Penyusunan Kurikulum Pendidikan
 
Langkah penyusunan semula kurikulum pendidikan ditanya di parlimen.
 
Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.  Dan terima kasih kepada pihak Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, nampak jawapan ada standard hari ini. 

            Isu yang dibangkitkan tadi ialah fokus kepada mengkaji semula kurikulum pendidikan ini dengan mengambil kira relevansi dengan keadaan semasa.  Oleh kerana itu, saya menyedari perkara ini dalam pertimbangan pihak kementerian memandangkan isu digital divide ataupun jurang digital ketara sekarang, isu moral, disiplin pelajar, di kalangan belia muda mudi dan isu ketidakbolehan berdikari selepas tamat pendidikan di peringkat menengah.

            Oleh kerana itu, saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kementerian apakah dalam proses untuk melaksanakan penstrukturan semula sistem pendidikan negara ini yang disebut P.12 tadi, mengambil kira untuk membanyakkan masa bagi pendidikan Islam dan moral, yang keduanya untuk mengkaji semula dari sudut prestasi dan juga kurikulum pendidikan sejarah itu sendiri, dan yang ketiga ¡¦.

            Timbalan Yang di-Pertua  [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Cukuplah Yang Berhormat.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Isunya ¡¦..

            Timbalan Yang di-Pertua  [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Cukup, cukup, Yang Berhormat!  Cukuplah sudah dua.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Satu lagi ialah disudut asas teknologi.

            Timbalan Yang di-Pertua  [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Cukup, cukuplah Yang Berhormat!  Cukuplah.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Sudah cukup ya?

            Timbalan Yang di-Pertua  [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Cukup!  Ya, cukup, cukup!  Sila jawab, ya.

            Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir:   Terima kasih Yang Berhormat daripada Bachok kerana mengambil perhatian dan memberi komen yang baik terhadap saya.  Dan saya ingin juga menyatakan bahawa kita Kementerian Pendidikan di bawah Kerajaan Barisan Nasional tidak pernah mempolitikkan pendidikan kecuali ada pihak-pihak yang tertentu sahaja kadangkala membuat tuduhan kepada kita bahawa kita gunakan sekolah dan sebagainya.  Ini tidak benar.

            Mengenai dengan jurang digital yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat, memang ini menjadi agenda utama pihak kita untuk mewujudkan suasana di mana harapan kita supaya tidak ada jurang digital.  Bagi kita kalau ada jurang digital ini bermakna akan wujud juga jurang ilmu antara bandar dan luar bandar.  Oleh itu, kita telah mengambil langkah-langkah di mana pendedahan kepada ICT itu dipertingkatkan, malah hari ini telah pun kita memulakan dengan mewujudkan makmal komputer di sekolah-sekolah.

            Saya berharap, Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi setiap kawasan harap bersabar, kalau ini agak terlewat sedikit, memang dalam perancangan kita dapat diselesaikan sebelum tahun 2005 nanti.  Oleh itu, saya ingin nyatakan juga di sini dalam program kita itu sentiasa kita menanamkan semangat supaya anak-anak muda ini mempunyai nilai hidup yang baik, bukan dipesongkan oleh mana-mana pihak.

            Mengenai dengan perkara Islam dan moral tadi, memang kita telah mewajibkan malah kita telah mengambil langkah-langkah yang tertentu supaya keberkesanannya itu dapat diterap kepada anak-anak kita.  Bila kita sebut Islam, tidaklah boleh kita anggap di sini hanya perkara-perkara yang remeh-remeh sahaja, tetapi kita harus menanamkan sifat nilai murni yang baik di kalangan anak-anak muda kita.  Harapan kita janganlah ada pihak yang tertentu menyalahgunakan Islam itu untuk kepentingan politik persendirian. 

            Mengenai dengan kurikulum sejarah, baru-baru ini kita telah mengadakan satu seminar, untuk pengetahuan Ahli Yang Berhormat, untuk membaiki lagi kurikulum sejarah di mana penekanannya ialah patriotisme.  Di sinilah saya berharap benar daripada Ahli-ahli Yang Berhormat daripada pembangkang memberi sokongan kepada kita iaitu menanam nilai dan semangat patriotisme di kalangan anak-anak kita supaya mencintai negara ini.  Ini yang harus kita tekankan.  Terima kasih.