Aktiviti Negeri : Aktiviti Luar Negeri (Lawatan Ke Indonesia)

TEKS UCAPAN

PERASMIAN IJTIMA' PASTI TANAH MERAH 19 RABIUL AWWAL 1421/19 OGOS 2000

Islam adalah agama fitrah yang mengutamakan aspek-aspek amalan, roh, perasaan, logik, pemikiran sosial dan undang-undang.  Kanak-kanak kecil mempunyai agama secara fitrah dan secara amalan. Remaja pula mempunyai agama secara rohani dan perasaan.  Namun orang dewasa pula mempunyai agama secara pemikiran akal yang logik dan berperaturan (undang-undang)

Dalam mendidik anak-anak, asas pengalaman seharian amatlah penting.  Cara berfikir dan pengetahuan mengenai sesuatu berlaku di sekitaran sebenarnya banyak mempengaruhi kehidupan kanak-kanak.  Sekiranya asas agama diajar dari awal kepada kanak-kanak, adalah mudah bagi mereka berfikir dan menerimanya meskipun dalam keadaan pemikiran yang terbatas.  Pemikiran mereka itu berasaskan kepada pengalaman alam nyata dan yang dapat dirasai dan dilihat oleh mereka sahaja.

Walaupun begitu, kanak-kanak sangat tajam perasaan, mudah tersinggung dan senang meradang atau bertindak memberontak.  Kerana itu sangatlah mudah untuk membentuk perangai dan kecenderungan mereka dengan cara mengajar mereka sesuatu yang menyentuh jiwa dan perasaan melalui fahaman dan pemikiran agar selari dengan acuan yang dikehendaki.

Kanak-kanak juga suka meniru dan mengikut orang lain, dan mereka cepat menerima kesan-kesan daripada tingkah laku orang-orang yang lebih berumur yang berada di sekeliling mereka.  Mereka akan mengikut segala-gala gerak laku dan meniru kata-kata orang tersebut.

Jelas sekali, kanak-kanak mempunyai alam khas, maka keperluan kepada alam khas mereka itu mestilah mengikut kecenderungan dan boleh menghubungkan kegemaran serta pemikiran dan perasaan mereka.

Oleh kerana itu, psikologi pendidikan kanak-kanak sangat menitik berat nilai, realiti dan kesenian, perkembangan, pembesaran dan pemikiran kanak-kanak.  Penting bagi kita ibubapa dan guru-guru adalah menyelami semuanya itu sebagai asas mengadunkan persekitaran dan pengalaman supaya dapat memproses kanak-kanak selari dengan kehendak Islam.  Tegas sekali, acuan Islam adalah kaedah kita dan segala-gala pencorakan acuan itu berada di tangan kita.

Insya Allah, kejayaan akan dicapai dengan komitmen dan kesunggguhan bersama membina institusi PASTI sebagai kilang kepada acuan itu.  Semoga dengan kemudahan terhad yang ada pada PASTI sekarang dan sokongan padu Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan YAB Tok Guru kita, semoga hasilnya akan mampu mendidik anak-anak kita kepada yang lebih baik.