Membahas Peringkat Dasar Akta Perancangan Bandar dan Wilayah
(persidangan Parlimen ke-10, Penggal Ketiga, mesyuarat ke-2) 
 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  [Bangun]   

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya  sila. Oh ada berdiri lagi. Ya Yang Berhormat bagi Bachok.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Minta maaf Menteri ada berdiri lagi.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan pihak Menteri. Saya merujuk kepada Fasal  7. Yang pertama berhubung dengan keanggotaan Majlis  Perancang Fizikal Negara  di bawah 2A(1)(c). Tadi pihak Menteri ada menyebutkan  bahawa keanggotaan Menteri dalam  jawatankuasa ini adalah Menteri yang  strategik, itu satu ungkapan yang  penuh abstrak bagi saya  dan saya ingat menteri-menteri  yang dimaksudkan strategik itu perlu diperjelaskan lebih-lebih  lagi untuk membutirkan  taraf Menteri ataupun kementerian-kementerian  yang diwakilkan oleh pihak  Menteri berkenaan.

Kemudian di bawah (g) dalam seksyen yang sama iaitu  Menteri Besar dan Ketua Menteri  di setiap negeri adalah anggota   secara tetap. Mengikut butiran ini  apa yang berlaku pengalaman kepada Kelantan sebagai negeri pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan. Ada jawatankuasa yang  Menteri Besar sepatutnya dilantik tetapi tidak dilantik. Jadi, saya ingin penjelasan  daripada pihak Yang Berhormat Menteri  jaminan sebenar bagi memastikan  komitmen dan keterlibatan secara langsung  Menteri Besar dua negeri yang  membangkang ini untuk hadir dan  turut serta dalam Majlis Perancang  Fizikal Negara. Kerana pengalaman daripada  Kelantan dalam Majlis Keselamatan Negeri, Menteri Besar Kelantan  telah disingkir keluar daripada  keahlian dan tidak terlibat. Ini suatu perkara yang  dianggap hubungan di antara  G  to G  Persekutuan dengan negeri.

Kemudian  di bawah Fasal 11,  seksyen 6A(3)(c) keahlian  tidak lebih daripada empat orang  mewakili kerajaan setiap negeri duduk dalam Jawatankuasa Perancang Wilayah. Saya ingin mendapat penjelasan dari sudut panduan sebenar pihak kementerian  untuk pihak negeri melantik  selain daripada yang wajib di sini ialah   Pengarah Perancang Wilayah Negeri. Selain daripada pengarah tiga lagi itu  ialah siapa dari sudut panduan untuk membuat lantikan kepada  pihak  kerajaan negeri. Adakah  ianya  adalah daripada  Ahli Exco kerajaan negeri yang mewakili  pihak perancang wilayah atau sesiapa  lagi pegawai-pegawai yang dianggap munasabah untuk dilantik  dalam jawatankuasa ini memandangkan  rancangan wilayah dalam konteks  negeri terutama negeri yang  ketinggalan dari sudut pembangunan wilayah perlu kepada komitmen yang jelas dari sudut kepegawaian  yang mampu untuk memberi   suatu sumbangan yang terbaik pada perancang wilayah dalam negeri berkenaan. Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya, Yang Berhormat bagi Machang, selepas itu Menteri menjawab.

1220 tgh.

            Tuan Mohd. Yusoff bin Mohd. Nor [Machang]:  Terima kasih  Tuan Pengerusi.  Saya juga ingin menyentuh Fasal 7 dalam pindaan ini.  Saya nampak yang paling ketara tidak ada disebut dalam seksyen ini ialah menteri yang bertanggungjawab tentang JKR dan Alam Sekitar.  Saya rasa masalah perancang ialah masalah pembangunan pada masa akan datang dan sebagaimana yang saya tahu bahawa JKR mempunyai perancangannya sendiri dan kerana itu banyak permohonan untuk kelulusan pelan pembangunan kemajuan tanah dan sebagainya terpaksa menunggu beberapa tahun kadang-kadang sampai empat tahun oleh kerana perkara itu terpaksa dirujuk kepada  JKR yang mempunyai pelan atau perancangannya sendiri dan kerana itu saya rasa perlulah Menteri JKR diletakkan dalam Jawatankuasa Perancang  Fizikal Negara ini.

Begitu juga dalam Fasal yang ke- 11 ini iaitu Jawatankuasa Perancang Wilayah.  Saya rasa ia ada hubungan rapat dengan  pembangunan pelancongan dan sebagainya seperti katakan di Kelantan dan Pahang, masalah perancangan pembangunan di Gunung Tahan misalnya ada hubungan rapat dengan  masalah perancangan pelancongan dan sebagainya.  Saya rasa perlu dalam Jawatankuasa Perancangan Wilayah ini Jabatan Pelancongan dan Alam Sekitar perlu ada dalam Jawatankuasa Perancangan Wilayah ini. 

            Perkara yang lain ialah Fasal 9 yang mengatakan bahawa di kawasan-kawasan luar Majlis Tempatan, Pengarah Perancangan Negeri adalah menjadi authority dalam bahagian perancangan ini.  Pada masa lepas kawasan di luar Majlis Daerah ini pihak berkuasa perancangan tempatan ialah DO ataupun kalau di Kelantan Pegawai Jajahan.  Sekarang ini diletakkan kepada Pengarah Perancang Negeri menggantikan DO. 

Jadi masalah yang akan timbul saya rasa ialah apabila orang membuat rumah di kawasan-kawasan luar bandar ini yang memerlukan SKD untuk mendapat terutama mereka yang meminjam wang daripada bank ataupun Perbendaharaan memerlukan kepada  SKD.  Kalau dahulu SKD dikeluarkan oleh DO dalam kawasan-kawasan yang di luar Majlis Tempatan.  Sekarang ini nampaknya akan dikeluarkan oleh Pengarah Perancang Negeri. 

