Membahas Rang Undang-undang reka Bentuk Perindustrian
 

Tuan Yang di-Pertua:  Yang Berhormat bagi Bachok.

3.30 ptg.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.  Sedikit sumbangan saya bagi membahas pindaan kepada Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 ini. 

[Timbalan Yang di-Pertua [Dato¡¯ Haji Muhamad bin Abdullah] mempengerusikan mesyuarat]

Pertama sekali suka saya tegaskan akta ini baru sesi lepas iaitu April 2000 telah pun dibuat sedikit pindaan untuk menyelaras aspek-aspek tafsiran dan kaitannya dengan Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000.  Dan hari ini pula pindaan telah dibawa sekali lagi.  Tujuannya untuk menyelaras dan juga untuk membuat suatu perubahan dari sudut penyesuaian kepada penubuhan Perbadanan Harta Intelek Malaysia tahun 2001 ini. 

Apa yang penting daripada usaha pinda-meminda daripada rang undang-undang ini, pertama sekali ialah ruang lingkup Akta Reka Bentuk Perindustrian ini pada umumnya untuk menjelaskan hasrat sebenar dalam konteks perindustrian negara yang merangkumi.  Sudah pasti dari sudut tafsiran reka bentuk perindustrian itu mengambil kira aspek-aspek reka bentuk dari sudut cirinya, reka bentuk itu sendiri, tata rajah, corak ataupun hiasan yang digunakan pada sesuatu barang yang dihasilkan melalui satu proses atau proses-proses ataupun cara-cara ataupun melalui aktiviti perindustrian dalam menghasilkan sesuatu produk untuk distandardkan sebagai satu barang yang boleh dikomersialkan. 

Ini bermakna akta ini dirasakan perlu kepada satu sokongan padu bagi memastikan kejayaan dari sudut perlaksanaannya khususnya pihak-pihak yang ingin menghasilkan barangan industri itu sendiri terlebih dahulu dari sudut peraturan yang akan dirangka oleh pihak yang berkenaan khususnya kementerian yang bertanggungjawab bagi memastikan setiap reka bentuk itu didaftarkan terlebih dahulu dengan kementerian agar reka bentuknya dapat dipastikan tidak ada pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menciplak ataupun mengambil peluang di atas nilai komersial yang ada ataupun apa-apa nilai sekalipun. 

Di sebalik usaha yang murni itu, pada pandangan saya ada sedikit kemusykilan yang seharusnya diperjelaskan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab iaitu dari sudut isunya masih banyak permohonan untuk mendapat taraf mendaftar reka bentuk perindustrian ini tidak diproses dan permohonan dari pihak pemohon-pemohon yang memohon untuk didaftarkan reka bentuk perindustrian mereka ternanti-nanti dari sudut kelulusan. 

Jadi, kenyataan yang saya sebutkan ini berdasar kepada apa yang telah pun diumumkan oleh pihak kementerian sendiri.  Pada persidangan lepas didapati lebih dari  320 permohonan yang disebutkan dalam Dewan yang mulia ini telah diterima untuk didaftarkan tetapi 11 sahaja yang telah pun diterima setakat ini.  Jadi, perkembangan terbaru ini saya ingin mendapat sedikit bayangan dari sudut tindakan selanjutnya ialah adakah permohonan yang melebihi 300 itu telah berjaya diurus selesaikan bagi memastikan pihak pemohon tidak tertunggu-tunggu lebih lama. 

Merujuk kepada seksyen yang telah dibuat pindaan pada hari ini iaitu seksyen 4, seksyen 5 dan satu lagi ialah yang berkait di bawah bidang Menteri untuk melaksanakan suatu peraturan di bawah seksyen 8, suka saya menyumbang sedikit pendapat bahawa akta ini yang dibawa oleh pihak kementerian boleh dari sudut untuk menggalakkan lebih banyak lagi reka bentuk-reka bentuk.  Dan kita nampak dari sudut kuasa yang ada pun pihak kementerian menerusi penubuhan Perbadanan Harta Intelek Malaysia ini menggarapkan lagi usaha-usaha bagi menambahkan lagi penghasilan reka bentuk perindustrian ini. 

