YB Bachok Cadang ICT Diperluaskan Di Luar bandar

5.         Dr. James Dawos Mamit [Mambong] minta Menteri  Pembangunan Luar Bandar menyatakan perancangan kerajaan bagi memastikan kawasan dan masyarakat luar bandar dapat terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan memandangkan bahawa perkembangan dunia masa kini seperti globalisasi dan liberalisasi terus berlaku yang boleh membawa keuntungan dan juga implikasi keburukan kepada negara kita.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar [Dato’ G. Palanivel]: Tuan Yang di-Pertua, menyedari bahawa    kawasan dan masyarakat luar bandar tidak dapat menolak  cabaran daripada order dunia semasa seperti globalisasi dan liberalisasi, malahan sebahagian boleh dimanfaatkan,.  Kkerajaan dalam merangka dasar dan strategi-strategi pembangunan luar bandar, masa depan khususnya di bawah Rancangan Malaysia Kelapan memberi keutamaan kepada perkara-perkara tersebut:

(i)                   menyusun semula struktur ekonomi luar bandar yang sekarang masih banyak bergantung kepada pertanian tradisional kepada kepelbagaian aktiviti yang berorientasi komersial dan pasaran;

(ii)                 memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan usaha daya saing dalam perdagangan dan perindustrian usahawan desa melalui latihan kemahiran dalam aktiviti-aktiviti perusahaan;

(iii)                menggerak dan mempertingkatkan  kemudahan ICT di kawasan luar bandar bagi mempertingkatkan pengetahuan yang boleh dimanfaatkan penduduk luar bandar dalam mengeluar dan memasarkan keluaran mereka.

Sekian, terima kasih.

Dr. James Dawos Mamit:   Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Syabas dan tahniah  saya ucapkan kepada pihak kementerian kerana amat prihatin terhadap rakyat  luar bandar dan dapat menyediakan perancangan yang boleh memberi manfaat kepada mereka. Soalan saya ialah bagaimanakah rakyat  luar bandar dapat menyediakan diri mereka agar dapat menyertai projek-projek yang dirancangkan oleh kementerian    supaya mereka dapat menikmati manfaat globalisasi.           

Dato’ G. Palanivel: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan hanya boleh merancang, boleh memberi peruntukan, boleh memantau perancangan program dan boleh melaksanakan program-program dengan berkesan tetapi apa yang penting ialah setiap lapisan rakyat  Malaysia dikehendaki berusaha dengan gigih bagi mencapai kejayaan yang gemilang dalam menghadapi cabaran dalam dan luar negara. Terima kasih.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya meyakini jawapan yang diberi oleh pihak Timbalan Menteri tadi  mampu dilaksanakan tetapi kesedaran yang harus kita lihat secara bersama ialah kewujudan masyarakat luar bandar sekarang berada pada keadaan jurang yang ketara dari sudut jurang ekonomi, jurang pendapatan dan pelbagai lagi. 

Oleh kerana itu saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kementerian adakah dari sudut perkembangan pantas arus perdana kemajuan negara dan dunia sekarang ini, kerajaan mempunyai suatu perancangan yang spesifik bagi memastikan rangka rancangan yang telah pun disebut sebagaimana yang dikatakan tadi di bawah Rancangan Malaysia Kelapan.  Satu daripadanya ialah untuk memajukan masyarakat luar bandar ini dari sudut keterlibatan penggunaan ICT. Apa yang kita lihat jurang pendapatan masyarakat luar bandar ini, keupayaan mereka untuk menerokai ICT ini jelas tidak berupaya dengan suasana yang ada hari ini. Oleh kerana itu, dari sudut perancangan spesifik, berhubung dengan penggunaan ICT secara meluas di kalangan masyarakat luar bandar ini, bolehkah dibuat jaminan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan ini? Sekian, terima kasih.

Dato’ G. Palanivel: Tuan Yang di-Pertua, untuk menjawab soalan Yang Berhormat, memang benar bahawa jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar ialah sangat jauh iaitu kalau di bandar seorang mendapat RM2, di luar bandar RM1 juga, one is to two, dengan izin, tetapi kalau kita bandingkan dengan 10 atau 20 tahun dahulu, pendapatan luar bandar sudah naik dan kita harap kita akan mengurangkan jurang perbezaan di bandar dan luar bandar kepada dekat-dekat 80% menjelang tahun 2020. Semua soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat terkandung dalam RRJP3. Dokumen ini adalah satu dokumen yang menyeluruh dan semua yang dikehendaki oleh Yang Berhormat ada dalam dokumen ini, bacalah dokumen ini. Sekian, terima kasih. [Ketawa]


|Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06|