Ucapan membahas Akta Bekalan Elektrik 1990 pada 16 Julai 2001

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Bachok.  
12.46 tgh.


Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya merujuk kepada pindaan yang dibawa di bawah Rang Undang-undang Bekalan Elektrik 1990 ini sebagai suatu pandangan bagi memastikan hal pengurusan bekalan elektrik dalam negara kita lebih membantu kepada pertumbuhan dan pembangunan negara kerana daripada penggunaan tenaga yang ada pada hari ini kita nampak 73% adalah untuk sektor perindustrian dan pengangkutan dan selebihnya daripada penggunaan-penggunaan lain termasuklah penggunaan domestik ataupun di rumah-rumah dan pejabat.

Disedari juga pindaan ini memenuhi beberapa constraints semasa dalam memastikan pengurusan tenaga juga untuk ditingkatkan lagi kecekapannya memandangkan rizab ataupun simpanan tenaga yang ada daripada minyak dan gas terpaksa menghadapi beberapa catuan bagi memastikan sumber yang tidak boleh diperbaharui ini mendapat satu bekalan yang berterusan untuk tempoh-tempoh yang akan datang.

Pengurangan pengeluaran minyak juga merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian di samping gas sendiri telah pun menghadapi catuan sama dari segi pengeluarannya. Cuma apa yang telah dibangkitkan oleh sahabat dari Kubang Kerian serta dibangkitkan oleh pihak Yang Berhormat bagi Jeli tadi, perlu benar pihak kerajaan memberi perhatian dan memastikan jangka panjangnya sumber tenaga kita berterusan dan diurus dengan lebih cekap dan memberi satu keuntungan bersama di pihak yang mendapat lesen mengikut akta ini dan pihak pengguna sebagaimana yang disebut dalam akta ini juga.

Memandangkan perkara-perkara yang berbangkit di sebalik pengurusan tenaga dalam negara ini, kita memerhatikan sebagaimana kehendak pindaan mengikut apa yang disebutkan dalam pindaan akta bekalan tenaga yang dibawa ke Parlimen pada hari ini, terutama sekali berhubung dengan maksud pengawalseliaan sebagaimana telah pun diulas begitu panjang oleh pihak Yang Berhormat bagi Kubang Kerian. Yang penting di sebalik maksud pengawalseliaan ini sebagaimana dinyatakan dalam Fasal 2 dalam rang undang-undang yang dibentangkan ialah bagi memastikan industri tenaga kita berkembang pesat dan memenuhi keperluan semasa dan juga melangkaui dari sudut keperluan jangka panjang iaitu pada tempoh masa hadapan.
Yang berbangkit di sebalik isu ini ialah strategi dan langkah penguatkuasaan ataupun langkah pelaksanaan. Kita jangka banyak mengambil kira pertimbangan dari sudut kepentingan yang bersifat ekonomi dan tidak bersifat social obligation dari sudut pengguna itu sendiri.

Ini satu perkara yang saya nampak agak malang dari sudut pertimbangan-pertimbangan yang dibuat oleh pihak yang khususnya ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri yang banyak merundingkan urusan-urusan pemindahan saham dan pembelian ataupun membeli tenaga-tenaga yang dibekalkan oleh IPP itu sendiri melihat kepada kepentingan di sebalik kewujudan IPP dan orang-orang yang tertentu di sebalik  syarikat-syarikat yang menguruskan penjanaan tenaga tadi. Itu satu peringatan yang harus kita lihat sekiranya kita memandangkan bahawa dalam tempoh mendatang perkara ini perlu kepada suatu tanggungjawab sosial kepada rakyatitu sendiri.

Kemudian di bawah pindaan Seksyen 9 apabila memasukkan subseksyen 2A, ia menampakkan kesulitan pihak Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan komitmen tinggi pihak pembekal tenaga terhadap tanggungjawab pembayaran mengikut jadual.Jadi, boleh kita katakan bahawa…. 

Tuan Husam bin Haji Musa: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Kubang Kerian bangun.

