Ucapan Peringkat Dasar Membahas Belanjawan 2002 (24 Okt 2001)
Ucapan YB Dato' Hassan Ali (Parit Buntar) menafi Negara Islam UMNO

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali [Parit Buntar]:  Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.  Saya ingin mengambil bahagian di dalam perbahasan Belanjawan 2002 ini dan ingin menggunakan 30 minit yang diberikan kepada saya.  Kalau dapat izinkan saya meneruskan ucapan ini dan kita boleh berbincang dan berbahas dalam situasi-situasi yang lain.

Pertama sekali, Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana yang ditekankan oleh ramai teman-teman yang mengambil bahagian dalam perbahasan ini termasuk Ketua Pembangkang kita ialah tentang backdrop atau senario kepada pembentangan Belanjawan 2002 ini.  Senario yang disebutkan tidak lain dan tidak bukan ialah September 11, yang merupakan satu tarikh hitam bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi di seluruh dunia - di Montreal, di Tokyo, di Wellington - seluruh tempat dalam dunia ini terikat langsung dengan apa yang berlaku pada September 11 itu.

Tuan Yang di-Pertua, sebab itu bila kita membincangkan tentang Budget 2002 ini, sudah tentulah ada kesan langsung daripada itu, bukan sahaja kesan langsungnya pada hari ini, pada tahun-tahun yang mendatang.  Saya menjangkakan pola pembentangan Belanjawan dan isi Belanjawan tahun-tahun yang akan datang berbeza dengan apa yang kita bentangkan pada hari ini.

Umpamanya, perbelanjaan pertahanan, Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana yang kita baca mengenai Pentagon meminta peruntukan USD350 bilion untuk financial year 2002 dan dijangka meningkat untuk meminta lagi USD400 bilion pada tahun 2003.  Apa ertinya?  Ini sebelum terjadinya September 11.  Perbelanjaan mengenai pertahanan dijangkakan begitu tinggi bukan sahaja di Amerika, bukan sahaja di Eropah tetapi di negara-negara kecil yang sepatutnya membelanjakan kepada hal-hal asasi rakyat seperti makanan, pakaian, perumahan, membasmi kemiskinan dan sebagainya.

Tetapi oleh kerana alur tuju kepada pembangunan dunia yang akan datang ini, maka peruntukan yang diberi kepada pertahanan begitu besar dan ini juga akan menguntungkan syarikat-syarikat pengeluar bahan-bahan pertahanan sebagaimana yang disebutkan dalam tulisan seperti Boeing, Raton), Lockheat, Honeywell, Hugh Elektronik, Northrop Grumman - mereka adalah pembuat-pembuat kepada B2 products dan GM - dijangka mempertingkatkan keupayaan dan mempertingkatkan kuantiti mereka untuk melengkapkan pertahanan dunia sama ada negara yang maju atau negara yang tidak maju.

Apa yang akan berlaku ialah perubahan satu sistem, satu tempo budaya dunia, budaya dunia yang selama ini dipelopori oleh UNESCO, yang dipelopori oleh bank dunia beria-ia termasuk Bank Pembangunan Asia dan institusi-institusi pembangunan yang lain dalam dunia ini memang daripada dahulu lagi sehingga sekarang ini menekankan perhatian kepada pembangunan. 

Pembangunan kemanusiaan, pembangunan masyarakat, pembangunan negeri, pembangunan negara tetapi pola ini akan berubah dan pola ini juga akan berkait langsung dengan pola perbelanjaan budget tahun-tahun yang akan datang termasuk negara kita di Malaysia ini.

Ramalan saya ini, bahawa masyarakat dunia akan hidup semakin lama semakin takut, semakin lama semakin takut, hasil daripada peristiwa 11 September itu, rasa takut ini akan terus menyelubungi dunia ini.  Arus takut, angin takut akan bertiup daripada utara sampai selatan, akan bertiup daripada timur sampai ke barat.  Dan arah yang takut itulah di mana negara-negara dalam dunia ini akan berkecimpung dan akan terus digerakkan oleh enjin-enjin pembangunan.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh tentang gambaran yang diberikan dalam pembentangan budget ini, bagaimana Malaysia tahun depan dikatakan akan mencatit pembangunan atau rate of growth antara 4% hingga ke 5%.  Ketua Pembangkang dalam pembentangannya semalam telah menyebutkan bahawa ramalan seperti itu kalau kita tengok dunia seluruhnya, di Eropah dijangkakan perkembangan ini dalam 1%, di Amerika 1%, kebanyakan negara-negara lain, negara OECD pun mencatitkan perkembangan bukan 1%, bahkan di dalam lingkungan yang negatif begitu.

