ULASAN MUKTAMAR

APA MAKNA Ingat baik-baik bahawa Kelantan bukan milik orang Kelantan saja!

UCAPAN HAJI SALAHUDIN AYUB, Timbalan Ketua Pemuda  PAS Pusat, ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar ke-47, 10 R’awal 1422 (2 Jun 2001) menimbul suatu cetusan untuk pemikiran terutama dalam perkara yang menyentuh hal ehwal kerajaan PAS Kelantan.

Hj Salahudin Ayub dilaporkan berucap,
“Ucapan Timbalan Presiden PAS semasa merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-42 8 R’awal 1422 (31 Mei 2001) mencabar pemuda supaya lebih berani, tidak dengan budaya syok sendiri.

Hj Salahudin turut menyentuh mengenai harapan kepada kepimpinan PAS Kelantan,

“Semua kepimpinan PAS hendaklah berdiri teguh di belakang Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat meminda Perlembagaan Negeri Kelantan.

“Melalui muktamar yang mulia ini sekali lagi Dewan Pemuda PAS Pusat memberi sokongan.

Menurutnya lagi, “Ingat baik-baik bahawa Kelantan bukan milik orang Kelantan saja, kerajaan Kelantan adalah milik umat Islam yang cinta dan kasih kepada Islam,

“Marilah kita ahli PAS menyatakan dengan tegas bahawa Pemuda tidak redha gagalnya pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan Darulnaim.

Secara proaktif, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat itu cuba menyampaikan mesej tegas dan jilah mengikut nada pemuda. Namun ingatan itu semacam suatu ungkapan yang masih menampakkan keraguan kepimpinan Pemuda Pusat terhadap kebulatan dan kesatuan hati serta komitmen pemimpin PAS Kelantan untuk menguruskan kerajaan Negeri mengikut petunjuk parti berlandaskan Islam.

Sebenarnya, tidak perlu lagi diungkap dengan berperasaan sedemikian. Apa yang perlu ialah mengungkapkan suatu alunan semangat bagi memperteguhkan usaha yang telah dibuat oleh Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama-sama saf kepimpinannya di dalam semua perkara, termasuklah perkara meminda dan menyelaraskan Perlembagaan Negeri Kelantan yang telah pun dipersetujui tanpa khilaf.

Walau bagaimanapun, ucapan terima kasih tetap layak diberikan kepada Haji Salahudin darim Johor yang telah menggemakan keunggulan model kerajaan PAS Kelantan di medan Muktamar ke-47. Syabas dan tahniah kepada beliau yang telah dipilih perwakilan menduduki Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi sesi 2001/03.

Selamat berjuang menuju kemenangan.