Soalan & Jawapan di Parlimen Pada 5 April 2001
Kementerian Pembangunan Wanita

Puan Lim Bee Kau [Padang Serai] minta Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga menyatakan struktur dan polisinya serta apakah tindakan yang akan diambil untuk meminda undang-undang yang mendiskriminasikan kaum wanita.

 

            Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga [Dato' Hajah Shahrizat binti Abdul Jalil]:  Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dipertanggungjawabkan untuk mempertingkatkan pembangunan dan taraf hidup wanita dan memperkukuhkan institusi keluarga. Struktur organisasi kementerian sedang disusun semula dengan menyerapkan sepenuhnya sumber tenaga manusia dan fungsi Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA), sementara Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula merupakan sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab kepada kementerian.

            Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian akan terus melaksanakan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita yang sememangnya telah pun menjadi asas perancangan dan strategi pembangunan wanita di negara ini. Dua matlamat Dasar Wanita Negara ialah untuk menjamin perkongsian saksama di antara lelaki dan wanita dalam menyertai proses pembangunan di samping menikmati hasil pembangunan negara. Dasar ini juga bertujuan untuk memastikan wanita diintegrasikan sepenuhnya dalam semua sektor pembangunan negara bagi mempertingkatkan taraf hidup dan kesejahteraan wanita.

            Memandangkan kementerian ini akan bertanggungjawab dalam membangunkan wanita dan keluarga di alaf baru ini, Dasar Wanita Negara perlu dikaji semula dengan tujuan mengemas kini visi, matlamat, strategi, perancangan dan keperluan semasa.

            Berhubung dengan tugas untuk meminda undang-undang, fungsi utama kementerian ialah untuk memberi nasihat serta mempengaruhi penggubalan dan pelaksanaan undang-undang dan dasar pembangunan negara supaya keperluan asas dan kepentingan strategik wanita di perdanakan dalam semua undang-undang dan dasar-dasar tersebut. Seterusnya kementerian akan memainkan peranan yang lebih proaktif dan beri maklum bahas serta sokongan kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi lain dalam merancang secara bersepadu dan teratur serta menggubal dasars-dasar yang lebih mesra wanita dan keluarga.

 

            Puan Lim Bee Kau: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Menteri. Saya ucapkan tahniah atas perlantikan Yang Berhormat. Kita mempunyai keyakinan penuh dengan Yang Berhormat Dato’ atas jawatan tersebut. Untuk melicinkan perjalanan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga ini, adakah pihak kementerian bercadang untuk mengadakan jabatan ataupun jawatan-jawatan yang diperlukan di peringkat negeri dan kalau ada, bila agaknya ini akan dilaksanakan?

            Dato' Hajah Shahrizat binti Abdul Jalil: Kepada Ahli Yang Berhormat, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberi, insya-Allah, saya akan bekerja kuat bersama-sama dengan kakitangan yang lain. Namun begitu, kejayaan kementerian ini bagi saya terletak buhkan hanya kepada kami di kementerian, tetapi sokongan daripada semua termasuklah kaum bapa yang ada.

            Tuan Yang di-Pertua, pihak kementerian telah pun memohon daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mempertingkatkan  mempertimbangkan supaya diwujudkan jabatan-jabatan di peringkat negeri. Namun begitu, setakat ini kita tidak dapat lagi kelulusan. Malah perjawatan yang kita minta pun saya nampak memakan masa sedikit untuk pihak Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskannya kerana ada peraturan-peraturan yang perlu mereka ikuti.

            Saya harap bahawa dalam masa terdekat setelah kita memperkukuhkan jentera di peringkat pusat, selepas ini JPA akan memberi pertimbangan yang positif kepada permohonan kementerian untuk mewujudkan jabatan-jabatan di peringkat negeri. Kerana kalau kita tak ada rangkaian di peringkat negeri, saya khuatir bahawa program dan perancangan kementerian tidak dapat diturunkan di akar umbi.

            Buat masa ini jawatankuasa-jawatankuasa perunding yang telah pun diwujudkan akan membantu pihak kementerian untuk menurunkan program-program dan perancangan.

2. Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga menyatakan apakah rasionalnya Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga diwujudkan. Apakah fungsi-fungsi kementerian ini, dan sejauhmanakah fungsinya itu berlaku pertindihan dengan mana-mana kementerian yang sedia ada.

 Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga [Dato' Hajah Shahrizat binti Abdul Jalil]:  Tuan Yang di-Pertua, seperti Yang Berhormat sedia maklum pengumuman penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 17 Januari 2001. Penubuhan kementerian ini telah dialu-alukan oleh semua pihak terutamanya wanita yang menganggap ianya sebagai satu pengiktirafan terhadap perjuangan dan sumbangan wanita kepada pembangunan negara selama ini.