Saya ingin mengingatkan bahawa kalau kita membentangkan budget dan mereka satu fenomena, satu anggapan bahawa sesuatu yang paling baik berlaku,  tahun depan atau tahun-tahun yang akan datang kemungkinan mengelirukan masyarakat, mengelirukan kita, sebagai rakyat negara ini.  Dan dalam pengeliruan itu mereka merasakan bahawa negara mereka terus seperti yang lepas, terus membangun dalam status, dalam peringkat, dalam keadaan sama seperti tahun-tahun yang lepas di mana kita membangun.

Sebab itu kita mahukan rakyat supaya berfikir, kita masukkan dalam lingkungan kepala rakyat bahawa kita kena mengubah pola pemikiran kita sesuai dengan pola dunia sekarang ini, mengubah sikap kita, sesuai dengan sikap dunia sekarang ini, mengubah hala tuju kita, sesuai dengan hala tuju dunia sekarang ini.  Sebab itulah kita memerlukan September 11 ini, sebenarnya satu wakeup call bukan sahaja kepada Amerika tetapi satu wakeup call kepada seluruh dunia termasuk di Malaysia ini.

Sebab itulah kita akan menjawab sebagai orang yang bertanggungjawab dalam Parlimen ini, harus kita menyongsong apa yang berlaku itu untuk meletakkan asas yang sebenarnya untuk meyakinkan rakyat bahawa masa depan masih ada, tetapi  penuh dengan cabaran-cabaran, cabaran daya juang, cabaran daya tahan rakyat, sama ada rakyat di desa, rakyat di kota dan rakyat di mana-mana juga.

Sebab itu dalam hal mengenai recession ini - dengan izin - saya ingin membacakan beberapa petikan yang kemungkinan boleh meyakinkan kita, tetapi sebahagiannya mungkin kita tidak berkenan dengan petikan-petikan ini kerana datangnya daripada orang-orang yang sebenarnya menjadi sasaran yang kita tidak seronok kepada dia.

“There are signs that the consumer was beginning to be more cautious and this is a big shock for everyone, so I think it may affect consumption and that may than push the economy into a recession.” 

Perkataan yang disebut di sini ialah resesi dan ada penulis-penulis bukan hanya setakat menyebut resesi, mereka menyebut depression yang mengatakan tentang pembangunan ekonomi akan berada dalam keadaan bahawa ekonomi tidak akan membangun, kriteria ekonomi tidak akan menolak pembangunan dalam mana-mana negara.  Ini petikan daripada Geoge Soros.    

Tuan Yang di-Pertua, satu lagi saya ingin membacakan, “The risk of recession has considerably increased” oleh seorang penulis lagi daripada Soborn University; “The idea of recession in Europe is going to gain probability”, seorang penulis yang bernama Emmanual Ferry daripada Analysis Brokerage.  Apa yang saya hendak sebutkan bahawa sebenarnya gambaran recession begitu real di hadapan kita bukan hanya tahun ini, tahun depan dan tahun-tahun berikutnya.  Sebab itu pola perbelanjaan kita, pola pembangunan kita, pola kita mengagih-agihkan wang perbelanjaan, sama ada perbelanjaan mengurus atau membangun haruslah disesuaikan dengan tingkap resesi di mana kita akan memeculkan diri kita melalui tingkap-tingkap tersebut.    

Oleh itu saya ingin menyebutkan satu perkara di sini.  Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini satu perkara yang saya rasa paling penting sekali ialah tentang hal-hal mengenai benda yang strategik dalam kehidupan kita.  Memang tentang hal defence ini adalah strategik, hal menjaga negara adalah strategik, hal mengenai pembangunan-pembangunan ini adalah strategik tetapi ada satu perkara lagi yang saya ingin nyatakan, perkara yang paling strategik, tidak lain dan tidak bukan ialah perkara yang mengenai semua manusia iaitu perut dan mengisi perut manusia.

