Jawapan Timbalan Menteri ST&AS: Soalan Tambahan  4 April 2001

10.  Tuan Hoo Seong Chang [Kluang] minta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar menyatakan:

(a)  berapa ramai saintis rakyat  Malaysia yang berkhidmat di negara kita; dan

(b)  berapa jumlah peruntukan yang dibelanjakan setiap tahun bagi kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk meningkatkan jumlah saintis di negara kita.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar [Dato’ Zainal bin Dahalan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

(a)      Suka saya memaklumkan bahawa mengikut kajian penyelidikan dan pembangunan kebangsaan 1998, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mendapati sejumlah 12,127 tenaga kerja penyelidikan terlibat dalam menjalankan aktiviti R&D dalam bidang sains dan teknologi. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 6,249 adalah terdiri daripada para saintis dan penyelidik.  Pecahan mengikut sektor adalah seperti berikut:

     (i)   seramai 2,287 penyelidik berkhidmat di sektor swasta;
     (ii)  seramai 1,987 penyelidik berkhidmat di institusi penyelidikan awam;
      (iii)  seramai 1,975 penyelidik berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam.

(b)  Jumlah peruntukan yang dibelanjakan setiap tahun bagi kegiatan penyelidikan dan pembangunan di sepanjang Rancangan Malaysia Ketujuh yang dapat saya berikan ialah seperti berikut:

(i)  1996, sejumlah kira-kira RM303.8 juta dibelanjakan;

(ii)  1997 sejumlah RM91.6 juta telah dibelanjakan;

(iii) 1998 sejumlah RM74.8 juta telah dibelanjakan;

(iv) 1999 sejumlah RM150.4 juta dibelanjakan; dan

(v)  2000 sejumlah RM82.9 juta telah dibelanjakan.

Di samping menyediakan peruntukan kewangan bagi membiayai aktiviti R&D, kementerian juga telah memperkenalkan program pembangunan tenaga manusia khusus dalam bidang penyelidikan S&T (Sains dan Teknologi) di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh di mana sejumlah kira-kira RM300 juta telah diperuntukkan.  Program ini bertujuan menambahkan  bilangan tenaga manusia dalam bidang-bidang teknologi terpilih dan sebagai usaha meningkatkan bilangan tenaga manusia di peringkat siswazah, kementerian telah memperkenalkan skim pasca siswazah dan doctoral dan skim National  Science Fellowship sejak tahun 1996 di bawah Program Pembangunan Tenaga Manusia bagi menggalakkan penuntut yang berkeputusan cemerlang  di peringkat Ijazah Pertama untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doctoral.  Ini semua adalah bertujuan untuk menambahkan lagi bilangan saintis dan pendidik dalam negara kita.

            Tuan Hoo Seong Chang: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan yang mementingkan bidang R&D dan dapat melahirkan ramai saintis dan penyelidik di negara kita. Bolehkah Yang Berhormat Timbalan Menteri memaklumkan berapa ramai lagi saintis rakyat  Malaysia yang masih berkhidmat di luar negara dan apakah usaha ataupun langkah-langkah yang diambil termasuk usaha kerjasama dari Kementerian Sumber Manusia dan juga memberi kemudahan-kemudahan yang tertentu supaya saintis-saintis dan profesional-profesional Malaysia yang ada berkaitan dengan bidang ini dapat kembali ataupun balik ke negara kita untuk berkhidmat di Malaysia. Terima kasih.

            Datuk Anifah Aman:    Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Buat masa ini saya tidak dapat memaklumkan jumlah sebenar bilangan saintis Malaysia yang berada di luar negara tetapi setakat tahun 1995-1998, lebih kurang 23 saintis Malaysia yang berkhidmat di luar negara telah dapat dipanggil semula ataupun dipelawa untuk kembali  ke tanah air dan sebagaimana yang telah diterangkan dalam Belanjawan 2001 oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan tempoh hari, kerajaan telah pun mengemukakan beberapa dasar yang menggalakkan para saintis daripada luar untuk berkhidmat di Malaysia. Jadi, perkara ini dalam tindakan, bukan sahaja daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar bahkan juga beberapa  kementerian lain termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan untuk mengambil langkah-langkah yang sama bagi menarik seberapa ramai saintis Malaysia yang berada di luar negara dan juga mempelawa juga saintis-saintis luar yang ingin berkhidmat di negara untuk berkhidmat di Malaysia.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Lanjutan daripada apa yang dibangkitkan oleh pihak Yang Berhormat bagi Kluang tadi, program galakan oleh pihak kerajaan bagi menarik pihak saintis Malaysia yang sedang bertugas di negara-negara maju ini, saya hendak tahu, adakah apa-apa program yang dibuat oleh pihak kementerian atau pihak kerajaan sendiri dalam memastikan satu pengiktirafan yang mutlak yang boleh menjamin dari sudut kemudahan-kemudahan keperluan-keperluan  asas kepada golongan saintis kita untuk mengembangkan lagi bakat serta ilmu pengetahuan mereka bagi mengembangkan negara ini.  Sebagaimana yang telah kita ketahui ada beberapa program di peringkat sekolah  seperti penganugerahan saintis muda ataupun dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Jadi, saya hendak tahu pengiktirafan yang bertaraf antarabangsa diberikan kepada saintis-saintis tempatan ini sebagai satu galakan yang menyeluruh bagi membangkit kesedaran saintis kita yang berada di luar negara ini kembali. Terima kasih.

            Dato’ Zainal bin Dahalan:  Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.  Sebenarnya beberapa program yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini adalah sebagai langkah-langkah untuk mewujudkan satu suasana yang kondusif dan juga suasana yang sesuai bagi para saintis untuk berkhidmat di negara kita sendiri kerana dibandingkan dengan soal keadaan sekitar dan juga mungkin termasuk soal bayaran pendapatan elaun, gaji dan sebagainya di negara lain seperti di Amerika dan sebagainya jauh lebih tinggi daripada apa yang ada di negara kita.  Jadi, program-program seperti mewujudkan MSC dan sebagainya adalah di antara langkah-langkah yang dijalankan oleh kerajaan untuk mewujudkan satu keadaan, suasana yang menggalakkan bagi para saintis untuk berminat kembali.

            Selain daripada apa yang pernah saya sebutkan dalam Dewan yang mulia ini, iaitu bahawa semangat patriotisme dan juga minat para rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk kembali memberikan sumbangan mereka kepada negara ini adalah perkara yang juga penting.  Terima kasih.


|Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06||Parlimen07|