Kenaikan harga minyak hadiah pilihan raya ke-10 

KOTA BHARU, 6 Okt (Hrkh) - Kenaikan harga minyak bermula 1 Oktober lalu dianggap hadiah dari kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya ke-10, November tahun lepas. 


Begitu juga dengan kemenangan BN pada pilihan raya ke-9 pada tahun 1995, turut memberi impak kepada rakyat dengan kenaikan harga barangan pengguna termasuk bawang. 

Bagaimanapun rakyat masih setia memilih BN pada setiap kali pilihan raya biarpun tidak pernah dilupakan diberi hadiah dengan kenaikan pelbagai jenis barangandan perkhidmatan. 


Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bebanan hidup rakyat sekarang semakin bertambah dengan kenaikan harga petrol, diesel dan gas (LPG).  Katanya, kenaikan harga minyak tentunya akan mengakibatkan barangan pengguna lain akan turut mengalami kenaikan sedikit masa lagi.  "Rakyat di kampung-kampung yang mengharapkan pendapatan dari pokok getah dan berkebun tentunya akan terasa bebanan yang semakin terdesak sekarang.

"Sumber pendapatan yang tidak seberapa diguna untuk membayar yuran persekolahan anak, bil hospital, elektrik dan bermacam-macam lagi, sedangkan harga getah masih lagi di takuk lama," katanya.  Beliau juga begitu hairan dengan kenaikan harga bahan mentah tersebut sedangkan bumi Malaysia kaya dengan sumber petroleum. Katanya, kerajaan Pusat sepatutnya mengambil kira kehidupan rakyat di luar bandar akan menanggung kos kehidupan lebih tinggi ekoran kenaikan harga petrol, diesel dan gas. 

 

Presiden Persatuan Pekerja Islam Kelantan, Wan Nik Yusof Ngah berkata, kerajaan tidak usah mengelabukan mata rakyat dengan mengeluarkan kenyataan kononnya harga minyak di negara jiran lebih mahal berbanding di negara ini. Katanya, harga petrol dan diesel di Indonesia dan Brunei lebih murah berbanding di negara ini, misalnya hanya 47 sen seliter petrol di Indonesia berbanding RM1.20 sen di negara. Begitu juga harga diesel di Indonesia 21 sen seliter dan Brunei (68.14 sen) berbanding Malaysia (70.10 sen). 


"Indonesia yang turut mengalami masalah ekonomi begitu teruk, tetapi masih mampu memberi subsidi begitu banyak ekoran kenaikan harga minyak di seluruh dunia.  "Sedangkan Malaysia yang dikatakan sudah pulih ekonominya, tidak mampu untuk berbuat demikian," katanya.  

Wan Nik tidak menolak kemungkinan kerajaan Malaysia tidak mampu untuk memberi subsidi lebih tinggi, memandangkan banyak duit rakyat digunakan bagi menyelamatkan syarikat-syarikat kroni kerajaan. 

 

Menurutnya juga, peniaga tentunya akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan pengguna kerana mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan yang tinggi sekarang. Katanya, amaran Perdana Menteri supaya peniaga tidak menaikkan harga barang tentunya tidak akan diendahkan kerana mereka terpaksa menanggung kos tinggi.