Make your own free website on Tripod.com



SOALAN-SOALAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KETIGA, 
PARLIMEN KESEPULUH
PADA 19 MAC HINGGA 3 MEI 2001


SOALAN MENGENAI PINDAAN PERLEMBAGAAN NEGERI KELANTANISU PINDAAN PERLEMBAGAAN NEGERI DITANYA DI PARLIMEN

1)  Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah kejayaan orang Melayu di dalam sektor korporat dan profesional dalam tempoh 1995 hingga 2000? Berapakah jumlah pegangan saham orang Melayu secara keseluruhannya berbanding dengan orang Cina dan India?

(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 20 Mac 2001)

2)  Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan selain daripada negeri Kelantan, manakah lagi negeri-negeri yang belum membuat pindaan Perlembagaan Negeri bagi menyelaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan (Pindaan 1993) khususnya mengenai Jadual Kelapan dan Jadual Kesembilan. Adakah suatu kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mempastikan negeri-negeri berkenaan membuat pindaan.

(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 21 Mac 2001)

3) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pendidikan menjelaskan adakah kerajaan akan menyalurkan bantuan perkapita kepada semua sekolah-sekolah rendah Islam (SRI) swasta, memandangkan kewujudan sekolah berkenaan telah meringankan beban kerajaan dalam penyediaan kemudahan pendidikan wajib kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun?

(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 27 Mac 2001)

4) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Perusahaan Utama menyatakan jumlah had penebangan hutan sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Perhutanan Negara bagi negeri-negeri di  Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi tempoh 1995 hingga 2000. Nyatakan adakah mana-mana negeri yang didapati menjalankan kegiatan pembalakan melebihi had penebangan hutan dalam tempoh tersebut?
 
(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 3 April 2001)

5) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan apakah rasionalnya pihak Kementerian Hal Ehwal Wanita diwujudkan? Apakah fungsi-fungsi Kementerian ini, dan sejauhmanakah fungsinya itu berlaku pertindihan dengan mana-mana kementerian yang sedia ada?

(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 10 April 2001)

6) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menyatakan peratusan kawasan luar bandar yang belum menerima bekalan elektrik 24 jam. Nyatakan sejuahmanakah kemajuan perlaksanaan projek pemasangan lampu jalan kampung mencapai matlamatnya, dan apakah kriteria pemilihan lokasi (kampung) bagi pemasangan lampu tersebut?

(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 11 April 2001)

7) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menyatakan apakah alasan sebenar Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenakan penalti satu peratus kerana lewat membayar bil dan kenaikan caj pemasangan semula (akibat  pemotongan) kepada pengguna? Berapakah jumlah penalti yang telah dipungut sejak mula dilaksanakan?

(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 17 April 2001)

8) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia menyatakan sejauhmanakah usaha-usaha meluaskan capaian internet ke sekolah di luar  bandar bagi mengurangkan “jurang digital” (digital devide) di  antara masyarakat bandar dan luar bandar?. Sejauh manakah penglibatan syarikat-syarikat  telekomunikasi tempatan di dalam menjayakan strategi mengatasi jurang digital?
 
(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 24 April 2001)

9)  Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah perjawatan tetap pegawai pendidikan/guru DG3 yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dari tempoh 1991 hinga 2000. Adakah pihak JPA akan meluluskan perjawatan tetap bagi pengetua sekolah dan pegawai tadbir YIK bagi tempoh yang akan datang?

(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab:  25 April 2001)

10) Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah benar dua bahagian perkhidmatan (pendaftaran kenderaan dan pengeluaran lesen memandu) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diswastakan. Adakah benar, penswastaan bahagian pemeriksaan kenderaan kepada Puspakom selama ini didapati menimbulkan banyak masalah kepada pengguna dan JPJ sendiri?

(Cadangan tarikh pihak kerajaan menjawab: 3 Mei 2001)