SOALAN TAMBAHAN Di Parlimen PADA 1 April 2001 Bersama-Sama Soalan YB Rantau Panjang


14.       Datuk Haji Railey bin Haji Jeffrey [Silam] minta Menteri Kewangan menyatakan semenjak kerajaan memberikan kelulusan kepada para pencarum KWSP untuk membeli komputer:

          (a)    berapa ramaikah pencarum KWSP yang telah memohon dan diluluskan mengeluarkan wang 
                caruman untuk membeli komputer di seluruh negara; dan
 

(b) daripada kelulusan untuk seluruh negara, berapa ramaikah daripadanya dari Sabah.

             Timbalan Menteri Kewangan [Dato’ Chan Kong Choy]:  Tuan Yang di-Pertua, setakat 28 Februari 2001, seramai 287,699 pencarum telah mengemukakan permohonan mengeluarkan caruman mereka untuk membeli komputer.  Dari bilangan tersebut, sebanyak 263,132 permohonan telah diluluskan dengan amaun berjumlah RM879.11 juta.  Bilangan permohonan pencarum dari Sabah adalah 25,090 dan sebanyak 22,163 permohonan telah diluluskan dengan amaun berjumlah RM44.2 juta.

Diharapkan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan ini akan memberi manfaat kepada pencarum.

            Puan Fong Po Kuan:  Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.  Yang Berhormat, saya ingin tahu berapa buahkah syarikat komputer yang telah diluluskan baru-baru ini untuk menyertai dalam skim kempen one home one computer ini dan apakah kriteria-kriteria dalam pemilihan syarikat-syarikat komputer tersebut.

            Dato’ Chan Kong Choy:  Tuan Yang di-Pertua, setakat ini Pos Malaysia Berhad dan juga Bank Simpanan Nasional telah pun dilantik untuk mengendalikan projek komputer ini oleh KWSP dan di bawah skim ini, Pos Malaysia Berhad dan juga Bank Simpanan Nasional telah pun melantik beratus pihak konsortium dan di bawah konsortium itu beratus pengusaha komputer di seluruh negara telah pun menyertai skim ini dan kriteria-kriteria ini adalah ditetapkan di antara Pos Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional dengan konsortium-konsortium yang telah pun dilantik.

            Tuan Wan Nik bin Wan Yusoff:  Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.  Soalan tambahan. Mengenai kempen literasi komputer yang dianjurkan oleh kerajaan ini yang melibatkan juga kemudahan kepada pihak pencarum KWSP.  Saya hendak bertanya kepada pihak kementerian, dasar ini akan diteruskan sampai kepada suatu tahap sepuluh, dua belas ataupun berapa tahun.  Maksudnya had dari sudut tempoh masa, kemudahan kepada pihak pencarum KWSP ini diberikan. Saya hendak tahu, bilakah had sebenarnya dasar ini akan diamalkan oleh KWSP untuk mengeluarkan caruman untuk membeli komputer dalam kempen ini.  Terima kasih.

            Dato’ Chan Kong Choy:  Tuan Yang di-Pertua, pihak kerajaan setakat ini belum menetapkan satu tempoh masa untuk menjalankan kempen yang disebutkan oleh Ahli Yang Berhormat ini dan kita akan ulang kaji bila kita mendapati bahawa kempen ini telah pun mencapai matlamat yang kita tetapkan.


12.       Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang] minta Menteri Pertanian menyatakan tentang Pelabuhan Tok Bali yang sekarang ini mulai mendapat sambutan pendaratan oleh pengusaha-pengusaha Bot Laut Dalam.  Apakah langkah-langkah drastik yang telah dan akan dilakukan oleh Kerajaan Pusat dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan bagi memajukan kawasan tersebut.

            Timbalan Menteri Pertanian [Dato’ Seri Mohd. Shariff bin Haji Omar]:  Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Pusat bercadang membina Pelabuhan Perikanan Tok Bali di Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kelapan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.  Projek ini dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun 2002. 

          Pihak LKIM juga telah diberi kelulusan tanah seluas 88.82 ekar untuk pembinaan pelabuhan perikanan berkenaan.  Di samping mengadakan kemudahan infrastruktur pendaratan ikan yang lengkap untuk bot-bot menangkap ikan laut dalam, pembinaan Pelabuhan Perikanan Tok Bali ini akan dapat menggalakkan perkembangan industri hiliran dan huluan yang berasaskan perikanan di kawasan berkenaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri perikanan negara.

          Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron:  Tuan Yang di-Pertua, adakah kerajaan bercadang untuk menambahkan lagi lesen-lesen pukat laut dalam ataupun memberi kembali kepada pelesen-pelesen yang telah ditarik balik oleh kerajaan beberapa tahun lalu.

            Dato' Seri Mohd. Shariff bin Haji Omar:  Tuan Yang di-Pertua, lesen perikanan laut dalam yang dikeluarkan pada masa ini telah pun sampai ke tahap yang maksimum khususnya di kawasan Semenanjung.  Kerajaan pada masa sekarang ini tidak berhasrat untuk menambahkan lagi lesen-lesen baru, bagi mereka yang lesennya mereka ditarik balik oleh kerana perlanggaran syarat, mereka ini boleh membuat rayuan.

            Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: Terima kasih  Tuan Yang di-Pertua, terima kasih dan Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertanian.  Saya difahamkan bahawa pPelabuhan Tok Bali ini dari sudut geografinya merupakan satu tempat yang terbaik di sepanjang Pantai Timur, tidak termasuk Pahang ke Johorlah, yang terbaik.  Apakah kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan pelabuhan Pelabuhan Tok Bali sebagai pelabuhan perikanan yang terbesar di sebelah Pantai Timur bukan hanya Malaysia termasuk juga Pantai Timur Thailand dan apakah industri-industri sokongan yang sekarang ini berada dalam rancangan kerajaan, bukan hanya pelabuhan, apakah industri-industri sokongan yang ada kaitan dengan pelabuhan perikanan tersebut dalam rancangan kerajaan sekarang, secara ringkasnya.  Terima kasih.

            Dato' Seri Mohd. Shariff bin Haji Omar:  Tuan Yang di-Pertua, ini walaupun pPelabuhan Tok Bali ini berada di negeri Kelantan yang di bawah pemerintahan Kerajaan PAS tetapi Kerajaan Barisan Nasional oleh kerana ini adalah untuk kepentingan masyarakat nelayan, jadi kita meneruskan pembinaan projek ini di Tok Bali.  

Di antara kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kos keseluruhannya adalah RM58 juta, di antara kemudahan yang ada ialah jeti pendaratan, dewan pemasaran, jeti jambatan bot, bilik sejuk untuk air batu,  untuk ikan lima buah. sSetiap satu boleh menampung 20,000 tan.

           Kemudian ada kemudahan-kemudahan untuk membaiki bot dan sebagainya.  Jadi, secara terperincinya oleh kerana Yang Berhormat minta ringkas sahaja, secara terperincinya, insya-Allah saya akan beri kepada Yang Berhormat darbagi kawasan Jeli.


|Parlimen01||Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06||Parlimen07|