Soalan Mengenai Caj/Penalti Yang dikenakan TNB

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.  Sebenarnya negara kita pernah menghadapi krisis tenaga ini tahun 1992 dan saya ingat satu lagi tahun 1996 krisis gelap, black-out di seluruh negara.  Jadi, berkaitan dengan soal yang dibangkitkan oleh pihak Yang Berhormat Batu ini suatu langkah pandangan ke depan untuk mengatasi pengalaman Malaysia sebagaimana yang berlaku di California hujung tahun lepas. 

            Soalnya ialah Tenaga Nasional ataupun TNB sendiri sebenarnya menghadapi beberapa perkara yang menyebabkan pengguna terpaksa membayar lebih yang perlu diatasi juga dalam tempoh masa depan, misalnya pemasangan meter-meter bacaan tenaga yang digunakan di peringkat pengguna sendiri, masih banyak yang melebihi daripada had hayat meter itu sendiri, melebihi 15 tahun ke atas.  Begitu juga kita dapati kebelakangan ini sikap yang dibawa oleh pihak pengurusan TNB mengenakan caj pemotongan dalam bil-bil kepada pihak pengguna, tetapi pemotongan sebenar tidak dibuat, tetapi arahan membayar dibuat.

            Jadi, dengan cara ini kita nampak beban kepada pengguna itu bertambah-tambah.  Jadi, dalam hal ini apakah pihak kerajaan sendiri boleh menyelesaikan isu-isu kepenggunaan ini dari sudut kos yang dibebankan hasil daripada bekalan elektrik ini kerana kita tahu dalam tempoh masa depan, akan berlaku pula penswastaan beberapa pusat penjanaan tenaga elektrik.  Sekian, terima kasih.

            Tuan Chia Kwang Chye:  Tolong ulangkan berkenaan dengan potongan elektrik tadi yang tidak dipotong itu.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Maksudnya ada pengguna yang menerima bil arahan membayar, caj pemotongan kerana tertunggak bilnya tidak dibayar, tetapi pemotongan sebenar tidak dibuat.  Arahan membayar diarahkan melalui bil, sedangkan pemotongan tidak dibuat.

            Tuan Chia Kwang Chye:  Tuan Yang di-Pertua, kerajaan selalu mencari cara-cara untuk bagaimana kos penjanaan dapat diturunkan dan akan mengakibatkan harga elektrik dan bekalan akan boleh turun dan ini dapat membawa hasil baik kepada pengguna-pengguna dan ini termasuk sumber-sumber lain termasuk renewal energy dan green energi.

Berkenaan dengan bekalan elektrik yang dipotong dan tidak dipotong tetapi caj dikenakan, ini dalam sistem keluaran waran untuk potong dan kadang-kadang waran dikeluarkan kerana bil elektrik tidak dibayar dan oleh sebab perjanjian atau persamaan di antara orang yang sepatutnya potong elektrik ini dengan pengguna itu supaya elektrik tidak dipotong dan mereka pergi membayar bil elektrik itu tetapi selepas waran dikeluarkan sebenarnya elektrik dipotong, oleh sebab convenience kepada pengguna, elektrik tidak dipotong tetapi caj mesti dikenakan kerana waran telah dikeluarkan.  Sekian, terima kasih.

6.         Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menyatakan apakah alasan sebenar Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenakan penalti satu peratus kerana lewat membayar bil dan kenaikan caj pemasangan semula (akibat pemotongan) kepada pengguna.  Berapakah jumlah penalti yang telah dipungut sejak mula dilaksanakan.

          Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia [Datuk Tan Chai Ho]:  Tuan Yang di-Pertua, alasan TNB adalah dengan mengenakan penalti ini pengguna akan lebih bertanggungjawab dan membayar bil untuk perkhidmatan yang telah dinikmati dalam masa yang ditentukan.  Kelewatan pengguna dalam menjelaskan bil elektrik pada masa yang lepas telah menyebabkan TNB terpaksa menanggung kos kewangan yang tinggi kerana TNB perlu melakukan pembayaran bekalan elektrik.Dengan mengenakan penalti ini, ianya dapat mengurangkan beban TNB dalam membiayai perbelanjaannya.

Tuan Yang di-Pertua, sejak penalti ini dikenakan, mulai bulan September 2000 hingga bulan Februari 2001, sebanyak RM24 juta iaitu lebih kurang RM4 juta sebulan telah di’billed’kan.  Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]:  Ahli-ahli Yang Berhormat, masa untuk Soal Jawab Lisan telah selesai.


|Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06|