Soalan yang dijawab bersekali dengan Soalan YB Tampin (BN) pada 25 Julai 2001.

3.         Tuan Shaziman bin Abu Mansor [Tampin] minta Menteri Pendidikan  menyatakan apakah tindakan yang telah diambil atau dalam perancangan supaya negara ini mempunyai bilangan guru-guru terlatih bahasa Inggeris yang mencukupi di masa hadapan.        

            Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan [Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir]: Tuan Yang di-Pertua, terdapat tiga soalan mengenai langkah-langkah dan tindakan untuk mengatasi masalah kekurangan guru terlatih bahasa Inggeris yang ditimbulkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat pada hari ini. Soalan-soalan tersebut adalah daripada Ahli Yang Berhormat bagi Tampin, Yang Berhormat bagi Padang Serai dan Yang Berhormat bagi Bachok (No.38). Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya menjawab ketiga-tiga soalan itu sekarang.


(Soalan 38: YB TUAN WAN NIK BIN WAN YUSSOF (BACHOK):
minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah negara sekarang menghadapi kekurangan 4,000 orang guru bahasa Inggeris. Apakah benar 30 hingga 40 peratus guru bahasa Inggeris yang mengikuti kursus berkembar telah meninggalkan perkhidmatan perguruan dan apakah sebabnya?)

            Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya.

            Dato' Mahadzir bin Mohd. Khir: Terima kasih. Kementerian Pendidikan telah berusaha untuk memastikan bilangan guru-guru terlatih bahasa Inggeris mencukupi. Pelbagai langkah telah diambil dan ia termasuklah mengadakan kursus-kursus perkhidmatan dan kursus dalam perkhidmatan.

Bagi kursus perkhidmatan ia meliputi program-program berikut;

(i)       Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) opsyen pengkhususan bahasa Inggeris;

(ii)      Program kembar perkhidmatan B. Ad. TESL antara Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) dengan universiti-universiti di United Kingdom dan di New Zealand. Program ini telah bermula sejak 1992 dan akan berakhir pada tahun 2002. Seramai 860 graduan dijangka akan dapat dihasilkan daripada program kembar ini;

(iii)    Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) pengkhususan pengajian Inggeris.

 (iv)    Kementerian bercadang untuk melanjutkan program kembar tersebut dengan negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand pada tahun 2002 hingga 2006. Dijangkakan seramai 625 graduan akan dapat dihasilkan melalui program kembar ini.

(vii)    Di masa yang sama Kementerian Pendidikan juga akan memperluaskan program kembar ini
         dengan IPTA tempatan pada tahun 2002 hingga 2006. Dijangkakan seramai 1,875
         graduan akan dapat dihasilkan dari program kembar ini;

 Kursus dalam perkhidmatan pula meliputi program-program berikut:

(i)     Program Kembar Dalam Perkhidmatan B. Ed. (TESL) antara Maktab Perguruan Ilmu Khas;

(ii)    Kursus Conversion untuk guru-guru bukan opsyen bahasa Inggeris;

(iii)   Program Peningkatan  Kemahiran Kejurulatihan bahasa Inggeris (Malaysian Trainers
Development Programme)(MTDP).

Sejak tahun 1997 hingga 1999 seramai 70 orang pensyarah maktab perguruan dan guru sekolah menengah telah menerima latihan di peringkat sarjana. Bagi tahun 2000 seramai  20 orang lagi telah dipilih bagi mengikuti program tersebut.

Di samping itu, pensyarah-pensyarah dan guru-guru dari masa ke semasa dihantar untuk mengikuti kursus-kursus pendek yang relevan dalam bidang masing-masing di dalam  dan di luar negara. Mereka juga diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa Inggeris pada peringkat Ijazah Pertama Sarjana Muda dan Ph.D.

Tuan Yang di-Pertua, adalah tidak benar dakwaan oleh Yang Berhormat bagi Bachok bahawa 30% hingga 40% guru bahasa Inggeris yang mengikuti kurus berkembar meninggalkan perkhidmatan perguruan.  Secara amnya guru-guru meninggalkan perkhidmatan perguruan disebabkan persaraan wajib, persaraan pilihan dan peletakan jawatan.

Di sini ingin saya nyatakan juga pengambilan kita kepada kursus guru-guru pelatih KDPM. Misalnya antara tahun 1998 sehingga 2001. Bagi pengajian Inggeris sahaja permohonan yang kita terima pada tahun 1998 ialah 5,419 di mana yang berdaftar lelaki 133, wanita 440. Bagi pengambilan tahun 1999 pula yang memohon 5,940, kita ambil lelaki 138, wanita 617. Bagi tahun 2000 pula, permohonan terdapat 3,598; lelaki 145, wanita 369. Bagi Januari 2001, kita terima permohonan 3,819; lelaki 136, wanita 491.