     Penubuhan kementerian juga dianggap bertepatan kerana ia adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk meningkatkan taraf serta mengukuh dan memperkemaskan jentera kerajaan yang mengendalikan pengintegrasian wanita sepenuhnya dalam semua proses dan peringkat pembangunan negara.

     Di samping itu, wanita mewakili 49.3% daripada jumlah penduduk negara ini, sementara kadar penyertaan tenaga buruh wanita ialah 44.5%. Oleh itu, langkah untuk mewujudkan satu kementerian khas untuk pembangunan wanita dan mengukuhkan institusi keluarga adalah sangat bertepatan dan penting bagi mempertingkatkan dan melicinkan proses pembangunan wanita dan keluarga di negara ini.

     Fungsi utama kementerian ialah untuk memberi nasihat serta mempengaruhi penggubalan undang-undang dan Dasar Pembangunan Negara supaya keperluan asas dan kepentingan strategik wanita diperdanakan dalam semua undang-undang dan dasar tersebut. Seterusnya kementerian akan memainkan peranan yang lebih proaktif dan beri maklum balas serta sokongan kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi lain dalam merancang secara bersepadu dan teratur serta menggubal dasar-dasar yang lebih mesra wanita dan keluarga.

     Sebagai badan penasihat advocacy dan penyelaras, saya amat yakin kementerian ini tidak akan menghadapi masalah pertindihan fungsi dengan kementerian lain. Satu jawatankuasa perunding antara kementerian dan agensi telah pun diwujudkan dan ianya akan menjadi mekanisme untuk kementerian ini mengemukakan isu-isu wanita dan keluarga yang perlu diberi perhatian oleh kementerian-kementerian tertentu. Jawatankuasa ini juga akan menentukan tidak ada pertindihan dengan mana-mana kementerian sedia ada.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan tahniah kepada pihak Yang Berhormat Menteri. Sebagaimana yang telah pun diwarwarkan oleh pihak kerajaan, satu daripada fokus Dasar Wanita Negara ialah memastikan peluang pekerjaan di kalangan golongan wanita khususnya di dalam bidang pekerjaan profesional. Daripada satu kajian dan input International Forum on Women and ICT mendapati penglibatan wanita masa kini dalam negara kita di sekitar 15% hingga 20% sahaja yang terlibat dalam sektor ICT khususnya dalam aspek pengaturcaraan komputer dan perkara-perkara yang berkaitan dengan ICT. Saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak Yang Berhormat sesuai dengan fungsi kementerian ini dan kementerian-kementerian berkaitan dengan usaha menggarapkan kemajuan ICT dalam negara ini, pelan tindakan yang harus diambil oleh pihak kementerian yang melibatkan kerjasama langsung daripada kementerian-kementerian berkaitan, sejauh manakah perkara ini ditangani dan digariskan dalam pelan tindakan yang akan dibuat. Terima kasih.

 Dato' Hajah Shahrizat binti Abdul Jalil: Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengambil berat tentang isu-isu seperti itu. Malah untuk pengetahuan Ahli Yang Berhormat sudah lama pihak kerajaan memberi keutamaan dalam perancangan untuk menentukan bahawa wanita jadi celik komputer. Malah mereka akan diberi kemahiran untuk menentukan mereka tidak ketinggalan di dalam alaf baru ini. Dan salah satu kemahiran yang perlu kita turunkan kepada wanita ialah ICT dan kemahiran dalam teknologi maklumat.
 Di dalam perancangan kementerian ini keutamaan akan diberi kepada latihan komputer dan ICT dan di samping bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain, kementerian ini juga akan ada program yang spesifik untuk memberi latihan kepada wanita. Program ini akan dimasukkan di dalam Pelan Tindakan Pembangunan Wanita, dan saya beri jaminan bahawa ianya akan diturun ke akar umbi termasuklah di negeri Kelantan dengan harapan bahawa jikalau Kerajaan Negeri Kelantan saya nampak tidak beri keutamaan kepada wanita. Namun begitu, kami di Persekutuan insya-Allah, kita akan turun padang membantu semua wanita termasuk wanita Kelantan.
 Saya hendak mengambil kesempatan ini hendak minta Ahli Yang Berhormat bagi sampaikan kepada pemimpin-pemimpin di Kelantan supaya di dalam perancangan jangan lupa wanita, kerana wanita Kelantan apabila diasuh oleh Kerajaan Barisan Nasional daripada dahulu mereka terdiri daripada wanita yang bersemangat, dan kalau kita beri latihan, peluang kepada mereka, insya-Allah, mereka akan jadi rakan kongsi yang terbaik.


|Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06||Parlimen07|