Tuan Husam bin Haji Musa: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Bachok. Yang Berhormat ada sebut tadi masalah pengawalseliaan dan satu daripada unsur pengawalseliaan dalam rang undang-undang ini ialah untuk memastikan pendawaian sentiasa dalam keadaan baik supaya para pengguna tidak terdedah kepada bahaya litar pintas. Saya rujuk kepada muka surat 10, subseksyen (4) iaitu Langkah berawas-awas yang wajar telah diambil dan dipatuhi semasa mengerjakan mana-mana pepasangan atau loji atau kelengkapan elektrik”.

Saya hendak tahu adakah Yang Berhormat ingin mencadangkan supaya suruhanjaya ini menetapkan had masa tiap-tiap pendawaian.Macam DTC umpamanya pendawaian 37 tahun tidak dibaiki dan DTC amat dukacita telah terbakar dan laporan awal oleh bomba, jabatan kimia dan polis menunjukkan bahawa masalah ini berpunca daripada litar pintas dan bukannya oleh sabotaj mana-mana mahasiswa. Jadi, had masa pendawaian itu adakah Yang Berhormat hendak cadangkan supaya suruhanjaya tentukan supaya mana-mana pihak tidak dituduh…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat….tadi Yang Berhormat baru berucap, perkara ini mengapa tidak bawa sekali? [Yang Berhormat bagi Kubang Kerian mengangkat tangan sebelum terus duduk] Yang Berhormat Bachok, teruskan.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih. Sebenarnya kepekaan bersama dalam menangani masalah-masalah yang dihadapi di sebalik pengawalseliaan oleh pihak Tenaga Nasional, khususnya, adalah satu perkara yang harus kita banggakan. Ini satu perkara yang harus kita ambil perhatian. Jadi, kes yang dirujukkan oleh Yang Berhormat bagi Kubang Kerian, saya ingat perkara ini perlu diperkemaskan lagi dari sudut aturan kerja pihak pengawalseliaan khususnya pihak Suruhanjaya Tenaga itu sendiri dalam tempoh memastikan bekalan tenaga tadi mendapat satu pemeriksaan secara berkala bagi memastikan keselamatan dari sudut pembekalan elektrik daripada terelak kebakaran dan seumpamanya.

Sebenarnya perkara yang dibangkitkan dalam masalah ini tidak tertumpu kepada dewan seperti DTC di Universiti Malaya sahaja tetapi keseluruhan pejabat-pejabat kerajaan, bangunan-bangunan yang selalu digunakan dengan maksimum oleh pihak orang ramai. Begitu juga di rumah-rumah dan yang penting lagi adalah pendawaian ataupun talian grid yang menghubungi di antara satu generation kepada satu pusat penjanakuasaan kerana apa yang kita ketahui secara sedar atau secara tidak sedar banyak talian grid yang dihubungkan di antara pusat-pusat bekalan tenaga dan stesen-stesen tertentu didapati putus tanpa suatu faktor yang munasabah. Ini satu perkara yang perlu kepada pengawalseliaan rapi pihak penjanaan ataupun pihak yang mendapat lesen di sebalik akta ini.

Kemudian saya hendak sebutkan tadi ialah di sebalik pindaan di bawah akta ini khususnya apabila memasukkan subseksyen 2A yang menampakkan tanggungjawab khusus Suruhanjaya Tenaga untuk memastikan komitmen tinggi pihak pembekal tenaga bagi memastikan tanggungjawab pembayaran. Apa yang saya nampak di sebalik Fasal yang ada di bawah subseksyen 2A ini ialah pihak pembekal boleh mengenakan peraturan untuk memaksa ataupun mendenda pihak pengguna. Ini satu perkara yang perlu dilaksanakan secara teliti supaya tidak wujud suatu penindasan kepada pihak pengguna ataupun satu langkah yang boleh menyebabkan pengguna tertekan dari sudut kos bayaran bil dan seumpamanya.

Kerana daripada apa yang dipraktiskan oleh pihak Tenaga Nasional daripada bil-bil yang dikenakan kepada pihak pengguna, di bawah seksyen ini, sebelum rang undang-undang ini dibawa ataupun rang undang-undang yang dimaksudkan ini hanya hari ini baru dibentangkan di Parlimen untuk mendapat kelulusan tetapi pihak TNB telah pun mengenakan bayaran surcaj sebanyak 1% kepada pengguna-pengguna yang lewat membayar dan ini dikaitkan lagi dengan kuasa yang ada di bawah seksyen 26 yang mana TNB boleh melevikan apa-apa tarif yang diluluskan oleh pihak Menteri berhubung dengan perkhidmatannya.

