Agenda Perpaduan Melayu, UMNO ada motif Politik.

Mulai Syawal 1421 masyarakat dihadap dengan isu perpaduan Melayu. Kononnya lahir daripada cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyeru pemimpin PAS dapat duduk semeja bagi menyelesaikan masalah orang Melayu. Masalah orang Melayu dari perspektif UMNO ialah “berpecah-belah; tidak bersatu”.

Dikatakan orang Melayu berpecah-belah adalah kerana faktor politik, bukannya akibat dasar parti Barisan Nasional (BN). Oleh itu, dilihatlah faktor itu datangnya daripada parti PAS.
Pemimpin BN, terutama daripada UMNO menganggap kewujudan PAS sebagai parti orang Melayu, menyebab Melayu berpecah dua. Hakikatnya PAS parti umat Islam. Sepatutnya, UMNO menganggap faktor pecah-belah itu datangnya daripada parti BN yang memerintah. Ini kerana di sebalik kuasa memerintah itu, boleh melakukan apa saja sama ada ke arah perpaduan atau perpecahan.

Ramai yang faham dengan sikap tidak jujur pemimpin UMNO dalam isu orang Melayu ini; suka menyalahkan PAS. Memang benar Melayu berpecah dua. Berpecah sejak timbulnya tuntutan kemerdekaan lagi. Pemimpin PAS daripada kalangan alim ulamak lebih awal menuntut pembebasan tanah air daripada penjajahan Nasara Inggeris berlandaskan Islam dan mengutamakan kepentingan dan hak orang Melayu sebagai warga asal Tanah Melayu.

Pada masa sama pula, pemimpin UMNO yang sejak awal bersekongkol dengan penjajah asyik berbincang untuk merdeka mengikut agenda Inggeris. Pemimpin UMNO-lah yang bersetuju dengan agenda Inggeris iaitu merdeka dan mengambil alih tampuk kuasa bersama-sama orang Cina dan India, penduduk pendatang.
Pemimpin PAS menolak agenda Inggeris ini, terutama dalam perkara yang melibatkan dasar memberi kerakyatan (jus soli) kepada pendatang Cina dan India sebagai warga negara Tanah Melayu. Pemimpin UMNO telah digula-gulakan oleh Inggeris.

Penentangan pemimpin PAS tidak diendahi Inggeris dan mendukacitakan pemimpin UMNO pula menyebelahi penjajah itu. Ini kerana Inggeris telah mengugut, “merdeka cara PAS tidak akan dilayan, UMNO tak akan dapat apa-apa kuasa”. Dengan itu, UMNO kena ikut kehendak Inggeris, bersekongkol dengan parti Cina dan India, mewarisi kerajaan daripada penjajah Inggeris.

Sejak daripada perbezaan pandangan politik itulah maka PAS telah dicapkan parti pemecah belah orang Melayu. In suatu cap yang tidak adil kepada PAS, kerana bila meneliti punca sebenar orang Melayu berpecah adalah persoalan keyakinan kepada perjuangan politik Melayu demi survival bangsa dan agama.

Satu pihak menyakini landasan perjuangan berteraskan agama maka mereka menyokong PAS. Satu pihak lagi menyakini kepada dasar Inggeris yang meletakkan teras perjuangan kaumiyah-kebangsaan Melayu, maka mereka menyokong UMNO.

Persoalan yang muncul selepas merdeka adalah cetusan daripada perbezaan teras perjuangan politik dalam negera ini. UMNO bersama Perikatan (dulu) – BN (kini) yang melaksana agenda pembangunan negara pasca merdeka telah mencetuskan banyak fenomena pecah-belah orang Melayu. Terutama sekali bila menyentuh soal pengagihan nikmat pembangunan, maka teras perjuangan politik telah dijadikan pra-syarat untuk menentukan orang Melayu yang perlu dilayan dan tidak dilayan. Di sana orang PAS telah termasuk di dalam orang Melayu yang tidak dilayan dengan adil dan peri kemanusiaan.

Justeru itu, berlaku pergeseran rakyat tidak berdosa lantaran dia orang PAS dan dia orang UMNO. Timbullah realiti orang PAS tidak dilayan permohonan bantuan dari  projek pembangunan kerajaan BN; baja padi menjadi hak orang UMNO kerana mereka BN bukan kerana mereka petani padi.

Peluang menjadi peneroka Kesedar terbuka hanya kepada UMNO, pinjaman Tekun hanya diberi menerusi saluran orang UMNO, meskipun ramai orang PAS yang lebih bijak dalam keusahawanan. Borang buku teks sekolah turut dipolitikkan – anak orang PAS ditorture terlebih dulu sebelum dibuat pengesahan.

Sesungguhnya terlalu banyak unsur perlaksanaan projek atas nama kerajaan untuk rakyat telah diUMNOkan. Apakah PAS dan pemimpin atau ahli PAS yang layak dicap sebagai pencetus pemecah belah?

Dalam hal ini, kita PAS bolehlah berterima kasih kepada pihak yang mencadangkan agar PAS-UMNO berbincang semeja demi mencapai kata sepakat untuk kemajuan orang Melayu. Namun harus disedari, realiti perpaduan Melayu hanya berjaya apabila ia diteraskan kepada isu-isu persamaan dan menjadi minat bersama. Oleh kerana itu tepat sekali pandangan Mursyidl Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu perbincangan ke arah perpaduan Melayu diteraskan kepada aqidah-agama Islam.

Persoalannya, bolehkah pemimpin nombor satu UMNO berbincang berteraskan aqidah Islam, sedangkan Perhimpunan Agung UMNO telah bersetuju mengharamkan perkataan Islam daripada digunakan oleh mana-mana pertubuhan termasuk parti politik?

Namun telah dinyatakan UMNO sedia berbincang walau apapun syarat dikemukakan PAS. Rasional ini sebenarnya tidak rasional atau UMNO sekali lagi bersikap double-standard – sekali menolak nama Islam, sekali untuk kembali kepada perpaduan merupakan amalan wajib bagi Islam.

Meskipun apa perkembangan yang dilalui di sebalik isu perpaduan Melayu, bagi Presiden UMNO ia amat penting demi survival kepemimpinannya yang sudah di penghujung usia, sudah 20 tahun melampaui umur bersara wajib (mengikut umur perkhidmatan awam). Namun begitu, perpaduan adalah kekuatan mutlak kepada umat Islam secara amnya. Pemimpin PAS seharusnya tetap beriman dengan kenyataan ini.

 Sekian