SOALAN TAMBAHAN – MENCADANG PENGUTAN TOL MENGGUNA TOUCH N GO

 1.        Raja Dato’ Ahmad Zainuddin bin Raja Haji Omar [Larut] minta Menteri Kerja Raya  menyatakan apakah pihaknya ada menjalankan kajian secara menyeluruh bagi mengkaji kadar nilai tol di seluruh negara memandangkan telah banyak kedengaran rungutan daripada orang ramai mengenai masalah ini.

            Timbalan Menteri Kerja Raya [Tuan Mohamed Khaled bin Haji Nordin]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya telah menjalankan kajian terperinci dan menyeluruh ke atas kadar dan struktur tol bagi beberapa lebuh raya-lebuh raya bertol di seluruh negara bagi menetapkan kadar tol kepada satu kadar yang munasabah kepada pengguna-pengguna lebuh raya.

            Sehingga kini Kementerian Kerja Raya telah menjalankan kajian struktur dan kadar tol ke atas lebuh raya-lebuh raya berikut:

(i)                   Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS);

(ii)                 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELIT);

(iii)                Lebuh raya bertingkat Ampang-Ulu Klang-Kuala Lumpur (Pro Lintas);

(iv)                Lebuhraya Damansara-Puchong (Litrak); dan

(v)                  Lebuhraya Laluan kedua Malaysia-Singapura (Link Kedua).

            Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga pada masa kini Kementerian Kerja Raya bersama-sama dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sedang mengadakan rundingan bagi menyusun semula struktur dan kadar tol bagi Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRIN), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (MTD), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand SAGA) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

            Sebagaimana Ahli Yang Berhormat bagi sedia maklum, kajian tol kepada kadar tol yang lebih rendah daripada kadar tol yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi akan menyebabkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi membayar pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi hasil dari perbezaan kadar tol ini atau memberi lanjutan masa tempoh konsesi bagi menampung kekurangan hasil kutipan tol berikutan penurunan kadar tol ini.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Timbalan Menteri. Satu perkara yang berkaitan dengan pembayaran tol ini ialah masalah jam ataupun jalan selalu sesak di kaunter-kaunter bayaran tol. Jadi, apakah pihak kementerian boleh menasihatkan syarikat konsesi untuk menggunakan lebih banyak mesin-mesin pungutan tol seperti Touch N Go ataupun mana-mana kad yang melajukan aliran pembayaran tol ini. Sebab apa yang saya alami di syarikat konsesi Kemunting Corporation tidak menggunakan mesin Touch N Go ataupun mana-mana mesin, yang diguna ialah pungutan secara manual. Jadi, adakah untuk tempoh akan datang mana-mana konsesi tol yang diberi ini disyaratkan membanyakkan penggunaan mesin pungutan tol, kaedah pungutan secara manual.

            Tuan Mohamed Khaled bin HajiNordin: Terima kasih Yang Berhormat. Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum bahawa pemegang-pemegang konsesi bukanlah datang daripada satu syarikat yang sama, ia merupakan syarikat yang berbeza. Maka atas sebab itu soal untuk menyeragamkan perkara ini memang telah pun diambil kira oleh pihak kementerian dan kementerian sememangnya menasihatkan supaya ada keseragaman dalam soal-soal penggunaan lebuh raya tol tersebut supaya dapat melicinkan perjalanan kenderaan dan perkara ini bukan merupakan satu paksaan tetapi kita telah minta supaya diadakan rundingan dan kerana kemungkinan lebuh raya yang disebutkan oleh Yang Berhormat tempohnya akan tamat tak berapa lagi, maka atas sebab itulah pihak yang berkaitan itu tidak memberikan keutamaan kepada perkara itu. Tetapi bagi kementerian, untuk lebuh raya di kawasan-kawasan yang lain sememangnya ia menjadikan satu perkara yang dinasihatkan kepada pemegang konsesi untuk melaksanakannya.