Jadi, setahu saya cadangan ataupun usaha ini telah pun dilaksanakan ataupun amalannya telah pun dilaksanakan oleh pihak TNB lebih awal lagi yang menampakkan TNB begitu tertekan dengan masalah untuk mendapatkan pulangan lebih cepat daripada perkhidmatan yang hasilnya pihak pengguna dikenakan satu bayaran ataupun satu denda yang lebih awal daripada lulusnya pindaan yang dibawa pada hari ini.
Ini satu langkah yang tidak menampakkan satu simpati sosial pihak TNB kepada pihak pengguna yang sudah pasti penggunalah yang akan menjadi mangsa di sebalik langkah-langkah yang dibuat oleh pihak TNB tadi.

Demikian juga pengenaan kepada bayaran yang melibatkan pemotongan dan penyambungan semula apabila dinaikkan daripada caj biasa sebelumnya ialah RM10 kepada RM80, ini satu kenaan yang tidak munasabah dan perlu dikaji pada suatu harga yang munasabah ataupun kenaan yang munasabah. Yang paling malang lagi dari sudut pemotongan bekalan-bekalan elektrik kepada pengguna dan kepada kilang-kilang ini dari sudut amalannya tidak ada suatu penyelarasan yang cekap di pihak pengurusan TNB kerana daripada kes yang dilaporkan kepada saya, ada sebuah rumah yang telah pun menerima bil pemotongan dan diarah untuk membayar supaya terelak daripada pemotongan, maka dia terus pergi membayar. Dalam perjalanannya untuk membayar, telefon yang diterima daripada anak yang mengatakan bahawa rumahnya telah dipotong bekalan elektrik sedangkan perkara itu diterima notis sebegitu singkat untuk dibuat pembayaran dan apabila bayaran dibuat, didapati bekalan elektrik rumahnya telah dipotong. Ini satu langkah penyeliaan sebenarnya tidak berpandu kepada satu standard kecekapan yang sebenar.

Kemudian, apabila dalam rang undang-undang ini ataupun pindaan yang dibawa pada hari ini, Bahagian VA disebutkan bahawa sebahagian perkara-perkara yang melibatkan pembudayaan pengguna elektrik dengan cermat. Pada saya dengan membawa suatu kesedaran kepada peningkatan budaya kepenggunaan elektrik dengan cermat yang dicadangkan menerusi pindaan ini, di Bahagian VA, suatu langkah yang dialu-alukan. Tetapi suka saya sebutkan Tuan Yang di-Pertua, iaitu usaha-usaha sebenar sepatutnya dimulakan oleh pihak Tenaga Nasional sendiri sebagai pemegang utama dalam kes-kes bekalan tenaga ini. Kita nampak Tenaga Nasional sendiri melahirkan suatu amalan yang membazir dari sudut penggunaan tenaga kerana setiap malam, saban hari saya melalui pejabat Tenaga Nasional di jajahan ataupun di daerah saya di Bachok, saban hari saya melihat nilai pembaziran penggunaan elektrik dilakukan oleh pihak Tenaga Nasional sendiri sebab seluruh pagar dan bangunannya diterangi dengan lampu-lampu yang begitu gah sekali dan menampakkan suatu unsur pembaziran dari sudut penggunaan tenaga yang boleh dicermatkan lagi, yang dijimatkan lagi sekiranya asas budaya kepenggunaan elektrik ini dapat dipertingkatkan dengan cermat di kalangan pengguna-pengguna awam.

Demikian juga lampu-lampu jalan yang dipasang khas ataupun ditempah khas oleh pihak pengguna, apabila dibuat laporan supaya tidak berlakunya nyalaan lampu jalan ini pada siang hari iaitu bermula daripada waktu subuh sampailah kepada malam keesokan subuhnya – 24 jam terus menyala lampu jalan ini suatu nilai yang kita nampak pembaziran. Apabila perkara ini direpotkan kepada pihak berkenaan, di pihak TNB, alasan yang diberikan kenapa disibuk lampu yang menyala, semua orang sibuk lampu yang tidak menyala. Jawapan begini begitu negatif dari sudut untuk mempraktikkan pindaan yang dibawa di bawah Bahagian VA ini.
Demikian juga kalau kita memerhatikan lagi dari sudut usaha-usaha TNB daripada yang lepas-lepas dan saya yakin akan datangnya disebabkan TNB kebelakangan ini lebih bersifat komersial tidak memberi suatu nilai kesedaran….

