Membahas Rang Undang-undang Petunjuk Geografi (11/10/2001)
 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya, Yang Berhormat bagi Bachok. 

11.24 pagi

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]:  Terima kasih  Tuan Yang di-Pertua, dan  di atas  peluang yang diberikan ini terutama sekali saya  ingin mendapat penjelasan  daripada pihak kementerian  menerusi Setiausaha Parlimen  hari ini, apakah Akta Petunjuk Geografi yang telah pun diluluskan pada sesi persidangan lalu pada 20 April pada ingatan saya  telah pun dikuatkuasakan dari sudut tindakan ataupun  operasionalnya.

            Asas ini  berbangkit kerana kita tahu  latar belakang kepada  pindaan hari ini  merupakan  pelengkap ataupun yang dikatakan  consequential amendment daripada penubuhan Perbadanan Harta Intelek Malaysia atau ringkasnya PHIM ini  hasil daripada  penyesuaian daripada beberapa  perkara  dalam  akta ini.

Demikian juga kita harus mengambil perhatian latar belakang kepada pindaan ini sebagai suatu pematuhan pada suatu agreement yang telah pun dibuat oleh pihak Malaysia sendiri menerusi WTO ataupun menerusi Pertubuhan Perdagangan Sedunia iaitu suatu perjanjian Trade Related in Aspects of Intellectual Property Rights (TRIPS) yang antara lainnya memang bersetuju untuk menstandardkan dari sudut pemakaian undang-undang dan peraturan-peraturan bagi menjaga kepentingan harta intelek dalam negara dan di kalangan negara-negara yang menganggotai WTO secara globalnya. 

Kemudian juga saya meneliti pindaan yang dibawa pada Dewan yang mulia pada hari ini adalah seperti yang telah dijelaskan oleh pihak kementerian sebelumnya.  Sebenarnya di bawah akta ini melibatkan 9 fasal sememangnya suatu penyesuaian langsung kepada kehendak Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang akan berkuat kuasa selepas ini dan sesungguhnya saya memandang positif kepada usaha ini demi untuk menyokong kepada suatu perubahan yang baik dalam ekonomi khususnya dan dalam konsep kebudayaan negara kita yang menggalakkan kepada suatu ciptaan dan suatu penghasilan produk yang bermakna untuk kepentingan bersama. 

Lebih-lebih lagi apabila saya meneliti kepada pindaan-pindaan seperti Seksyen 8 yang telah memberi suatu kuasa penuh kepada Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia bertindak sebagai pendaftar petunjuk geografi yang kemudiannya diberi kuasa lagi untuk melantik atau menurunkan kuasanya kepada suatu pasukan kerja (team work) - dengan izin - bagi melaksanakan segala urusan mendaftar petunjuk geografi bagi sesuatu barangan ataupun produk yang dihasilkan sama ada tempatan ataupun daripada luar negara. 

Oleh itu saya mengharapkan pembentukan pasukan kerja yang akan diwujudkan menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia ini juga dapat seperti mana yang telah pun kita harapkan boleh melaksanakan kerja-kerja mendaftar segala hasil yang bercorak harta intelek ini yang mereka ini pasti dilantik dari kalangan yang cekap, layak dan cemerlang untuk melaksanakan fungsi-fungsi pendaftaran yang digariskan oleh Seksyen 8(4) mengikut akta ini. 

Walau bagaimanapun Tuan Yang di-Pertua, Seksyen 8(4) saya meneliti dan saya mendapati ianya adalah suatu usaha ke arah memastikan kelicinan urusan pendaftaran petunjuk geografi lantaran kuasa pendaftaran petunjuk geografi ini yang tertakluk di bawah pendaftar perbadanan boleh dilakukan oleh timbalan ataupun penolongnya, namun beberapa isu yang harus diberi perhatian di sebalik pembentukan team work ataupun pasukan kerja pendaftar petunjuk geografi ini.

Di antaranya sebagaimana isu yang berbangkit yang disentuh sedikit oleh pihak Kepong tadi berhubung dengan komitmen pihak pemohon untuk mendapatkan petunjuk geografi ataupun untuk mendaftar petunjuk geografi dengan kuasa akta ini mesti dibuat menerusi agen.  Tidak ada suatu pilihan iaitu kepada pemohon daripada negara asing mesti mendaftar dengan menggunakan khidmat agensi yang diiktiraf oleh pihak Perbadanan Harta Intelek.  Ini ditegaskan sebagaimana kehendak dalam Seksyen 11(2).  Jadi dalam hal ini pihak pendaftar Perbadanan Harta Intelek di bahagian petunjuk geografi ini seharusnya membutirkan secara terperinci iaitu butiran-butiran dan kelayakan-kelayakan asas dari sudut agen yang akan memberi khidmat kepada pihak pemohon asing untuk mendaftar mendapat title petunjuk geografi bagi negara kita kerana menerusi seksyen baru yang dicadangkan dalam pindaan ini iaitu Seksyen 11A(1) dan (2).  Saya tidak nampak satu kriteria yang begitu jelas diperincikan.  Kriteria agen yang seharusnya diiktiraf oleh pihak perbadanan.

