MP Bachok peka kepada Harga Barang-barang Pengguna
 

2.                  Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan, kejayaan melahirkan usahawan bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian automobil menerusi projek kereta nasional dan setakat manakah langkah-langkah yang telah diambil bagi memantapkan keupayaan usahawan bumiputera menguasai persaingan dalam era pelaksanaan AFTA nanti.

            Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri [Datuk Fu Ah Kiow]: Tuan Yang di-Pertua, melalui projek kereta nasional sebanyak 196 syarikat pembekal komponen tempatan telah dilantik dan dibangunkan. Daripada jumlah ini, sebanyak 127 syarikat adalah terdiri daripada usahawan bumiputera atau 65%. Langkah-langkah yang sedang diambil untuk menyediakan pengeluar-pengeluar bumiputera untuk mempertingkatkan lagi daya saing supaya menghadapi saingan globalisasi ialah seperti berikut:

(i)         meningkatkan keupayaan dalam bidang R&D dengan mengenalkan dan membangunkan pembekal komponen utama atau dengan izin, tier one supplier;

(ii)        melaksanakan program-program bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti khususnya untuk enterprise kecil dan sederhana seperti berikut: pertama, 2 program kursus untuk EKS dalam industri automatif telah diwujudkan iaitu Program Kepakaran Teknikal dengan kerjasama Persatuan Automatif Malaysia dan Persatuan Automatif Jepun. Program ini melibatkan 63 EKS.

Program yang kedua ialah melibatkan latihan bagi seramai 59 orang pekerja EKS;  memberi pengiktirafan dan pensijilan kualiti serta piawaian ISO dan sistem kualiti; menetapkan sasaran agar semua usahawan diiktiraf dengan standard ISO selewat-lewatnya pada bulan Disember 2001;

(iii)       mengurangkan kos pengeluaran dengan meningkatkan tahap produktiviti;

(iv)       memberi pendedahan kepada usahawan tentang cabaran globalisasi melalui penglibatan di dalam ekspo, seminar di luar negara;

(v)        menyediakan bantuan dalam bentuk geran 50% kepada EKS yang layak di bawah ITAF 1,2, 3 dan ITAF 4.
 

Sekian, terima kasih.

                        Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:    Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada pihak Setiausaha Parlimen.  Sebenarnya kejayaan kerajaan dalam melahirkan usahawan bumiputera ini telah diakui.  Namun daripada statistik yang kita lihat berdasar kepada prestasi program pembangunan usahawan bumiputera ini dalam tempoh terakhir dasar pembangunan nasional, kita dapati keupayaan bumiputera untuk menguasai ekuiti daripada sektor swasta pada paras 15.6% sahaja.  Ini bermakna suatu kejayaan jauh daripada target 30%.  Dalam sektor automobil ini pula, kita lihat Proton antara agensi  ataupun syarikat yang diberi kepercayaan untuk melatih vendor-vendor bumiputera untuk berjaya dalam bidang automatif ini.

            Soalannya, apakah langkah-langkah yang telah disebut tadi telah memadai sebab daripada kes yang berlaku dan daripada jawapan yang diberi oleh pihak Setiausaha Parlimen tadi tidak menyebut langsung asas untuk mempertingkatkan keupayaan bumiputera dalam bidang pengurusan sektor korporat dan  juga persoalan modal. 

            Daripada pengalaman yang berlaku kes MAS yang diurus oleh bumiputera dan Renong, atau UEM dan sebagainya,  melihat dua faktor ini yang menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil alih syarikat berkenaan dan ini meletak sekali gus asas penswastaan yang dijana oleh pihak kerajaan pada 1983 telah gagal untuk melahirkan suatu kebanggaan bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.  Jadi saya ingin penjelasan dari sudut langkah-langkah untuk menangani kelemahan pengurusan dalam sektor korporat bumiputera dan juga isu modal ini daripada pihak kementerian.  Terima kasih.

            Datuk Fu Ah Kiow:    Tuan Yang di-Pertua, tidak boleh dinafikan bahawa seperti dipersetujui oleh Yang Berhormat juga bahawa kerajaan memang telah mengambil banyak langkah untuk membantu mewujudkan golongan usahawan bumiputera di Malaysia ini sama ada di peringkat tengah atau di peringkat bawahan.  Di bawah kementerian saya banyak program  juga dilakukan khususnya untuk EKS tetapi ada yang berjaya, ada yang kurang berjaya. 

            Saya berpendapat bahawa apa yang penting ialah Dewan Perniagaan Perhimpunan Melayu di peringkat negeri dan juga di peringkat daerah juga perlu mengambil peluang dan sama-sama menjayakan program yang dirancangkan oleh kerajaan.  Adalah tidak benar sekali mengatakan kerajaan tidak mengambil apa-apa langkah untuk membantu.  Namun demikian, kita tidak menafikan bahawa pencapaian setakat ini masih tidak memuaskan dan perlu lagi diusahakan untuk terus meningkatkan kejayaan bumiputera dalam industri ini.  Sekian, terima kasih.