SOALAN MP BACHOK MENGENAI ICT DI INSTITUT KEMAHIRAN MARA

2.Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Pembangunan Usahawan menyatakan sejauh manakah kejayaan pelaksanaan perisian I-ideas di Institut Kemahiran Mara (IKM) dari segi meningkatkan latihan kemahiran di kalangan pesertanya.  Adakah program-program lain yang berasaskan ICT diperkenalkan di dalam skim latihan kemahiran di bawah anjuran MARA.

Menteri Pembangunan Usahawan [Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, perisian I-ideas di Institusi Kemahiran MARA (IKM) masih dalam proses pemasangan oleh pembekal yang dilantik oleh MARA. Namun demikian, latihan kepada tenaga pengajar dijangka akan dijalankan pada penghujung Julai 2001, manakala pelaksanaan aplikasi perisian tersebut akan bermula pada bulan Ogos 2001. Sehubungan dengan itu, kejayaan pelaksanaan perisian tersebut masih belum dapat dinilaikan buat masa ini.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sebuah IKM baru ditubuhkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh khusus bagi menjalankan kursus berasaskan ICT yang kini dalam pembinaan di Rembau, Negeri Sembilan. Antara kursus-kursus yang ditawarkan di IKM tersebut ialah Komputer Teknologi, Networking dan Maintenance, Multimedia Teknologi, Animation dan Advertising, Information Technology, Software Design dan Digital Communication Technology.

            Tahap minimum pembelajaran aplikasi komputer di semua institusi pendidikan dan latihan MARA telah ditetapkan melalui dasar IT MARA yang merangkumi topik-topik seperti Operating System, Word Processing, Spread Sheet dan Internet. Subjek aplikasi komputer telah dijalankan di Bahagian Kemahiran MARA semenjak tahun 1998 yang mewajibkan semua pelatih mengambil subjek berkenaan yang meliputi perisian Windows '98 Operating System, Microsoft Word Word Processing, Microsoft Excel Spread Sheet dan Internet, Explore Internet.

            Di samping itu, kursus-kursus berasaskan ICT seperti Teknologi Kejuruteraan Komputer dan Teknologi Multimedia turut dijalankan. Bagi memantapkan lagi pembelajaran subjek berkenaan MARA telah menetapkan syarat iaitu bermula sesi Julai 2001 pelatih diwajibkan menduduki peperiksaan Microsoft Office Users Specialist (MOUS) yang dianjurkan oleh Nivo International iaitu syarikat tunggal yang dilantik oleh Microsoft Corporation untuk menjalankan program MOUS.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya yakin dan percaya berdasarkan kepada jawapan dari pihak Yang Berhormat Menteri tadi menampakkan Kementerian Pembangunan Usahawan serta Pengerusi MARA peka dengan suatu kehendak yang disebut oleh pihak laporan MAPEN II iaitu untuk menjurus kepada suatu pembangunan industri yang mapan perlu kepada penerokaan yang menyeluruh dalam bidang ICT. Tahniah dan saya ucapkan terima kasih dalam perkembangan itu.

            Namun, saya melihat beberapa perkara yang harus diberi perhatian oleh pihak kementerian dan minta pandangan pihak Yang Berhormat Menteri, dalam merealisasikan cita-cita ataupun laporan MAPEN II itu suatu penekanan latihan yang menyeluruh yang melibatkan sesuatu pendekatan latihan kemahiran menjurus kepada pendekatan ICT ini dibuat bukan setakat dalam mencapai cita-cita industri sahaja kerana asas kepada pembentukan masyarakat k-ekonomi ini bukan kepada teknologi yang berasaskan industri sahaja. Minta pandangan Yang Berhormat.

            Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Terima kasih Yang Berhormat. Kita sentiasa terbuka kepada apa juga pandangan yang diberikan oleh mana-mana pihak. Sebab itu laporan daripada MAPEN II merupakan juga asas untuk kita mengambil tindakan kerana kita merasakan bahawa kita tidak boleh ketinggalan dalam bidang ini. Sebab itu kalau Yang Berhormat ada apa-apa pandangan yang boleh membantu kementerian untuk mengembang dan memperbaiki lagi program-program yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan kita sentiasa terbuka kepada pandangan-pandangan itu.