Begitu juga dalam peraturan-peraturan petunjuk geografi mengikut kaedah Akta Penunjuk Geografi ini, peraturan-peraturan yang telah digubal sebagaimana yang diedar kepada Ahli Parlimen sekalian, saya mendapati di bawah Butiran Peraturan 14 Akta Petunjuk Geografi tidak dinyatakan juga latar belakang agensi yang layak dilantik itu secara terperinci dan tidak diketahui dari sudut asasnya.  Jadi berdasarkan kepada ini, pada pandangan saya syarat mandatori yang diberikan dan dikenakan kepada pemohon dari negara asing untuk mendaftar mendapatkan penunjuk geografi ini adalah suatu perkara yang perlu dipertimbangkan semula ataupun diserahkan syarat ini kepada budi bicara ataupun pertimbangan langsung pihak Pengarah Perbadanan supaya perkara ini dapat dipermudah bagi membolehkan suatu persaingan sihat pihak asing yang datang untuk berdagang ataupun berniaga di negara kita supaya produknya dapat dibuka seluas-luasnya meskipun ada peraturan-peraturan yang dianggap mandatori. 

Perkara kedua yang ingin saya bangkitkan ialah dari segi fee ataupun dari sudut bayaran yang dikenakan menyambung apa yang telah disebut oleh Yang Berhormat Teluk Intan tadi.   Dari segi fee yang dikenakan bagi memperbaharui pendaftaran yang telah pun luput ataupun yang telah tamat tempoh 10 tahun.  Saya meneliti seksyen baru di bawah akta ini iaitu 19A(3) ia dikenakan suatu fee sedangkan pemohon asal telah pun dikenakan fee. Bagi pembaharuan, pembaharuan pendaftaran juga dikenakan fee sedangkan permohonan asal ataupun permohonan awal juga dikenakan fee.  Kadar ini saya merujuk kepada jadual daripada peraturan-peraturan Akta Penunjuk Geografi.  Untuk permohonan baru dikenakan sebanyak RM250 dicampur dengan fees lain yang saya tidak menjumlahkan secara tepat. 

Cuma saya meneliti peraturan pendaftaran ini tidak dinyatakan secara khusus fee yang sepatutnya dikenakan kepada pihak yang akan memperbaharui pendaftaran.  Misalnya tempoh pendaftarannya akan tamat sepuluh tahun maka dia layak untuk meneruskan perniagaan, mesti memperbaharui dan permohonan pembaharuan ini tidak dinyatakan bayarannya dengan jelas ataupun dengan tepat berapa kadar sebenar. 

Oleh kerana itu mengikut Seksyen 19A(3) saya mencadangkan supaya fee itu tidaklah munasabah dan tidak sepatutnya dikenakan terlalu tinggi dan sepatutnya fee itu pada kadar RM50 adalah memadai.  Demikian juga fees ataupun bayaran-bayaran yang dikenakan kepada pendaftaran untuk permohonan-permohonan baru sepatutnya diberi pertimbangan kerana ada syarikat atau pihak-pihak yang menghasilkan produk ini daripada kalangan SMI ataupun dari kalangan IKS yang sudah pasti keupayaan untuk memulakan perniagaan dengan beberapa syarat bayaran-bayaran ini akan membebankan.  Oleh kerana itu penguatkuasaan bayaran ini sepatutnya dibuat secara lebih fleksibel dan mengikut budi bicara pihak ketua pengarah atau pun pihak pendaftar petunjuk geografi itu sendiri.

Yang ketiga saya ingin bangkitkan iaitu dari sudut sesuatu barang yang telah didaftarkan di bawah Akta Petunjuk Geografi ini, saya dapati ada kes-kes ini memang dari sudut pengalaman perniagaan, tempoh laku yang dikenakan ialah sepuluh tahun.  Memang ada dari sudut operasi perniagaan biasanya tidak ada daya tahan sampai kepada sepuluh tahun.  Ada lima tahun, ada tiga tahun ataupun lapan tahun belum mencukupi.  Oleh kerana itu ada syarikat lain yang berminat untuk mengeluarkan hasil yang sama daripada wilayah ataupun daripada geografi yang sama ataupun geografi yang lain. 

Dari sudut peraturan yang ada ini, di mana fleksibilitinya untuk membolehkan, kita ambil satu contoh negeri Perlis yang terkenal dengan pengeluaran mempelam ¡°harumanis¡±.  Dari sudut kaedahnya, sepatutnya pengusaha yang mewakili penanam ataupun sesiapa yang ingin mengeksport harumanis daripada Perlis ini untuk berniaga ataupun berurusan secara eksportnya ke Thailand misalnya, dari sudut kehendak WTO, sepatutnya pengusaha daripada Perlis itu untuk memasarkan buah mempelam harumanisnya mesti mendaftar di bawah Akta Petunjuk Geografi di Thailand.