Apa yang saya hendak sebutkan ialah bahan makanan.  Dalam konteks ini, saya melihat padi dan beras sebagai sesuatu yang sangat strategik dalam perkembangan Malaysia dan negara-negara yang lain yang penduduknya menjadikan beras itu sebagai staple food

Tuan Yang di-Pertua, kawasan tanaman padi yang semakin mengecil daripada 691 ribu hektar pada tahun 1998 hanya menjadi 536 ribu hektar pada tahun 1999, saiz sawah yang kecil di Malaysia yang lebih kurang 1.06 hektar …..

            Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan [Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir]:  [Bangun]

            Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Saya ingat, saya tidak ada masa, Tuan Yang di-Pertua.  Saya minta maaflah.

Tuan Yang di-Pertua:  Dia tidak bagi jalan.

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali: Yang ketiga, kurangnya tenaga buruh, rata-ratanya saya dapati pesawah-pesawah daripada Parit Buntar, tiap-tiap kali mereka mengusahakan sawah, yang mengusahakan itu umur purata mereka adalah di antara 55 sampai ke 70 tahun begitu, maknanya orang tua yang sudah tidak berupaya, anak-anak muda lari ke bandar, anak-anak muda lari ke Kuala Lumpur, lari ke Pulau Pinang dan orang-orang tua inilah yang akan meneruskan tradisi menanam padi yang menjadi sumber atau pun tanaman strategik yang sangat penting bagi negara.

Kos pengeluaran yang semakin tinggi, ada teman-teman yang mencadangkan supaya kita import sahaja makanan-makanan ini.  Import makanan sudah mencecah hampir 12 bilion sekarang ini.  Tuan Yang di-Pertua, saya ingat kalau misalannya katakanlah kita mengimport makanan dalam suasana yang goyah, dalam suasana yang tidak menentu dalam dunia yang tidak menentu, dalam senjata yang bersimpang siur, dalam international ballistic missile yang boleh dipaculkan, yang boleh diletupkan daripada satu tempat ke satu tempat, ribuan batu jaraknya.

Apa mungkin kalau kita hanya memberikan perhatian kepada import dengan kita mengecilkan kebolehan dan kemampuan kita untuk memberikan sendiri, mengusahakan sendiri sawah padi kita itu.

Kemudian yang kelima, Tuan Yang di-Pertua, tarikan sektor perindustrian dan perbandaran, kita dapati macam saya sebutkan, tahun 2025, 53% penduduk Asia akan tinggal di bandar.

Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir[Bangun]

Tuan Yang di-Pertua:  Yang Berhormat, ada yang bangun.  Sungai Petani bangun.

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Tahun 1990.

Tuan Yang di-Pertua:  Hendak bagi jalan Yang Berhormat?.

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Pada tahun 1990.

Tuan Yang di-Pertua:  Hendak bagi jalan atau tidak?  Hendak bagi jalan?

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Saya tidak bagi.

Tuan Yang di-Pertua:  Tidak bagi.

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Saya banyak lagi, Tuan Yang di-Pertua.  Saya mesti habiskan pukul 5.

Tuan Yang di-Pertua:  Tolong bagi tahu kita, tidak bagi jalan, ya.

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:   Minta maaf, saya minta maaf.

Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir:  [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua:  Yang Berhormat bagi Sungai Petani, jangan tawar-menawar, ya.

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Yang berikutnya Tuan Yang di-Pertua, kerugian selepas tuai yang begitu tinggi.  Di Malaysia mencecah sampai 37% dan yang berikutnya ialah limpahan air laut termasuk juga di Parit Buntar, air laut yang memasuki sawah, pada pasang-pasang ”keling” namanya, pasang-pasang tinggi, yang menyebabkan tanaman-tanaman rosak dengan kemasukan air laut tersebut.

Kemarau yang panjang, rendahnya R&D dan low value product, dengan izin, yang ini adalah di antara perkara-perkara yang sekarang ini mengincupkan kebolehan kita, menjadikan tanaman strategik ini sebagai satu tanaman yang boleh benar-benar bukan sahaja kita self sufficient 65% target kita tetapi sebagaimana negara-negara yang lain kita boleh jadi tukang eksport kepada makanan strategik ini.

