|
MP Bachok peka kepada Harga Barang-barang Pengguna 5. Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan indeks harga pengguna (CPI) Malaysia bagi tempoh bulan Jun, Julai, Ogos dan September 2001. Berapakah indeks terakhir bagi tiga kumpulan utama iaitu makan, sewa kasar, bahan api dan kuasa, pengangkutan dan perhubungan.
Setiausaha
Parlimen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
[Tuan Wong Kam Hong]:
Tuan Yang di-Pertua,
maklumat terkini indeks harga pengguna (IHP) Malaysia adalah sehingga
bulan Ogos 2001. IHP bagi bulan Jun, Julai dan Ogos 2001 berbanding
dengan bulan-bulan yang sama tahun 2000 menunjukkan arah aliran
peningkatan yang menurun iaitu masing-masing meningkat sebanyak 1.5%,
1.4% dan 1.3%. IHP bagi perbandingan dengan tempoh yang sama tahun
lepas untuk bulan-bulan Jun, Julai dan Ogos 2001 meningkat pada kadar
yang sama iaitu 1.5%. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2001 berbanding
dengan tempoh yang sama tahun 2000, indeks bagi tiga kumpulan utama
iaitu makanan meningkat sebanyak 0.6%, sewa kasar bahan api dan kuasa
sebanyak 1.6% dan pengangkutan dan perhubungan sebanyak 3.9%. Sekian.
Tuan Wan Nik bin Wan Yusof:
Terima kasih Soalan tambahan. Sebagaimana telah kita maklum bahawa
kenaikan IHP ini mengikut tahap inflasi dalam negara dan kebelakangan
ini juga beberapa isu yang dihadapi oleh rakyat berhubung dengan
kenaikan tiga kumpulan utama yang diisytiharkan dan kenyataan ini
telah terbukti pihak Setiausaha Parlimen tadi.
Saya ingin bertanya ekoran
daripada kenaikan tambang bas misalnya baru-baru ini telah
diisytiharkan dan diluluskan oleh pihak Kabinet dan sebelum ini
kenaikan tambang kapal terbang MAS. Dari sudut penguatkuasaan
tempatan beberapa barang makanan pula kita dapati berlaku kenaikan
secara begitu tidak terkawal. Saya ambil contoh ikan import Siam
daripada Siam di Kelantan kenaikan dalam tempoh tiga bulan pertama
ini saya buat kajian sendiri di pasar besar Kota Bahru. Meningkat RM2
bagi satu kilo untuk kembong. Ini membuktikan suatu langkah kawalan
tidak berlaku secara sepenuh oleh pihak kementerian atau pihak-pihak
berwajib. Saya ingin mendapat penjelasan lanjut setakat mana
usaha-usaha ini dapat memastikan kenaikan harga ini boleh menjamin
kepentingan rakyat dari sudut perbelanjaan harian. Terima kasih.
Tuan Wong
Kam Hong:
Tuan Yang di-Pertua, IHP
digunakan untuk menggambarkan kadar inflasi di Malaysia dan IHP
mengukur kadar perubahan harga runcit bagi 430 barangan dan
perkhidmatan yang perbelanjaannya significant. Tidak dinafikan
mungkin di dalam bakul ini iaitu 430 barangan dan perkhidmatan mungkin
ada yang naik dan ada yang turun dan kementerian saya selalu prihatin
kepada kestabilan harga iaitu harga barangan dan di sini kementerian
saya mengambil tindakan atau langkah-langkah untuk menstabilkan harga
barangan keperluan pengguna di pasaran dan langkah-langkah ialah
begitu memantau kedudukan harga bagi 255 jenis barang tertentu melalui
kutipan harga mingguan untuk mengesan aliran harga barangan
berkenaan.
Tindakan sewajarnya akan
diambil sekiranya berlaku kenaikan harga yang keterlaluan atau di luar
jangkaan.
Kedua, memantau 21 jenis
barangan sepanjang masa serta 25 jenis pada musim perayaan bagi
menentukan bekalan mencukupi agar harga barangan berkenaan stabil pada
paras berpatutan.
Ketiga, melaksanakan
kawalan harga secara pentadbiran ke atas 11 jenis barangan keperluan
yang terdiri daripada minyak petrol, minyak diesel, gas petroleum
cecair, gula, tepung gandum, susu pekat manis, roti , ayam, minyak
masak, simen dan besi keluli.
Keempat, memantau harga
harian bagi 28 jenis barangan kegunaan harian yang dikutip di 14
bandar utama negara.
Kelima,
memantau perkembangan indeks harga pengguna khususnya kumpulan makanan
yang mempunyai wajaran yang paling tinggi iaitu 33.8%. Antara jenis
barangan makanan yang dipantau ialah seperti daging lembu - wajaran
3.4%, beras, roti dan bijiran lain - wajaran 5.5%. Ayam - wajaran
19.2% dan ikan -
wajaran 4.9%.
Keenam, mengawal harga
barangan keperluan pada musim perayaan di bawah Akta Kawalan Harga
1949. Sekian.
Tuan Lim
Hock Seng [Bagan]:
Tuan Yang di-Pertua,
Soalan tambahan. Adalah diketahui umum bahawa ramai tidak yakin
kepada laporan rasmi mengenai IHP ini. Misalannya pengangkutan,
haulier container untuk 20 kaki container dahulu RM60 sekarang RM120.
Ini meningkat 100%. Pengangkutan lori naik 35%, Tambang MAS naik
51%. Bas ekspres naik 30%. Itu tambang untuk pergi haji belum tahu
saya. Jadi ini cuma dikatakan IHP hanya meningkat 30.9%. Ini
mestilah tidak meyakinkan orang ramai.
Tuan Yang di-Pertua,
apabila kerajaan membenarkan sesuatu dinaikkan harga, selalu
alasannya dikata adalah tidak membebankan rakyat. Bolehkah Yang
Berhormat memberitahu bagaimanakah satu-satu kenaikan harga itu
membebankan rakyat.
Tuan Wong
Kam Hong:
Tuan Yang di-Pertua,
seperti saya katakan tadi, untuk mengukur IHP ada 430 barangan dan
perkhidmatan. Mungkin pada satu masa tertentu ada yang naik dan ada
yang turun. Tetapi yang turun dan yang naik mereka mencapai adalah
satu keseimbangan dan inilah satu formula yang digunakan oleh negara
di dunia ini iaitu mereka berasaskan formula laspeyras, l-a-s-p-e-y-r-a-s
dan dengan ini mereka mengukur tiap-tiap bulan berbanding dengan bulan
yang sebelumnya dan untuk satu tempoh bulan ini dengan tempoh yang
sama tahun sudahnya dan juga bulan yang sama dengan bulan yang
sudahnya dan kita tidak boleh petik satu sahaja sebagai contoh iaitu
bila naik tambang MAS atau naik tambang teksi ini bermakna IHP sudah
naik untuk keseluruhannya. Tuan Yang di-Pertua, untuk IHP Ogos yang saya katakan tadi, untuk makanan yang ada naik dan yang ada turun juga. Sebab ini kita mesti menerima IHP yang menggunakan formula-formula yang digunakan oleh pakar ekonomi dan kita mesti mempercayai satu formula itu. Sekian terima kasih.
|