Ucapan Membahas Peringkat Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Persekutuan
 

Tuan Pengerusi:  Yang Berhormat bagi Bachok, lepas itu Menteri menjawab.

6.22 ptg.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]:  Tuan Pengerusi, saya merujuk kepada Fasal 7, satu kekeliruan dan mungkin suatu penjelasan yang tidak nampak daripada jawapan Menteri tadi.

            Berhubung dengan mengganti umur 55 tahun kepada suatu umur persaraan paksa bagi anggota perkhidmatan. Kekeliruan timbul daripada huraian di bawah Perenggan 6 telah memberi suatu maksud yang lain iaitu Fasal 7 rang undang-undang ini supaya sebutan tentang umur 55 tahun dalam Fasal 2, Perkara 65 diubah supaya mereka tidak lagi memegang jawatan apabila mereka mencapai umur persaraan wajib.  Perkataan ‘wajib’ ini diterjemahkan daripada Bahasa Inggerisnya ‘compulsory’, dengan izin, dan dalam teks Bahasa Malaysia pada Fasal 7 ini digunakan umur persaraan paksa, ini suatu kekeliruan daripada sudut fahaman dan pemakaian.  Saya ingin mendapat penjelasan yang sebenar.

            Kemudian merujuk kepada Fasal 8 di bawah rasionaliti, saya ingin mendapat suatu penjelasan rasionaliti keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada tiga ditambah lima, adakah ia semata-mata kerana tuntutan daripada keperluan pihak negeri Sabah dan Sarawak ataupun keperluan dari sudut gerak kerja SPR, dari sudut masa depan pengurusan pilihan raya sendiri kerana dua orang yang ditambah itu sudah pasti melibatkan kos dan juga pengurusan-pengurusan dari sudut belanjawan.

            Kemudian, merujuk kepada Fasal 9 di bawah ……..

            Tuan Pengerusi:  Yang Berhormat, Yang Berhormat dalam dasar telah pun bersetuju kata ditambahkan kepada ……

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  …saya ingin mendapat penjelasan Tuan Yang di-Pertua, penjelasan sebenar sebab daripada penggulungan Menteri tidak diberi penjelasan apa yang dikelirukan.

            Tuan Pengerusi:  Ya.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Dan akhir sekali Fasal 9 ini merujuk kepada kemasukan perenggan baru mengenai dengan pendaftaran pemilih dalam bahagian pilihan raya yang dia bermastautin pada tarikh kelayakan.

            Apa yang menjadi suatu kekeliruan ialah dari sudut had sebenar tempoh untuk mendaftar pemilih, adakah pada suatu tarikh sepenuhnya untuk satu tahun.  Yang kedua, dalam tahun kelima penggal pilihan raya adakah had ini untuk mendaftar secara terbuka dari sudut maksud pendaftaran pemilih secara terbuka? 

Yang ketiga, kemungkinan-kemungkinan dari sudut perlindungan perundangan kerana kemungkinan untuk penipuan di sebalik taraf pemastautin itu boleh dibuat dengan mendaftar kad pengenalan dan diubah.  Yang sebenarnya sebagaimana maksud daripada komen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada suatu masa, saya mendengar sendiri (kenyataan mempertikai cara pendaftaran pemilih oleh SPR) …..

            Dato' Haji Ahmad Husni bin Mohd. Hanadzlah:  Point of order, Tuan Pengerusi.  Saya hendak kemukakan Point of order,  saya minta ruling daripada Tuan Pengerusi.

            Tuan Pengerusi: Ya?

            Dato' Haji Ahmad Husni bin Mohd. Hanadzlah:  Saya baca Peraturan Mesyuarat 57(1) Aturan Dalam Jawatankuasa Sesebuah Majlis Yang Menimbangkan Rang Undang-undang.  “Setiausaha hendaklah menyebutkan nombor tiap-tiap fasal ataupun fasal dalam rang undang-undang itu selepas satu fasal-satu fasal.  Jika tidak ada pindaan dicadangkan pada satu fasal atau setelah selesai segala pindaan dicadangkan, maka Pengerusi hendaklah mengemukakan kepada mesyuarat masalah iaitu fasal ini (seperti yang telah dipinda jadi sebahagian daripada rang undang-undang ini).”

            Jadi, itu sahaja yang saya fahamkan Jawatankuasa mengikut aturan ini.  Jadi, saya minta ruling daripada Tuan Pengerusi.

            Tuan Pengerusi:  Ya, saya sudah buat ruling tadi jikalau sekiranya sudah setuju di atas dasarnya, maka tidak bolehlah siapa-siapa membuat bangkangan.  Saya hanya membenarkan siapa-siapa yang hendak membuat komen ataupun hendak bertanya sedikit sebanyak itu boleh dibenarkan.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Saya sambung sedikit lagi Tuan Pengerusi, maksud saya untuk mengakhiri maksud.  [Disampuk]  Sedikit lagi minta maaf ya.

            Di bawah Fasal 9 tadi kemungkinan penipuan di sebalik amalan perundangan kerana dari sudut kad pengenalan tadi, dari sudut jaminan perubahan alamat mengikut di mana dia akan mendaftar dia boleh dibuat dengan urusan pihak Jabatan Pendaftaran Negara.  Sekian, terima kasih.