JAWAPAN LISAN SOALAN YB BACHOK PADA 3 APRIL 2001
Aktiviti Penebangan Hutan di Malaysia


2.         Tuan Wan Nik bin Wan Yussof [Bachok] minta Menteri Perusahaan Utama menyatakan, jumlah had penebangan hutan sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Perhutanan Negara bagi negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi tempoh 1995 hingga 2000.  Nyatakan, adakah mana-mana negeri yang didapati menjalankan kegiatan pembalakan melebihi had penebangan hutan dalam tempoh tersebut.

             Timbalan Menteri Perusahaan Utama [Datuk Anifah Aman]: Tuan Yang di-Pertua, catuan tebangan hutan di negara ini adalah berdasarkan kepada Rancangan Lima Tahun berkenaan. Bagi tahun 1955 hingga 2000, catuan tebangan untuk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah seperti berikut:-

                         Negeri                      1995                 1996-2000
                                                                    (Hektar)                     (Hektar)
                        Johor                           4,500                            2,705
                        Kedah                          4,365                            2,860
                        Kelantan                      6,900                            6,885
              Melaka                            110                              -
                        Negeri Sembilan             2,635                            2,435
                        Pahang                       12,245                          12,240
                        Perak                           9,235                            8,300
                        Perlis                             -                                   -
                        Pulau Pinang                   -                                   -
                        Selangor                       2,130                           1,795
                        Terengganu                 10,140                           8,820
                        Wilayah Persekutuan       2,000                           -
                        Sabah                         60,000                         60,000
                        Sarawak                    170,000                        170,000
 
Dalam tempoh tersebut kesemua negeri kecuali di negeri Sabah telah mematuhi Catuan Tebangan Tahunan yang telah ditetapkan. Sekian, terima kasih
 
            Tuan Ronald Kiandee: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin tahu sejauh mana penetapan Catuan Penebangan Tahunan yang optimum ini bagi setiap negeri telah mencapai objektif pengurusan hutan simpanan yang berkekalan. Bagi kawasan-kawasan hutan baru khususnya dalam hutan simpanan hutan kekal, apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengawal pembukaan hutan-hutan ini. Terima kasih.

Datuk Anifah Aman: Terima kasih Yang Berhormat bagi Beluran. Tentang penepatan Catuan Tebangan Hutan yang optimum bagi setiap negeri telah pun mencapai objektifnya iaitu untuk mengimbangkan kadar pembalakan dengan keluasan hutan, pengeluaran dalam hutan simpan kekal iaitu sejajar dengan konsep pengurusan hutan secara berkekalan dan pengusaha hasilan hutan yang optimum.

Kedua, memastikan bahawa hanya kawasan hutan pengeluaran seperti mana yang ditafsirkan mengikut Seksyen 10(1) Akta Perhutanan Negara 1984 diusahahasilkan. Ketiga, memastikan hanya kawasan-kawasan hutan di balak yang terpilih dan matang sahaja diusahahasilkan di dalam suatu tempoh rancangan. Ini akan memastikan pengeluaran yang optimum dapat diperoleh dari sesuatu kawasan hutan semasa pengusaha hasilan.

Bagi soalan kedua tentang langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan ialah di antara langkah-langkah bagi mengawal pembukaan kawasan hutan pengeluaran dalam hutan simpan kekal untuk tujuan pengusaha hasilkan, ialah dengan cadangan mengurangkan catuan tebangan hutan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan iaitu 2001-2005 dan menggalakkan penubuhan kawasan ladang hutan serta mempelbagaikan hasil hutan kepada produk bukan berasaskan kayu seperti rotan dan buluh. Sekian, terima kasih.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih pihak Timbalan Menteri. Sebagaimana kita maklum bahawa kesan daripada penebangan hutan ini membawa kepada efek yang tidak baik kepada alam sekitar khususnya sungai-sungai dan kampung-kampung itu sendiri. Pernah suatu masa pihak media khususnya TV membuat liputan secara spesifik berhubung dengan aktiviti pembalakan dan juga perhutanan ini di kawasan Tanah Tinggi Loging  Kelantan  dan bersempadan dengan Cameron Highlands. Apa yang dilaporkan semua mendapati dan semua mendapat suatu persepsi bahawa Kerajaan Negeri Kelantan mengamalkan penebangan hutan yang melebihi daripada had yang ditentukan iaitu 6,885 hektar.