Bagi KPLI, pengajian Inggeris yang memohon 264; lelaki 13, wanita 43. Tahun 2000 pengajian Inggeris yang memohon 458; lelaki 33, wanita 128. Bagi 2001 pula, yang memohon 702; lelaki 24, wanita 113. Bagi 2001 yang memohon 729; lelaki 29, wanita 218.

            Tuan Shaziman bin Abu Mansor: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Setiausaha Parlimen kerana memberi jawapan yang begitu panjang lebar menunjukkan kesungguhan Kementerian Pendidikan untuk menyelesakan masalah kekurangan guru bahasa Inggeris. Cuma sementara menunggu Kementerian Pendidikan dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru bahasa Inggeris menerusi sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat tadi, program-program berkembar ataupun kursus-kursus, apakah langkah-langkah jangka pendek yang diambil oleh kementerian supaya pelajar-pelajar khasnya pelajar-pelajar luar bandar tidak tertinggal dalam penguasaan bahasa global ini.

            Umpamanya, adakah kementerian berhasrat untuk mempermudahkan lagi pengambilan guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara yang masih mempunyai kesihatan yang baik kerana saya difahamkan di tempat saya sendiri, ramai guru yang telah bersara dan ingin bertugas secara kontrak tetapi tidak dapat, walhal masih banyak kekosongan guru-guru bahasa Inggeris di bahagian saya. Termasuk juga adakah pihak kementerian bercadang untuk menyelesaikan masalah ini sementara waktu dengan mengambil guru-guru yang terpelajar, tenaga pengajar dari negara-negara luar untuk memastikan mutu pembelajaran bahasa Inggeris ini tidak tertinggal jika hendak diperhatikan secara serius. Terima kasih.

            Dato’ Mahadzir bin Mohd. Khir:  Terima kasih Yang Berhormat bagi Tampin, nampaknya Yang Berhormat bagi Tampin ini orang muda, harapan kita. [Ketawa] Langkah-langkah yang telah kita ambil bagi jangka pendek sekarang ini ialah pertama, mengadakan kursus-kursus kepada guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah dan kita adakan ini berperingkat-peringkat. Tujuannya ialah untuk memastikan bahawa kaedah pengajaran dan juga pembelajaran sentiasa dilakukan. Ini ialah kerana kita dapati khususnya di kawasan luar bandar, penerimaan ataupun pembelajaran bahasa Inggeris begitu sukar sekali terutama sekali apabila murid-murid di luar bandar mereka jarang-jarang menggunakan bahasa itu di kalangan masyarakat berbanding dengan murid-murid yang terdapat di kawasan bandar.

            Bagi perkara kedua, yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi mengenai dengan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara. Ini pun telah kita berusaha dengan sedaya upaya untuk menentukan bahawa sentiasa guru bahasa Inggeris yang bersara itu dapat kita masukkan semula, tetapi kita harus berhati-hati apakah jenis mereka yang sudah bersara boleh atau tidak kita ambil, itu berdasarkan kepada prestasi mereka yang lalu.

            Ketiga, ialah mengambil guru-guru dari luar. Baru-baru ini kita telah pun bercadang untuk mengambil mereka sebagai penasihat kepada latihan bagi kursus-kursus bahasa Inggeris dari luar tetapi tidaklah kita bercadang hendak menghantar mereka ini ke sekolah-sekolah kerana kita masih terdapat orang-orang tempatan yang boleh mengajar bahasa Inggeris. Terima kasih.


SOALAN YANG DIJAWAB PADA 26 JULAI 2001

Soalan No. 57: YB Tuan Wan Nik Bin Wan Yussof (Bachok): meminta Menteri Pengangkutan menyatakan benarkah laporan pemeriksaan polis bahawa 17 peratus pemandu kenderaan perdagangan mengambil dadah ketika memandu. Bolehkah setiap pemandu kenderaan perdagangan diwajibkan menjalani ujian dadah sebelum memandu?

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua, Berdasarkan kepada maklumat daripada Polis Diraja Malaysia, memang benar terdapat 17 peratus pemandu kenderaan perdagangan mengambil dadah semasa memandu berdasarkan Ops Bersepadu (dadah) yang dijalankan ke atas 7,586 kenderaan-kenderaan perdagangan (bas dan lori). Walau bagaimanapun, skop kajian yang dijalankan adalah terhad dan hanya meliputi sebilangan kecil kenderaan perdagangan iaitu satu peratus berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 722,731 kenderaan perdagangan.

Oleh itu, Kementerian pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia adalah dalam  proses untuk melantik penyelidik dari universiti tempatan bagi menjalankan kajian yang lebih menyeluruh untuk mengesan tahap dan kekerapan amalan penggunaan dadah termasuk jenis-jenis dadah yang digunakan serta syor-syor penyelesaian bagi pertimbangan kerajaan.

Mengenai cadangan supaya pemandu kenderaan perdagangan diwajibkan memandu, Kementerian Pengangkutan pada dasarnya tidak setuju dengan cadangan tersebut kerana ia tidak praktikal untuk dilaksanakan.