Maka pihak negara Thailand sendiri yang telah pun masyhur dengan pelbagai jenis buah mempelam misalnya jenis Siku Raja ataupun apa-apa jenis nama sekalipun, bila dia hendak menguruskan perniagaan dalam negara kita selayaknya mengikut akta ini mereka mendaftar dengan mengikut Akta Petunjuk Geografi. mendaftar untuk mendapat petunjuk geografi dalam negara kita. Sekiranya ada yang mendaftar itu, saya contohkan satu lagi, misalnya di Kelantan.  Ramai pelancong pergi ke Kelantan kerana mereka berminat untuk membeli selimut, blanket jenama TOTO ataupun NARITA.  Memang kedua-dua jenama ini, blanket ataupun selimut ini dikeluarkan daripada Thailand tetapi pasarannya meluas di Kelantan, sampai ke Kuala Lumpur. 

            Jadi, katakan tempoh pendaftaran untuk TOTO dan NARITA ini belum cukup tempoh 10 tahun tetapi kilangnya tutup.  Maka, dalam masa yang sama, ada kilang baru untuk menghidupkannya di Kelantan sendiri untuk mengkormersialkan selimut jenama TOTO dan NARITA ini juga, maka, adakah dari fleksibiliti akta ini, dibolehkan jenama yang sama tetapi didaftarkan mengikut wilayah geografinya di Kelantan.  Sedangkan tempoh sebenar 10 tahun belum lagi cukup untuk jenama yang sama daripada Thailand yang telah beroperasi tadi.  Ini suatu perkara yang saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kementerian  daripada segi fleksibiliti tempoh pendaftaran 10 tahun yang dimaksudkan mengikut akta ini. 

            Oleh kerana itu, saya ingin mendapat juga penjelasan daripada pihak kementerian, asas penggalakan perniagaan yang bersifat global pada masa kini, kemungkinan barang-barang daripada Kelantan, Terengganu atau seluruh negeri dalam negara kita, pasarannya melangkaui boundary ataupun sempadan geografi, maka, perkara itu sudah pasti akan berlaku dalam suatu masa yang ke depan.  Beberapa asas mengikut kehendak Akta Petunjuk Geografi ini memang diperlukan sesuatu barangan itu didaftarkan sebagaimana yang dimaksudkan oleh pihak Yang Berhormat Teluk Intan tadi iaitu, suatu promosi yang menyeluruh, kesedaran kepada semua pengusaha-pengusaha untuk mendaftar di bawah Akta Petunjuk Geografi ini. 

            Adakah  pada masa depan, cadangan kerajaan untuk mewajibkan setiap pengusaha sebelum mereka memasarkan ataupun menguasai pasaran, mereka mesti mendaftar kepada Akta Petunjuk Geografi.  Adakah suatu tempoh masa tertentu, time frame ataupun tempoh operasi sesuatu perniagaan itu mesti mendaftar di bawah Akta Petunjuk Geografi ini sebelum mereka melebarkan lagi pasaran kerana kita yakin beberapa produk tempatan mempunyai suatu potensi untuk diperluaskan melampaui sempadan negara.  Kalau dahulu kita kenal dengan sate, dipromosikan sampai ke England, sedangkan Petunjuk Geografinya, ia adalah asal daripada negara kita.  Mungkin suatu masanya, keropok lekor Losong daripada Terengganu yang begitu popular kepada peminat-peminat keropok lekor yang datang ke Terengganu tidak akan melepaskan peluang untuk mendapat rasa ataupun untuk merasai kelazatan, kenikmatan dan khasiat keropok lekor ini. 

             Pada masa depannya, apakah kerajaan akan memastikan pengusaha-pengusaha tempatan, makanan seumpama ini menghasilkan ataupun mendaftar di bawah akta ini, sebab perkara ini perlu diambil perhatian kerana kemungkinan orang lain akan mengambil kesempatan untuk mendaftar dan sudah pasti pihak lain akan mengaku ianya adalah daripada wilayah mereka.  Demikian juga, satu perkara saya dapat timbulkan misalnya, Kelantan yang sekarang ini memang terkenal dengan pengeluaran hasil tembakau yang telah banyak memberi satu sumbangan kepada industri tembakau dan rokok dalam negara, walaupun  daripada segi dasar kesihatan, ia adalah suatu nilai percanggahan. 

            Namun, dari semula jadi ataupun dari keaslian wilayah geografinya, tembakau dihasilkan di Kelantan, tetapi apabila ia telah bertukar menjadi rokok ataupun hisapan tembakau, maka produk asal ini yang dihasilkan di Kelantan telah tidak dikenali oleh rakyat bahawa tembakau itu berasal daripada Kelantan.  Jadi, yang mereka tahu ialah dikeluarkan oleh Benson, Dunhill ataupun mana-mana produk yang tidak dinyatakan pada kotak ataupun pada kulitnya tentang tempat asal bahan mentah tersebut.  Ini, suatu langkah yang saya yakin apabila fleksibiliti ataupun ruang yang lebih besar untuk bertindak di bawah Akta Petunjuk Geografi ini dapat dikuatkuasakan, sudah pasti ia akan menjelmakan suatu nilai komersial yang bersifat reputasi, keaslian dan juga asal kepada sesuatu produk itu untuk dipopularkan ke seluruh dunia.  Jadi, sekadar itulah pandangan daripada saya.  Sekian, terima kasih.