Bangkitkan Isu Kenaikan Pangkat Profesion Perguruan JPN
 

YB Wan Nik Wan Yussof (Bachok) mengemukakan soalan tambahan berhubung dengan kenaikan pangkat profesion perguruan   Kementerian Pendidikan dan kedudukan Pengarah JPN Kelantan yang baru; soalan asal adalah daripada Tuan Wilfred Madius Tangau [Tuaran] yang berbunyi:

"...minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perbezaan di antara tangga gaji, kuasa dan kedudukan jawatan dalam hierarki Jabatan Pendidikan, di antara pegawai pendidikan daerah (PPD) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.  Kenapakah wujudnya perbezaan ini dan adakah kerajaan bercadang untuk menyelaraskan jawatan PPD di seluruh negara".

 Jawapan:

            Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan [Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir]:   Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.  Jawatan hakiki pegawai pendidikan daerah di Sabah dan Sarawak ialah pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma gred DGA4. Manakala di Semenanjung ialah pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah gred DG2. Saya harap Yang Berhormat dapat fahamkan ini.  Oleh yang demikian, kedudukan jawatan dan tangga gaji pegawai pendidikan daerah di Sabah dan Sarawak adalah berbeza daripada pegawai pendidikan daerah di Semenanjung.

            Di Sabah dan di Sarawak pegawai pendidikan daerah adalah bertanggungjawab kepada pegawai pendidikan bahagian yang mana pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah gred DG2 yang bertanggungjawab kepada Pengarah Pendidikan Negeri.  Manakala di Semenanjung, pegawai pendidikan daerah adalah bertanggungjawab terus kepada Pengarah Pendidikan Negeri.

            Untuk makluman, perbezaan ini wujud oleh kerana di Sabah dan di Sarawak terdapat pejabat pendidikan bahagian.  Fungsi dan tanggungjawab pejabat pendidikan bahagian, di Sabah dan di Sarawak ini adalah setanding dengan pejabat pendidikan daerah di Semenanjung.

            Kementerian memang bercadang mengkaji semula untuk menaikkan kedudukan taraf pejabat pendidikan daerah dan gred jawatan pegawai pendidikan daerah di Sabah dan Sarawak kepada pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah gred DG2 supaya dapat diselaraskan dengan pejabat pendidikan daerah di Semenanjung dengan mengambil kira keperluan memansuhkan pejabat pendidikan bahagian di Sabah dan Sarawak.

            Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, jumlah pejabat pendidikan bahagian di Sabah ialah sebanyak enam buah, manakala di Sarawak sebanyak tujuh buah.  Jumlah pejabat pendidikan daerah di Sabah ialah sebanyak 26 buah, manakala di Sarawak ialah sebanyak 19 buah.  Terima kasih.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.  Terima kasih kepada jawapan daripada Yang Berhormat Setiausaha Parlimen kerana memberi suatu keyakinan kepada pihak guru bahawa berlakunya kenaikan pangkat dalam perkhidmatan guru daripada DG3, DG2, DG1 dan disebutkan tadi DGA2 dan sebagainya. Logiknya kenaikan pangkat ini khususnya kepada jawatan pegawai pendidikan daerah (PPD) berlaku daripada pengalaman mereka yang pernah menjadi guru-guru besar dan sedikit peluang untuk mereka daripada guru-guru biasa.

            Persoalannya, ialah dalam kes perjawatan kepada pengarah pendidikan negeri, sejauh pihak kementerian mengambil kira dari pengalaman pegawai-pegawai di peringkat PPD ini untuk dinaikkan pangkat sampai kepada pihak pejabat pendidikan negeri sama ada di peringkat timbalan pengarah ataupun pengarah.  Sebab apa yang berlaku dalam kes yang terbaru di Kelantan, penolong pengarah negeri telah diberi peluang untuk memangku jawatan Pengarah Pendidikan Negeri, tiba-tiba yang datang untuk menduduki jawatan pengarah itu ialah seorang pengetua daripada maktab perguruan, minta penjelasan dalam isu ini.  Terima kasih.

            Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir:   Saya mula-mula saya ingat Yang Berhormat Bachok  hendak bangkitkan masalah PPD di Sabah dan Sarawak.  Jadi Tuan Yang di-Pertua, boleh saya jawab mengenai dengan Kelantan?

            Tuan Yang di-Pertua:  Ya, sila, sila.

            Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir:   Terima kasih.   Kalau Tuan Yang di-Pertua bagi kebenaran, saya akan jawablah.  Jadi mengenai naik pangkat ini, memang kita tahu dalam perkhidmatan pendidikan ini begitu besar sekali.  Pihak gurulah merupakan kakitangan kerajaan yang paling besar sekali di dalam perkhidmatan awam.  Ini saya tegaskan dalam skop perkhidmatan awam, gurulah yang paling besar sekali. Oleh yang demikian, saya kira daripada setiap masa kita telah membuat tinjauan untuk kenaikan pangkat ini dapat dilakukan secara teratur dan berkesan.

            Bagi dalam kes Yang Berhormat Bachok bangkitkan tadi ialah mengenai dengan naik pangkat di negeri Kelantan.  Memang kita faham di situ Yang Berhormat harus faham, bukan bermakna seseorang apabila dia memangku jawatan, kedudukan dia daripada Timbalan Pengarah kemudian dia acting, dengan izin, jawatan Pengarah tidak bermakna secara automatik dia dinaikkan.  Yang Berhormat harus tahu dalam kenaikan pangkat itu dia ada DG2 dan DG1.  Bagi mereka yang menjawat jawatan Pengarah Pendidikan Negeri, semuanya berjawatan DG1. Begitu juga dengan pengetua maktab-maktab perguruan juga, kedudukan mereka ialah DG1. Dalam kes ini, orang yang  mempunyai DG1 itu diberi keutamaan.  Itu perkiraan dari segi kenaikan pangkat.  Terima kasih.