Make your own free website on Tripod.com


Ucapan Membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan
Kementerian Pertanian pada 18 April 2001

Tuan Pengerusi [Datuk Lim Si Cheng]:  Bachok.

6.27 ptg.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]:  Terima kasih Tuan Pengerusi.  Pertamanya saya ucap terima kasih kepada pihak Kementerian Pertanian yang telah pun mengeluarkan peruntukan sebanyak RM528,500 ini untuk bayaran pampasan kepada penternak-penternak lembu kerana perkara ini saya ingat saya telah bangkitkan sebelum ini dan pihak Timbalan Menteri sendiri pun menjawab tidak ada peruntukan untuk membayar ternakan-ternakan lembu yang menghadapi bermacam masalah penyakit.  Akhirnya perkara ini diluluskan juga.  Terima kasihlah saya bagi pihak penternak.

Kemudian merujuk kepada Maksud P.19 juga iaitu di bawah Butiran 00925 yang berkait dengan pembangunan kawasan pertanian moden ini telah diperuntukkan RM100 juta.  Peruntukan ini dari sudut gerak kerjanya adalah kecil tetapi pengharapannya amat besar kerana ia bersangkut dengan persoalan yang menyentuh kepentingan seluruh negara. 

Kemudian lagi dari sudut kita merasai peruntukan ini kena pada tempatnya juga kerana isu DPN3, Dasar Pertanian Negara Ketiga yang menyentuh satu tempoh yang agak panjang daripada 1998 hingga 2010 ini.  Isu-isu memenuhi keperluan makanan negara ini satu isu yang perlu disegerakan, melihat kepada cabaran-cabaran yang ada pada hari ini.

Pertamanya, kita melihat bekalan makanan di peringkat antarabangsa sendiri pun didapati dari sudut pertumbuhannya tidaklah sepesat yang kita harapkan iaitu sekitar 1.8% hingga 2.1% sahaja dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.  Begitu juga kita menghadapi isu import makanan negara yang bertambah dan paling tidak memberi keselesaan lagi ialah ekoran daripada kejatuhan nilai ringgit dan pertukaran wang asing dan terpaksa kita membayar lebih terhadap import kita yang kita dapati dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, peningkatan kepada import makanan sampai kepada peringkat nilai ringgitnya RM13 bilion mengikut perangkaan tahun 2000.

Demikian lagi disokong oleh perubahan Indeks Harga Pengguna yang kita yakin di antara peningkatan harga makanan itu terlibat sama dalam perubahan itu yang kita merasai kesannya perlu juga diselesaikan dengan menambahkan lagi pengeluaran bekalan makanan dalam negara ini kerana misalnya dalam tempoh tahun 1997, didapati peningkatan harga makanan di negara kita ini meningkat sampai 51.9%.

Cabaran yang keempat yang harus diselesaikan juga ialah daripada sudut kesedaran kepada mutu pemakanan itu sendiri kerana kita yakin di sebalik isu pemakanan, kita perlu kepada makanan berzat.  Maka, yang berzat ialah yang boleh dihasilkan dalam negara kita sendiri, oleh petani kita sendiri yang dipantau oleh pihak kerajaan dan kerajaan sendiri dengan kemajuan petani moden ini boleh memastikan mutu beras, sayur-sayuran, buah-buahan dan seumpamanya adalah lazat-lazat semuanya. 

Berdasar kepada peruntukan RM100 juta ini juga, saya ingin tahu daripada sudut pengagihan sebenar sebab seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat bagi Tambun tadi, isunya nampak kepada kita peruntukan ini menjurus kepada dua aspek.  Berapa peruntukan yang difokuskan kepada usaha untuk peningkatan produktiviti tanaman ataupun pertanian yang menghasilkan makanan dan yang keduanya juga berapa peruntukan sebenarnya daripada RM100 juta ini untuk aktiviti-aktiviti kepelbagaian daripada sudut usaha-usaha memodenkan lagi sektor pertanian bagi menghasilkan tanaman ini.

Kemudian saya juga mengharapkan pihak kementerian dapat memperincikan apakah maksud pemodenan daripada sudut usaha-usaha pertanian di bawah Butiran 00925 ini iaitu yang dimaksudkan dengan pertanian moden yang difokuskan kepada kita.  Apakah yang terfokus kepada usaha untuk memodenkan sektor padi sahaja sebagai satu tanaman asasi untuk makanan ataupun ia melibatkan sama usaha-usaha penghasilan tanaman makanan-makanan lain? 

