Ucapan Perbahasan Titah Ucapan DiRaja oleh YB Rantau Panjang

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi Rantau Panjang.

11.23 pagi
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua,saya ingin menyentuh sedikit beberapa perkara sebagai menyambut atau membahasTitah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah disampaikan pada minggu yang lepas.

Tuan Yang di-Pertua, sejak akhir-akhir ini negara kita seperti berada di dalam suasana yang tidak menentu seperti sebuah kapal yang berada di lautan, di tengah tengah ombak yang ganas dan ribut taufan. Nakhodanya pula seperti tidak tahu apa yang hendak dilakukan, lalu banyak kali dipersalahkan kepada orang lain, termasuk anak-anak kapal dan penumpangnya. Sikap nakhoda seperti ini perlu ditukar atau diganti dengan yang lain, kalau dibiarkan ianya akan membahayakan, bukan sahaja kepada kapal akan tetapi juga nyawa manusia yang berada di dalamnya.

Apa yang saya maksudkan ialah pemerintahan negara ini seolah-olah sudah kehabisan idea, sudah bankrap pertimbangan, sudah hilang kewarasan dan juga sudah mati kerasionalannya. Apa tidaknya? Kecelaruan pemerintahan terbukti dengan pengharaman ceramah yang pihak Suhakam sendiri mempertikaikannya.

Demokrasi sudah disempitkan atas berbagai-bagai alasan yang sentiasa diciptakan oleh pemerintah. Keganasan ISA dan keganasan pihak polis yang dipergunakan oleh UMNO untuk menyekat pengaruh BA sentiasa dirancang dan bertindak seolah-olah mengawal sekumpulan binatang liar, bukannya manusia yang serupa dengan mereka. Kerja-kerja fitnah diambil-alih dan dijadikan projek raksasa oleh kementerian-kementerian tertentu khususnya Kementerian Penerangan. Tanpa segan silu menjilat muntah kata-kata mereka sendiri supaya PAS jangan mengungkit-ungkit lagi peristiwa lama iaitu seperti peristiwa Memali. PAS mematuhi nasihat pihak keselamatan, tetapi dengan datangnya seorang Setiausaha Parlimen yang baru yang nampaknya beliau mula bermain dengan api.

Kalau dalam peristiwa Sauk orang ini juga kesal dengan PAS yang mengungkit ungkit perkara orang yang telah mati, tetapi kalau dia yang buat dan mengungkit ungkit perkara orang yang telah mati tidak mengapa pula. Demokrasi ala apa yang semacam ini? Sikap melacurkan kuasa ini sangat-sangat jijik dan jahat sekali.

Penyelewengan PPRT yang masih lagi menjadi tanda tanya bukan sahaja rakyat jelata tetapi pihak-pihak di dalam UMNO sendiri khususnya di Kelantan. Kita ingin tahu bagaimana boleh berlaku sebuah bangunan milik agensi kerajaan iaitu Putra namanya, boleh dibina di atas sebidang tanah Lot 1431 Mukim Buk, Kota Bharu, Kelantan seluas dua ekar 300 depa milik pemimpin tertinggi UMNO semasa dahulu iaitu bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar. Dengan menggunakan dana RISDA. Di mana BPR dalam perkara ini, di mana flying squad yang ditubuhkan oleh kerajaan. Sepatutnya mereka ini telah pergi ke sini untuk menyiasat bagaimana dana kerajaan digunakan di atas tanah milik sendiri.

Mengikut Kanun Tanah Negara dan Kanun Tanah Negeri Kelantan sendiri, apabila sesebuah bangunan kerajaan dibina di atas tanah hak milik seseorang itu maka bangunan itu, harta itu akan dijadikan hak milik negara itu. Sebab itu, sebelum mereka ini mati, sebelum menjadi harta pusaka saya mencadangkan flying squad yang ditubuhkan oleh kerajaan dahulu hendaklah pergi serta merta ke tempat ini untuk menyiasat, bagaimanakah perkara ini boleh berlaku.  Ketakutan dan menyepi diri pihak BPR….

Tuan Saupi bin Daud: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat bagi Tanah Merah bangun.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Sila.

Tuan Saupi bin Daud: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Saya ingin mendapatkan penjelasan sedikit daripada Yang Berhormat mengenai kes PPRT ini. Kerana saya juga membuat soalan dalam Parlimen ini bertarikh 12 Mac tetapi saya merasa malu dengan jawapan yang diberikan oleh pihak kementerian kerana ia menyatakan bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah membuat dua lagi laporan polis iaitu laporan yang dibuat di Kuala Krai iaitu Kuala Krai, Rpt.42/2001 dan juga satu lagi repot di Bukit Besi iaitu Bukit Besi, Rpt. 122/2001.

