DARI DEWAN RAKYAT: HANSARD PARLIMEN

 


Kerajaan PAS Kelantan Tetap Membela Kedudukan Wanita

UCAPAN YB BACHOK MEMBAHAS BELANJAWAN 2001 
PADA 13 NOVEMBER 2000 [Jam 4.35ptg.] 

"Kelantan Tetap Membela Kaum Wanita" 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]: Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diizinkan. Mudah-mudahan ucapan perbahasan saya dalam membahaskan Belanjawan 2001 ini akan mewujudkan nilai kasih sayang yang berkekalan, lebih-lebih lagi Yang Berhormat Sri Gading. 

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Insya-Allah. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Tuan Yang di-Pertua, firman Allah S.W.T [Membaca sepotong ayat Al-Quran]. Maksudnya,"Tuhan yang telah menjadikan hidup dan mati kerana Dia hendak menguji, mencuba kamu. Siapakah di antara daripada kamu yang terlebih baik kerjanya." 

Kerajaan ataupun pembangkang? Isu nya di situ. 

Tuan Yang di-Pertua, dalam hal Belanjawan 2001 ini merupakan pendedahan kepada kehidupan bekerjanya kita, berjuang dan berlumba-lumba untuk memajukan negara. Kami pun daripada pihak Barisan Alternatif, khususnya pihak PAS sendiri yang telah dianugerahkan dua kerajaan negeri, Kelantan dan Terengganu, sebenarnya mempunyai komitmen yang sama dengan Kerajaan Barisan Nasional bagi mempastikan cita-cita bersama mencapai kemajuan negara pada era globalisasi ini, khususnya dalam kita menguasai information age ataupun era teknologi yang berasaskan maklumat yang bersifat competative lagi mencabar. 

Dalam hal ini, sukalah saya menyentuh beberapa perkara yang menjadi klimaks kepada kritikan-kritikan dan juga apa yang disebutkan keraguan-keraguan dan dibayangi dengan ketakutan-ketakutan oleh pihak Ahli-ahli Parlimen ataupun Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Pihak Pembangkang sendiri berhubung dengan isu yang berlaku di Kelantan. Dalam satu hujah
yang dikemukakan oleh pihak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu sesi jawapannya pada sidang kali ini tidak meyakini berhubung dengan perjalanan dan hala tuju pentadbiran PAS di Kelantan sebagai sebuah negeri untuk memartabatkan 
kedudukan wanita dalam arus perdana negara kitai ini. 

Dalam hal ini, sukalah saya menyebutkan bahawa penglibatan wanita dalam arus pembangunan sosio-ekonomi dan politik dalam negara, khususnya di Negeri Kelantan sebenarnya tetap diberi perhatian oleh PAS sekiranya ia memerintah dalam konteks negara dan sekarang dalam konteks Negeri Kelantan dan Terengganu yang ianya tetap diberi perhatian oleh pihak kerajaan itu sendiri. 

Jadi, bagi menjawab tuduhan dan sangkaan yang terlalu pasimif oleh pihak-pihak yang berkenaan, sukalah saya menyebutkan dalam beberapa fakta yang ada pada saya pada hari ini, terutama dalam sektor pekerjaan, kita dapati di peringkat Kerajaan Negeri Kelantan, bukannya ke mengkebelakang ataupun bukan menganaktiri ataupun bukannya juga mendiskriminasikan peluang wanita itu sendiri terlibat sepenuhnya dalam pelbagai sektor kerajaan di peringkat Kelantan - pembangunan ekonomi, pendidikan, dakwah dan seumpamanya. 

Berikutnya saya cuba mendedahkan beberapa fakta sebagai bsuatu asas untuk menghilangkan keraguan masyarakat amnya dalam perkara ini. Pertama, di sektor kerajaan itu sendiri, saya ambil contoh di Pejabat Menteri Besar sendiri, 50% daripada stafnya adalah wanita. Di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, khususnya di Bahagian Pentadbiran dan di pihak Pengurusan,
5% adalah kakitangan daripada wanita. Kemudian di peringkat Perbadanan Kerajaan Negeri termasuklah di peringkat SCEDC dan juga perbadanan seperti YAKIN, YIK dan seumpamanya, 50% stafnya adalah daripada kakitangan wanita. 

Demikian pula di sektor pendidikan di bawah Kerajaan Negeri khususnya di bawah Yayasan Islam Kelantan yang telah menganjurkan sekolah-sekolah agama, 65% tenaga pengajarnya adalah wanita melebihi daripada lelaki. 