            Apa yang berlaku, Tuan Yang di-Pertua, saya lihat dalam dunia ini kita lihat bahawa negara pengeksport misalnya Thailand mengeksport 36% daripada keperluan eksport dunia.  US mengeksport 19% daripada keperluan dunia.  Vietnam mengeksport 10% daripada keperluan dunia, Pakistan mengeksport 7% daripada keperluan dunia.  Malaysia yang jauh lebih mampu, yang jauh lebih mempunyai tanaman, penstrukturan yang lebih conducive tetapi kita bukan net exporter tetapi kita adalah net importer.

            Tuan Yang di-Pertua, apa yang ingin saya tekankan dengan research yang begitu elementary, kita sebenarnya dalam MARDI hanya ada tiga orang yang ada Ph.D dalam bidang penyiasatan mengenai padi research mengenai padi.

            Kalau negara-negara lain seperti Australia misalnya puluhan dan ratusan di antara mereka, misalnya di Jepun dan South Korea, researchers ini yang siang malam melakukan R&D untuk meningkatkan produktiviti dan meningkatkan kemampuan negara-negara mereka, untuk mengeluarkan tanaman strategik ini.

            Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyebut saya memberikan tadi latar belakang sahaja, tetapi apa yang hendak saya sampaikan Tuan Yang di-Pertua, ialah tentang stockpile kita.  Ini yang hendak saya sampaikan.  Bernas telah diberikan tanggungjawab untuk mengeluarkan, untuk maintain stockpile.  Saya hendak menteri datang menjawab nanti dalam ulasan mereka, yang pertama, adakah tidak ada stockpile ini.  Kerana ada pihak-pihak yang saya mendengar mengatakan kita boleh meragukan stockpile ini, saya takut keraguan sebab saya bermula tadi, padi ialah tanaman strategik, beras adalah tanaman strategik, kalau ada stockpile sekarang ini, di mana stockpile itu, di mana kilang-kilang stockpile itu yang dikatakan ada satu di Pulau Pinang, ada satu di Johor, ada satu di Pelabuhan Klang dan kalau boleh saya mencadangkan beberapa Ahli di Parlimen ini dilantik khas untuk membuat lawatan ke stockpile ini untuk melihat sama ada stockpile yang boleh menampung 10% hingga 15% daripada keperluan tahunan, yang boleh menyara di antara 1.2 bulan hingga dua bulan itu betul-betul ada di dalam simpanan kita.

            Saya menyebut ini dengan penuh kesedaran Tuan Yang di-Pertua, dalam keadaan bahawa dunia sekarang ini dalam keadaan tidak menentu dan saya ingin mengulangi lagi ketidaktentuan ini adalah disebabkan berkait terus dengan kemampuan Malaysia mengeluarkan makanan sendiri, khususnya mengenai padi dan beras yang saya katakan tanaman strategik ini.

            Tuan Yang di-Pertua:  Parit Sulong bangun ya.

            Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Saya minta maaflah.  Saya minta maaf.

            Tuan Yang di-Pertua:  Teruskan.

            Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Tuan Yang di-Pertua, tadi Kinabatangan di akhirnya menyebut tentang negara Islam.  Semalam sudah banyak kita bincang negara Islam ini dan dalam budget ini pun peruntukan-peruntukan khusus tentang pembangunan Islam ini telah diberikan kepada JAKIM yang mendapat peruntukan RM294 juta untuk kefahaman dan penghayatan Islam menghafaz al-Quran dan kefahaman Islam untuk pelajar-pelajar di IPT dan IPTS.

            Saya sebenarnya bila disebutkan bahawa negara ini negara Islam yang keluar daripada mulut Perdana Menteri sendiri, sebenarnya ada 101 soalan dalam kepala saya. Memanglah apa yang disebutkan oleh teman-teman kita yang kita dengar daripada semalam, semalam perdebatannya begitu hebat tentang negara Islam dan kedua-dua pihak telah memberikan pandangan dan pendapat mereka.  Tetapi ada satu perkara yang saya lihat di sini, dalam keadaan kita menegakkan negara Islam dan mengatakan Malaysia negara Islam, tetapi ada satu sikap, sikap di kalangan kerajaan khususnya orang-orang UMNO.  Yang pertama, menakut-nakutkan teman-teman yang bukan beragama Islam.