Dan peluang untuk menambahkan lagi keupayaan dari sudut pihak pentadbiran perbadanan dan juga di bawah kuasa akta ini, saya nampak boleh ditambah ataupun diperlebarkan lagi kerana kuasa yang diberi boleh melantik seramai mungkin kakitangan yang diperlukan untuk menguruskan keperluan-keperluan bagi proses kelulusan kepada reka bentuk perindustrian ini. 

Oleh kerana itu isu permohonan daftar reka bentuk ini yang diajukan oleh pihak individu, syarikat atau pihak-pihak tertentu sudah pasti dapat diatasi.  Jadi, berdasar kepada kes-kes permohonan yang didaftarkan ataupun yang ingin mendapat taraf pendaftaran reka bentuk ini, pada pandangan saya tidak perlu suatu proses masa yang begitu lama dan tertangguh-tangguh kerana ia akan menggambarkan suatu nilai yang lain dari sudut pengurusan pentadbiran khususnya apabila ia telah pun diselaraskan di bawah Perbadanan Harta Intelek. 

Ini suatu perkara yang harus kita lihat kerana Perbadanan Harta Intelek Malaysia ini dari sudut fungsi dan tanggungjawabnya mempunyai satu langkah yang lebih bermatlamat bagi menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.  Dan kita yakin menerusi perlantikan pendaftar-pendaftar di bawah akta ini dan terangkum di bawah Akta Perbadanan Harta Intelek jika didapati tidak memenuhi beberapa regulation ataupun prosedur-prosedur pentadbiran, maka saya yakin dengan kausa yang ada khususnya di bawah pindaan seksyen 8 ini satu peraturan ataupun satu regulation yang paling mudah dan munasabah bagi menguruskan pendaftaran reka bentuk ini dapat dilaksanakan dan disempurnakan oleh pihak kementerian khususnya. 

Tambahan lagi dalam isu yang berlaku sekarang ini, jika regulation yang ada tidak menjamin dari sudut kecekapan untuk bertindak menyelesaikan segala isu yang berbangkit dari sudut usaha mendaftar reka bentuk ini, kita mempunyai suatu cara yang lebih canggih dari sudut teknologi yang terkini.  Kemudahan-kemudahan ICT misalnya boleh di manipulate atau pun boleh digunakan semaksimum mungkin dalam pengurusan ini supaya reka bentuk yang diajukan permohonan yang didaftarkan itu dapat dibuat suatu analisa yang lebih cepat dan tangkas bagi menyelesaikan segala permohonan. 

Oleh kerana itu dalam arus dunia yang telah menuju suatu budaya k-ekonomi ini pada pandangan saya, pihak kerajaan haruslah melihat dari berbagai bidang aktiviti hidup demi memenuhi keperluan pembangunan negara yang sememangnya dalam rangka strategi kerajaan untuk memperlebarkan budaya k-ekonomi ini sebagai mana yang telah pun kita ketahui Malaysia kita memang mempunyai satu cita-cita yang jitu dalam menuju kepada era k-ekonomi, maka bidang perindustrian yang terlebih-lebih utamanya memerlukan kepada suatu pembangunan dan pengurusan yang cekap lagi berkesan dengan menggunakan asas-asas k-ekonomi. 

Jadi, dalam hal ini saya mencadangkan satu perhatian lebih perlu daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang telah diluluskan rang undang-undang pada hari kelmarin bagi memastikan supaya penguatkuasaan Akta Reka Bentuk Perindustrian yang dibahaskan pada hari ini mampu untuk merangka suatu lonjakan ataupun suatu quantum leap bagi menjamin dasar-dasar produktiviti negara dan juga untuk menguasai satu persaingan global dari sudut pertumbuhan ekonomi menerusi perindustrian secara spesifik.  Ini kerana sesungguhnya tindak balas yang terbaik pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia ini sudah pasti akan menyumbang kepada suatu pembentukan ataupun suatu tunjuk arah kepada suatu winning formula dari sudut persaingan ekonomi global lebih-lebih lagi kepada mencapai satu matlamat k-ekonomi dalam sektor reka bentuk perindustrian ini.  Di sebalik asas-asas itu, sukacita juga saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kementerian beberapa isu yang berbangkit dari sudut reka bentuk tempatan itu sendiri.  Saya cuba ambil suatu perhatian kes yang berlaku di Kelantan misalnya.  Rakyat Kelantan sesungguhnya kita mempunyai suatu nilai iaitu suatu daya intelek yang tinggi dari segi reka bentuk atau pun mereka cipta sesuatu yang mempunyai suatu nilai estetika dan nilai komersial serta bermutu dari sudut sejarah dan budaya.  