Demikian juga di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, juga 50% adalah daripada kalangan wanita. Kemudian di Institut Teknologi Darul Naim, 5% adalah wanita dan di Pusat Asuhan Tunas Islam, 100% adalah wanita. Kemudian di bidang  guru Al-Quran, 65% adalah guru daripada kalangan tenaga wanita. Ini suatu asas yang menunjukkan bahawa komitmen wanita dalam arus perdana kita, Kelantan khususnya, PAS itu sendiri tidak mengkesampingkan. Kemudian di sektor dakwah, secara khususnya, didapati 5% kakitangan daripada guru dakwah yang bergiat cergas di masjid-masjid dan madrasah, 50% adalah daripada kalangan wanita. 

Di dalam sektor yang dibanggakan oleh Kerajaan Barisan Nasional ialah sektor usahawan dan perniagaan. Sesungguhnya yang terkedepan dalam isu ini golongan wanita Kelantanlah berbanding dengan negeri-negeri lain. Saya mendapati daripada kajian yang saya buat sendiri di sekitar Kota Bharu, di pasar-pasar harian termasuklah di Pasar Besar, Pasar Tani dan juga Pasar Malam, 80% penggerak kepada aktiviti di pasar ini adalah tenaga wanita. Ini disokong lagi oleh pengiktirafan secara simbolik yang diberikan oleh Menteri Besar Kelantan sendiri kepada golongan wanita sehingga menukar nama Pasar Besar Buluh Kubu yang menjadi ibu kepada aktiviti pasar di Kota Bharu dengan nama Pasar Siti Khadijah sebagai satu simbolik untuk memberi satu nama iaitu mengiktiraf korporat pertama muslimah yang bertaraf dunia yang telah pun dinamakan kepada pasar tersebut iaitu isteri Nabi S.A.W. 

Yang kedua ialah di sektor perniagaan bazar dan juga supermarket di dapati 80% penggerak aktiviti perniagaan di bazar dan juga supermarket ini adalah daripada kalangan wanita. Demikian juga dalam industri batik, 80% adalah wanita. Dalam sektor barang kemas dan juga kedai-kedai emas di sekitar Kota Bharu yang menjadi tarikan utama pelancong kerana masyhur
dengan kualiti emasnya tulen, 50% adalah kalangan wanita demikian juga di sektor pekerjaan-pekerjaan di peringkat perniagaan servis dan sales didapati 80% adalah terdiri daripada anggotanya adalah wanita. Kemudian di sektor pelancongan dan perhotelan 
didapati staf hotel 75% adalah daripada kalangan wanita, rumah-rumah tumpangan 50% adalah daripada kalangan wanita dan yang paling menarik lagi untuk diambil suatu iktibar dan bagi mana-mana Ahli Yang Berhormat yang belum lagi ke Kelantan bolehlah diambil sedikit catitan untuk kita memberi perhatian betapa nama-nama dan destinasi pelancongan di Kelantan khususnya pantai-pantai sendiri dinamakan serasi dengan imej kewanitaan itu sebagai suatu simbol penghargaan wanita Kelantan dalam konteks pelancongan itu sendiri. 

Misalnya dahulu Pantai Cinta Berahi sebagai nama klasik yang diberi kepada PCB sekarang ini telah ditukar nama kepada Pantai Cahaya Bulan. Cahaya Bulan merupakan satu simbolik seni dalam kehidupan kewanitaan dan bulan itu sendiri adalah simbol kasih sayang yang menjadi tema lagu popular Allahyarham P. Ramlee. Demikian juga dinamakan Pantai Bisikan Bayu. Bisikan adalah suatu lagi nilai seni [Disampuk] tidak sanggup hendak jadi Hulu Langat, tidak boleh nyanyi [Ketawa] 

Demikian juga disebutkan Pantai Bisikan Bayu. Perkataan ‘Bisikan’ itu sebagai nilai kasih sayang juga yang mengeratkan lagi hubungan wanita dan lelaki itu sendiri dan satu lagi di kawasan Parlimen saya, Pantai Irama Bachok, ‘Irama’ adalah satu  daripada simbol yang meletakkan taraf imej kewanitaan dalam konteks pelancongan di Kelantan dan yang paling menarik lagi
yang menjayakan lagi misi kepimpinan kerajaan PAS di Kelantan ialah dasar sosialnya yang meletakkan asas menutup aurat sebagai satu sentimen yang proaktif untuk melihat wanita itu selamat di dunia dan akhirat dalam konteks kehidupan duniawi dan ukhrawi. 