            Mereka takutkan mereka sebelum dibuatkan pengumuman tentang negara Islam pun dahulu-dahulu lagi sebagaimana yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang, kartun-kartun yang dibuat, karikatur yang dibuat, yang disebarkan begitu meluas di kawasan saya di Parit Buntar sendiri, menggambarkan bagaimana UMNO Barisan Nasional mempunyai niat yang sangat jahat untuk menakut-nakutkan orang-orang yang bukan Islam tentang perkataan Islam, tentang perlaksanaan Islam, tentang PAS Islam, tentang PAS akan menjalankan Islam mengikut Taliban, mengikut Iran …

Tuan Yang di-Pertua:  Ya, ada yang bangun Yang Berhormat, hendak beri jalan atau tidak?

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Tuan Yang di-Pertua, saya minta maaflah, tidak, minta maaf.  Di kesempatan yang lain bung.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menambahkan lagi.  Apa yang disebutkan, ini adalah sebenarnya, saya tidak berasa ragu dan bimbang kalau misalnya dibuat pengumuman negara ini negara Islam dan sebagainya, buatlah pengumuman kepada sesiapa pun, dalam situasi mana pun, tetapi yang saya bimbang ialah creating  hatredness, dengan izin, creating the culture of fear di kalangan orang-orang yang bukan Islam terutamanya, hingga orang-orang yang bukan Islam memandang kita, menganggap kita pun dengan pandangan yang keserong-serongan, kerana UMNO Barisan Nasionallah yang menyerong-nyerongkan mereka.

            Seorang Ahli:   [Menyampuk]

            Tuan Yang di-Pertua:  Baik, baik.

            Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, ….

            Tuan Yang di-Pertua:  Dia tidak beri ya.

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin meneruskannya, tidak kisahlah apa pun di sana, tetapi saya ingin meneruskannya.

Saya minta mereka duduk sahaja, macam mana mereka bercakap, saya pun duduk sahaja, tidak ada gangguan untuk mereka.

Saya ingin menyebut beberapa perkara di sini, yang saya hendak bacakan sahaja, sebagai satu senarai semak check list kepada orang-orang UMNO, pimpinan UMNO terutama Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir, check list ini sila jawab, bila setiap kementerian kalau ini berkaitan dengan kementerian masing-masing terutama mereka yang di Jabatan Perdana Menteri harus menjawab check list di sini.

Pertama, mendapatkan kuasa melalui curahan wang ringgit seperti amalan setengah-setengah pemimpin-pemimpin UMNO, adakah selari dengan semangat negara Islam Dr. Mahathir.  500 kes yang belum diselesaikan lagi oleh Jawatankuasa Disiplin.  500 kes aduan-aduan mengenai salah laku mengenai wang yang digunakan.  Bayangkan kita memegang jawatan atas dasar wang.  Bayangkan kita memegang jawatan menteri, timbalan menteri atas dasar wang.  Bayangkan kita sebagai peneraju kepada negara ini, hidup atas wang.

Yang kedua, menyekat hak asasi rakyat untuk menyuarakan pandangan melalui perhimpunan aman, adakah selari dengan semangat negara Islam Dr. Mahathir. 

Yang ketiga, memberi tender dan kontrak kepada kroni-kroni sendiri, adakah selari dengan semangat negara Islam Dr. Mahathir.

Yang keempat, melantik mereka yang tidak ahli menerajui badan-badan besar perniagaan kerajaan hingga mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit wang rakyat.  Adakah selari dengan semangat negara Islam Dr. Mahathir.

Yang kelima, mematikan masjid, surau dan madrasah melalui lantikan mereka yang tidak berkebolehan dan berkeupayaan, adakah selari dengan semangat negara Islam Dr. Mahathir.

Yang keenam, menahan dan menyumbat di Kamunting, tahanan-tahanan ISA tanpa diberi peluang membela diri di mahkamah terbuka, adakah selari dengan semangat negara Islam Dr. Mahathir.

Yang ketujuh, pelaburan saham-saham amanah seperti ASN, ASB dalam syarikat-syarikat arak dan judi, adakah selari dengan semangat negara Islam Dr. Mahathir.

