Ucapan Membahas Rang Undang-undang Pendaftaran Negara 
pada persidangan Parlimen

Klik:Jawapan Menteri 

Tuan Yang di-Pertua: Ya, Yang Berhormat bagi Bachok.

4.09 ptg.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pertama, saya hendak bangkitkan di bawah perbahasan rang undang-undang ini berhubung dengan satu standard maklumat yang seharusnya dimasukkan di dalam pendaftaran kad pengenalan. Apa yang saya bangkit ini berdasarkan kepada kes Sijil Kelahiran yang ada pada tangan saya ini yang dikeluarkan oleh pihak Pendaftaran Negara. didapati maklumat yang tidak standard, iaitu daripada sudut pertama maklumat agama, tarikh pendaftar tahun 1996 tidak ada.

Yang keduanya, berhubung dengan nama keturunan. Tidak dibenarkan dimasukkan bagi pendaftaran yang dikeluarkan pada tahun 1999.

Yang ketiga ialah kenyataan borang A1, negeri-negeri Tanah Melayu digunakan dalam Sijil Kelahiran tahun 1996 tetapi ditiadakan dalam Sijil Kelahiran tahun 1999.

Saya bangkitkan perkara ini kerana maklumat asas ini perlu dimasukkan di dalam kad pengenalan. Oleh kerana itu, saya ingat pihak Jabatan Pendaftaran Negara harus mengambil perhatian lebih, terutama sekali di atas isu nama keturunan seperti Tengku, Wan, Tuan’, bagi di Kelantan ada satu gelaran 'Tuan' misalnya tidak dibenarkan dimasukkan di dalam Sijil Kelahiran ini dan ini menjejaskan nasab sebenar kepada keturunan berkenaan di dalam kad pengenalan nanti.

Yang kedua ialah berhubung dengan isu pendaftaran pemilih, satu perkara yang harus diselesaikan ialah menerusi pelancaran KPPK ini, Kad Pintar Pelbagai guna yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang akan dikuatkuasakan sedikit masa lagi. Inilah peluang terbaik untuk pihak JPN membuat penyelarasan dengan pihak SPR untuk memastikan sistem pendaftaran pemilih secara on-line ataupun secara automatik dilaksanakan bagi suatu tempoh bila memasuki umur 21 tahun, sekiranya umur ini harus dikekalkan ataupun diturunkan lagi kepada 18 tahun, sekiranya umur ini dipersetujui oleh pihak kerajaan.

Selain dengan itu, saya meyakini dengan teknik ini, dengan teknologi yang ada dan kemudahan IT yang kita capai hari ini kemungkinan besar isu pengundi hantu dapat kita banteraskan dan penyalahgunaan peluang pendaftaran pemilih secara terbuka ini dapat kita kurangkan, malah kita hapuskan sama sekali.
Yang ketiga ialah berhubung dengan KPPK - Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan yang akan dilancarkan, saya yakin ia melibatkan suatu kos daripada pihak kerajaan. Bolehkah Timbalan Menteri mengisytiharkan kos yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan dalam memastikan KPPK ini berjalan lancar.

Yang kedua, harga sebenar sebagaimana yang dibangkitkan oleh pihak Yang Berhormat bagi Pokok Sena tadi, saya hendak tahu bolehkah pihak kementerian subsidizes kan kos ini kerana kita yakin satu masa nanti kos ini akan dikenakan kepada warganegara kita yang akan membuat KPPK terutama kepada golongan berpendapatan rendah atau golongan penduduk luar bandar yang tidak mampu daripada sudut pembayaran kos hidup mereka. Jika dibebankan lagi dengan kos ini ia akan meningkatkan lagi pembayaran kerana tidak hanya seorang dalam sesuatu keluarga akan memiliki ataupun memproses kad ini, mungkin sampai lima,enam orang yang cukup tempoh untuk memiliki KPPK.