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, masa cukup. Yang Berhormat boleh sambung pada petang ini.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Hendak sambungkah? Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ini ditangguhkan sekarang sehingga jam 2.30 petang.

Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 tengah hari. Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang.

[Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] 
Tuan Yang di-Pertua:
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat disambungkan semula. Yang Berhormat dari Bachok, sila. 2.32 ptg.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.Saya suka menyambung sedikit lagi berhubung dengan mewujudkan Seksyen 2A di bawah Seksyen 9, menyambung di bawah Bahagian VA berhubung dengan pembudayaan penggunaan elektrik dengan cermat.

Apa yang saya cadangkan sebelum ini ialah penglibatan secara serius pihak Tenaga Nasional Berhad yang menguasai dari sudut bekalan tenaga ini untuk memandu dan juga untuk mengambil bahagian secara aktif supaya menjadi contoh kepada pengguna dalam memastikan tenaga elektrik digunakan dengan cermat oleh pihak pengguna dan pihak pengilang dan seumpamanya.

Dalam istilah penggunaan elektrik dengan cermat ini, pada pandangan saya, meliputi semua aspek termasuklah aspek pengawalseliaan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad sendiri dan pihak pengguna. Kerana daripada laporan-laporan kes-kes kebakaran yang dilaporkan oleh pihak bomba, penyiasatan dibuat sebahagian besar kes itu bermula daripada litar pintas ataupun kerana pendawaian yang telah pun lama.

Dan yang terbaru sebagaimana laporan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung dengan kes kebakaran Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya yang telah pun menafikan beberapa tohmahan bahawa adanya sabotaj, ini menampakkan suatu bukti yang kukuh betapa pendawaian elektrik itu tidak diselia dengan sebegitu rupa.

Kemudian di sebalik itu juga, penggunaan cermat memberi suatu makna bahawa keupayaan penggunaan elektrik itu mestilah seimbang dengan kuasa elektrik yang dijanakan kepada premis ataupun mana-mana bahagian elektrik itu untuk diguna pakai. Jika sekiranya benar perkara-perkara ini berbangkit, sebagaimana juga laporan kebakaran DTC Universiti Malaya baru-baru ini didapati penggunaan elektrik melampaui daripada biasa dan memungkinkan ianya menjadi suatu kebakaran yang mengejut ataupun di luar jangka.
Dalam hal ini juga, saya mencadangkan supaya pihak Suruhanjaya Tenaga mengambil suatu langkah proaktif ataupun langkah yang lebih membina supaya mengenakan suatu peraturan yang khusus kepada pihak pembekal tenaga elektrik ini supaya membuat suatu syarat apabila suatu tambahan penggunaan tenaga hendak dibuat mestilah diluluskan oleh Jabatan Bekalan Tenaga atau seumpamanya yang lebih berwibawa untuk memastikan penambahan point-point elektrik itu dibuat mengikut keupayaan sebenar tenaga yang dibekalkan.

Demikian juga dalam istilah penggunaan elektrik yang cermat juga, seharusnya mengambil kira pemeriksaan dari semasa ke semasa secara tetap atau berkala, lima tahun sekali kepada pendawaian atau mungkin sepuluh tahun sekali. Jadi, oleh kerana itu pihak Suruhanjaya Tenaga boleh memastikan istilah penggunaan elektrik cermat ini dengan lebih berkesan.

Oleh kerana itu, saya juga mengambil tanggungjawab untuk menyebutkan bahawa dalam kebanyakan laporan kebakaran disebabkan oleh punca elektrik ini, kita nampak Jabatan atau pihak Bomba dan penyelamat sahaja yang mengambil tanggungjawab aktif untuk mengadakan suatu penyiasatan di samping Jabatan Kimia dan sebagainya, tetapi tidak ada suatu laporan khusus yang diperlukan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad ataupun oleh pihak Jabatan Bekalan Tenaga di bawah kementerian yang berkaitan. Ini membuktikan bahawa kes-kes kebakaran biasanya merujuk kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk menangani kebakaran tidak kepada punca kebakaran.

