Perlaksanaan Info-Desa oleh Kementerian PLB
 
Jawapan Menteri mengenai program celik IT - projek info-desa.
 
Soalan yang dibangkitkan pada 2 Ogos 2001.
 
Soalan Tuan Wan Nik Bin Wan Yussof (Bachok) minta MENTERI PEMBANGUNAN LUAR BANDAR menyatakan jumlah pusat info-desa yang telah dilaknsanakan mengikut negeri-negeri. Nyatakan apakah kriteria yang dipakai dalam pemilihan sesuatu tempat bagi membuka pusat info-desa?
 
JAWAPAN:
 
TuanYang Dipertua,
 
1. Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Program Info-Desa telah melaksanakan projek perintis Medan Info-desa (MID) di enam buah kampung di kawasan luar bandar, iaitu empat di Semenanjung, sebuah di Sabah dan sebuah di Sarawak. Enam projek perintis itu adalah:
 
 i)  Kampung Kok Klang, Padang Besar, Perlis (e-KokKlang)
ii) Kampung Bujang, Kuala Muda, Kedah (e-Bujang)
iii) kampung Sg. Gulang-Gulang, Kuala Selangor, Selangor (e-Gulang)
iv) Kampung Buntal, Santubong, Sarawak (e-Buntal)
v) Kampung Bayangan, Keningau, Sabah (e-Bayangan)
vi) Kampung Parit Tengah Seri Merlong, Batu Pahat, Johor (e-PakNgah)
 
2. Kementerian ini merancang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu pusat di setiap daerah luar bandar di seluruh Malaysia di dalam Rancangan Malaysia Kelapan.
 
3. Di antara kriteria pemilihan Medan Info-Desa (MID) ini adalah seperti berikut:
i) Kampung Gerakan Desa Wawasan
ii) Tumpuan kepada daerah luar bandar yang mempunyai talian telekomunikasi yang mencukupi
iii) Sekurang-kurangnya pernah menjadi johan PKKK sama ada di peringkat Daerah, Negeri atau Kebangsaan
iv) Hanya satu kampung akan dipilih menjadi MID bagi setiap daerah
v) Mempunyai bilangan penduduk kampung sekurang-kurangnya 1,000 orang penduduk.
 
Komentar daripada YB Bachok:
Nampaknya tidak adalah peluang bagi kerajaan Negeri Kelantan/ Terengganu mendapat projek Medan Info-Desa (MID) kerana kriteria hanya kepada kampung yang diiktiraf oleh Kem PLB; Gerakan Desa Wawasan. Ini bermakna kampung-kampung yang bertaraf Desa Wawasan di Kelantan/Terengganu sahaja yang boleh dan kampung-kampung di bawah program Desa Taqwa (Kelantan) kerajaan Negeri adalah tidak dapat dipertimbangkan.