Padamasa ini pihak polis sedang melengkapkan siasatan ke atas kedua-dua laporan tersebut. Jadi bilakah masalah ini hendak selesai kalau Menteri sendiri pun membuat repot, pihak polis dan BPR tidak memberi layanan, kita hendak menunggu siapa lagi yang membuat repot? Saya minta penjelasan.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Inilah masalah yang ada di hadapan kita dan rakyat sedang melihat perkara ini. Apabila terkena kepada orang yang disayangi juga walau pun jahat tetapi disayangi juga, maka perkara ini ditunggu sehingga mendapat green light daripada pihak atasan. Jadi, kalau polis menyiasat, kalau BPR pun menyiasat dan segala-galanya sudah selesai tetapi kalau pihak yang lebih atas, lebih berkuasa tidak memberi green light, tidak memberi satu arahan untuk mengambil tindakan maka tindakan tidak akan diambil.

Ini kita nampak sekarang ini bagaimana cara, corak pentadbiran kerajaan telah terumbang-ambing, tidak dapat menyelesaikan masalah. Tubuhkan flying squad pun tidak menjadi apa juga, tidak pergi tengok juga.  Ada BPR pun tidak dapat menyelesaikan masalah, ada polis tidak menyelesaikan masalah. Untuk menyelesaikan semua masalah ini ialah orang yang nombor satu di Malaysia ini yang sepatutnya dipersalahkan, barulah perkara ini berjalan segala-galanya. Jadi, Yang Berhormat jangan dukacita kalau perkara ini berlaku walau pun pihak kerajaan sendiri, pihak Menteri sendiri membuat repot tidak menjadi apa orang Kelantan kata. Itu bahasa Kelantan

Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: [Bangun]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya, ada lagi, sila.

Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Setuju ataupun tidak setuju Yang Berhormat sekiranya BPR ini dipindahkan kuasanya kepada Parlimen bukan lagi dibawah dagu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu di bawah Jabatan Perdana Menteri. Setuju ataupun tidak?

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Itu bukan saya sahaja setuju, semua rakyat setuju. Bagi orang-orang yang merasai perkara ini sudah keterlaluan semuanya bersetuju. Terima kasih Yang Berhormat bagi Jeli.

Melakukan serangan fitnah dan penghinaan oleh pemimpin tertinggi kerajaan terhadap bukan sahaja ulama tetapi ajaran Islam itu sendiri, media massa elektronik pula tanpa segan silu menyelewengkan tafsiran Al-Quran sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-kitab tafsir Muktabar. Nabi Muhamad S.A.W telah memberi amaran keras kepada para penyeleweng ayat-ayat itu iaitu mana-mana orang yang mentafsirkan Al-Quran dengan pandai-pandai sendiri maka ia telah menyiapkan satu kerusi dalam neraka.

Cara RTM mentafsirkan ayat dalam Surah Al -Baqarah 190 [Membaca sepotong ayat Al–Quran, surah Al-Baqarah] Jauh terpesong dari maksud sebenarnya. Mereka membaca hanya separuh sahaja daripada ayat tersebut dan tanpa merujuk sebab-sebab turunnya ayat tersebut, di mana para ahli ulama UMNO untuk membetulkan kerja-kerja jahat seperti ini.  Tidak ada seorang pun orang-orang alim dalam UMNO yang memberanikan diri untuk menegur pemimpin mereka yang membuat angkara jahat seperti ini. Saya tidak tahulah barangkali di dalam Dewan ini tentulah memang tidak ramai ahli UMNO, kalau ada seorang dua pun lagi takut. Yang ada di luar Dewan sendiri pun,dilantik oleh kerajaan untuk memperbaiki kerajaan sendiri pun, tidak sanggup lagi membetulkan perkara ini. Ini saya cukup sedih dan bukan saya sahaja, rakyat pun telah melihat perkara-perkara yang berlaku sekarang ini. Menuduh dan mengamalkan fitnah terhadap anak-anak yang belajar disekolah-sekolah rendah..

Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: [Bangun]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya ada lagi? Sila.

Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Oleh kerana yang kita dengar di dalam RTM tafsiran ayat tersebut hanya disebut sebagai, janganlah kamu membinasakan diri kamu, dengan mencedok sebahagian kecil daripada keseluruhan ayat tersebut. Bolehkah Yang Berhormat bagi Rantau Panjang menyatakan sedikit dalam Dewan ini ayat itu hasil daripada sambungan daripada ayat mana, mungkin lebih faham semua yang ada di sini termasuk sahabat-sahabat kita daripada UMNO sendiri.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Kepala ayat tersebut yang sebenarnya ialah [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Baharulah bersambung dengan ayat [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Itu sebenarnya tetapi ia mengambil di tengah sahaja dan hujungnya tidak diambil juga. Hujung ada lagi,hujungnya ialah [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Tetapi semua itu ditinggalkan,diambil tengah-tengah sahaja. Ini perangai orang yang cuba hendak merancang supaya rakyat ini terkeliru, ini caranya. Saya rasa Yang Berhormat bagi Jeli boleh faham, orang lain pun boleh faham.