Satu lagi isu berhubung KPPK ini, saya dapati tidak ada satu sekuriti Personal security tidak ada yang mana sekiranya mereka yang ada pembaca kad ini, iaitu personal key ring reader dan saya kehilangan kad ini, apabila orang lain menemui kad tersebut maka dia boleh membaca secara langsung, tanpa perlu melalui satu password  ataupun nombor pin. Jadi, perkara ini saya ingat daripada sudut personal securitynya ianya mendedahkan kepada isu yang dibangkitkan oleh pihak Yang Berhormat bagi Parit Sulong tadi. Oleh kerana itu saya yakin perkara ini perlu  dipantau dengan baik, dengan tempoh masa yang masih ada pada kita.

Yang ketiga, apakah pemilikan KPPK ini dianggap wajib sedikit masa lagi. Sekiranya wajib, perkara ini haruslah dibuat penelitian yang lebih penting lagi kerana ia melibatkan teknologi yang diimport daripada luar negara dan kemungkinan pihak-pihak asing sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat bagi Pokok Sena, kesempatan untuk mengetahui maklumat-maklumat peribadi tokoh-tokoh tertentu dalam negara kita. Ini satu yang bahaya kepada negara.

Akhir sekali, Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bangkitkan ialah nasib baik di atas penghapusan kepada Seksyen 7 dan dimasukkan 7A, tidak mengenakan ISA kepada pesalah-pesalah sindiket kad pengenalan ini kerana kita yakin dan percaya, ISA ini banyak dimomokkan sekarang ini menimbulkan isu ketidakadilan kepada pihak tertentu.

Oleh kerana itu saya mengharapkan pengenaan suatu hukuman yang lebih setimpal sebagaimana yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sebelum saya. Saya menganggapkan mereka yang terlibat di dalam sindiket pengeluaran kad pengenalan ini adalah mereka yang anti-patriotism dan musuh negara maka ia suatu denda yang lebih berat harus dikenakan walaupun had yang dikenakan di sini hanya untuk tempoh 5 tahun maksimum penjara. 

Tetapi  apa yang saya dapati daripada isu-isu yang dibangkit atau isu yang disebutkan, adakah benar adanya mereka yang terlibat di dalam sindiket ini dibuat tahanan secara ISA, menggunakan Akta ISA?  Sebab isu sindiket kad pengenalan ini berbangkit di negeri Sabah sedikit masa dahulu dan didapati beberapa orang telah di ISAkan dengan kes sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu ini.  Jadi, saya ingin mendapat penjelasan, adakah kes ISA digunakan sebelum ini untuk memantau atau menangani isu sindiket kad pengenalan palsu  ini.  Sekian, terima kasih.



Jawapan menteri kepada Perbahasan MP Bachok mengenai Pendaftaran Negara

Datuk Zainal Abidin bin Zin: 
Saya sudah jawab peringkat awal tadi yang kita ada satu understanding yang dibekalkan kepada kita, ia tidak boleh dibekalkan kepada orang lain.  Kalau tidak, habis satu dunia ini ada sistem teknologi yang diberi kepada kita.  Itu persefahaman,. kKalau tidak, tidak perlu kita menggunakan teknologinya.  Kalau tidak, tidak perlu kita menggunakan teknologi.  Lebih baik sahaja kita teknologi tangan sahaja, ini mesti ada.  Dia tidak boleh menjual kepada orang lain dan orang lain tidak boleh menggunakan sistem teknologi yang telah diperakukan kepada kita.  Ini baru kita menerima dan mengimplementasikan teknologi yang telah dipersetujui. 

Kos projek ini lebih kurang RM269.9 juta untuk Lembah Klang.  Kita pun memang subsidize lah, saya kata tadi. 
Ini daripada Yang Berhormat bagi Bachok, saya sudah jawab bagi pihak Bachok.  Ini pasal ISA digunakan di antaranya...

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  ISA pun digunakan. (Ketawa)

Datuk Zainal Abidin bin Zin: ISA pun kita guna ya. Bagus ya Yang Berhormat bagi Bachok memperingatkan. ISA pun kita gunakan, bukan kita tidak guna, guna.  Nanti kejap ya, saya lihat, mana ISA ini? [Menyelak-nyelak nota di atas meja]  ISA ini pun dalam masa terdesak, ia pun lari ini. 