Demikian juga ianya adakah disokong oleh usaha-usaha untuk memodenkan sektor ini oleh pihak agensi-agensi research and development (R&D) dengan izin, kerana kita yakin dan percaya di sebalik usaha untuk menambahkan bekalan makanan dalam negara, pemodenan pertanian khususnya daripada sudut penanam padi, misalnya, ataupun hasil-hasil yang berkaitan dengan pemakanan ini, tidak boleh tidak, harus kita mengambil perhatian kepada R&D dalam sektor ini.

Yang penting lagi untuk saya mendapat perhatian dan jawapan daripada pihak kementerian ialah sektor penanaman padi itu sendiri adalah satu sektor yang memang diberi perhatian oleh pihak kerajaan.  Soalannya, adakah dengan peruntukan tambahan yang ada ini, ianya boleh membawa suatu perubahan kepada produktiviti padi sebab saya melihat hasil padi yang ada dalam negara tidak mampu lagi untuk menyaingi mutu beras daripada negara jiran khususnya daripada negara Thai, lebih-lebih lagi kami di negeri Kelantan yang terlalu ketagih kepada beras Siam ini kerana kualitinya dianggap sedap untuk makan, perut pun kenyang dan tubuh pun jadi sihat.

Jadi, perkara ini menjadi suatu cabaran kepada KADA di Kelantan sebenarnya sebab setakat ini KADA bukan setakat tidak berjaya daripada sudut target untuk mendapat 10 tan bagi satu hektar pengeluarannya, ianya hanya berada pada tahap maksimum sekitar 6.69 tan sahaja dan KADA juga tidak mampu untuk menghasilkan satu kualiti yang baik.

Sementelah pula budaya baru sekarang ini, ramai di kalangan kita yang suka makan nasi beriani dan nasi beriani pula tidak boleh dimasak dengan sedap dan lazat dibuat dengan beras tempatan.  Ianya beras import iaitu dari India iaitu beras basmathi.  Jadi, di sini saya merasai KADA sendiri kalau difokus di Kelantan ataupun MADA di Kedah, yang fokusnya mesti membuat satu usaha R&D yang lebih baik lagi berprestasi bagi memastikan mutu beras kita menyaingi mutu beras di negara jiran, Thailand dan juga daripada India.

Oleh kerana itu, kita merasai pendekatan terbaik pihak MARDI dapat ditangani jika MARDI itu diiktiraf sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan kepada pihak Jabatan Pertanian. 

Satu perkara lagi saya ingin bangkitkan ialah sektor pemakanan kita dalam negara sebenarnya dapat digarap dengan lebih baik lagi menerusi pertumbuhan industri-industri pemakanan yang berasaskan kepada bahan tempatan ini.  Misalnya, dalam kawasan Parlimen saya terkenal dengan pengeluaran ubi keledek dan labu.  Dua hasil tanaman makanan yang bermutu tinggi.  Baru-baru ini Jabatan Pertanian bersama dengan MARDI telah melancarkan satu baka ubi keledek yang terbaik yang daripada sudut isi ubinya bermutu dan saiznya lebih montel daripada yang sebelum ini, menyaingi kemontelan ubi kentang.

Oleh kerana itu, kita melihat dengan keupayaan yang ada di kawasan Parlimen saya, Bachok ini, seharusnya disokong oleh satu industri sokongan yang baik untuk memastikanů

Tuan Pengerusi [Datuk Lim Si Cheng]:   Yang Berhormat.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: ůsatu industri pemprosesan.

Tuan Pengerusi [Datuk Lim Si Cheng]:  Boleh gulung.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Oh gulung sudah.  Lebih sedikit boleh kot.  Tidak ada orang hendak berucap sudah. 

Tuan Pengerusi [Datuk Lim Si Cheng]:   Ada, ada.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Menteri hendak dengar lagi.

Tuan Pengerusi [Datuk Lim Si Cheng]:  Ada lagi Yang Berhormat ingin berucap.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Ok terima kasih, sekejap lagi.  Sedikit sahaja saya hendak gulung. 

Oleh kerana itu, daripada sudut ini bagaimana pula tanaman-tanaman yang boleh menghasilkan makanan-makanan sampingan (secondary) ini dapat kita aktifkan lagi bagi membantu bukan setakat petani tetapi jumlah pilihan makanan dalam negara kita ini.

Kemudian, apakah pula yang dimaksudkan dengan aktiviti kepelbagaian dalam peruntukan tambahan RM100 juta ini?  Kita ingin tahu sedikitlah sebab kita yakin dan percaya kepelbagaian di sini adalah penting bagi memastikan petani itu terbela daripada pelbagai sudut dan ianya akan memastikan juga petani dapat menyaingi bersama dalam arus pemodenan sektor pertanian ini supaya petani Malaysia menjadi contoh kepada petani-petani lain di luar negara. 

Sekian, terima kasih.


|Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06||Parlimen07||Parlimen08||Parlimen09|