Soalan yang dikemukakan oleh pada 16 JULAI 2001 
(persidangan Parlimen ke-10, Penggal Ketiga, mesyuarat ke-2) 

YB Wan Nik bin Wan Yussof (Bachok) yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan  Hal Ehwal
Pengguna menyatakan jumlah kes penyalahgunaan beras yang berjaya dikesan dalam tempoh Januari hingga Jun 2001. Apakah langkah-langkah yang diambil bagi membendung kegiatan penyeludupan beras Siam terus daripada berlaku?  

Jawapan
   

Perlaksanaan sekatan pemindahan beras dari negeri Kelantan ke negeri-negeri lain adalah satu pendekatan yang diambil bagi mengawal kegiatan penyeludupan beras dari negara Thailand. Melalui pendekatan ini, pemborong-pemborong tidak dibenarkan membawa keluar beras dari negeri tersebut kecuali dengan permit yang dikeluarkan oleh Kementerian ini. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2001, pihak Kemneterian telah mengeluarkan sebanyak 3,516 permit pemindahan beras ke luar Kelantan. Daripada itu, pihak Kementerian telah mengambil enam (6) tindakan kes berhubung penyalahguanaan permit berkenaan dengan melibatkan penyitaan beras sebanyak 47,064 kg dan kenderaan keseluruhannya bernilai kira-kira RM207,209.00.
 

2. Tindakan untuk membanteras penyeludupan beras adalah dijalankan secara berterusan dan diselaraskan melalui Pasukan Petugas Khas membanteras penyeludupan beras yang turut melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan. 

Di antara tindakan yang dijalankan ialah:
(i) menjalankan sekatan jalan raya di tempat-tempat yang dikenalpasti laluan utama pergerakan beras; (ii) menjalankan rondaan di laluan perjalanan penyeludup beras bagi menahan kenderaan yang disyaki membawa muatan beras dari negara jiran; (iii) intipan dana serbuan di pusat-pusat pengumpulan beras seludup; (iv) menjalankan pemeriksaan di premis-premis pemborong dan peruncit bagi memastikan stok bekalan beras yang diterima adalah dari sumber yang sah; dan (v) mengenakan sekatan larangan pemindahan beras dari negeri Kelantan kecuali dengan permit yang dikeluarkan oleh Kementerian.    

3. Di samping itu, Pasukan Petugas Khas tersebut juga membuat kawalan di pintu-pintu masuk sempadan dan mengadakan operasi-operasi di kawasan yang mudah dibolosi serta menjalankan rondaan dan pemeriksaan di kawasan-kawasan pelabuhan dan perairan negara.