Ucapan Membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan
Kementerian Perusahaan Utama pada 18 April 2001

Tuan Pengerusi: Kepala Bekalan B.18 dan Kepala Pembangunan P.18 di bawah Kementerian Perusahaan Utama terbuka untuk dibahas.  Ya, Setiu, oh!  Bachok.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Ya, Bachok.

5.10 ptg

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok]:  Terima kasih Tuan Pengerusi.  Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Saya merujuk kepada Maksud P.18 Kementerian Perusahaan Utama butiran projek 11200 iaitu Pusat Latihan Kerja Kayu.  Mengikut peruntukan tambahan untuk kali ini, Kepala ini mendapat peruntukan sebanyak RM13,383,460 iaitu untuk membeli lima tingkat ruang pejabat di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Kuala Lumpur.  Sejumlah RM13.38 juta ini jelas sekali akan dibayar kepada pihak Parti Gerakan yang memiliki bangunan lima tingkat tersebut.  Daripada pembelian ini jelas ada sedikit hubungan kerana kita lihat Menterinya adalah daripada Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang juga adalah Menteri Perusahaan Utama. 

Isunya, sukacita saya mendapat penjelasan daripada pihak kementerian tidak adakah bangunan lain yang layak selain daripada bangunan Parti Gerakan Rakyat Malaysia ini untuk dibeli oleh pihak kementerian ini untuk dijadikan ruang pejabat lain yang sesuai dan lebih ekonomik.  Atau lebih murah dari sudut nilai ringgitnya, lebih ekonomik dari sudut strategik pengurusan dan pentadbiran.  Maka tidak payah memperuntukkan RM13.38 juta bagi tujuan ini. 

Walau apa pun, di sebalik isu pembelian bangunan dan untuk ruang pejabat bagi pengurusan kementerian ini khusus kepada Pusat Latihan Kerja Kayu in,i yang penting untuk dilihat ialah industri kayu dalam negara kita mempunyai satu potensi untuk merujuk kepada masa kini dan masa depan.  Kerana kita yakin dan percaya di sebalik usaha kerajaan untuk menggalakkan industri utama dalam negara yang berasaskan kepada sumber asli dalam negara kita, kita yakin usaha-usaha untuk mewujudkan tenaga pakar di sebalik Pusat Latihan Kerja Kayu ini boleh memastikan masa depan yang lebih cerah. 

Soalan yang belum habis untuk kita tanya ialah, apakah Pusat Latihan Kerja Kayu yang ada di seluruh negara memerlukan kepada satu ruang pejabat yang lebih khusus kerana kita tahu di Pusat Latihan Kerja Kayu itu mempunyai ruang pentadbiran yang tersendiri dan tidakkah kawasan-kawasan Pusat Latihan Kerja Kayu itu mempunyai suatu ruang keselesaan yang khusus untuk menguruskan pentadbiran.

Sebenarnya industri kayu dalam negara kita mempunyai suatu nilai tambah yang begitu baik.  Daripada rizab ataupun hutan simpan kekal yang ada dalam negara kita, negara memiliki RM14.33 juta hektar ternyata ianya memberi satu jaminan kepada industri kerja kayu dalam negara kita.  Ini membuktikan potensinya masih ada dan sektor ini paling baik untuk dimajukan memandangkan negara kita masih begitu giat di dalam sektor pembinaan dan perabot yang menggunakan bahan asasnya adalah daripada kayu kerana kayu dalam negara kita mempunyai nilai kayu keras dan kayu lembut yang mempunyai kualiti yang baik dibandingkan dengan jenis-jenis kayu lain di Eropah ataupun di negara asing. 

Tuan Pengerusi:  Yang Berhormat, Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh beritahu berkenaan dengan Maksud B.18 itu iaitu sebanyak RM30,800 dikehendaki untuk menampung pembayaran imbuhan tahunan 2000.  Imbuhan apa itu?

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  B.18 yang kita bincang di sini. 

Tuan Pengerusi:  Ya, B.18.

Datuk Anifah Aman:  Tuan Pengerusi, imbuhan yang diperlukan itu ialah untuk membayar gaji dan KWSP dan juga imbuhan tetap perumahan.

Tuan Pengerusi:  Gaji, lagi…

Datuk Anifah Aman:  KWSP dan imbuhan tetap perumahan.

Tuan Pengerusi:  Yang Berhormat berkenaan dengan kayu tidak ada Yang Berhormat.  Bawah P.18 ya.  [Disampuk]. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Butiran  Anggaran  Pembangunan  di bawah (Bil. 3) 2000 muka surat A4 Kertas Perintah 8A Tahun 2001. P.18 Butiran projek 11200 Pusat Latihan Kerja Kayu.  Saya boleh sambung, Tuan Pengerusi?

Tuan Pengerusi: Sekejap, sekejap.  Muka surat berapa itu?


Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  A4

Tuan Pengerusi:  RM13 juta ini untuk  membeli   lima tingkat ruang pejabat, ya, adakah bersangkut dengan kayu itu?

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Ya, untuk Pusat  Latihan Kerja Kayu, Tuan Pengerusi. 

Tuan Pengerusi: Sila, sila teruskan jangan  panjang sangat ya. Macam mana sangkut saya tidak tahu. Baiklah, jalanlah.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Kepentingan kepada Pusat Latihan Kerja Kayu  jelas memandangkan masa  depan ekonomi kita dalam  sektor ini, sektor perkayuan khususnya begitu cerah. Hujah yang saya gunakan berdasarkan kepada: - pertama,  kita mempunyai sumber hutan yang masih luas.

Datuk Anifah Aman:   Tuan Pengerusi, peruntukan  ini adalah  untuk perkara spesifik iaitu untuk membeli ruang  pejabat sahaja. Jadi, saya ingat  soalan Yang Berhormat kalau  boleh teruskan dan tetapkan  kepada sebab-sebab kenapa kita  membeli ruang pejabat itu. Terima kasih.

Tuan Pengerusi: Ya, sila, boleh tidak bercakap benda yang bersangkut dengan perkara yang disebut di situ?

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Soalan-soalan yang saya bangkitkan  saya ingat di dalam spesifik,  maknanya perkara itu telah terlalu spesifik kerana saya mengungkitkan hujah-hujah  rasional kepada  pembelian kepada ruang pejabat.

Tuan Mohamad bin Sabu:   Yang Berhormat bagi Bachok, boleh saya bertanya?

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Sila.

Tuan Mohamad bin Sabu:   Adakah bangunan Parti Gerakan ini tidak laku, ruang pejabat  tidak boleh disewa maka dipaksa kerajaan membelinya, ha! macam itu.  [Ketawa] . Minta jawab itu.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Yang Berhormat bagi Kuala Kedah. Soalan ini memberi sebab provokasi sedikit…..

Tuan Pengerusi:  … perkara-perkara yang bersangkut  ya. 

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Oleh kerana  perjalanan ucapan saya tadi ada kekeliruan  sedikit, saya cuba  mengulangi balik  beberapa soalan yang saya bangkitkan. Pertama hujahnya  bangunan ini dijadikan pilihan,  adakah ada kaitan langsung dengan  Presiden partinya  yang juga Menteri  kepada kementerian ini.?

Yang keduanya,  bangunan ini telah dibuat  suatu penilaian yang tepat untuk dibeli. Adakah bangunan-bangunan lain  yang lebih murah tidak ditemui ataupun tidak economic dilihat pada ruang pejabat yang lain.  Lima tingkat yang diungkitkan di sini  adakah cukup untuk  memastikan pengurusan seperti yang dikehendaki oleh pihak kementerian ini tercapai menerusi pembelian bangunan ini.  Dan lagi,  sebagaimana yang dibangkitkan oleh  pihak Yang Berhormat bagi Kuala Kedah tadi  adakah ianya dibeli terpaksa  kerana didorong oleh pengaruh  pihak Menterinya adalah  Presiden kepada parti  yang memiliki bangunan ini.

Jadi berdasar  kepada keadaan itu, saya ingat ianya telah menyentuh beberapa perkara  spesifik, cuma  bayangan hendak pergi  kepada sesuatu perkara spesifik itu,  saya sebutlah kepentingan kepada Pusat Latihan Kerja Kayu ini diurus tadbir   dengan baik memandangkan masa depan  industri kayu  yang begitu cerah.

Jadi, saya tidaklah  melihat perkara-perkara begini terkeluar daripada  perbincangan. Memandangkan lagi kita lihat  pertumbuhan industri kayu ini  adalah kebelakangan ini kurang diberikan perhatian kerana berbanding dengan  sektor lain  pertumbuhan eksport untuk industri kayu  hanya 6.5% berbanding dengan elektronik ialah 19%.  Begitu juga kita melihat  pertumbuhan untuk perusahaan kerja-kerja kayu  dalam negara kita nampaknya tidak diberi perhatian yang baik dari sudut pentadbirannya dan juga pengurusannya sedangkan  setakat yang kita keluarkan daripada perabot dan hasil kayu kerja tangan tempatan kita boleh menyaingi mutu barangan hasil kerja kayu di peringkat antarabangsa, kerana hasil perabot kita  sahaja telahpun memasuki pasaran Eropah dan juga Timur Tengah.

Jadi, berdasar kepada hujah-hujah sebegini, saya melihat  perkara ini perlu  diambil perhatian yang serius walaupun  peruntukannya hanya berjumlah RM13.38 juta sahaja. Itu sahaja, Tuan Pengerusi,  terima kasih.


|Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06|