah. Saya tidak boleh cakap kata apa, Yang Berhormat. Dia hendak bagi siapa, dia punya hak. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang dan…. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Bachok ya. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: …Tuan Yang di-Pertua. Biasalah soal sama member ini. Barisan Nasional pun begitu juga. Sedikit sahaja. Tadi, pihak Yang Berhormat telah ada menyebut sedikit mengenai perangai UMNO ini dan kemudian pihak Yang Berhormat juga sebut mengenai sikap orang yang dalam menangani perkara-perkara yang berkait dengan agama ini.  Adakah setengah daripada pemimpin UMNO ini dalam bercakap mengenai agama, baik, kemudian dalam melaksana kaedah-kaedah agama ini, tidak baik. Apa pandangan Yang Berhormat? Sila. 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Terima kasih Yang Berhormat Bachok.….. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Yang Berhormat, saya beritahu tuduhan yang
bukan-bukan jangan dibuat. Tidak memberi faedah apa-apa. Kadang-kadang… 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Secara umumnya. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya, cara umum itu, makna kena belaka lah, orang PAS pun kena, orang UMNO pun kena. 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya, secara umumnya, biasanya kalau orang UMNO ini bila berjanji ini… 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Jangan sebut satu-satu parti lah, sebutlah
keseluruhan. Sila sila. 

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Bila dia berjanji, dia tipu. Bila bercakap, dia bohong. Bila diberi amanah, dia pecah amanah. Bila diberi kuasa, dia gila kuasa. Pendek kata, akhlaknya terlalu jahat. 

--------:end. 

SUASANA TEGANG DAN KISAH YB TAMPIN MENGAJAK YB POKOK SENA BERTUMBUK DI LUAR DEWAN 
Catatan ketika Perbahasan Usul YB Mahfuz Omar (Pokok Sena) Membincangkan Peristiwa Keganasan Polis Ketika Menyurai Perhimpunan 100,000 di Lebuh Raya Kesas Kelang pada 5 November 2000. 

Berlaku kira-kira jam 5.20 petang. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat…. 

Tuan Shahziman bin Abu Mansor [Tampin]: [Menyampuk] 

[Pembesar suara dimatikan] 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad [Parit Sulong]: Tuan Yang di-Pertua… 

Tuan Mohamad bin Sabu [Kuala Kedah]: Ingat takutkah? [Pembesar suara dimatikan] 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Inikah bentuk-bentuk pemimpin PAS yang bernafsu besar dan untuk memerintah dan mewujudkan kekuasaan Islam di dalam negara ini.? 

Seorang Ahli: No respect of lawlah..…. -suara YB dari BN. 

Tuan Ramli bin Ibrahim [Kota Bharu]: [Bangun] 

Tuan Mohamad bin Sabu: [Menyampuk] 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat..….. 

Seorang Ahli: Tunggulah election. - suara YB dari BN. 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Dua minggu yang lalu Tuan Yang di-Pertua, PAS dalam Dewan ini berbuih-buih mulut memperjuangkan kononnya biar elaun polis dinaikkan. Hari ini dia menuduh polis sebagai licensed terrorist. Inilah dia PAS!. 

Tuan Mohamad bin Sabu: [Menyampuk] 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Inilah dia menuduh polis sebagai licensed terrorist. Inilah PAS yang tidak consistent sepanjang zaman. 

Seorang Ahli: Alah..….. - suara YB dari BA. 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Cakap tidak serupa bikin. Saya tahu Ketua Pembangkang hadir dalam majlis yang haram itu. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Ya, memang. 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Saya tahu Pengerusi DAP hadir. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: Itu hak kami. Itu hak rakyat. Apa masalah? 

[Dewan riuh] 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Inilah dia budaya samseng yang dibawa oleh PAS. 

[Yang Berhormat bagi Tampin bangun dan mengangkat-angkat tangan menunjuk ke arah luar Dewan] 

- minta YB Pokok Sena keluar Dewan untuk menyelesai secara bertumbuk.... 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat…. 

Seorang Ahli: [berada di sebelah YB Tampin] Hei Man, Man.Man duduk Man. - suara YB dari BN. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Pokok Sena. 

[Dewan riuh] 

Seorang Ahli: Pokok Sena relekslah. - suara YB dari BA. 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Tuan Yang di-Pertua, … 

[Semua ahli pembangkang bangun] - sebenar saya, YB Bachok tidak bangun kerana sedang memerhatikan gelagat YB Tampin sedang meronta-ronta dan terkial-terkial melangkah keluar Dewan dan ketika itu ia dihalang oleh YB Sri
Gading dan YB Batu yang duduk mengampitnya. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat semua, sabar Yang Berhormat. 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Tuan Yang di-Pertua..….. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat….. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: Sila, sila, sila. [Mengajak penyokong kerajaan keluar] - sebenarnya YB Pokok Sena menyahut ajakan YB Tampin. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Sila semua duduk. Semua duduk. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: Bangkit. Sila bangkit. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat. Ini Dewan. Ini Dewan. Semua Ahli Yang Berhormat 
….. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: Jangan hendak kurang ajar. Jangan hendak cabar hendak bertumbuk, saya hendak berhujah. [Dewan riuh]. 

Tuan Mohamad bin Sabu: [Menyampuk] Saya tidak jahat. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Pokok Sena tolonglah bertenang. Ini kena hormati. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: Kami mempertahankan hak rakyat, Tuan Yang di-Pertua. Kami bukan mempertahankan hak pemimpin UMNO. Ini hak rakyat. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Kalau hendak pertahankan hak rakyat juga kena mematuhi
undang-undang, peraturan mesyuarat, peraturan Dewan. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: Siapa cabar saya untuk bertumbuk?. Saya bersedia untuk bertumbuk bila-bila masa, boleh! Di simpang mana, jalan mana saya boleh tunggu. 

Seorang Ahli: Duduklah.! - suara YB dari BA. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: Saya bukan datang untuk bertumbuk, saya datang untuk berhujah. 

Seorang Ahli: Gangsterkah? - suara YB dari BA. 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Tuan Yang di-Pertua, inilah corak orang yang hendak memerintah kerajaan. Lingkup kerajaan kalau dia perintah!. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: UMNO lagi lingkup!. 

Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: Dan dengan itu saya minta rakyat jangan dikelirukan oleh pihak ini. Dan dengan ini saya membangkang usul ini. Terima kasih. 

[Dewan riuh] 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat Timbalan Menteri. [Dewan riuh] - Menteri kemudian berhujah mengemukakan jawapan dan Dewan kembali tenang seketika. 

.......sekian adanya catitan.



|Ucapan Perbahasan Belanjawan|