Beralih kepada tajuk seterusnya, suka saya sebutkan bahawa di dalam rang undang-undang ini juga disebut pindaan yang berkait dengan seksyen baru, dimasukkan suatu seksyen baru 28A yang pada pandangan saya perlu dibuat suatu pendekatan yang lebih harmoni dari sudut pandangan Islam. Kerana daripada seksyen baru 28A diwujudkan dalam rang undang-undang ini, pada saya tidak sedap dengar sedikit kerana digunakan istilah kepada mana-mana pengguna yang didapati dari sudut cagarannya iaitu bayaran boleh dikenakan kepada cagaran-cagaran pengguna dalam sebutan annual interest ataupun bunga tahunan di atas cagaran-cagaran yang dikenakan oleh pihak pembekal tenaga.

Maka pada pandangan saya, boleh diharmonikan sebutan annual interest ini dengan suatu kenaan dalam bentuk tambahan nilai kepada cagaran ataupun seumpamanya mengelakkan daripada sebutan perkara yang berkait dengan bunga tahunan yang lebih sentimen kepada tidak Islamic.
Oleh kerana itulah kerana ianya serasi dengan dasar yang hendak dilaksanakan oleh pihak kerajaan sendiri supaya segala ruang yang ada yang boleh diterima pakai nilai-nilai yang harmoni ini harus dipakai hatta dalam akta pihak kerajaan sendiri.

Kemudian saya mengalu-alukan pindaan Seksyen 38 yang memasukkan kuasa pemotongan terhadap mana-mana premis perjudian sebagaimana yang dibentangkan oleh pihak Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi.Sebagaimana juga selari dengan pindaan yang telah dibuat di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1993, iaitu kuasa yang diberikan kepada pihak tertentu khususnya pihak polis yang berpangkat Penolong Penguatkuasa dan pangkat yang lebih besar daripadanya untuk menjalankan pemotongan dan juga penyambungan semula. 

Dan saya bersetuju dengan apa yang telah pun dicadangkan oleh pihak Ahli Yang Berhormat bagi Sipitang tadi langkah seumpama ini juga harus kita peka kepada usaha untuk menangani gejala sosial bukan setakat perjudian, malah aktiviti cetak rompak terutama sekali ialah aktiviti menerbitkan VCD dan DVD cetak rompak ini secara berleluasa sekarang ini yang menjadi suatu isu penting dalam Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Oleh kerana itu, sekiranya penguatkuasaan akta ini boleh dilibatkan sama kepada aktiviti cetak rompak ini, selari dengan akta ataupun undang-undang mesin cetak, sudah pasti ia boleh menyokong usaha-usaha murni bagi mewujud suatu pertumbuhan yang lebih baik dari sudut ekonomi membela kepada pihak-pihak yang lebih berhak untuk mendapat pembelaan.

Demikian lagi usaha pemotongan ini harus diambil suatu tanggungjawab yang sama sebagaimana kehendak Subseksyen 2A yang dari sudut usaha penyambungan semula ini seharusnya dipertimbangkan dengan suatu keputusan rasmi pihak mahkamah bukan setakat keputusan secara budi bicara oleh pihak penolong penguatkuasa, pihak polis ataupun pihak polis yang lebih besar pangkat daripadanya. Inisebagai suatu langkah yang lebih saya anggap lebih berkesan bagi memastikan penyambungan tenaga elektrik ini tidak dibuat sewenang-wenangnya dan tidak mengandungi suatu unsur yang lebih bersifat kira di belakang tabir ataupun perkiraan-perkiraan yang berunsur korupsi atau seumpamanya.

Kemudian suatu perkara yang dibangkitkan oleh pihak pengguna sendiri dalam isu-isu yang berkaitan ialah isu denda yang boleh dikenakan mengikut rang undang-undang ini. Tuan Yang di-Pertua, iaitu mengenai denda kepada pihak pengguna yang tidak mengikut peraturan, mengikut Seksyen 53(1) dikenakan sampai RM5,000 dan dinaikkan kadar ini daripada sebelum ini ataupun penjara sampai setahun ataupun kedua-duanya sekali.Soalnya ialah ada pandangan mengatakan denda ini patut ditinggikan kerana penyalahgunaan dari sudut peraturan.