Dan satu lagi ialah di peringkat penglibatan politik dalam politik itu sendiri, dasar yang ada di peringkat negeri Kelantan sebenarnya tidak mengebelakangkan wanita kerana apa yang telah berlaku pelantikan ahli-ahli anggota jawatankuasa portfolio kerajaan-kerajaan negeri tidak dikesampingkan peranan wanita dan mereka telah dilantik sama se ganding dengan pihak kaum
lelaki dalam memajukan idea-idea kepada pihak kerajaan bagi menggerakkan aktiviti kerajaan di peringkat portfolio yang dipengerusikan oleh Exco-Exco Kerajaan Negeri seramai sembilan orang. 

Demikian juga di peringkat anggota Majlis Kerajaan Tempatan. Sebanyak 10 pihak Kerajaan Tempatan yang ada di Kelantan. Tidak dikecualikan juga pelantikan wanita turut sama dilantik dan mewakili Senator bagi Dewan Negeri Kelantan, kedua-duanya adalah daripada kaum wanita. 

Dan satu cadangan baru telah dipersetujui oleh pihak Menteri Besar dan juga oleh pihak kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan ialah untuk Pilihan Raya Umum akan datang, Insya-Allah kita akan menyaksikan bahawa calon pilihan raya Parlimen bagi mewakili negeri Kelantan akan bertanding untuk menganggotai sama dalam Parlimen pada tempoh pilihan raya ke sebelas, Insya -Allah. 

Tuan Yang di-Pertua, satu keraguan lagi yang ditimbulkan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional dalam isu yang melibatkan Kelantan ialah tentang Dasar Kerajaan Negeri terhadap kaum bukan Melayu atau bukan Islam iaitu daripada sahabat kita, kumpulan minoriti Cina dan juga India. Sebagaimana yang disebutkan oleh Kapar tadi semacam mencabar untuk kita mendedahkan dasar dan program kita untuk membela kaum India di sana tetapi isu yang berbangkit berhubung dengan kaum  India ini sebenarnya Kerajaan Negeri telah mengambil keinsafan dan kesedaran dan wakil kaum telah dilantik di dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Hubungan Antara Kaum di Kelantan yang dipengerusikan oleh Ahli Exco Tuan Haji Anuar Tan daripada kaum Cina dan kaum India turut sama untuk berkongsi fikiran bagi memerah idea untuk memajukan kaum minoriti di India ini termasuklah kumpulan minoriti Siam dan juga Orang Asli. 

Untuk Orang Asli telah disumbangkan lot tanah tetap untuk mereka tinggal sebagai kaum yang boleh memaju ataupun boleh membangun dengan jayanya begitu juga kepentingan kaum Cina telah dianugerahkan tanah pertama kali dikemukakan yang tidak pernah dikemukakan oleh Dasar Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini untuk membina sekolah dekat dengan Kok Lanas di dalam Parlimen Peringat. 

Demikian juga untuk kaum India telah dianugerahkan tanah di kawasan Parlimen Kuala Krai untuk mereka membuat penempatan yang kekal bagi membantu kesempitan hidup mereka yang terbelenggu dengan sistem ataupun perjalanan sistem estet yang selama ini telah meletakkan kaum India terus ketinggalan. 

Di bidang kebudayaan misalnya satu asas yang juga telah pun dibina oleh pihak Kerajaan Negeri apabila ……. 

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed [Shah Alam]: [Bangun] 

Tuan Yang di-Pertua: Ada yang bangun Yang Berhormat. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Sila. Pendek-pendek, ringkas-ringkas sahaja. 

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: Sikit, minta penjelasan sahaja. Tadi Yang Berhormat kata tentang anugerah tanah kepada kaum bukan bumiputera itu langkah yang diambil oleh Kerajaan Kelantan. Saya hendak tanya, ada tidak cadangan dari pihak Kerajaan Negeri Kelantan untuk meminda balik, ubah syarat pemindalihan milik tanah ini walaupun orang Melayu kalau kita lahir daripada luar daripada Kelantan, tidak boleh pindah milik tanah itu. Adakah itu Kerajaan PAS hendak tukar syarat? 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Keputusan terbaru daripada Mesyuarat Exco pada dua minggu lepas telah pun bersetuju dan sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat bagi Shah Alam tadi sebenarnya telah pun dilaksanakan dengan syarat Orang Melayu ataupun mereka yang memohon itu mesti ada warisnya di Kelantan [Disampuk] dia kena berdikit-dikit
dahululah sebelum pergi. 

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Bangun] 

Tuan Yang di-Pertua: Ya Yang Berhormat, sila, sila. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Ada lagi? 

