SOALAN JAWAPAN LISAN 
PERSIDANGAN PARLIMEN BERLANGSUNG 
PADA 10 - 20 JULAI 2000 
Parlimen ke-2 Penggal ke-2 Mesyuarat ke-2



1) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan mengenai program dakwah Islamiah melalui internet: 
a) adakah pihak kerajaan melalui mana-mana agensinya telah mengadakan suatu program untuk memantau mana-mana laman web yang menyebarkan Islam agar ia benar-benar mengikut ajaran Islam sebenar? 
b) adakah kerajaan telah atau belum mengadakan satu laman web Islam sepertimana “KampungNet” yang telahpun dilaksanakan sejak tahun 1995 di Singapura?

2) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menyatakan mengenai “E-Government”: 
a) definisinya yang sebenar, 
b) objektif-objektifnya, dan 
c) visinya yang hendak dicapai. 

3) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menyatakan apakah kesan-kesan positif dan negatif yang akan dialami oleh rakyat negara ini apabila “E-Government” terlaksana sepenuhnya nanti? Sejauhmanakah pula ia akan membawa kepada keberkesanan perkhidmatan kakitangan kerajaan? 

4) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menyatakan apakah hasil lawatan terbaru Perdana Menteri ke Jepun pada awal bulan Jun yang lalu kepada kemajuan teknologi tinggi industri aerospace di negara ini? Benarkah syarikat aerospace tempatan telah berjaya menjalinkan kerjasama bagi memajukan industri aerospace berasaskan IT dan multimedia dengan syarikat dari Jepun? Jika benar, sebutkan syarikat yang terbabit dan apakah bidang khusus yang akan dimajukan? 

5) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menyatakan sejauh manakah perkembangan industri berasaskan “information and communication technology (ICT)” di negara ini? Nyatakan nama syarikat-syarikat ICT tempatan dan luar negera yang beroperasi dalam negara ini. 

6) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah kerajaan akan mengambil langkah meminda Akta Cukai Pendapatan berikutan berlakunya urusniaga syarikat dan agensi korporat melalui internet atau secara “e-commerce”. Apakah kerajaan telah mengambil langkah-langkah percukaian ke atas mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan melalui “e-commerce”? 

7) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sudah berpuas hati dengan sistem pendaftaran pemilih yang dipakai sekarang? Sudahkah pihak SPR mengkaji kemungkinan akan menggunakan sistem pendaftaran pemilih terbuka secara “electronic voter registration” melalui laman web, dan adakah umur pengundi akan dibolehkan mendaftar ketika berumur 18 tahun? 

8) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi mencapai matlamat melahirkan ramai golongan “knowledge workers in multimedia”?Apakah kelayakan “knowledge worker” yang  diiktiraf oleh kerajaan menjelang tahun 2020? Apakah relevannya keperluan “knowledge worker” dalam pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC)? 

9) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan menyatakan sejauh manakah kemajuan yang telah dicapai dalam pembangunan“E-Village”? Adakah matlamat “E-Village” adalah bagi memajukan industri pelancongan berasaskan IT semata-mata, ataukah juga bagi menyedia kemudahan kepada industri perfileman asing datang ke negara ini? 

10) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Perdana Menteri menjelaskan maksud kenyataannya di Sidang Kemuncak Perniagaan Eropah-Asia 2000, iaitu “Nampaknya kini lokasi strategik tidak lagi bermakna khasnya dalam menjalankan perdagangan antarabangsa ataupun di peringkat negara. Tetapi sebenarnya ia masih relevan, kita masih merupakan orang, manusia, kita mempunyai budaya sendiri, kesetiaan kita dan perasaan manusia kita. Apabila menjalankan perniagaan kita tidak boleh mengabaikan faktor-faktor ini”.

 

[Soalan Jawapan Bertulis][Soalan Jawapan Lisan]