MP Bachok peka kepada Harga Barang-barang Pengguna
 

5.                  Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan indeks harga pengguna (CPI) Malaysia bagi tempoh bulan Jun, Julai, Ogos dan September 2001.  Berapakah indeks terakhir bagi tiga kumpulan utama iaitu makan, sewa kasar, bahan api dan kuasa, pengangkutan dan perhubungan.

 

Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna [Tuan Wong Kam Hong]:  Tuan Yang di-Pertua, maklumat terkini indeks harga pengguna (IHP) Malaysia adalah sehingga bulan Ogos 2001.  IHP bagi bulan Jun, Julai dan Ogos 2001 berbanding dengan bulan-bulan yang sama tahun 2000 menunjukkan arah aliran peningkatan yang menurun iaitu masing-masing meningkat sebanyak 1.5%, 1.4% dan 1.3%.  IHP bagi perbandingan dengan tempoh yang sama tahun lepas untuk bulan-bulan Jun, Julai dan Ogos 2001 meningkat pada kadar yang sama iaitu 1.5%.  Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2001 berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2000, indeks bagi tiga kumpulan utama iaitu makanan meningkat sebanyak 0.6%, sewa kasar bahan api dan kuasa sebanyak 1.6% dan pengangkutan dan perhubungan sebanyak 3.9%.  Sekian.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yusof:  Terima kasih   Soalan tambahan.  Sebagaimana telah kita maklum bahawa kenaikan IHP ini mengikut tahap inflasi dalam negara dan kebelakangan ini juga beberapa isu yang dihadapi oleh rakyat berhubung dengan kenaikan tiga kumpulan utama yang  diisytiharkan dan kenyataan ini  telah terbukti pihak Setiausaha Parlimen tadi.

Saya ingin bertanya ekoran daripada kenaikan tambang bas misalnya baru-baru ini telah diisytiharkan dan diluluskan oleh pihak Kabinet dan sebelum ini kenaikan tambang kapal terbang MAS.  Dari sudut penguatkuasaan tempatan beberapa barang makanan pula kita dapati berlaku kenaikan secara begitu tidak terkawal.  Saya ambil contoh ikan import Siam daripada  Siam  di Kelantan kenaikan dalam tempoh tiga bulan pertama ini saya buat kajian sendiri di pasar besar Kota Bahru. Meningkat RM2 bagi satu kilo untuk kembong.  Ini membuktikan suatu langkah kawalan tidak  berlaku secara sepenuh oleh pihak kementerian atau pihak-pihak berwajib.  Saya ingin mendapat penjelasan lanjut setakat mana usaha-usaha ini dapat memastikan kenaikan harga ini boleh menjamin kepentingan rakyat dari sudut perbelanjaan harian.  Terima kasih.

Tuan Wong Kam Hong: Tuan Yang di-Pertua, IHP digunakan untuk menggambarkan kadar inflasi di Malaysia dan IHP mengukur kadar perubahan harga runcit bagi 430 barangan dan perkhidmatan yang perbelanjaannya significant. Tidak dinafikan mungkin di dalam bakul ini iaitu 430 barangan dan perkhidmatan mungkin ada yang naik dan ada yang turun dan kementerian saya selalu prihatin kepada kestabilan harga iaitu harga barangan dan di sini kementerian saya mengambil tindakan atau langkah-langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pengguna di pasaran dan langkah-langkah ialah begitu memantau kedudukan harga bagi 255 jenis barang tertentu melalui kutipan harga mingguan  untuk mengesan aliran harga barangan berkenaan. 

Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku kenaikan harga yang keterlaluan atau di luar jangkaan.

Kedua, memantau 21 jenis barangan sepanjang masa serta 25 jenis pada musim perayaan bagi menentukan bekalan mencukupi agar harga barangan berkenaan stabil pada paras berpatutan.

Ketiga, melaksanakan kawalan harga secara pentadbiran ke atas 11 jenis barangan keperluan yang terdiri daripada minyak petrol, minyak diesel, gas petroleum cecair, gula, tepung gandum, susu pekat manis, roti , ayam, minyak masak, simen dan besi keluli. 

Keempat, memantau harga harian bagi 28 jenis barangan kegunaan harian yang dikutip di 14 bandar utama negara.

Kelima, memantau perkembangan indeks harga pengguna khususnya kumpulan makanan yang mempunyai wajaran yang paling tinggi iaitu 33.8%.  Antara jenis barangan makanan yang dipantau ialah seperti daging lembu - wajaran 3.4%, beras, roti dan bijiran lain  - wajaran 5.5%.  Ayam - wajaran 19.2% dan ikan - wajaran 4.9%.

Keenam, mengawal harga barangan keperluan pada musim perayaan di bawah Akta Kawalan Harga 1949.  Sekian.

Tuan Lim Hock Seng [Bagan]:  Tuan Yang di-Pertua, Soalan tambahan.  Adalah diketahui umum bahawa ramai tidak yakin kepada laporan rasmi mengenai IHP ini.  Misalannya pengangkutan,  haulier container untuk 20 kaki container dahulu RM60 sekarang RM120.  Ini meningkat 100%.  Pengangkutan lori naik 35%, Tambang MAS naik  51%.  Bas ekspres naik 30%.  Itu tambang untuk pergi haji belum tahu saya.   Jadi ini cuma dikatakan IHP hanya meningkat 30.9%.  Ini mestilah tidak meyakinkan orang ramai.

Tuan Yang di-Pertua, apabila kerajaan membenarkan  sesuatu dinaikkan harga, selalu alasannya dikata adalah tidak membebankan rakyat.  Bolehkah Yang Berhormat memberitahu bagaimanakah satu-satu kenaikan harga itu membebankan rakyat. 

Tuan Wong Kam Hong: Tuan Yang di-Pertua, seperti saya katakan tadi, untuk mengukur IHP ada 430 barangan  dan perkhidmatan. Mungkin pada  satu masa tertentu ada yang naik dan ada yang turun.  Tetapi yang turun dan yang naik mereka mencapai adalah satu keseimbangan dan inilah satu formula yang digunakan oleh negara di dunia ini iaitu mereka berasaskan formula laspeyras,  l-a-s-p-e-y-r-a-s dan dengan ini mereka mengukur tiap-tiap bulan berbanding dengan bulan yang sebelumnya dan untuk satu tempoh bulan ini dengan tempoh yang sama tahun sudahnya dan juga bulan yang sama dengan bulan yang sudahnya dan kita tidak boleh petik satu sahaja sebagai contoh iaitu bila naik tambang MAS atau naik tambang teksi ini bermakna IHP sudah naik untuk keseluruhannya.

Tuan Yang di-Pertua, untuk IHP Ogos yang saya katakan tadi, untuk makanan yang ada naik dan yang ada turun juga. Sebab ini kita mesti menerima IHP yang menggunakan formula-formula yang digunakan oleh pakar ekonomi  dan kita mesti mempercayai satu formula itu.  Sekian terima kasih.