Jadi, berdasarkan kepada jawapan pihak kementerian tadi jelas perkara itu tidak berlaku. Jadi, saya hendak tahu, adakah pihak kerajaan khususnya pihak kementerian mempunyai suatu laporan yang khusus daripada Jabatan Alam Sekitar berhubung dengan aktiviti perhutanan di Kelantan dan kesan-kesannya atau suatu kemungkinan, suatu had ini diturunkan lagi bagi memastikan supaya aktiviti tadi terkawal dan permukaan bumi serta sungai-sungai tadi tidak menghadapi satu masalah ekologi.  Sekian, terima kasih.

Datuk Anifah Aman: Terima kasih Yang Berhormat. Memanglah catuan tebangan hutan  yang telah saya katakan tadi bahawa termasuk negeri Kelantan tidak melebihi catuan yang telah pun dikenakan, iaitu Kelantan pada tahun 1995 - 6,900, dan 1996 ke 2000 - 34,425 hektar yang cuma diusahahasilkan sebanyak 86% daripada catuan yang telah pun dikenakan. Walau bagaimanapun, kementerian dan melalui EIA telah pun mengenakan garis panduan cara-cara macam mana kita menjalankan aktiviti pembalakan kita.

Kita memanglah prihatin tentang keadaan alam sekitar kita. Pada tahun yang akan datang dalam Rancangan Malaysia Kelapan kita telah pun menurunkan penebangan hutan di semua negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Aktiviti-aktiviti ataupun kawalan-kawalan yang telah pun dijalankan oleh kerajaan-kerajaan negeri juga kita pantau supaya ianya tidak dilakukan secara sesuka hati. Oleh itu, yang penting sekali bahawa semua aktiviti seumpama itu mengikut garis panduan yang telah pun dikeluarkan oleh Alam Sekitar.

 


ISU PEMIKIRAN SEMPIT YB SRI AMAN, SARAWAK YANG TERLALU PESIMIS DAN PARACHIOLISME TERHADAP ORANG KELANTAN - SIDANG 3 APRIL 2001

 Tuan Jimmy Lim Donald:  Mahu bagi Sri Aman?  Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.  Terima kasih kepada Yang Berhormat bagi Kepong.  Saya tertarik dengan hujah Yang Berhormat bagi Kepong tentang perkauman antara ras di universiti, tetapi  saya hendak tanya Yang Berhormat bagi Kepong, macam mana seperti yang di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di mana bukan perkauman di antara ras, tetapi  perkauman antara negeri.  Nampaknya, orang yang mengajar di UNIMAS ialah orang-orang dari Kelantan, sebahagian yang besar dan juga yang berpengaruh.  Jadi, nampaknya Kelantan mafia di sana ..  [Ketawa]

            Dr. Tan Seng Giaw:  [Menyampuk]

            Tuan Jimmy Lim Donald:  … menyusahkan sangat murid-murid dan juga universiti itu atau universiti itu macam tidak bergerak oleh kerana pengaruh-pengaruh mereka dan mereka membuat sesuatu yang kadangkala luar dari apa yang harus dibuat, membantu satu sama lain, at the expense of the student, dengan izin.  Jadi, kami di Sarawak yang tahu, merasa tidak puas hati dengan golongan yang sebegitu.  Saya pun tidak tahu mengapa begitu ramai pensyarah-pensyarah dari Kelantan ditempatkan di sana, mungkin itu tempat buangan atau apa, saya pun tidak tahu?  Jadi, apa pandangan Yang Berhormat bagi Kepong tentang monopoli oleh orang yang dari satu tempat ke satu tempat?

            Dr. Tan Seng Giaw:  Tuan Yang di-Pertua, kalau tuduhan Yang Berhormat itu bukan liar, kita boleh siasat, kerajaan mesti siasat. Tetapi  saya tidak percaya ada mafia Kelantan, saya tidak percaya ada mafia Kelantan.  [Disampuk]  Jadi, di UNIMAS juga kita mesti memupukkan perpaduan. Bukan masalah kedaerahan, parochialism sahaja yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi.  Bahkan juga kita mesti memupuk semangat untuk mengadakan satu masyarakat yang bersatu padu dan saksama.  Kita selesai sama-sama, mungkin kita adakan majlis perundingan, perpaduan nasional, kita boleh menyiasat, di UNIMAS.  Yang Berhormat Sri Aman boleh sokong kita untuk mengadakan rang undang-undang bagi menubuhkan majlis tersebut.


|Parlimen01||Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06||Parlimen07|