            Yang kelapan, …..

            Seorang Ahli:  [Menyampuk]

Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Saya tidak izinkan.  Yang kelapan, menggunakan wang zakat untuk membantu penganjuran pertandingan golf, adakah selari dengan semangat negara Islam Dr. Mahathir.

            Yang kesembilan, menggunakan saluran media tanpa bermaruah terutama TV ….

            Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad:  Peraturan Mesyuarat, Tuan Yang di-Pertua.

            Tuan Yang di-Pertua:  Ya, ada Peraturan Mesyuarat Yang Berhormat.  Ya, Parit Sulong, apa dia Peraturan Mesyuarat itu.

            Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad:  Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat tidak boleh sebut Ahli Yang Berhormat yang lain.

            Tuan Yang di-Pertua:  Ya, jangan sebut nama Yang Berhormat ya.

            Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Minta maaf, minta maaf.

            Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad: World class, apa ini?

            Tuan Yang di-Pertua:  Sila, sila.

            Dato' Dr. Hasan bin Haji Mohamed Ali:  Okay, saya sebut Perdana Menteri.  Tidak ada masalah Tuan Yang di-Pertua.

Menggunakan saluran media tanpa bermaruah terutama di TV, dalam musim pilihan raya dan di luar musim pilihan raya, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.  Okay?  [Ketawa]

Pimpinan tinggal di mahligai-mahligai sedangkan rakyat hidup daif di pondok-pondok usang seperti yang terdapat di kampung Kuala Cahaya, mukim Teluk Teloi Kanan, Kuala Ketil, adakah selari dengan semangat negara Islam doktor Perdana Menteri.

Pemimpin dan kroni-kroni menghabiskan wang rakyat, silih malam berjamu di hotel-hotel mewah, sedangkan rakyat Mariam Hamzah 51 tahun dan dua anak perempuan Siti Radziah Hasan 14 tahun dan Sara 16 tahun, hanya memakan rebusan biji cempedak.  Adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Lambakan rokok dan arak terutamanya di Pulau Langkawi dan kedai-kedai bebas cukai di seluruh negara, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.  Mengayakan dan memewahkan anak-anak dan suku sakat sendiri seperti yang dilakukan oleh sesetengah menteri, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.  [Tepuk]

Menggunakan institusi kewangan seperti bank-bank tajaan kerajaan, untuk membantu suku sakat dan kroni-kroni hingga melumpuhkan institusi-institusi berkenaan, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.  Menyelamatkan syarikat-syarikat milik anak-anak, suku sakat serta kroni dengan menggunakan wang rakyat, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Lesen judi yang terus dikeluarkan seperti di Sabah baru-baru ini, walaupun kerajaan telah berjanji tidak akan mengeluarkannya lagi, lesen sedemikian, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Tindakan mengUMNOkan pimpinan universiti, termasuk masyarakat kampus, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri. 

