Sidang Parlimen: Sesi Soal Jawab 29 Mac 2001 

Tuan Hoo Seong Chang [Kluang] minta Menteri Pembangunan Usahawan menyatakan:-

(a)               berapa orang pengusaha francais telah dilahirkan sepanjang RMK-7 dan berapa produk baru telah dibangunkan dalam tempoh yang sama; dan
(b)               apakah sasaran kementerian pada RMK-8.

 Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan [Tuan Rizalman bin Abdullah]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Yang Berhormat, program pembangunan francais telah dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 1992 bertujuan untuk meningkatkan  penyertaan usahawan tempatan khususnya bumiputera dalam perniagaan francais. 

Di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh, Kementerian Perusahaan Usahawan telah berjaya membangunkan seramai 550 orang usahawan sebagai franchisee  di bawah program ini dalam pelbagai bidang seperti makanan, keperluan rumah, penyelenggaraan bangunan dan kosmetik.

Dalam tempoh yang sama kementerian juga telah berjaya membangunkan  sebanyak 63 buah syarikat franchisor  yang telah membangunkan produk baru untuk difrancaiskan.  Antaranya adalah produk makanan, pusat rawatan dan farmasi, optometrist, telekomunikasi dan penyelenggaraan bangunan.

Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan sasaran Kementerian Perusahaan Usahawan ialah untuk membangunkan seramai 750 franchisee  dan 50 buah syarikat franchisor. Pelbagai pendekatan  dan strategi dilaksanakan untuk mencapai sasaran tersebut. Terima kasih.

Tuan Hoo Seong Chang: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya ucapkan tahniah kepada kementerian kerana dapat melahirkan ramai  usahawan franchisee  di negara kita. Jadi, bolehkah Yang Berhormat jelaskan dengan lebih mendalam lagi tentang apa bentuk bantuan  yang dapat kerajaan berikan kepada usahawan khususnya usahawan franchisee  tempatan kerana saya difahamkan kadang-kadang ada permintaan mengatakan bahawa memang menggunakan satu modal yang  besar untuk memulakan perniagaan tersebut.

Jadi, bolehkah Yang Berhormat jelaskan apa bentuk bantuan yang boleh kita berikan dan adakah kementerian berpuas hati dengan prestasi usahawan franchisee di negara kita setakat hari ini. Sekian, terima kasih.

Tuan Rizalman bin Abdullah:  Terima kasih, soalan daripada Yang Berhormat. Yang pertama, soalan yang kedua tadi menyatakan sama ada kementerian sudah berpuas hati atau tidak dengan pencapaian penyertaan kaum bumiputera dalam bidang industri francais.  Tuan Yang di-Pertua, kita sebenarnya memang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran kita supaya lebih ramai kaum bumiputera khususnya menceburi dalam bidang industri francais ini. Pelbagai pendekatan dan strategi yang kita ambil untuk membangunkan  seberapa ramai usahawan untuk melibatkan diri dalam bidang franchisee di mana sebagai contoh di dalam Rancangan Malaysia Ketujuh sasaran kita ialah sebanyak 1,200 franchisee yang terlibat dalam bidang barangan elektrik, pengusaha makanan dan juga penghantaran courier.

Walau bagaimanapun, oleh kerana kegawatan ekonomi pada tahun 1997/1998, maka usaha kita ini agak tergendala sedikit oleh kerana kegawatan ekonomi. Oleh yang demikian, dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan ini kita akan terus mengadakan strategi-strategi baru di mana kita akan mendapatkan dan bekerjasama rapat dengan lebih banyak syarikat franchisor untuk franchisor tempatan bagi produk 'start of cost' iaitu  nilainya kecil di antara RM50,000 hingga ke RM100,000 sahaja dan dalam usaha ini kita akan meminta kerjasama juga daripada Persatuan Francais Malaysia bagi mempromosikan perniagaan francais ini sebagai satu alternatif supaya usahawan-usahawan menceburkan diri dalam bidang perniagaan ini supaya risiko yang relatif rendah berbanding dengan konvensional.