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: Tun, tadi Yang Berhormat kata sudah diluluskan, sudah dibuat, diperakukan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan kah? Kerana setahu saya benda ini tidak boleh pindah milik Yang Berhormat, dapat maklumat Yang Berhormat betul-betul ini. Hendak cari waris dia, waris siapa, Yang Berhormat hendak kahwin…… 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Saya sebut tadi ialah keputusan Exco bukan daripada Dewan Undangan Negeri, keputusan Exco permohonan tanah untuk Kelantan boleh dengan syarat dia ada warisnya di Kelantan. Itu sahaja, terima kasih. Saya ingat setakat itulah. [Disampuk] Tidak betul apa, saya sendiri tahu [Ketawa] 

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: Maknanya dari segi Undang-undang Kanun Tanah Negara untuk pindah milik…. 

Tuan Mohd. Yusoff bin Mohd. Nor [Machang]: [Bangun] 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Saya bagi kepada Machang. 

Tuan Yang di-Pertua: Shah Alam, Shah Alam. 

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: Ini masalah bumiputera, …….. 

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, itu out of order Yang Berhormat. Sila, Bachok teruskan. Yang Berhormat ada dua minit lagi. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Machang, saya hendak bagi Machang? 

Tuan Yang di-Pertua: Ya, ya, sila. 

Tuan Mohd. Yusoff bin Mohd. Nor: Saya hendak tanya Yang Berhormat, adakah Yang Berhormat sedar bahawa Undang-undang Kelantan ini sebenarnya itu memberi kuasa kepada Exco untuk memberi pindah milik kepada orang Melayu, kepada bukan yang peranakan Kelantan. Bukan dia dilarang sama sekali kuasanya Exco. Jadi adakah Yang Berhormat sedar
perkara ini. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Ya, sebab itulah saya quote keputusan Exco tadi atas kesedaran kerana atas pertimbangan itu diserahkan kepada pihak Exco. Terima kasih, YB Machang. 

Tuan Yang di-Pertua: Ya, minta gulung Yang Berhormat. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Ya akhir sekali saya hendak menyebut berhubung dengan suatu isu yang selalu meletakkan Kelantan rapat ke dinding apabila pihak Barisan Nasional ataupun pihak Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional menghujahkan Kelantan ini antara negeri yang terteruk berhubung dengan isu penagihan dadah. Jadi saya mempunyai suatu statistik berdasarkan kepada apa yang didedahkan oleh pihak Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) yang menyebut dalam tempoh 10 bulan yang pertama untuk tahun ini, tahun 2000 betapa kedudukan Kelantan dalam ranking penagihan dadah tertinggi di negara kita adalah di kedudukan nombor lima bukannya nombor satu sebagai yang disebut oleh pihak Menteri tadi. 

Berdasarkan kepada rekod yang saya ada, Pulau Pinang mencatatkan bilangan yang tertinggi diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Perak, baru Kelantan, baru Selangor, Pahang, Sabah, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Terengganu, Sarawak, Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan yang akhirnya, 25 orang sahaja Labuan. 

Tuan Yang di-Pertua: Ya. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Ini membuktikan satu kedudukan bahawa asas maklumat-maklumat yang lama berdasarkan perkembangan terbaru sebenarnya telah berlainan dan berbeza dan saya yakin dan percaya sekiranya urusan untuk menangani isu dadah ini diberi sedikit kuasa kepada Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri akan pandailah untuk menguruskan sebagaimana yang telah pun dipersetujui oleh pihak Pusat Serenti Jeli dalam menangani isu pemulihan penagih-penagih dadah, Pusat Serenti tersebut telah pun bersetuju untuk menerima pakai Kurikulum Pendidikan ataupun Bina Insan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk digunapakai bagi memulih mereka ini supaya dapat aktif dalam masyarakat, supaya meninggalkan najis dadah ini selepas daripada tamat program mereka di Pusat Serenti. 

Raja Dato' Ahmad Zainuddin bin Raja Haji Omar [Larut]: [Bangun] 

Tuan Yang di-Pertua: Ya, ya, masa Yang Berhormat sudah cukup. Masa dia sudah cukup Yang Berhormat. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Tuan Speaker tidak bagi. Jadi saya mengucapkan terima kasih di atas peluang yang saya diberi dan akhir sekali saya merakamkan penghargaan dan mudah -mudahan apa yang saya jelaskan tadi tidak menimbulkan isu politiklah di luar Dewan ini, Insya -Allah. 

Terima kasih.