Membahas Bekalan Tambahan untuk Pos Malaysia dan KTMB

Tuan Pengerusi [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Ya, Bachok.  Selepas itu Jeli, selepas itu Timbalan Menteri menjawab.

5.35 ptg. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yusoff [Bachok]:  Terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi peluang yang ada di sini sedikit.

Pertama sekali, saya ingin mendapat penjelasan berhubung dengan Maksud P.28 di bawah Butiran 02910 (Pos).  Ekuiti dalam Pos Malaysia bukan suatu perkara baru yang diadakan dalam Perbekalan Tambahan ini, yang telah pun dibekalkan Untuk tujuan pegangan ekuiti Menteri Kewangan Diperbadankan yang berjumlah RM139 juta.

Soalan pertama, adakah melalui pegangan ekuiti ini, pihak Kementerian Kewangan ataupun Menteri Kewangan Diperbadankan ini mendapat suatu cara untuk memastikan proses ataupun tindak tanduk campur tangan kerajaan secara langsung berlaku dalam operation Pos Malaysia Berhad?  Apakah melalui pegangan ekuiti ini, dari sudut tindakannya, pihak kerajaan secara langsung boleh campur tangan dalam semua pengurusan?  Walaupun disebutkan bahawa ekuiti ini kira-kira 31% daripada jumlah yang sebenar, apakah ianya satu cara yang membolehkan dasar-dasar  perjalanan Pos Malaysia ini ditentukan oleh pihak kerajaan sepenuhnya? 

            Yang keduanya, berhubung dengan peruntukan tambahan sebanyak RM39 juta ini juga, suatu improvement daripada dalaman Pos Malaysia sendiri patut diambil kira dan dibuat pertimbangan khususnya isu-isu yang berlaku dan persoalan-persoalan yang berlaku.  Di antaranya, isu posmen yang menghantar lewat surat-surat ini, saya ingat dengan langkah kita menambahkan lagi kakitangan dan saya mencadangkan supaya mengambil kira posmen-posmen yang tidak cekap tadi, ditukar untuk dilantik posnita.  Tidak lagi posmen, kerana pada pandangan saya, di sudut psikologi bekerja, kegigihan dan daya usaha untuk melaksanakan amanah ini lebih banyak kepada wanita khususnya kerja-kerja yang bersifat penghantaran. 

Yang ketiga, berhubung dengan masalah yang berbangkit daripada Perbekalan RM200,636,000 kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad yang mendapat peruntukan di atas asas untuk menampung funding gaps yang dihadapi oleh KTMB.  Pertama, persoalan saya ialah apakah pertimbangan sebenar kerajaan meluluskan funding gap ini?  Adakah ia melalui satu proses cadangan daripada suatu professional consultant ataupun ianya semata-mata daripada cadangan pihak pengurusan KTMB itu kepada pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka yang menghadapi masalah kesuntukan kewangan bagi meneruskan perjalanan ataupun operasi KTMB di seluruh negara kita?  Demikian juga suatu asas dari sudut dasar kerajaan.  Amalan funding gap ini, adakah boleh pihak kerajaan memberi suatu jaminan dari sudut masa depan KTMB, tidak akan berlaku lagi suatu kegagalan di atas dasar penswastaan dan kita bimbang dengan kes-kes yang berlaku kepada Syarikat Penerbangan Malaysia ataupun MAS, mungkin boleh berulang, berlaku kepada KTMB? 

Sekiranya asas-asas yang kukuh tidak diambil kira oleh pihak kerajaan dan kemungkinan ini akan berlaku; sekiranya daripada rekod perjalanan sebagaimana yang dibentangkan oleh pihak Yang Berhormat bagi Kubang Kerian tadi dengan perjalanan yang mengalami kerugian begitu ketara selepas daripada menandatangani daripada projek penswastaan ini ataupun pengkorporatan ini, pada pandangan saya, kerajaan seharusnya mengambil kira suatu pengalaman daripada kerugian ini untuk memastikan KTMB ini boleh beroperasi dengan baik.  Dan sekiranya keupayaan kerajaan untuk menjamin keadaan ini berlaku, lebih baik satu kajian dibuat daripada sekarang bagi memastikan semua kepentingan KTMB ini tidak diselewengkan sebelum berlaku sesuatu yang lebih parah dalam perjalanan KTMB. 

Sebenarnya asas cadangan ini berdasar kepada kita sayang dari sudut sejarah perkhidmatan yang penuh tragis dalam negara kita ini.  Perkhidmatan pengangkutan kereta api adalah suatu perkhidmatan yang telah menempa sejarah dan mengukir banyak sejarah dalam negara kita.  Kerana daripada asas kereta apilah yang telah membawa suatu perubahan dan pembangunan sosioekonomi  negara daripada awal merdeka sehinggalah sekarang, dan daripada asas itu jugalah sebenarnya khususnya kami di Kelantan sendiri merasai suatu jasa yang begitu besar KTMB kepada masyarakat Kelantan kerana dengan bantuan pengangkutan kereta api inilah membolehkan orang Kelantan untuk merata ke seluruh Semenanjung dan sampai ke Singapura, sampai ke Selatan Thai dengan kemudahan yang ada pada masa awal merdeka dan daripada itu jugalah orang Kelantan telah menyumbang banyak pembangunan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Singapura, Penang, Ipoh dan sebagainya kerana mereka mampu bergerak dengan kereta api itu sendiri. 

Demikian juga daripada perkhidmatan kereta api, kita sayang kerana dalam proses perkhidmatan kereta api itu berlaku suatu integrasi yang begitu baik masyarakat negara kita yang berbilang kaum, kerana kereta api banyak menghubung kawasan-kawasan bandar yang didiami oleh sebahagian orang Cina, menghubung juga kawasan-kawasan estet yang sebahagian besar dihubungi oleh pihak kaum India, dan di kawasan pedalaman dalam negara kita yang didiami oleh kelompok orang Melayu dan orang asli.  Dalam perjalanan sepanjang kereta api sama ada kereta api local ataupun kereta api mel sudah pasti ianya merupakan suatu proses integrasi yang berlaku dengan baik. 

Sekarang juga kereta api telah banyak memesrakan alam.  Ini satu perkara yang harus diambil perhatian dan kalaulah nampak asas-asas yang munasabah untuk kerajaan membuat kajian untuk memastikan ianya dikawal langsung oleh pihak kerajaan, maka lebih baik dibuat kerana kereta api bersifat mesra alam.  Atas asas dengan orang yang mencintai flora dan fauna, bila mereka menaiki kereta api, sah mereka akan menyaksikan keindahan keliling perjalanannya adalah dengan pokok-pokok yang begitu menghijau dan sekali gus kita boleh melihat betapa perjalanan kereta api daripada Gua Musang ke Wakaf Baru begitu kayanya hutan belantara Kelantan yang memang masih banyak dan tidak benarlah dakwaan daripada pihak Rompin tadi mengatakan Kelantan, hutannya telah habis ditebang dengan proses-proses dasar yang tidak betul kononnya kerana yang jelas Kelantan masih lagi kaya dengan hutan dan dasar yang ada adalah dasar menjamin kestabilan hutan dan penjagaan hutan masa depan di Kelantan. 

Demikian juga, kita sayangkan kereta api dengan asas suatu langkah yang bijaksana serta cepat perlu dibuat dalam usaha untuk membaiki tahap perkhidmatan dan juga mutu ataupun kualiti perkhidmatan kereta api.  Satu perkara yang saya nampak paling tidak kena dan tidak mesra alam serta tidak bersih dari sudut amalan kereta api ialah penggunaan tandasnya direct kepada landasan.  Saya ingat dengan kesedaran yang ada dengan asas yang ada juga dalam proses kita memodenkan pemikiran rakyat, ini perlu diubah dan perlu diperbaiki segera.  Apabila tandas yang digunakan sepanjang gerabak kereta api ini ianya direct kepada landasan, sudah pasti ia akan mencemarkan persekitaran khususnya landasan dan kalau kebetulan semasa penggunaan tandas itu kereta api melintasi kawasan orang awam, saya ingat ini perkara yang paling tidak bermoral dan tidak manis. 

Demikian lagi kereta api perlu lagi dipertingkatkan. Daripada pengalaman saya sendiri yang pernah menaiki kereta api, asas-asas pembaharuan dan improvement perkakasan ataupun peralatan serta aksesori dalam kereta api perlu diperbaiki bukan setakat untuk Kelas 1 atau Kelas 2, malah keseluruhan kelas dalam perjalanan mel khususnya.  Dan pilihan terbaik kepada orang-orang di pedalaman merupakan satu perkara yang perlu kita jaga.  Pada kami masyarakat Kelantan perkhidmatan kereta api local paling penting kerana ia boleh menghubungkan dan menyelesaikan masalah penduduk pedalaman untuk anak-anak mereka ke sekolah, untuk mereka menjaja ke pekan-pekan, malah untuk penoreh-penoreh getah untuk mengambil upah menoreh di estet-estet. Mereka juga menggunakan kereta api kerana perjalanan di pedalaman tidak mudah dengan sungai ataupun jalan darat.  Dan perkara ini perlu dalam pertimbangan kerajaan di atas asas untuk memastikan mutu perkhidmatan kereta api pada masa depan lebih memesrakan kehidupan masyarakat lebih-lebih lagi dalam proses menjaga integrasi nasional itu sendiri kerana daripada pengalaman Thailand atau pengalaman daripada negara jiran kita, penggunaan kereta api salah satunya mendapat sambutan hangat kerana ia begitu mesra  daripada segi integrasi di antara  kaum di Selatan Thai khususnya yang berbilang bangsa daripada Melayu, Islam, Buddha, Siam, Cina dan seumpamanya.  Demikian juga pengalaman kereta api yang berlaku di Jepun misalnya, suatu pengalaman yang harus kita ambil perhatian menerusi usaha-usaha kerajaan yang boleh mendapat kuasa untuk campur tangan menerusi finding gap ini untuk meniru beberapa asas budaya Jepun dalam menghidupkan sistem pengangkutan kereta api yang begitu cepat, tangkas dan senyap, lagi memberi suatu ketepatan dari sudut waktunya. 

Tuan Pengerusi [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Masa Yang Berhormat sudah cukup Yang Berhormat. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Ini satu perkara yang harus dipertimbangkan. 

Tuan Pengerusi [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Masa sudah cukup Yang Berhormat. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Dan akhir sekali saya ingin membawa suatu cadangan di atas cadangan yang telah pun dibawa oleh pihak Yang Berhormat-Yang Berhormat sebelum daripada saya, asas dalam apa sekali tindakan kerajaan untuk membiayai ataupun menyuntik ataupun menyalurkan peruntukan daripada kerajaan, daripada kepentingan kerajaan ataupun daripada mana-mana sumber sekalipun di atas kepentingan rakyat khususnya harus dibuat berasas kepada suatu bukti-bukti dan hujah-hujah serta kajian-kajian yang boleh menjamin bahawa wang yang dibelanjakan itu benar-benar menepati mengikut peraturannya.  Sekian terima kasih.