Tuan Haji Ismail bin Noh: [Bangun]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya, sila.

Tuan Haji Ismail bin Noh: Terima kasih kepada Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Setujukah Yang Berhormat sekiranya saya sebut bahawa ayat ini sebenarnya diturunkan kepada golongan munafikin di Madinah. Di mana golongan munafikin tidak mahu keluar berjuang pada jalan Allah dan sekali gus tidak mahu membelanjakan harta mereka pada jalan Allah. Jadi, untuk itu Allah S.W.T menurunkan ayat perintah, hendaklah kamu membelanjakan harta kamu pada jalan Allah dan jangan sekali-kali kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan. Dalam erti bahawa tidak membelanjakan harta pada jalan Allah dan yang kedua tidak mahu keluar berjihad pada jalan Allah itu memberi erti bahawa mencampakkan diri di dalam kebinasaan. Itu makna asalnya, bukan di sebaliknya. Sekarang ini ayat ini digunakan oleh Kementerian Penerangan dan saya minta,setujukah Yang Berhormat supaya ulama-ulama dalam UMNO supaya membetulkan kefahaman ayat ini supaya tidak dikelirukan dan rakyat tidak terkeliru dengan kenyataan-kenyataan ini, setujukah?

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Setuju sangatlah tetapi walau pun saya setuju tetapi saya yakin ulama UMNO tidak berani hendak membetulkan perkara ini. Sedangkan Perdana Menteri sendiri Presiden UMNO waktu membaca ayat Al-Quran di dalam persidangan UMNO dahulu iaitu ada satu ayat yang dibacakan, saya terlupa ayat itu, tidak dibetulkan. Sampai ke RTM disiarkan berbulan-bulan baharulah dibetulkan. Ada yang tidak kena dari segi mahraj yang tidak kena, yang pendek dipanjangkan, saya lupa ayat ini, kalau saya ingat, saya akan bacakan balik ayat yang dibacakan oleh Perdana Menteri ketika itu.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat bagi Bachok bangun.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Menyambung kepada ayat Surah Al-Baqarah tadi, satu tafsir yang dikemukakan oleh pihak Dr. Hamka dalam Tafsir Al Azhar yang menghujahkan bahawa ada segolongan ulama yang dikenali sebagai ulama ‘usuk’ yang telah diupah oleh pihak penjajah pada masa itu untuk menggunakan ayat [Membacakan sepotong ayat Al-Quran] Ini sebagai satu sandaran untuk mematikan jihad ataupun semangat perjuangan jihad di kalangan umat Islam dalam menghadapi dan memerangi kuasa penjajah yang menjajah bumi umat Islam pada masa itu. 

Jadi, dalam konteks yang sama pihak RTM telah menggunakan ayat, dalam konteks yang sama juga cuba untuk menyindir dasar-dasar Islam yang dibawa oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan dalam konteks yang sama juga untuk meletakkan supaya imej buruk kepada perjuangan umat Islam Afghanistan. Jadi, sekali gus ia memberi suatu keadaan yang boleh difahami mengikut tafsir Dr Hamka dalam Tafsir Al–Azhar nya ialah cara RTM itu juga cara meniru penjajah yang menggunakan hujah golongan ulama ‘usuk’ ini untuk mematikan perjuangan Islam dalam konteks yang sama. Minta penjelasan.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Terima kasih, Yang Berhormat bagi Bachok. Memang kalau kita lihat dan perhati betul-betul sekarang ini, banyak di kalangan pemimpin UMNO cuba mencari jalan bagaimanakah untuk mencelarukan pemikiran rakyat dengan hujah-hujah yang digunakan. Mereka ini sentiasa menggunakan ulamak untuk kepentingan politik mereka, menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka. 

Walaupun mereka ini tuduh kita, tetapi jelas bagi orang yang memerhati, orang yang cerdik pandai di zaman sekarang ini, melihat cara dan corak aliran pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO yang sentiasa mencari jalan untuk mencelarukan pemikiran rakyat sekarang ini, terutama sekali rakyat di zaman mutakhir ini, rakyat sudah sedar, sedang mencari ketenangan jiwa, sedang mencari satu jalan yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang ini, tetapi pemimpin-pemimpin UMNO cuba mencelarukan pemikiran rakyat di zaman akhir ini.

