Sidang Parlimen: Sesi Soal Jawab 28 Mac 2001


5.         Tuan Haji Siam bin Haji Kasrin [Batu Pahat] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan  Tempatan menyatakan jumlah kakitangan PBT yang terlibat dengan kes-kes peras ugut serta menyalahgunakan kuasa sejak 3 tahun kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Datuk Peter Chin Fah Kui]: Tuan Yang di-Pertua, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak menyimpan rekod-rekod kakitangan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dengan kes-kes peras ugut dan penyalahgunaan kuasa.  Biasanya rekod-rekod berkenaan disimpan oleh pentadbiran kerajaan negeri dan PBT atau pihak berkuasa-pihak berkuasa berkenaan apabila ada kes-kes yang diuruskan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tindakan susulan yang sesuai, jika benar berlaku kejadian-kejadian seperti peras ugut dan penyalahgunaan kuasa oleh kakitangan PBT, akan diambil oleh agensi-agensi kerajaan seperti pihak polis, Badan Pencegah Rasuah mengikut undang-undang sedia ada. Pentadbiran kerajaan negeri dan PBT akan mengambil tindakan yang sesuai setelah laporan daripada pihak polis atau BPR diperolehi atau apa-apa keputusan daripada mahkamah. 

Walau bagaimanapun, sekiranya Yang Berhormat memerlukan maklumat tertentu berkaitan dengan sesuatu kes yang melibatkan mana-mana PBT tertentu, kementerian saya bersedia membantu Yang Berhormat memperolehinya. Sekian.

Tuan Haji Siam bin Haji Kasrin:  Soalan tambahan saya., Bolehkah kakitangan pihak berkuasa tempatan khasnya yang disyaki terlibat dengan kes peras ugut, ditukarkan bertugas ke pihak berkuasa tempatan yang lain?

Datuk Peter Chin Fah Kui: Tuan Yang di-Pertua, jika ada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak poliskah atau BPR atau mahkamah atau mengikut tatacara kerajaan negeri, memang seseorang kakitangan itu, disebabkan ia adalah kakitangan kerajaan negeri boleh dipindah kepada mana-mana tempat yang dirasai sesuai oleh pihak kerajaan negeri.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ekoran daripada jawapan  yang diberi oleh pihak kerajaan tadi, salah laku ataupun beberapa kes yang melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak kakitangan PBT ini, saya pernah mengemukakan perkara ini kepada pihak kerajaan negeri.  Di antara alasan yang diberikan ialah Akta  Kerajaan Tempatan itu sendiri  mempunyai kuasa yang tersendiri terhadap kakitangan yang berkenaan.

Oleh kerana itu, saya ingin  mendapat penjelasan daripada pihak kementerian untuk memastikan bahawa akta berkenaan boleh dipinda untuk tempoh akan datang bagi memastikan satu tindakan lebih berkesan pihak kerajaan negeri kepada kakitangan-kakitangan pihak PBT, bilakah akta itu akan dipinda bagi memastikan kejayaan dari sudut prestasi dan kecemerlangan kakitangan PBT? Terima kasih.

            Datuk Peter Chin Fah Kui: Seperti yang saya jawab, Yang Berhormat, jika sesuatu kes penyalahgunaan kuasakah atau peras ugut dan sebagainya, pihak-pihak yang berkenaan untuk menyiasat sesuatu kes itu memang perlu diadakan dahulu sebelum PBT atau kerajaan negeri boleh mengambil tindakan sebab kita ada cara-cara di mana tindakan disiplin diambil terhadap satu-satu pegawai atau kakitangan itu memang mengikut lunas-lunas yang sedia ada. Kita tidak boleh menggunakan cara-cara yang sewenang-wenangnya. Oleh sebab itu, Akta Kerajaan Tempatan ini memang mempunyai kaedah-kaedah yang cukup terhadap kuasa yang diberikan kepada satu-satu PBT dan sebab kakitangan itu adalah kakitangan kerajaan negeri, maka pihak negerilah yang perlu mengadakan tindakan yang sesuai terhadap sesiapa yang dianggap bersalah atau dijatuhi hukuman daripada mana-mana badan kehakiman. Sekian


|Parlimen02||Parlimen03||Parlimen04||Parlimen05||Parlimen06||Parlimen07|