Tetapi pada pandangan saya pertimbangan rasional perlu dibuat di peringkat penguatkuasaan akta ini supaya kita melihat perimbangan denda itu dengan kesalahan yang berlaku, walaupun perkara ini sebenarnya suatu perkara yang agak remeh dari sudut tindakan tetapi kepada pengguna ia mengambil suatu kesan yang besar sekiranya denda ini ditambah daripada RM3,000 asalnya kepada RM5,000.

Oleh kerana itu dalam memastikan keseluruhan pindaan yang dibawa kepada persidangan Parlimen kali ini berhubung dengan Akta Bekalan Elektrik ini, yang penting ialah perlu diambil kira ialah hak pengguna.Selain daripada kepentingan-kepentingan perniagaan ataupun nilai komersial yang diraihkan oleh TNB serta pusat-pusat penjanaan kuasa elektrik yang digerakkan oleh IPP ialah nilai kepenggunaan itu perlulah diambil kira, hak-hak kepenggunaan perlu diambil kira.

Misalnya satu kes yang berlaku pada pertengahan tahun lalu iaitu di satu kawasan namanya kawasan Kampung Lembah Semerak, Pasir Puteh, apabila berlaku kesilapan di pihak Tenaga Nasional Berhad dan saya padukan kesilapan itu sebagaimana kehendak di bawah Seksyen 33 yang tidak menetapkan suatu hak pengguna untuk mendapat suatu pampasan di sebalik kemalangan ataupun kes-kes kerana silap penyambungan ataupun silap teknikal daripada pihak penjanaan kuasa menambahkan voltan tenaga ataupun frekuensi tenaga yang mengakibatkan terbakarnya barang-barang elektrik di rumah-rumah dan berlaku sama ialah di masjid sebagaimana yang berlaku di kes Kampung Lembah Semerak, Pasir Puteh ini dan sehingga kini dilaporkan bahawa tidak ada suatu pampasan yang seimbang diberikan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad daripada kesilapan perubahan voltan ataupun frekuensi bekalan tenaga ini.

Ini suatu isu yang perlu diambil perhatian dan di sebalik itu juga perlu juga pada saya untuk menyebutkan beberapa perkara yang lebih praktikal dari sudut asas untuk memastikan bekalan tenaga masa depan negara cukup dan memenuhi keperluan pembangunan negara, di antaranya ialah memastikan dasar tenaga negara yang ada hari ini dapat diperbaharui balik dengan mengambil kira pendekatan untuk menambahkan penggunaan-penggunaan tenaga daripada renewable daripada tenaga yang biasa kepada tenaga yang menambah lagi dari sudut pemprosesan bahan-bahan semula jadi menerusi teknik-teknik bioteknologi.
Misalnya daripada pendedahan yang telah dibuat oleh pihak Tenaga Nasional Berhad sendiri usaha sedang dibuat dan perkara ini pun dalam proses iaitu untuk memastikan penjanaan tenaga tidak bergantung kepada gas ataupun minyak ataupun arang batu semata-mata, ianya hendak berlaku juga pergantungan kepada bahan seperti minyak sawit mentah. Ini suatu perkembangan yang baik dan saya merasai suatu perkembangan teknologi ini boleh menambahkan lagi peluang untuk penjanaan tenaga elektrik bagi mengganti penggunaan gas dan minyak yang lebih banyak ini.

Walaubagaimanapun, sukacita saya sebutkan bahawa program yang dilaksanakan oleh pihak TNB bagi memastikan minyak sawit mentah atau ringkasnya MSM ini diperluaskan, kita nampak tidak ada suatu kebanggaan yang boleh disebutkan kerana TNB sendiri pun masih banyak bergantung kepada teknologi luar sebagaimana diisytiharkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad baru ini suatu perjanjian telah dibuat dengan satu syarikat daripada United Kingdom, Power Gen untuk mendapat suatu kepakaran bagi memastikan syarikat perunding ini boleh memberi suatu pandangan balas berhubung dengan perluasan penggunaan minyak sawit mentah di dalam penjanaan tenaga elektrik.

Sebelum ini juga saya dilaporkan, saya diberitahu pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia juga diarahkan untuk membuat penyelidikan ataupun R&D yang sama bagi memastikan penggunaan daripada sawit ini diperluaskan. Sejauh mana perkembangan ini benar ataupun sejauh mana perkembangan penyelidikan ini berlaku dengan penglibatan FRIM ini kerana apa yang saya tahu Tenaga Nasional sendiri pun mempunyai R&D yang tersendiri bagi memastikan penjanaan tenaga elektrik berasaskan daripada sumber sawit ini.
Baru-baru ini juga disebutkan oleh pihak Tenaga Nasional iaitu kenyataan rasmi daripada Pengerusinya sendiri berhubung dengan penggunaan sekam padi dalam usaha untuk menambahkan lagi penjanaan tenaga elektrik.Soalnya sejauh mana perkara ini dapat dipastikan, diperlebarkan ke seluruh negara supaya kita kembali kepada suatu bahan asas tenaga yang boleh diperbaharui daripada sumber teknologi bio ini.

Demikian juga, saya terkejut dengan laporan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung dengan lemahnya penumpuan syarikat-syarikat di Malaysia dan juga agensi-agensi kerajaan berhubung dengan aktiviti R&D ini.

Jadi, sehubungan dengan itu peruntukan yang dikeluarkan untuk R&D di Malaysia ini begitu rendah iaitu sebanyak 0.2% sahaja daripada KDNK. Ini menampakkan kita jauh lebih mundur berbanding dengan negara seperti Taiwan, Singapore dan Jepun dalam usaha R&D yang mereka telah mencapai pada tahap 2% hingga 3% penumpuan kepada R&D.Jadi, oleh kerana itu saya mencadangkan supaya pihak Tenaga Nasional Berhad dan pihak-pihak yang berwibawa bagi menjanakan suatu pertambahan sumber tenaga dalam negara ini lebih berjaya dan lebih cemerlang pada tempoh-tempoh akan datang supaya penumpuan R&D ini dibuat dengan sebaik mungkin dan supaya pergantungan kepada kemajuan teknologi dari luar khususnya daripada Eropah dapat kita kurangkan, meskipun beberapa constraint pastinya kita hadapi untuk peringkat percubaan dan peringkat permulaan.

Akhir sekali suka saya sentuh, Tuan Yang di-Pertua, bahawa kewujudan suatu penjanaan elektrik yang lebih berkesan dan lebih berwibawa serta mampu untuk menampung keperluan tenaga pada masa akan datang adalah dialu-alukan dan penubuhan Suruhanjaya Tenaga menerusi penguatkuasaan Akta Bekalan Tenaga Elektrik ini seharusnya dilaksanakan secara lebih berhati-hati dan lebih cermat supaya negara tidak menghadapi krisis tenaga sebagaimana pernah berlaku dalam tahun 1996 dan juga mengambil teladan daripada krisis tenaga di California yang mana kesannya begitu buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Di antara langkah-langkah segera yang harus diambil perhatian ialah sebagaimana cadangan daripada Yang Berhormat bagi Kubang Kerian tadi kita mestilah mewujudkan suatu penawaran harga yang paling kompetitif dari sudut kos penjanaan elektrik dan juga daripada kos untuk dikenakan kepada pihak pengguna.Dengan cara inilah kalau kita kembali kepada suatu sistem persaingan sihat dari sudut penawaran bekalan tenaga kepada pengguna dan juga keseluruhan penggunaan tenaga elektrik dalam pelbagai sektor dalam negara kita sudah pasti kita mendapat satu jaminan yang lebih baik dari sudut harga dan dari sudut kos yang berkait dengan tenaga itu sendiri.