Sokongan lip service dan cara melepas batuk di tangga ke atas institusi-institusi kewangan Islam khasnya Bank Islam oleh kerajaan, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Budaya nafsu sunset culture, yang berleluasa hingga tidak dapat dibendung, terutama di kalangan remaja, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Menghabiskan berbilion ringgit wang rakyat dengan projek-projek mega yang tidak memberikan pulangan seperti MSC, e-village, Bakun Dam, KLIA, Putrajaya, KLCC dan sebagainya, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Akta-akta draconian yang menyekat dan mencabul kebebasan asasi rakyat yang terus dikuatkuasakan seperti ISA, mesin cetak, AUKU, OSA dan sebagainya, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Tindakan mematikan budaya ilmu di kalangan rakyat luar bandar, khasnya dengan cara menyekat dan mengharamkan ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Menganaktirikan ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti pembangkang daripada mendapat kemudahan projek-projek tajaan kerajaan, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Sengaja melambat-lambatkan bayaran geran wajib Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu hingga menyusahkan rakyat, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Bertindak sebagai lanun merampas wang royalti Kerajaan Negeri Terengganu, hingga menjejaskan usaha pembangunan negeri tersebut, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Begitu minat mendirikan masjid-masjid mewah dan menelan belanja berjuta-juta ringgit, tetapi tidak berminat menghidupkan dan mengimarahkannya, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Prestasi keunggulan akademik di kalangan universiti tempatan yang semakin merosot berbanding dengan universiti-universiti di negara jiran tetangga kita, selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Tidak membicarakan bekas Timbalan Perdana Menteri di Mahkamah Syariah atas pertuduhan yang sememangnya termasuk di dalam bidang kuasa mahkamah tersebut, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Kerajaan menutup mata di atas kegiatan yang semakin menular golongan anti hadis, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Memfitnah, menyeleweng fakta dan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam, kononnya negara Islam PAS sama seperti Taliban dan Iran, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Amalan rasuah yang semakin meningkat hingga ke tahap yang sangat membimbangkan, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Pertuduhan salah laku yang melibatkan menteri, yang telah dirujukkan ke Jabatan Peguam Negara dan mendapati pertuduhan itu ada asasnya tetapi tidak dibawa ke mahkamah, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Begitu banyak laporan polis yang dibuat oleh rakyat terhadap kecurangan dan salah laku pemimpin-pemimpin dipendamkan begitu sahaja, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Tuan Yang di-Pertua, akhirnya, perbuatan memandulkan kreativiti pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk guru-guru dengan mewajibkan Akujanji, adakah selari dengan semangat negara Islam Perdana Menteri.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin berseru di sini, Tuan Yang di-Pertua, ini adalah check list yang saya himpunkan, yang saya fikirkan satu malam, malam tadi. 34 check list ini, saya minta teman-teman dalam UMNO menjawabnya.  Saya minta teman-teman menteri menjawabnya, kalau boleh Perdana Menteri sendiri datang ke Parlimen ini, dalam pembentangan belanjawan satu perkataan pun tidak disebut tentang negara Islam ini.

Saya tidak mahulah melabelkan apa-apa Tuan Yang di-Pertua, tetapi sesuatu yang penting kepada  arah tuju negara, sesuatu yang penting kepada direction ke mana negara ini hendak dibawa, sepatutnya dibincangkan di Dewan Parlimen ini, tetapi apa yang kita nampak, yang mana tidak berjaya MSC misalnya, teman-teman sudah menyebutkan, Yang Berhormat bagi Permatang Pauh telah menyebutkan, pemimpin pembangkang telah menyebutkan, kenapa MSC tidak disebutkan.

Saya hendak sebutkan Tuan Yang di-Pertua, mungkin saya ada dua minit lagi agaknya, tentang MSC ini satu cerita yang saya hendak berikan di sini.  Satu cerita yang saya sendiri pun merasakan kenapa begini berlaku, sedangkan kita mempunyai program yang begitu hebat tentang MSC ini.

Setakat bulan Mei tahun 2001, Tuan Yang di-Pertua, 492 syarikat diberi status MSC, 11 syarikat 'doman'.  'Doman' ertinya mati.  50 masih belum beroperasi.  26 ditarik balik status MSCnya kerana kegagalan meletakkan operasi di cyberjaya atau Technology  Park Malaysia atau KLCC yang disebut sebagai cybercities.

Tuan Yang di-Pertua, saya mengharapkan supaya kita dapat berlapang dada dalam hal ini, dapat memikirkan terus, dapat membuat keratan rentas, kita kena dissect the vary content tentang Budget 2002 ini. 

Tuan Yang di-Pertua, bukan sahaja untuk generasi kali ini, bukan sahaja untuk generasi yang akan datang, saya bercakap pada petang ini bukan sahaja mewakili generasi kali ini, tetapi saya melihat anak cucu kita pada masa yang akan datang.  Anak cucu yang tidak akan tertipu, saudara dengan slogan-slogan, dengan kata-kata, nomenclature yang direka, semata-mata untuk melunakkan hati dan pandangan rakyat tentang pemerintahan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional.

Tuan Yang di-Pertua, saya mendoakan supaya kita dibukakan hati, semuanya dibukakan hati. Dalam keterbukaan hati itulah, kita melihat sesuatu yang indah dalam hidup ini.  Yang indah itu tidak lain dan tidak bukan ialah kebenaran dalam hidup ini.

Tuan Yang di-Pertua, cukup saya mengucapkan terima kasih dan Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh