Sidang Pengarang Ad-Adin
Risalah Bulanan PAS Kelantan

AHLI PAS BERTINDAK MATANG

Sebulan yang lepas menyaksikan kekalutan media perdana yang dimiliki kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam melaporkan pelbagai berita yang menghentam pemimpin dan penyokong PAS dan Barisan Alternatif (BA).

Isu penyatuan Melayu yang dimomokkan oleh Presiden UMNO tetap menjadi ulasan utama para pemimpin tertinggi UMNO-BN. Dikaitkan pula dengan “amanat Hj Hadi” dan hukum wang ehsan bertaraf haram yang kononnya difatwakan oleh seorang Exco Kerajaan PAS Terengganu.

Secara positif, nampaknya trend pemberitaan media perdana itu tidak berubah-ubah malah bersifat streotype; setiap berita akan meletakkan negatif kepada pihak parti PAS-BA.

Bagi ahli PAS sebenarnya, sejak dari awal lagi tidak menjadikan berita-berita tersiar menerusi media perdana milik kerajaan BN itu sebagai benar dan tepat. Malah tidak keterlaluan ada di kalangan ahli dan penyokong PAS meletak tarafkan segala apa yang disiarkan itu sebagai putar belit dan bersifat menghasut. Lebih-lebih lagi, kecenderungan pihak akhbar perdana sekarang ini banyak menyiarkan rencana dan pendapat tokoh-tokoh akedemik tertentu daripada pusat pengajian tinggi untuk menempis hujah-hujah para pemimpin PAS-BA di dalam sesuatu perkara. Hal ini menambah jemu para pembaca termasuklah mereka daripada yang tidak berparti (non-partisan).

Berdasarkan pengalaman lalu dan kajian-kajian oleh pihak berwibawa terhadap kesan laporan media perdana itu, hanyalah televisyen (TV) sahaja agak memberi kesan dan boleh mempengaruhi pemikiran dan sikap massa, terutama kepada penonton di luar bndar atau masyarakat yang bersifat tertutup.

Bagi ahli PAS, pada keseluruhannya tidak bersifat tertutup. Medan maklumat terlalu luas. Lebih-lebih lagi bagi masyarakat Kelantan yang sepanjang masa terdedahkan dengan maklumat semasa. Pendedahan itu berlaku secara langsung dan tidak langsung. Keaktifan hidup masyarakat Kelantan dari segi komunikasi langsung dan tidak langsung menyebabkan pengaliran maklumat berlaku dengan pantas. Ia diikuti pula dengan pengulasan segala isu-isu hangat berlaku dengan cepat dan bernas. Medan komunikasi terpenting adalah segala pusat pertemuan orang  ramai seperti kedai kopi, stesen teksi, tempat kerja dan tidak kurang penting ialah madrasah dan masjid.

Berbekalkan secebis berita dari akhbar atau TV sesuatu topik isu semasa akan dibahas, dikupas dan diulas sampai lumat. Trend ini terbawa-bawa hatta kepada semua guru agama dan khatib akan turut menyentuh sama di dalam kuliah agama dan khutbah Jumaat.

Oleh hal yang demikian, dari aspek komunikasi sebenarnya masyarakat Kelantan lebih ramai terdiri daripada golongan masyarakat pendengar. Meskipun begitu, tidak dinafikan juga budaya membaca tetap hidup terutama di kalangan mereka yang berpendidikan dan kakitangan kerajaan.

Berlatar belakangkan senario dan pembudayaan hidup masyarakat Kelantan sedemikian, imej kekelantanan sering dianggap unik di dalam banyak aspek hidup. Paling unik adalah dari segi budaya politik, iaitu berpolitik secara terbuka dan berani. Terbuka mendengar dan menerima segala bentuk isu politik dan berani membuat keputusan meskipun keputusan itu bersifat risiko. Misalnya di dalam isu pindaan perlembagaan negeri Kelantan yang menyentuh perkara istana, ramai yang menerimanya secara positif dan mengambil sikap menunggu pindaan itu dirasmikan berlaku di persidangan Dewan Undangan Negeri. Tidal nampak susana kelam kabut daripada mana-mana pihak hatta pihak pemimpin UMNO Kelantan sendiri tidak menimbul reaksi membangkang hasrat majoriti rakyat. Tegasnya semua pihak mengharapkan kebaikan di atas cadangan Tuan Guru Dato’ Menteri Besar untuk meminda perlembagaan itu.

Demikianlah halnya, sifat kematangan rakyat Kelantan dari sudut komunikasi.

 

*Tamat*

WAN NIK BIN WAN YUSSOF