Ya, kita menggunakan ISA dalam melibatkan dokumen pemalsuan ini.  Tahun 1995, bagi sindiket sahaja, kita tangkap 40 orang.  Tahun 1996, 23, dan tahun 2001 tahun ini, 3 dan tahun lepas tidak ada.  Tangkapan kita keseluruhannya, bukan sindiket tangkapan, 343 daripada tahun 1995, perintah tahanan 277, sekatan 112.  Kalau kita sudah tangkap, kemudian itu kita dapati bahawa ianya ada maklumat-maklumat yang tidak sesuai, kita bebas tanpa syarat, .45 kes sepanjang tahun 1995 sehingga tahun 2001. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  Baik ,terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri.  Saya hendak tahu jawapan terhadap soalan yang disebut oleh Yang Berhormat bagi Bachok tadi.  Saya dengar apa yang disebut oleh Yang Berhormat bagi Bachok tadi bahawa supaya kerajaan tidak menggunakan ISA, itu yang dimaksudkan, tidak menggunakan ISA.  ISA ini bukan sahaja kita menentang kepada penggunaan terhadap orang-orang politik, kepada sesiapa sahaja dalam negara kita sama ada para pemimpin kerajaan, termasuk para pemimpin UMNO, termasuk cadangan Yang Berhormat Datuk sebut tadi, kena ambil tindakan kepada mereka yang melibatkan politik wang, pun kita tidak bersetuju kerana undang-undang ini, undang-undang yang zalim. 

Sebab saya ada pengalaman. Mereka yang duduk dengan saya di Kem Kamunting, Pegawai Imigresen, Pengarah Imigresen daripada Jabatan Pendaftaran Negara, mereka menceritakan tentang sindiket-sindiket itu melibatkan ramai pembesar-pembesar dalam negara kita pada waktu itu, sewaktu mereka berada sebilik dengan saya.  Jadi saya hendak sebut di sini bahawa, kadang-kadang mereka ini sahaja yang menjadi mangsa tetapi, ketua-ketua sindiket masih terlepas.  Ttetapi, bagi saya yang penting sekali bukan penggunaan ISA, tetapi menggunakan peruntukan undang-undang yang lain yang sedia untuk mendakwa mereka. 

Kalau mereka ada bukti, ayuh dakwa mereka.  Bukannya menggunakan undang-undang yang menafikan hak mereka untuk mendapat pembelaan di mahkamah seperti mana yang berlaku juga kepada mereka 10 orang aktivis daripada KeADILan dan juga reformasi yang ada sekarang, yang sepatutnya diberikan hak sehingga isteri hendak berjumpa baru ini, anggota polis beria-ia untuk meminta supaya mahkamah jangan membenarkan untuk dibawa mereka ke mahkamah..

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:  Yang Berhormat.......

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  .....sedangkan ini satu benda yang merupakan satu proses yang salah.......

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat cukuplah, tidak payah berucaplah, cukup. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  Tidak, satu proses yang mudah, bawa orang itu datang ke mahkamah, habis masalah tetapi, kenapa anggota polis tidak benarkan, seolah-olah macam ada satu-satu hal yang hendak dilindungi daripada pengetahuan keluarga dan juga[Disampuk]  Yang boleh berjumpa, saya ucapkan terima kasihlah tetapi, kenapa dua orang itu, sedangkan Mahkamah Tinggi pun memerintah tetapi tidak dibenarkan dibawa ke mahkamah.….. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat, cukuplah. 

Datuk Zainal Abidin bin Zin:  Tuan Yang di-Pertua, saya tidak mahu memperkatakan masalah ISA. Saya hanya menjawab soalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat bagi Bachok dan juga yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat bagi Bagan dan juga Yang Berhormat bagi Bandau. 

Perubahan tindakan undang-undang daripada 3,000 kepada 50,000, dua tahun kepada lima tahun, tidakkah ada peraturan-peraturan dan undang-undang yang lain?  Kita juga pakai undang-undang lain mengikut keadaan dan masa yang sesuai.  Sesuai dengan undang-undang yang akan kita ambil tindakan terhadap orang yang berkenaan. Ttetapi apabila tahapnya itu sampai ke peringkat mengucar-ngacirkan dan membahayakan ketenteraman awam dan keselamatan negara ini, ISA lah yang kita pakai. 

Tuan Yang di-Pertua, saya sudah habis menjawab. Terima kasih.