Tuan Yang di-Pertua, gelaran pemimpin kerajaan dalam soal aurat…..

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Bangun] 

Seorang Ahli: Bangun sudah! [Ketawa]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Boleh, boleh!

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: Terima kasih, Yang Berhormat. Saya dengar ucapan Yang Berhormat dari luar, sebab itulah saya masuk.Tadi Yang Berhormat kata UMNO cuba mengelirukan rakyat dengan isu agama. Saya hendak tanya Yang Berhormat, sejak akhir-akhir ini PAS juga memainkan peranan yang sama, contohnya dalam Harakah. Mengapa dalam Harakah ini, versi Bahasa Inggeris kata ulamak boleh dikritik dan dia bukannya nabi, tetapi, pendirian PAS pula sebenarnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada ulamak kerana dia adalah pewaris nabi?. Jadi, di dalam Harakah juga telah bercanggah dan Ketua Pemuda PAS kata,dia hendak buat penyiasatan macam mana percanggahan ini boleh berlaku. Sudahkah penyiasatan ini dibuat? Dan mengapa percanggahan ini boleh berlaku didalam Harakah sendiri?

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya! Terima kasih. Barangkali Yang Berhormat Setiausaha Parlimen tidak faham. PAS tidak mengatakan tidak boleh dikritik ulamak, PAS, tetapi tidak boleh dicerca. Maksud dicerca ini, tidak boleh kata hodoh pada ulamak. Kritik tidak apa, itu biasa kritik, oleh sebab itu mursyidul-am PAS telah menjawab dengan jelas bahawasanya ulamak boleh dikritik tetapi tidak boleh dicerca, tidak boleh dihina. Dan, Ketua Pemuda suruh siasat, biasalah. Siasat itu, biasalah. Itu siasat.

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Bangun]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ada lagi? Ha! Boleh! 

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Lampu pembesar suara tidak menyala] Sudah tutuplah. Terima kasih, akhir sekali hendak bertanya Yang Berhormat: Kalau mursyidul-am kata boleh dikritik, tidak boleh dicerca tetapi baru-baru ini saya tengok televisyen, tidak tahulah kalau Yang Berhormat kata itu sandiwara. Mursyidul-am PAS ini mengeluarkan perkataan "barua" kepada seorang yang kita tengok sebagai tokoh agama. Jadi, bukankah itu merupakan satu caci ataupun kritik. Tetapi itud alam televisyenlah. Mungkin Yang Berhormat kata itu sandiwara atau rakaman palsu dan sebagainya.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya tidak mengatakan apa yang ditunjuk dalam televisyen itu tidak betul dan perkataan itu pun memang perkataan betul. Bagi orang Kelantan perkataan ’barua" itu biasa sahaja, orang yang diperalat. Seperti kata begini, serupa Yang Berhormat jadi barua UMNO, Yang Berhormat menjadi barua Perdana Menteri, biasalah. Apa yang Perdana Menteri suruh, Yang Berhormat buat, itu biasalah. Alat, perkakas, itu makna barua. Bagi orang Kelantan maksud barua ini, kalau kita orang suruhan lain sikit. Kalau kita orang suruhan ini ……..

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Bangun] 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat,Setiausaha Parlimen bangun lagi.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Nanti! Saya hendak hurai dahulu. Kalau kita ……

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya hendak hurai dahulu! Nanti dahulu, ini my floor, my floor! Nanti saya hendak huraikan dahulu! 

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Nanti, saya hendak hurai dahulu! Duduk dahulu! Duduk dahulu!

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk] 

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Duduk dahulu! Ini tidak faham ni! Duduk dahulu!

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ini yang orang kata tidak faham!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, …...

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya baru hendak hurai makna"barua". Barua ini ………[Disampuk]. [ Duduk dahulu!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, ini bukan padang bola sepak!

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ini tidak faham! Ini betul-betul barua! 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi Shah Alam.

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Inilah betul-betul barua! Orang panggil ini, maknanya apabila Perdana Menteri suruh……

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, sila gulung, sila gulung.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya. Saya hendak gulung.

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Hendak gulung sekejap ni.Ternyata sekarang ini bahawasanya ramai di kalangan UMNO ini tidak faham, bukan tidak faham cara memikir, bahasa pun tidak faham lagi! [Disampuk] Kalau bahasa tidak faham, jauh lagilah hendak faham cara pemikiran PAS, jauh ketinggalan.  Jadi, kesimpulannya satu perkataan yang disebut oleh PAS, itu pun tidak faham. [Ketawa] Nampak bahawasanya ternyata sekarang ini ……

Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi Shah Alam.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ternyata sekarang ini sebahagianbesar di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO hanya menjadi barua PerdanaMenteri!  Sekian, terima kasih.