            Masalah yang saya takut ialah mungkin untuk mendapat SKD ini akan memakan masa yang lama oleh kerana Pengarah Perancang Negeri adalah seorang.  Kalau dahulu DO ramai, tiap-tiap jajahan atau daerah itu mempunyai pegawai jajahan atau pegawai daerah tetapi sekarang diletakkan di bawah seorang sahaja di peringkat negeri.  Maka ini mungkin akan menyebabkan kelewatan dalam pengeluaran SKD bagi rumah-rumah di luar kawasan Majlis Tempatan. 

Itulah sahaja yang saya ingin sebutkan di sini. 

            Tuan Pengerusi [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Ya, sila Menteri.

12.26 tgh.

            Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Dato' Seri Ong Ka Ting]: 

            Jadi Jawatankuasa Perancang Negeri akan pastikan ada satu rancangan tempatan disediakan dan jangan tengok Pengarah Perancang itu macam Federal Officer, jadi dia kata kita ambil kuasa.  Pengarah Perancang Negeri itu adalah Setiausaha kepada  Jawatankuasa Perancang Negeri dan dia ditempatkan di negeri-negeri dan di situ dia ada banyak pegawai perancang membantu dalam peringkat negeri dan Setiausaha ini kena ambil arahan daripada jawatankuasa peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.  Tidak kira dia di Kelantan, di Terengganu atau di mana-mana, pengerusinya adalah Menteri Besar.  Sebenarnya pindaan ini telah pun menjadikan keseimbangan antara kerajaan negeri dan PPT dan masing-masing ada check and balance, dengan izin.  Jadi kalau kita tengok betul-betul, semangat dia memang macam itu, bukan sebaliknya. 

            Tuan Pengerusi, Yang Berhormat bagi Bachok tadi ada kata tadi Fasal 7.  Dalam rang undang-undang kita sudah begitu jelas, kalau kita tidak tulis siapa yang akan menganggotai Majlis Perancang Fizikal Negara, mungkin dia akan buat macam-macam tetapi di sini sudah tulis dengan  jelas iaitu bukan sahaja Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri yang strategik pun sudah tulis di sini.  Menteri Kewangan, menteri yang bertanggungjawab bagi tanah, menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan.  Jadi sesiapa yang lain kalau bukan menteri ini dia tidak jadi menteri yang strategik yang saya sebut kerana ini kegiatan perancangan, it is a planning matter, dengan izin,  jadi mesti libatkan orang yang ada kaitan dengan  perancangan.

Tadi saya katakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar jadi Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri, kita masukkan dalam seksyen ini dengan sejelas-jelasnya.  Tadi ada tanya juga Fasal 11, seksyen 6A siapa yang tiga orang lagi dalam Jawatankuasa Perancang Negeri.  Sudah di sini kata tiga, tidak lebih daripada empat orang mewakili Kerajaan Negeri setiap negeri dalam wilayah itu, ini Jawatankuasa Wilayah yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri.  Pihak Berkuasa Negeri ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar.  Tetapi di sini kita tetapkan seorang hendaklah Pengarah Negeri yang bertanggungjawab dengan perancang.  Ketiga-tiga yang lain, jadi kita serahkan kepada  Kerajaan Negeri untuk menetapkan siapa yang lebih sesuai.  Ini sudah jelas di sini tidak ada yang dikatakan mungkin nanti Kerajaan Persekutuan hendak pilih siapa, saya rasa itu tidak timbul. 

            Jadi, Tuan Pengerusi, Machang ada kata Yang Berhormat Menteri Kerja Raya dan saya sudah jelaskan tadi, Jawatankuasa Perancang Negeri akan jadi pihak agensi yang penting untuk kalau dia ada kaitan dengan  Menteri Kerja Raya, Kerja Raya kena runding dengan  Jawatankuasa Perancang Negeri untuk meluluskan sesuatu projek ataupun menjadikan sesuatu pembangunan itu.  Jadi di peringkat rundingan itu sudah ada, sudah cukup.   Jadi kalau kerja yang detail ini semua hendak bawa ke Majlis Fizikal Negara, saya rasa Majlis Fizikal Negara ini sudah jadi Jawatankuasa Kerja, tidak ada masa lagi hendak sampai peringkat atas sekali. 

Jadi majlis ini adalah majlis yang hanya akan bincang mengenai perkara-perkara yang prinsip, yang lebih dasar, yang lebih besar.  Jadi tidak perlu kita masukkan semua menteri.  Kalau masukkan semua menteri, dia jadi Kabinet pula ataupun dia macam majlis Menteri Besar ataupun satu jawatankuasa besar-besar tetapi ramai sangat menteri di situ, lagi ramai lagi tugas itu tidak akan fokus kepada  perancangan bandar dan desa. 

            Tuan Pengerusi, yang kata bina rumah di luar bandar ini saya rasa jangan bimbang sangat.  Hendak membina rumah atau pelan bangunan itu bukan masalah perancangan.  Perancangan ini adalah planning matter sahaja yang kelulusan apa yang selama ini dijalankan masih kekal di Pejabat Daerah, Pegawai Daerah dan juga pihak berkuasa tempatan, tidak hilang kuasa, masih di situ.  Cuma aktiviti perancangan seperti kalau kita hendak buat satu pembangunan projek rumah yang besar, tiba-tiba satu ribu unit rumah hendak dibina sebelah kampung. 

Jadi pada keseluruhannya saya rasa saya sudah jawab perkara-perkara yang dibangkitkan.  Terima kasih