Demikian juga dari sudut pengenaan-pengenaan lain yang berkait dengan penjanaan tenaga elektrik ini mestilah dibuat secara lebih berstrategik supaya tidak membebankan pengguna. Misalnya, dalam usaha untuk mengambil alih pusat-pusat penjanaan tenaga elektrik yang dimiliki TNB oleh IPP ataupun oleh pihak syarikat-syarikat tertentu, seharusnya kita melihat dari sudut pengawalan dan juga penyeliaan serta penguasaan langsung pihak kerajaan kepada pihak syarikat-syarikat yang akan mengambil alih pusat-pusat jana kuasa tersebut. Ini kerana sekiranya pihak-pihak tertentu yang ingin sabotaj dalam sekelip mata sahaja dengan usaha-usaha yang tidak terkawal sudah pasti kita menghadapi satu krisis yang lebih besar pada masa hadapan. Jadi, di atas cadangan dan peringatan itu saya mengucapkan terima kasih.


JAWAPAN MENTERI: 

Datuk Tan Chai Ho: Yang Berhormat, you bagi butir-butir kepada saya.Saya akan siasat perkara ini ya. Boleh? Tadi, Ahli Yang Berhormat bagi Bachok telah menyarankan supaya penggunaan kelapa sawit sebagai bahan pembakaran alternatif digalakkan. Juga peruntukan untuk R&D untuk energy perlu ditambahkan.
Tuan Yang di-Pertua, di bawah Rancangan Malaysia Kelapan, kerajaan telah menetapkan supaya renewable energy ataupun tenaga diperbaharui menyumbangkan kepada 5% daripada jumlah bekalan elektrik bagi tempoh tahun 2001 hingga 2005. Pada masa ini, kerajaan sedang mengambil tindakan menggalakkan penjanaan elektrik renewable energy daripada sisa kelapa sawit dan sekam padi dan bahan-bahan yang lain.Ini semua adalah digalakkan.

Isu berkenaan perancangan peruntukan pemotongan bekalan elektrik tidak hanya kepada premis-premis judi tetapi kepada cyber café, kilang haram dan lain-lainnya. Tadi saya pun sudah jawab kerana ini adalah berkaitan dengan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953. Jadi, kalau kita hendak masukkan peruntukan ini, rang undang-undang di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan hendaklah dipindakan dahulu. Yang Berhormat Bachok telah membangkitkan soalan adakah Suruhanjaya Tenaga akan mengadakan peraturan mengenai pemeriksaan pendawaian dari jangka masa untuk pendawaian baru.

Tuan Yang di-Pertua, mengikut Peraturan-peraturan Elektrik 1994, tanggungjawab untuk menyelenggara pemasangan elektrik adalah terletak kepada pemunya atau pemilik bangunan rumah atau penghuni pemasangan perkhidmatan atau ejennya mengikut mana-mana yang berkenaan.Sesuatu pemasangan selain daripada pemasangan domestik hendaklah diperiksa dan diuji oleh orang kompeten sekurang-kurangnya lima tahun sekali atau bila-bila masa diarah oleh pengarah JBE.

Soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kubang Kerian mengapa TNB melantik perundingan dari Australia dan tidak menggunakan perundingan dalam negara. Tuan Yang di-Pertua, di Malaysia projek bagi 'diversion'adalah perkara baru. Walau bagaimanapun perkara lain seperti Australia, US dan UK telah melalui proses penjualan aset melalui open fitting. Sepanjang pengetahuan kita, perunding tempatan masih belum mempunyai kepakaran tersebut. Pelantikan adalah berasaskan pengalaman perunding tersebut di dalam perlaksanaan projek-projek diversion atau generating access.

Walau bagaimanapun perunding kewangan adalah dari orang asing namun rundingan lain seperti rundingan guaman atau undang-undang dan akauntan adalah rundingan tempatan. Ini bermakna lawyer dan akauntan adalah rundingan tempatan.

Soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kubang Kerian iaitu mengenai PNB mengadakan pelaburan dalam IPPS. Tuan Yang di-Pertua, PNB sebenarnya mendapat pulangan dalam pelaburan IPP seperti berikut; tahun kewangan 1999 hingga 31/8/2000 YTL adalah 4% dividen adalah RM10.1 juta sekali, 20% -RM8 juta. PT Power 20%- RM13 juta, Genting Seng Yeng adalah 20%, belum terima apa-apa dividen.
Yang Berhormat bagi Bachok telah membangkitkan kerajaan meningkatkan penggunaan tenaga yang diperbaharui, renewable energy saya pun telah jawab tadi.