            Suatu reka bentuk perindustrian yang telah pun lama dilalui oleh orang Kelantan ialah berjaya meletak suatu taraf reka bentuk wau bulan itu bertaraf nasional.  Reka bentuknya yang telah dijadikan suatu trade-mark atau pun suatu penggunaan kepada logo  syarikat penerbangan Malaysia kita, MAS, yang seringkali juga kita lihat wau bulan ini juga digunakan seluas-luasnya oleh pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian  dan Pelancongan dalam usaha-usahanya menerusi Bahagian Penggalakan Pelancongan dan dicetak dan disebar secara meluas oleh pihak TIC atau pun pihak Pusat Penerangan Pelancongan di negeri-negeri termasuklah di luar negara. 

Jadi saya ingin mendapat penjelasan adakah reka bentuk wau bulan yang sekarang telah menemui kepada suatu perkembangan teknologi dijadikan satu bahan cenderamata oleh pihak pengukir-pengukir perak di Kelantan dan dijual secara terbuka.  Adakah pernah pihak kementerian menerima suatu permohonan untuk didaftarkan reka bentuk ini sebagai suatu yang standard yang  tidak boleh lagi ditiru atau pun tidak boleh lagi diambil alih oleh pihak-pihak lain dari sudut hak cipta mutlaknya.  Itu suatu isu  yang saya ingin mendapat penjelasan kerana saya dengan nilai mencintai kepada reka bentuk ini sayang sekali sekiranya ia diambil alih oleh pihak asing, pihak luar,  kerana daripada reka bentuk wau bulan ini ia mempunyai suatu nilai kenangan yang begitu indah dan khususnya bagi rakyat Kelantan itu sendiri. Dan Ia mempunyai suatu potensi dari sudut designnya untuk bertaraf antarabangsa bagi memastikan ianya benar-benar boleh menjadi suatu kenangan kepada masyarakat dunia.

            Demikian lagi dalam kes yang berlaku dari sudut sosio-budaya Kelantan, satu lagi cenderamata yang direka bentuk yang mungkin boleh diperlebarkan dijadikan sebagai satu asas barang komersial dan industri ialah rebana ubi yang begitu kecil.  Yang besar telah diperkecilkan dengan design yang  begitu cantik juga telah dipopularkan di hotel-hotel bertaraf lima bintang sebagai suatu bahan atau suatu reka bentuk khusus untuk cenderamata.  

            Dalam perkembangan yang terbaru lagi bagi rakyat Kelantan ada satu lagi  reka bentuk  yang juga boleh dianggap sebagai  satu nilai komersial  ialah reka bentuk rehal iaitu suatu tapak untuk meletakkan Kitab Suci Al-Quran bagi suatu simbol nilai keIslaman dan keluhuran sebuah Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini yang bertungakkan kepada Islam itu sendiri.

            Jadi berdasarkan kepada kes-kes begini dari sudut nilai tempatan atau pun suatu nilai komersial yang boleh kita garapkan daripada idea intelek penduduk-penduduk tempatan yang dibayangi dengan sosio-budaya yang begitu baik sekiranya perkara ini dapat diambil perhatian lebih oleh pihak kementerian khususnya menerusi kuasa yang ada di bawah Akta Rekabentuk Perindustrian dan juga Kuasa Penubuhan Perbadanan Harta Intelek Malaysia ini.  Ia sudah pasti akan melajukan lagi asas-asas ciptaan-ciptaan baru bagi perlebarkan lagi persaingan-persaingan dalam bidang perniagaan dan juga dalam bidang-bidang yang memajukan lagi asas budaya rakyat bagi memastikan asas-asas kepada kewujudan budaya k-ekonomi ini berjaya dalam suatu tempoh yang tertentu. 

Itulah bagi saya untuk memberi sedikit pandangan dan juga tinjauan di sebalik perbahasan di bawah Rang Undang-undang Rekabentuk Perindustrian ini.  Sekian, terima kasih