SOALAN-SOALAN JAWAB LISAN
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KETIGA, PARLIMEN KESEPULUH
PADA 16 JULAI HINGGA 2 OGOS 2001

 

1) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ewal Pengguna menyatakan jumlah kes penyalahgunaan permit beras yang berjaya dikesan dalam tempoh Januari hingga Jun 2001? Apakah langkah-langkah yang diambil bagi membendung kegiatan penyeludupan beras Siam terus berlaku? (Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 16 Julai 2001)

2) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pendidikan menyatakan rasionalnya ditetapkan kuota kemasukan pelajar ke IPTA iaitu 55:45 bagi Bumiputera dan Bukan Bumiputera? Adakah status-quo ini akan dipinda bagi memboleh lebih ramai golongan Bumiputera yang masih ketinggalan dari sudut sosio-ekonomi memasuki IPTA? (Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 17 Julai 2001)

3) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan menyatakan usaha-usaha yang telah dibuat bagi memelihara warisan sejarah Perang Dunia Kedua? Apakah usaha khusus telah diambil bagi menjaga kubu-kubu yang dibina oleh British di sepanjang pantai negeri Kelantan yang sekarang ini diancam timbusan pasir laut? (Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 18 Julai 2001)

4) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar menyatakan apakah kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaunkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling? Adakah boleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyaman mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang didapati tidak mengawal dan menjaga sampah sarap sehingga menyebabkan persekitaran kotor dan berbau busuk? (Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 19 Julai 2001)

5) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pembangunan Usahawan menyatakan sejauh manakah kejayaan perlaksanaan perisian I-ideas di Institut Kemahiran Mara (IKM) dari segi meningkatkan latihan kemahiran di kalangan pesertanya? Adakah program-program lain yang berasaskan ICT diperkenalkan di dalam skim latihan kemahiran dibawah anjuran MARA? (Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 24 Julai 2001)

6) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pendidikan menyatakan, benarkah negara sekarang menghadapi kekurangan 4,000 orang guru bahasa Inggeris? Benarkah 30 hingga 40 peratus guru bahasa Inggeris yang mengikuti kursus berkembar telah meninggal perkhidmatan perguruan dan apakah sebabnya?

(Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 25 Julai 2001)

7) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pengangkutan menyatakan, benarkah laporan pemeriksaan polis bahawa 17 peratus pemandu kenderaan perdagangan mengambil dadah ketika memandu? Bolehkah setiap pemandu kenderaan perdagangan diwajibkan menjalani ujian dadah sebelum memandu?

(Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 26 Julai 2001)

8) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh manakah usaha-usaha yang dibuat bagi membela bekas-bekas polis yang pernah berkhidmat zaman darurat (1948-1960) dulu? Adakah benar mereka itu sebenarnya tidak layak menerima pencen? (Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 31 Julai 2001)

9) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pendidikan menyatakan bilangan IPTA dan IPTS yang menawarkan kursus "information technology" (IT) peringkat ijazah. Berapakah bilangan pelajar lulusan ijazah IT setiap tahun semenjak kursus tersebut dilaksanakan? (Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 1 Ogos 2001)

10) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan jumlah pusat info-desa yang telah dilaksanakan mengikut negeri-negeri. Nyatakan apakah kriteria yang dipakai dalam pemilihan sesuatu tempat bagi membuka pusat info-desa? (Cadangan pihak kerajaan menjawab pada 2 Ogos 2001)

 

Sekian, terima kasih.

Wan Nik B Wan Yussof,
ADR Bachok.