Seterusnya kita juga akan menyelaraskan pelbagai khidmat sokongan kepada franchisee-franchisee meliputi premis perniagaan, pemberian permit lesen pinjaman dan juga promosi lain-lain bagi memudahkan usahawan kita menceburi bidang perniagaan. Begitu juga kita akan mengadakan pelbagai latihan perniagaan franchisee pada agensi-agensi kerajaan di peringkat negeri seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri supaya mereka dapat membantu kementerian mengenal pasti produk-produk franchisee tempatan dan untuk ini kita juga akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi penganjuran kursus-kursus dalam  perniagaan francais di peringkat  sijil, diploma dan ijazah bagi menyediakan tenaga kerja yang mahir dan profesional bagi bidang francais di masa hadapan. Kita akan memberikan sokongan, kita akan bekerjasama dengan bank-bank tempatan seperti Bank Bumiputera, Bank of Commerce, Bank Pembangunan Infrastruktur dan juga MARA sendiri. Kita akan mengadakan skim-skim pembiayaan di mana kita ada satu skim yang diwujudkan khas untuk memberikan peluang menyediakan kemudahan pinjaman kepada franchisor dan juga franchisee dengan kadar faedah yang rendah berbanding dengan kadar faedah di pasaran semasa.

Sebagai contoh, tahun 1999 sebanyak 25 franchisee dan 1 franchisor telah diberikan kemudahan pinjaman yang bernilai sebanyak RM4.27 juta sebagai modal pusingan untuk memulakan perniagaan. Begitu juga kita ada menyediakan satu Skim Bantuan Pembangunan Francais di mana franchisor boleh mendapatkan semula 90% daripada kos keseluruhan pembangunan produk francais atau maksimum sebanyak RM100,000 mengikut mana yang lebih rendah. Inilah skim-skim yang ada di dalam kementerian bagi kita membantu usahawan-usahawan kita. Terima kasih.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada pihak Setiausaha Parlimen yang telah pun memberi jawapan yang begitu lengkap, hampir tidak mampu untuk diberi soalan tambahan. Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang saya nampak kurang jelas iaitu dari sudut penglibatan secara langsung pihak kementerian ataupun agensi berkaitan di bawah Kementerian Perusahaan Usahawan ini kerana kita dapati sebahagian besar pengusaha francais ini dari sudut pengalaman mereka ialah aspek pengurusan perniagaan yang mereka ceburi itu didapati banyak kelemahan khususnya dari sudut pengawalan  kewangan dan juga produk-produk mereka untuk menjayakan misi perniagaan.

Oleh kerana itu, daripada sasaran yang disebutkan oleh pihak Yang Berhormat tadi, 390 orang menjadi sasaran untuk tempoh akan datang, saya ingin mendapat penjelasan sejauh manakah penglibatan langsung pihak-pihak yang berkaitan, misalnya MARA yang memastikan diberinya satu skim pinjaman dan seumpamanya boleh memastikan pinjaman mereka itu digunakan dengan sebaiknya dan tidak disalah-gunakan. Misalnya menghantar  kakitangan MARA untuk memeriksa  akaun mereka secara bulanan ataupun secara berkala. Sekian, terima kasih.

Tuan Rizalman bin Abdullah:  Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya memang benar industri francais di negara kita ini adalah masih dalam peringkat yang baru iaitu kita mula menguatkuasakan ataupun kita mulakan  sistem francais di Malaysia ini, seperti yang saya nyatakan tadi, pada tahun 1992. Jadi, sudah tentu pelbagai halangan ataupun rintangan ataupun kita masih lagi dalam usaha untuk mengenal pasti apakah masalah-masalah sebenar yang kita hadapi. Oleh sebab itu kita memang  mengharapkan supaya ada cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak supaya usaha kita ini khususnya untuk memastikan penyertaan atau menarik lebih banyak penyertaan kaum bumiputera dalam bidang ini akan mencapai seperti yang kita telah sasarkan.

Bagi pihak kementerian, kita telah mengadakan pelbagai dasar dan strategi untuk melaksanakan usaha-usaha kita ini di mana kita membangunkan produk-produk tempatan  sama ada yang baru atau sedia ada  untuk difrancaiskan. Begitu juga kita ingin mengenal pasti dan membawa masuk produk-produk francais daripada luar negara. Seperti yang saya katakan tadi kita mewujudkan skim pembiayaan, mengadakan  latihan kepada franchisee, franchisor melalui agensi-agensi kita sama ada unit francais ataupun jabatan francais dalam kementerian kita sendiri ataupun melalui agensi kita MARA dan juga persatuan-persatuan francais di Malaysia. Memang kita bersetuju supaya pegawai-pegawai kita juga akan dilatih dalam bidang ini supaya apabila mereka memberikan kursus dan latihan sama ada dalam bidang pengurusan kewangan dan juga pengurusan perniagaan akan lebih mudah bagi mereka untuk memberikan kursus dan latihan kepada usahawan-usahawan kita. Kita akan teruskan dan kita akan lipat-gandakan usaha kita ini dalam Rancangan Malaysia Kelapan bagi mencapai sasaran seperti yang telah kita rancangkan. Terima kasih.

 

 


|Parlimen01||Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06||Parlimen07|