Peranan Polis Dalam Konteks Sosial
 
Soalan Tambahan mengenai peranan polis dalam konteks sosial, khususnya di kawasan perumahan.

Soalan asal daripada YB Dato' Zulhasnan bin Rafique [Wangsa Maju] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada pihak DBKL mempunyai rancangan untuk menempatkan anggota-anggota polis bermastautin dalam flat-flat baru dan lama di seluruh ibu kota dalam usaha mencegah kegiatan jenayah menjadi-jadi di kawasan ini.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua,  soalan tambahan.  Mengenai penglibatan polis secara aktif dalam aktiviti sosial khususnya di kawasan perumahan.  Saya ingin mendapat pandangan pihak Timbalan Menteri berhubung dengan kewujudan kemudahan-kemudahan yang ada di kawasan perumahan seperti institusi sosial, PIBG, institusi jawatankuasa masjid atau Rukun Tetangga.  Sejauh mana pandangan pihak kerajaan dalam menyambung suatu nilai motivasi supaya pihak polis ini dapat berkongsi dari sudut pemikiran menerusi jawatankuasa-jawatankuasa sosial yang wujud di kawasan perumahan-perumahan ini agar peranan pihak polis ini tidak tertumpu dari sudut perundangan semata-mata.  Terima kasih.

Tengku Dato' Seri Azlan ibni Sultan Abu Bakar:  Terima kasih Yang Berhormat.  Saya rasa sudah ada program-program yang telah diadakan untuk merapatkan lagi perhubungan di antara pihak polis dan pihak-pihak seumpamanya Rukun Tetangga dan badan-badan yang lain yang rasa saya tujuannya sama untuk mengawal keadaan, untuk mengurangkan jenayah-jenayah yang berlaku di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur ini dan sudah tentu rasa saya pada suatu masa ke suatu masa pihak yang bertanggungjawab ini akan sentiasa memantau keadaan di kawasan perumahan, di kawasan-kawasan di dalam Bandaraya Kuala Lumpur ini.

            Saya merasakan baru-baru ini kalau kita tengok dalam akhbar atau kita baca dalam akhbar bahawasanya kerajaan juga telah memberi sedikit-sebanyak peningkatan daripada segi peruntukan kepada pihak Rukun Tetangga untuk mereka lebih bergiat dan juga dapat memberi kerjasama kepada pihak-pihak penguatkuasaan di sekitar bandar Kuala Lumpur.